Tuesday, December 16, 2014

1MDB, MOHON PENCERAHAN

Saya tuliskan kembali fakta-fakta yang saya baca mengenai 1MDB. Menurut keputusan kewangan penuh tahunan 1MDB yang di telah di AUDIT untuk 12 bulan berakhir 31 March, 2014:-

FAKTA
  1. Aset bernilai RM51.4 billion
  2. Hutang sebanyak RM41.9 billion (nilai semasa setelah diambil kira tukaran RM/USD pada kadar 3.45 terkini, mungkin telah meningkat kepada RM49.1 billion).
  3. Wang tunai dan simpanan pula berjumlah RM16.7 billion (termasuk RM7.0 billion yang dilabur di Pulau Cayman)
  4. Pendapatan telah meningkat daripada RM2.6 billion kepada RM4.3 billion.
  5. Kerugian sebanyak RM665.3 juta pada tahun kewangan berakhir 31 March, 2014 yang dikatakan disebabkan oleh kos kewangan (finance cost) berjumlah RM2.4 billion dibandingkan RM1.6 billion pada tahun kewangan sebelumnya.
SOALAN
  1. Kalau dah simpanan tunai ada RM16.7 billion, kenapa memohon Bank Negara melanjutkan tempoh hutang tak berbayar (non-performing loan) dari 3 bulan ke 6 bulan? Kenapa simpanan tunai yang banyak ini tak digunakan membayar hutang pada masanya?
  2. Macam mana sebuah syarikat dengan saham berbayar RM3.45 juta boleh membuat pinjaman sehingga RM41.9 billion? Nisbah Keumpilan (Gearing Ratio) adalah 12,144.92 atau 1,214,400%. Ini bermakna 1MDB adalah sebuah syarikat yang mempunyai tanggungan hutang yang TERLALU amat tinggi. Bagaimana bank-bank (tempatan mahupun antarabangsa) boleh memberikan pinjaman kepada syarikat yang mempunyai nisbah keumpilan yang TERAMAT tinggi seperti 1MDB? Apakah ada perjanjian (bertulis dan tak bertulis) bahawa hutang-hutang dijamin pembayaran oleh kerajaan Malaysia sehingga bank-bank ini berani meluluskan permohonan hutang-hutang tersebut?
  3. Bagi keseluruhan hutang RM41.9 billion, maka 1MDB perlu membayar RM4.66 billion setahun (@ i= 2.0%, n=10 tahun) dan RM4.91 billion (@ i= 3.0%, n=10 tahun). Bagi kadar faedah melebihi 3.0%, bayaran balik akan meningkat lagi. Pendapatan 1MDB hanya RM4.3 billion setahun. Macam mana ni?1MDB punya masaalah untuk membayar hutang yang ditanggung. Mungkin untuk membayar hutang ini, 1MDB terpaksa menggunakan simpanan tunai atau menjual aset yang ada. Kalau ini berlaku, boleh kah 1MDB berkata bahawa perniagaan syarikat berjaya?
  4. Dengan sumber dana yang begitu banyak, kenapa 1MDB dibenarkan membeli aset dalam negara (seperti IPP) secara bersaing dengan syarikat swasta tempatan? Apakah ini antara tujuan penubuhan 1MDB untuk bersaing dengan syarikat swasta di Malaysia? Sepatutnya pada 2014 ini, kerajaan Malaysia perlu membuat keputusan untuk mengurangkan keterlibatan dalam perniagaan secara besar-besaran dan tidak bertanding secara terus dengan syarikat swasta tempatan. Ini boleh diumpamakan seperti seorang bapa yang kaya raya bersaing berniaga dengan anak yang tak sekaya bapa. Adil ke tu?
Nampaknya setakat ini dulu yang dapat saya tanya. Mari kita dengar apa jawapan dari pihak 1MDB. Saya amat berharap saya tidak tersalah dalam mengira. Jika ianya berlaku juga, sila maklumkan kepada saya untuk saya buat pembetulan. Wassalam.

Ikhlas

Haji Cerenkova
Aku bukan seorang “village idiot”)

Thursday, December 19, 2013

PESAN TERAKHIR ABAH

Tak ingat jika ada pesanan terakhir dari abah sebelum dia pergi. Aku cuba mengingat-ingat kembali, sah memang tak ada walaupuan abah menghembuskan nafas terakhir dia di depan aku. Masa itu aku sedang mengelap badannya yang masih basah selepas sahaja aku selesai mandikan dia.

Beberapa minggu sebelum itu, abah ku dah tak boleh lagi bergerak. Dia lumpuh akibat serangan angin ahmar di kampung. Selepas beberapa hari terlantar di hospital, aku bawa abah keluar ke rumah ku di Bandar Baru Bangi. Di Bandar Baru Bangi juga lah dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Semasa hidup dia, abah seorang yang kurang bercakap. Dengan anak-anaknya pun dia begitu. Aku adik beradik memang semuanya takut dengan abah. Dia kepantangan jika kami adik beradik berbuat sesuatu yang tak baik. Dia akan datang dan akan terus menerkam dengan rotan ditangan.  Abang Long ku pernah dirotan teruk apabila abah dapat tahu dia menghisap rokok dengan kawan-kawan. Sejak hari itu kami adik beradik tak pernah cuba menghisap rokok lagi sehinggalah kini.

Abah sebelum pencen bekerja sebagai seorang konstabal polis. Sebelum masuk polis dia pernah bekerja dengan tentera udara British di Singapura. Masa itu Malaya masih lagi belum merdeka. Dari cerita yang ku curi dengar, abah pernah dihantar oleh tentera British bertugas ke Hong Kong. Jadi dia bukan orang kampung sangat, kerana dia pernah berkhidmat diperantauan semasa muda dia. Dia berkahwin dengan ibu aku bukanlah atas dasar cinta. Orang masa itu semuanya menyerahkan soal rumah tangga kepada orang tua. Wan Saami, nenek aku yang meminang ibu ku untuk dinikahi abah. Abah dan emak menurut sahaja.

Sesuatu yang aku perhati tentang abah adalah sikap hormatnya pada orang tua. Kalau balik kampung, dia amat merendah suara jika bercakap dengan Mak Ulu dan Acik Terisah, dua orang kakak dia. Dia anak bongsu dan sudah tentu juga amat disayangi oleh kedua-dua kakaknya ini. Seorang lagi abang dia bernama Cikgu Yusof Majid. Semua orang di Seri Menanti termasuk DYMM Tuanku Jaafar, YamTuan Besar Negeri Sembilan terdahulu, kenal dia. Tuanku Jaafar dan Pak Lang Yusuf sama bersekolah di Kuala Pilah dulu. Aku tahu kerana aku telah diberitahu sendiri oleh Tuanku Jaafar sendiri semasa aku mengadap Tuanku.

Dua orang kakaknya dan Pak Lang Yusuf merupakan tempat abah selalu mengadu. Jika tidak dengan abang dan kakaknya ini, abah akan hanya berdiam diri. Walau apa pun dugaan yang kesusahan yang dia alami dan harungi, dia tak kan bercerita pada sesiapa pun. Kami anak-anak dia pun tak tahu akan masaalah yang dihadapi. Abah bukan jenis manusia yang suka berkonfrantasi. Dia lebih suka diam dan mengalah dalam segala hal. Kalau dia ambil tindakan pun, dia akan menyepikan diri sendiri. Masa itu baharulah aku tahu bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan abah. Pernah dia merajuk meninggalkan kampung emak dan tinggal dengan Acik Terisah, salah seoarang kakak dia sebab dia dah tak tahan dengan leteran emak yang kadang-kadang tak pernah berkesudahan.

Abah tak pernah bercerita dan menasihat anak-anak macam abah-abah yang lain. Tak perasan jika dia menasihati aku supaya kuat belajar. Yang kita tahu apabila dia melakukan sesuatu, maka itulah tanda dia amat mengambil berat. Umpama, jika aku meminta sesuatu tentang hal perbelanjaan melibatkan sekolah, dia akan cuba dapatkan walaupun aku tahu dia tak punya sumber kewangan yang mencukupi. Entah berhutang ke dia dengan kawan-kawan atau ada duit simpanan dia yang aku tak tahu. Yang penting dia akan cuba carikan sampai dapat supaya tak tergendala pelajaran anak-anak dia.

Di sekolah aku seorang murid yang aktif – pengawas kanan, ketua darjah, mewakili sekolah dalam sukan hoki dan badminton dan pelari jarak dekat 100m dan 200m. Semua cikgu kenal aku tapi mereka selalu bertanya, mana satu abah kau, Yaziz? Abah tak pernah datang ke mesyuarat PIBG, dia juga tak pernah berjumpa Guru Kelas ku untuk menanya tentang prestasi pelajaran ku. Jadi macam mana cikgu nak kenal dengan dia?

Dia seorang konstabel polis yang hidup sederhana. Tinggal di berek polis dengan konstabel-konstabel polis yang lain. Rumah orang ada TV tapi rumah kami tak ada. TV 2nd hand pun abah tak mampu beli. Abah bukan kaki minum di warong. Habis sahaja kerja rondaannya dia akan balik ke rumah. Kadang-kadang aku hairan bila lihat singlet (baju dalam) abah yang berlubang-lubang. Mungkin agaknya dia lebih rela menghabiskan duit gaji dia membeli keperluan keluarga dan anak-anaknya seramai 6 orang dari berbelanja untuk diri dia sendiri. Sembahyang 5 waktu nya tak pernah tinggal. Semua anak-anaknya di ajar mengaji sendiri. Dah besar baru aku sedar kenapa.

Apa ye pesanan terakhir abah? Memang tak ada yang dipesan pada aku mahupun adik-adik yang lain. Tapi kehidupan yang dilalui membuatkan aku sedar bahawa abah ingin aku mencari sendiri apa yang dia mahu supaya kami contohi. Tak lain tak bukan, abah mahu kami percaya “bahawa hidup ini biarlah seadanya tapi dari wang titik peluh yang halal”. Mungkin itulah “pesan” terakhir abah buat aku adik beradik yang akan aku pegang sampai mati.

Semoga Allah ampunkan segala dosa abah ku, Tuan Haji Yunus bin Haji Majid. Amin.

UnclearEngineer

Monday, February 18, 2013

XENOPHON - YOU ARE NOT WANTED HERE.


“Malaysia on any measure is one of the most democratic and freewheeling nations in Southeast Asia. Its elections are certainly not perfect, but they are better than in most parts of the world. Indeed, its very openness allows people such as Xenophon to grandstand there.” - The Australian newspaper’s foreign editor Greg Sheridan.
++++++++++

Xenophon loses his microphone while playing the Xylophone on his handphone. Kah, kah, kah. Sorry mate, I can’t help it. Its so funnylah.

Amek kau Senator Xenophon. Mahu tunjuk pandai pulak kau di Malaysia ni. Boleh aku nasihat kau sikit tak? Tukarlah nama kau tu, kelakar betul.

UnclearEngineer

Thursday, February 14, 2013

LEONG PEI KOE


Leong Pei Koe, 29 tahun seorang ahli DAP Pulau Pinang telah dijatuhkan oleh mahkamah sebulan penjara dan denda RM8,000 atas dua kesalahan menunjukkan tanda isyarat lucah ke arah DYMM Raja Permaisuri Agong dan ASP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Majistret Muhamad Hidayat Wahab memberitahu bahawa beliau telah mengambil kira perakuan bersalah dan permohonan maaf Leong serta kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman. Sebelum itu, Leong yang tanpa diwakili peguam telah memohon maaf kerana melakukan kesalahan tersebut.

Umur 29 tahun bukan budak-budak lagi. Ada pelajaran tapi tak digunakan. Macam orang bodoh dangkal yang tanpa sebab apa-apa mencari pasal. Kan dah kena makan nasi penjara percuma selama 30 hari. Karpal Singh, mahupun lain-lain peguam hebat DAP pun tak berani nak mewakili si Leong ni di mahkamah walaupun diberitakan terdahulu bahawa Pakatan Rakyat memutuskan untuk menyediakan khidmat guaman secara percuma ( 
http://suarapakatanrakyat.com/2013/02/hina-permaisuri-agung-pr-akan-pastikan-keadilan-untuk-leong-pei-koe/)

Selepas dibebaskan, mungkin akan berlaku salah satu dari dua senario ini. Dia akan balik bekerja di Singapura dan terus jadi warganegara di sana atau dia akan mengekalkan kewarganegaraan Malaysia tetapi menjadi penyokong totok DAP. Ikut suka kaulah Leong. Kalau kau memilih pilihan kedua, tolong jaga mulut kau tu sikit boleh tak?

Teringat kata-kata dia, “Ini Pulau Pinang Cina punya, polis Melayu tak ada kuasa”. Apa punya rasis ayat dia. Tapi Pakatan Rakyat kata Leong seorang yang berani. Berani tak bertempat.

UnclearEngineer

Monday, February 4, 2013

INTERNATIONAL MEETING ON RADIATION PROCESSING (IMRP) - BAHAGIAN 2

(Bersambung dari Bahagian 1)

Malam selepas temubual oleh jawatankuasa pemilih akan diadakan pula “Gala Dinner”. Semua peserta akan mengenakan baju sut dengan tali  leher bagi lelaki. Pada malam ini juga akan di umumkan bandaraya tuan rumah bagi IMRP seterusnya. Saya telah mengenakan baju sut terbaik saya dengan tali leher warna merah. Sebelum masuk ke dewan jamuan hotel, ada “cocktail reception” di lobi dewan. Semua yang boleh “minum” akan memegang gelas wine masing-masing sambil berbual ringan sesama perwakilan. Saya seperti biasa dengan segelas coke ditangan akan berlegar sambil bertegur sapa dengan rakan-rakan yang saya kenali. Kebanyakan perwakilan memberikan pandangan bahawa Jepun akan terpilih memandangkan bahawa Jepun sebenarnya dijemput untuk menyertai bidaan oleh penganjur tidak seperti Malaysia dan China yang menawarkan diri secara sukarela. Jadi pada pendapat mereka adalah memalukan pihak penganjur dan Jepun jika bidaan Jepun gagal. Kawan-kawan saya dari Kanada walau bagaimana pun amat yakin bahawa Malaysia akan berjaya. George West begitu yakin bahawa mereka telah berjaya menukar persepsi negatif Malaysia pada pandangan kebanyakan perserta persidangan kepada persepsi positif. Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia juga di lihat mempunyai kekangan bila tiba soal makanan dan minuman halal/haram. Tetapi itu semua sudah saya jelaskan dengan mendalam semasa interview pagi tadi.
Bergambar dengan rakan semeja dari Peranchis.
Saya memilih untuk tidak mengisi meja di depan pentas. Saya memerhati sekeling dan saya nampak sekumpulan peserta persidangan dari Perancis dan meja mereka nampaknya punya beberapa tempat duduk yang masih kosong. Salah searang dari mereka memang amat saya kenali sebab syarikat dia membekalkan beberapa barangan dan mesin peralatan kepada syarikat tempat saya berkerja. Bila melihat saya datang, kawan saya itu terus mengajak saya duduk bersama mereka. Saya tanpa banyak berfikir terus duduk bersama. Sebelum duduk, saya bersalaman sambil memperkenalkan diri dengan setiap yang duduk di meja tersebut. Mereka mengangguk-angguk sambil berkata “Malaysia? Malaysia very good”. Rupanya ada juga antara mereka yang telah menjejakkan kaki ke Malaysia. Saya terus berbual dalam bahasa Inggeris dengan kawan yang duduk di sebelah saya sedangkan yang lain rancak berbual sesama sendiri dalam bahasa Peranchis sambil meneguk wine kegemaran masing-masing. Malam tu “wine on the house” jadi riuh jugalah meja saya jadinya. Tak lama kemudian diumumkan bahawa makan malam akan bermula. Maka dengan itu bermulah juga dilema saya.

Semasa persidangan di siang hari, makanan halal dan kosher ada di sediakan di atas meja khas. Jadi saya tak perlu nak pergi jauh-jauh. Saya terus dapatkan meja makanan halal dan kosher ini untuk memilih makanan yang sesuai buat selera saya.  Memang tak berapa lalu tekak saya dengan makanan di sini. Selalunya saya ada bawa makanan sendiri terutama serunding dari Malaysia dan akan makan dalam bilik seorang diri kalau saya rasa lapar. Saya juga banyak membeli buah-buahan dan saya simpan dalam peti ais bilik hotel. Jadi semasa gala dinner ini saya terus memesan makanan halal dari “waiter”.

Sambil menunggu makanan, saya meneguk air coke dalam gelas  saya serta meneruskan bualan dengan kawan di kerusi sebelah. Bila makanan saya sampai, saya cuma lihat sayur dan filet ikan dengan sos dalam pinggan. Pengalaman saya belajar selama 6 tahun di luar negara membuatkan saya boleh memakan apa sahaja makanan selain daging babi. Dengan lafas “bismillah” saya suap makanan ke dalam mulut. Akhirnya satu pinggan habis saya makan. Setelah selesai  makan,  maka bermulalah bahagian bagi pengumuman tuan rumah bagi IMRP yang akan datang.

Saya buat-buat muka selamba sahaja sebab kalau Malaysia gagal maka saya tak akan terasa malu sangat. Pengerusi IMRP Chicago pun dijemput ke atas pentas untuk membuat ucapan serta mengumumkan kotaraya pembida yang berjaya. Dalam hati saya kuat mengatakan Jepun sudah pasti akan diserahkan kerja-kerja bagi tuan rumah IMRP 2006. Siapa yang mampu lawan bidaan Jepun? Bagi saya cukuplah saya mengetahui bahawa saya telah menjalankan usaha terbaik saya untuk mempromosi Kuala Lumpur dan Malaysia di Chicago ini.
Bergambar dengan Robert Moss, Pengerusi JK Pelaksana IMRP 2003 Chicago,
Gord Ashfield dan isteri.
Pengerusi akhirnya mengumumkan -  “After much deliberations by the selection Committee, I hereby declare Kuala Lumpur, Malaysia as the host of out next IMRP conference”. Betul ke apa yang aku dengar ni? Gery Defalco, George West dan Gord Ashfiled, tiga orang sahabat saya yang kuat membantu dalam kerja-kerja membida terus datang ke meja saya untuk mengucapkan tahniah. Betapa bangganya saya rasa apabila dipanggil naik ke pentas untuk memberikan ucapan ringkas apabila nama Malaysia dan Kuala Lumpur diumumkan sebagai pembida yang berjaya. Dari bahagian tengah dewan saya berjalan perlahan ke pentas. Berlatar belakangkan video dari Tourism Malaysia yang dipancarkan ke screen besar pentas, dengan di sinari lampu saya dapat lihat kebanyakan peserta lain berdiri sambil bertepuk tangan dan bersorak tanda setuju dengan pemilihan pengerusi. Wow, “standing ovation”, man.

Saya rasa kebanyakan peserta lain tak sangka akan pemilihan Malaysia tapi bila nama Malaysia di umumkan, mereka rasa amat teruja umpama menyokong bidaan pihak “underdog”. Dalam ucapan ringkas, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada JK pemilih kerana memilih Malaysia. Saya ulangi sekali lagi janji saya untuk memastikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah terbaik dalam sejarah IMRP. Turun sahaja dari pentas saya terus mendapatkan delegasi China dan Jepun untuk bersalam sebagai tanda rendah diri saya. Saya tahu mereka memang amat kecewa pada malam itu. Ketua delegasi Jepunlah yang paling terkejut apabila Malaysia di pilih dan saya sempat bergambar dengan beliau yang bermasam muka kerana “kekecewaan yang amat bersangatan”.
Bergambar dengan ketua delegasi Jepun sejurus selepas KL, Malaysia diistiharkan 
sebagai pemenang. Mak oii, masamnya muka dia.
Saya pergi dari satu meja ke satu meja bagi menerima ucapan tahniah sambil menaikkan gelas berisi coke aksi “yamseng”. Huh, memang bangga sugguh saya. Ini betul-betul satu sejarah yang paling gemilang. Habis pengumuman, majlis tari menari pun bermula. George West dengan isterinya Mrs Browyn antara yang paling mula masuk untuk menari. Saya memerhatikan sahaja. Tak lama lepas itu saya meminta diri untuk balik ke bilik hotel untuk menalipon “boss” saya di KL mengenai kejayaan Malaysia ni. Mungkin dia juga tidak sangka akan kejayaan ini. Esok paginya hampir semua peserta persidangan sudah mengenali saya. Hei, Malaysia – congratulations.
Gambar sahabat baik dan "sifu" saya George West, CEO Steritech, Australia
 dan isteri Mrs Browyn (kanan sekali) sudah bersiap untuk menari.
Itulah cerita saya dalam membida IMRP 2006. Akhirnya Malaysia berjaya dalam mengatur persidangan IMRP 2006 tersebut dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak sebagai perasmi persidangan. Memang betul pun IMRP 2006 telah diiktiraf sebagai IMRP terbaik yang pernah diadakan. Bukan itu sahaja, penganjur SterilGamma berjaya membuat keuntungan lebih RM200,000 dari pengajuran IMRP tersebut. Untuk makluman, semua kerja-kerja penganjuran terdahulu tidak pernah menghasilkan keuntungan, malah kerap sahaja kerugian.

InsyaAllah saya akan sambung di Bahagian 3 nanti mengenai IMRP 2006 di KL dan bagaimana pihak penganjur membuatkan para peserta begitu kagum dengan negara kita, Malaysia.

UnclearEngineer

GAS BATU SYAL – SUMBER TENAGA BARU DUNIA

Satu revolusi dalam pencarian sumber tenaga baru sedang berlaku sekarang. Penggunaan gas yang semakin meningkat dari sumber yang tak pernah dibangunkan secara serius sebelum ini, gas dari batu syal (shale). Apa itu batu syal? Menurut Kamus Dewan, batu syal adalah sejenis batu lembut yang mudah pecah menjadi lapisan-lapisan nipis. Rupa-rupa dalam struktur batu ini banyak terperangkap gas methane yang boleh disedut keluar.

Amerika Syarikat katanya sudahpun berusaha secara bersunngguh-sungguh meningkatkan pengeluarah gas dari sumber batu syal ini. Pada 2000, gas dari batu syal merupakan 1% sahaja dari pengeluaran gas asli Amerika. Diunjurkan pada 2010 akan meningkat kepada 20% dan kepada 50% pada 2035. Ini satu jumlah peningkatan yang amat mengagumkan.

Masalah yang dihadapi oleh lain-lain negara seperti negara-negara Eropah dari memenafaatkan sumber baru ini adalah tentangan NGO alam sekitar terhadap proses “fracking” yang digunakan bagi mengeluarkan gas yang terperangkap dalam formasi bawah tanah batu syal ini.  Konon proses “fracking” ini akan mampu meyebabkan gegaran bawah tanah dan juga pencemaran sumber air.


Antara negara-negara yang mempunyai banyak sumber tenaga dari batu syal ini selain Amerika Syarikat termasuklah China, Peranchis, Rusia, Kanada, German, Australia, Afrika Selatan, Argentina, Mexico dan Ukraine.  Setahu saya Malaysia tak punya sumber batu syal ni dalam jumlah yang banyak.


Jadi bila dah habis simpanan minyak, arang batu dan gas asli, kita nak gantikan dengan apa? Tenaga suria? Neah. Tenaga angin? Neah. Tenaga hidro? Neah. Tenaga nuklear dengan penggunakan bahan thorium (BUKAN uranium) sebagai bahanapi? Mungkin.

Kita biarkan sahaja pembuat polisi memikirkan nya.

UnclearEngineer

Sunday, February 3, 2013

RASUAH DAN PARTI ISLAM

Pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Luthfi Hassan Ishaaq telah disoal siasat oleh Suruhanjaya Penghapusan Rasuan (KPK), Indonesia berhubung kes rasuah import daging lembu. Jurucakap KPK, Johan Budi berkata, penyiasat merampas wang berjumlah satu bilion rupiah (RM306,000) dari sebuah kereta milik pembantu Luthfi.

PKS merupakan antara parti Islam terbesar Indonesia dan mempunyai 3 pemimpin berjawatan menteri dalam kabinet Presiden Bambang Susilo. Tuduhan keatas Luthfi telah mengoncang kredibiliti parti Islam tersebut yang selama ini melaungkan cogankata bersih dari amalan rasuah.  

Menurut Din Syamsuddin, Pengerusi Muhammadiah (kumpulan Islam kedua terbesar Indonesia) kes rasuah membabitkan parti Islam mencetuskan masalah besar kepada umat Islam di negara itu. Katanya, keadaan itu menggambarkan parti Islam TIDAK BOLEH MELAKSANAKAN SEPENUHNYA NILAI ISLAM DALAM KEGIATAN MEREKA. “Tidak hairanlah sekiranya ramai orang berkata, tidak ada bezanya parti Islam dengan parti sekular.
Sebenarnya itu juga yang sedang berlaku di Malaysia. Parti Islam hanya bercakap berdegar-degar untuk menegakkan Islam tapi banyak perkara mungkar yang dilakukan pemimpin dan ahli parti yang tidak secocok dengan amalan Islam sebenar. Kalau tidak ditangani, ini akan meruntuhkan kepercayaan orang Islam terhadap parti Islam dalam jangka panjang.

Apa yang berlaku di Indonesia memberikan kita peringatan bahawa sebelum berkuasa memang senang untuk menuduh parti pemerintah mengamalkan rasuah. Tapi bagaimana bila parti Islam ini menjadi sebahagian dari kerajaan? Contoh di Indonesia adalah sebagai bukti, dalam hal begini Indonesia dan Malaysia sama sahaja……..

UnclearEngineer

Thursday, January 31, 2013

INTERNATIONAL MEETING ON RADIATION PROCESSING (IMRP)

Sesungguhnya “mesyuarat” merupakan nama yang kurang tepat untuk IMRP. IMRP ini sebenarnya sebuah persidangan bagi industri pemprosesan sinaran melibatkan teknologi gama, alur elektron dan x-ray. Ia tersenarai sebagai persidangan terbesar dalam teknologi pemprosesan menggunakan sinaran seantero dunia dan “a must attend” bagi mereka-mereka yang terlibat dalam industri ini. Sesiapa yang belum pernah ke IMRP, maknanya belum lagi sah jadi ahli dalam “kelab” ini.

IMRP pertama telah di adakan di San Juan, Puerto Rico pada 1976 dan sehingga kini sudah 16 kali IMRP ini di adakan di 16 kota besar berlainan. IMRP yang pernah saya hadiri termasuk Istanbul (1994), Anaheim, California (1997), Melbourne, Australia (1999) dan Chicago, US (2003). Kuala Lumpur telah berpeluang menjadi tuan rumah IMRP pada 2006. IMRP terbaharu pula akan di adakan di Shanghai, China pada November 2013 ini.

Kuala Lumpur merupakan satu-satunya bandaraya di Asia selain Tokyo (1980) dan Beijing (1992) yang pernah dipilih sebagai tuan rumah. Bagaimana KL terpilih? Inilah cerita yang mahu saya ceritakan. Cerita mengenai seorang anak Melayu hampir 10 tahun yang lalu terkontang kanting seorang diri di Chicago, Ilinois, USA semasa berlangsungnya IMRP 2003 berusaha melawan gelombang bidaan dari Jepun dan China. Akhirnya Jepun dan China tewas dan KL berjaya menjadi tuan rumah yang dikatakan persidangan paling berjaya dalam sejarah IMRP. Tiada niat saya untuk memuji usaha saya tapi inilah sejarah yang perlu di ceritakan kepada semua anak-anak muda terutama yang masih mencebur diri dalam bidang teknologi nuklear ini bahawa Malaysia mampu melakukannya jika kita mahu!

Masih teringat saya akan peristiwa di IMRP 2003 Chicago, Amerika Syarikat. Saya telah di arahkan supaya membuat bidaan untuk membawa IMRP 2006 ke Kuala Lumpur, Malaysia. Masaalahnya saya merupakan delegasi solo Malaysia ke persidangan di Chicago tersebut dan ini sudah tentu merupakan satu kerja yang amat berat untuk menyakinkan tuan rumah dan delegasi lain yang datang dari seluruh dunia untuk memilih Malaysia. Semasa bertolak saya masih tak mengetahui siapakah lagi negara yang akan membuat bidaan. Yang saya difahamkan pihak industri mahu IMRP 2006 selepas Chicago di adakan di Asia pula.

Dari Kuala Lumpur lagi saya sudah bersiap sedia dengan segala bahan yang akan saya gunakan untuk meyakinkan jawatankuasa pemilih hos baru (New Host Selection Committee) di Chicago nanti. Persembahan audio dan video telah saya sediakan dengan pertolongan kawan-kawan di Malaysia. Saya bawa cenderhati sebanyak mungkin dari Malaysia sebagai usaha memperkenalkan Malaysia kepada perwakilan yang hadir nanti. Setiap ahli jawatankuasa pemilih dibekalkan dengan beg yang tertulis nama peribadi dan dipenuhi dengan semua dokumen bidaan serta brosur mengenai Malaysia terutama Kuala Lumpur. Semuanya saya angkut dalam baggage saya. Pengalaman saya sebagai ahli jawatankuasa pemilih host baru di IMRP Melbourne (1999), saya jadikan sebagai rujukan. Saya pastikan semua yang perlu telah saya sediakan. Hanya persembahan oral saya di depan jawatankuasa pemilih yang akan menjadi penentu kejayaan.

Mendapatkan visa ke US bukan sesuatu yang mudah pada masa tersebut terutama selepas berlakunya peristiwa 9/11 (2001) dan pengeboman di Bali, Indonesia yang berlaku hanya setahun sebelumnya. Saya telah ditanya soalan berulang-ulang kali oleh Pegawai Konselar di kedutaan US di Kuala Lumpur. Mereka mahu pastikan bahawa jurutera nuklear dari Malaysia ini mempunyai sebab yang sah untuk menghadiri persidangan melibatkan teknologi nuklear di Chicago ini. Setelah sebulan lebih menanti, akhirnya visa saya di luluskan. Saya bertolak ke Chicago dengan penuh debaran. Boleh kah saya lakukan semua ini seorang diri?

Setelah melalui pemeriksaan ketat semasa transit di Lapangan Terbang Los Angeles, saya akhirnya sampai di Chicago pada waktu malam. Saya ambil limosin lapanganterbang dari O’Hare Airport ke Fairmont Chicago Hotel. Memang sejuk dan berangin kota Chicago ini. Patutlah Chicago di gelar sebagai  “the Windy City”. Setelah beberapa hari di Chicago barulah saya tahu bahawa China dan Jepun adalah negara Asia yang juga berminat untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan tahun 2006 tersebut.

Keesokannya setelah medaftarkan diri saya terus mencari rakan-rakan dari negara-negara lain yang saya kenali sejak saya menghadirkan diri di IMRP-IMRP yang lalu. Orang nombor satu yang saya cari ialah “sifu” saya George West dari Australia. Saya mengenali George West sejak 1989 apabila dia menjadi pensyarah saya dalam satu kursus yang saya hadiri di Bangkok, Thailand.  Saya banyak bertanya dengan dia dan akhirnya saya menjadi “best participant” bagi kursus tersebut. George West amat kagum dengan kesungguhan saya mahu belajar sebanyak mungkin dari dia. Sejak itu saya dan George West menjadi rakan karib. Pernah satu hari dia menyampaikan hasrat mahu “join” syarikat saya. Di Austrlia dia merupakan CEO, Steritech – syarikat pemberi perkhidmatan sterilisasi terbesar di Australia (3 logi di Melbourne, Sydney dan Brisbane). Kemudian saya cari Gery Defalco dan Gordon Ashfiled dari MDS Nordion, Kanada. Saya mengenali mereka berdua ni sejak 1988 apabila berurusan mengenai pembelian dan pemasangan logi SINAGAMA di Agensi Nuklear Malaysia (dulunya di kenali sebagai PUSPATI) dan seorang lagi Eric Beer, jurutera mekanikal yang berkerjasama dengan saya merekabentuk logi gama di Rawang, Selangor. Keempat-empat mereka bersetuju nak membantu saya dalam kerja-kerja melobi.

Saya dengan bantuan rakan dari Australia dan Kanada mula bertemu dengan semua peserta persidangan. Sasaran utama saya adalah mereka-mereka yang tergulong sebagai “captians of the industry” – CEO, SVP, VP dan pengurus kanan syarikat. Setiap waktu rehat dan “coffee break” saya gunakan untuk berjumpa dengan peserta-peserta sebanyak mungkin sambil memperkenalkan diri saya, negara saya Malaysia dan hasrat saya mahu mendapatkan sokogan bagi menjadi Kuala Lumpur sebagai hos akan datang IMRP. Begitu juga dengan keempat kawan saya.  Saya beruntung kerana ramai dari peserta negara lain telah mengenali saya sebab dalam beberapa persidangan-persidangan terdahulu saya selalu dipilih mempengerusikan sesi perbincangan dan pembentangan kertas kerja selaian dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pelaksana. Cuma mereka jarang dapat bercakap dengan saya secara peribadi. Selama seminggu persidangan berjalan, di sebelah malamnya akan ada sahaja majlis makan malam yang dihoskan oleh para syarikat penaja. Disini juga saya tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan rakan-rakan dan melobi. Selepas selesai makan malam, terdapat banyak majlis minum-minum santai di bilik-bilik persendirian di aras eksekutif hotel. George West dan Gerry Defalco menjadi perantara saya untuk saya meyelinap masuk ke bilik-bilik persendirian ini. Masha Allah, banyak sangat minuman keras dan mereka-meraka yang dijemput ini akan minum berbual sampai mabuk sebelum balik semula ke bilik masing-masing untuk tidur.  Demi untuk menjayakan bidaan Kuala Lumpur saya terpaksa bersama-sama mereka sambil berbual-bual dan melayan kengkawan yang ada setengahnya sudah pun mula mabuk. Ramai juga peserta persidangan yang saya jumpa dan bersalam dengan cara ini. Rupa-rupanya mereka amat menghargai usaha saya ini dan memberikan galakan kepada saya untuk terus berusaha sampai KL berjaya.

Gambar sekitar IMRP 2003 di Chicago, Ilinois, USA.

Tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Sebelah pagi sebelum “Gala Dinner” diadakan maka jawatankuasa pemilih akan memanggil semua yang berminat membida untuk ditemubual oleh ahli jawatankuasa. Yang pertama masuk adalah pembida dari Jepun, kedua Malaysia dan akhir sekali China. Cara nombor temubual di atur, saya sudah merasa bahawa jawatankuasa mungkin lebih memihak kepada Jepun. Saya mula berkira-kira apa yang akan saya cakapkan di depan jawatankuasa nanti. Satu soalan yang pasti mereka mahu tahu adalah tentang situasi keselamatan di Malaysia. Ada di antara peserta dari Amerika Syarikat dan Eropah bimbang tentang keselamatan masing-masing semasa di KL nanti. Mereka memberikan contoh peristiwa pengeboman di Bali, Indonesia.

Lama juga pembida dari Jepun berada di bilik temubual, mungkin lebih dari sejam, agaknya. Akhirnya pintu bilik terbuka dan pembida Jepun terus keluar tanpa menyapa saya. Ah, sombong juga depa ni. Tanpa senyum mereka terus berlalu pergi. Pintu masih tertutup untuk beberapa ketika. Mungkin ada perbincangan pendek oleh ahli jawatankuasa. Kemudian terdengar suara menjemput saya masuk. Jeng, jeng, jeng……… masaklah kau Yaziz di”provoke” dengan soalan panas AJK pemilih. Bagaimana saya tahu? Saya tahu kerana 4 tahun terdahulu, saya adalah salah seorang AJK pemilih di IMRP Melbourne yang memilih Paris sebagai kota pilihan. Soalan provokasi saya telah menyebabkan pembida dari Brazil naik angin bila Paris diumumkan sebagai pemenang.

Saya berjalan masuk ke bilik temubual dengan tenang (walaupun dalam hati hanya Allah sahajalah yang tahu). Terus saya pasangkan komputer saya ke LCD sebelum memperkenalkan diri. Setiap meja AJK pemilih saya letakkan satu beg berisi semua dokumen bidaan dan brosur bagi memperkenalkan Malaysia. Semua terkejut bila setiap beg telah saya jahitkan nama penuh masing-masing lengkap dengan cadangan logo IMRP Kuala Lumpur. Kemudian saya mainkan video dari Tourism Malaysia bagi memperkenalkan Malaysia secara ringkas. Persembahan “power point” pula amat memberangsangkan mereka. Saya sebagai wakil Malaysia telah menjanjikan yang terbaik kepada setiap peserta dan pengalaman di Malaysia yang tak akan mereka lupakan. Saya juga berjanji untuk menjemput Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri untuk merasmikan persidangan tersebut. Apabila masa soalan tiba maka soalan cepumas pun diajukan. How safe is Malaysia do you think? Saya katakan Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang berasingan walaupun kami berjiran. Kegiatan pengganas terhad di Malaysia dan tiada pengeboman berlaku di Malaysia sejak sekian lama. Pihak keselamatan Malaysia amat professional dalam menangani kes melibatkan keselamatan negara. Malaysia lebih proaktif dalam kerja-kerja perisikan dan berjaya membendung banyak perancangan pengganas lama sebelum para pengganas ini berjaya melakukannya. Yang menghairankan, banyak dari AJK pemilih menganggap Malaysia dan Indonesia serupa umpama sebuah negara yang bersatu. Penerangan saya beri nampaknya dapat di terima ahli Jawatankuasa. Selepas tidak ada lagi soalan, saya terus mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk membida bagi Malaysia dan saya berjanji sekali lagi untuk menjadikan IMRP Kuala Lumpur sebagai IMRP paling baik pernah dianjurkan.

Selepas keluar dari bilik saya terus balik ke bilik hotel saya sambil tertanya-tanya. Mampukah saya tadi meyakinkan jawatankuasa pemilih bahawa bidaan Malaysia lebih baik dari Jepun?

(bersambung di bahagian 2)

UnclearEngineer

Monday, January 28, 2013

RASUAH – BAGAI MEMBUKA PEKONG DI DADA (BAHAGIAN 1)

Kesimpulan dari tinjauan terbaharu UMCEDEL, Universiti Malaya – Orang Cina memilih Pakatan Rakyat sebab PR sanggup mengenepikan Islam dan hak istimewa orang Melayu. Orang Melayu pula memilih Pakatan Rakyat sebab mereka mahu menghapuskan rasuah hatta jika mereka terpaksa mengorbankan Islam dan bangsa sendiri.

+++++++++++++

Begitulah muaknya sesetengah orang Melayu dengan gejala rasuah yang dilihat terus bermaharajalela. Sampaikan mereka sanggup untuk mengorbankan bangsa mereka sendiri jika itulah yang akan mampu menghapuskan gejala rasuah ini. MasyaAllah, amat bahaya pemikiran sebegini bagi saya. Umpama kata orang tua-tua kita dulu – “marahkan nyamuk, kelambu habis kita bakar” walaupun sedar bahawa kita tidak punya wang lagi untuk membeli kelambu baru. Akhirnya semua kena demam denggi.

Benarkah rasuah dah merebak luas hingga menjadi penyakit kronik negara?

Jawapan ikhlas saya, dari apa yang saya lalui lebih 20 tahun dalam kerjaya saya, memang ada kebenaran akan tuduhan tersebut. Tetapi jika dibandingkan dengan apa yang berlaku disekeliling kita, saya percaya di Malaysia rasuah masih dijalankan dalam sembunyi-sembunyi dan belum lagi menjadi penyakit kronik. Hanya mereka serta mangsa yang terlibat sahaja yang tahu. Sedangkan di sesetenggah negara, ianya sudah merebak secara terang-terangan.
Kalau diandaikan sebagai barah, barah rasuah di Malaysia masih di tahap 2. Masih boleh sembuh jika diberikan rawatan yang bersesuaian.

Kalau ditanya mereka yang terlibat dalam perniagaan, memang ramai antara mereka yang mengakui terlibat dalam gejala sebegini. Sesetengahnya terlibat dalam keadaan terpaksa tapi tak kurang juga antara mereka adalah pemberi rasuah paling ikhlas.

Satu masa dulu saya pernah terlibat dalam pembinaan kilang dan kerenah birokrasi kadang-kadang hampir-hampir menyebabkan saya rasa mahu “give up”. Untuk mendapatkan kelulusan membina dan selepas projek siap, untuk mendapatkan sijil layak menduduki (CF) boleh jadi satu masalah besar jika permohonan gagal dilincirkan dengan wang. Ini sebuah rahsia yang semua peniaga tahu. Malah untuk menjadi seorang usahawan besar dan berjaya, antara kebolehan yang perlu dipelajari “to perfection” adalah seni “kau garu belakang aku, aku garu belakang kau”.
Mungkin golongan pembangkang yang membenci rasuah hanya menuduh rasuah ini kerja kakitangan kerajaan sahaja. Salah besar tu. Di sektor swasta, rasuah juga berlaku dengan rancak malah mungkin lebih hebat lagi. Disebabkan ia melibatkan wang syarikat dan tidak melibatkan wang rakyat maka penyakit ini di sektor swasta tidak menjadi satu kemarahan orang ramai. Mungkin ada yang tak tahu bahawa terdapat kakitangan institusi kewangan yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman meminta “upah” berapa peratusan dari jumlah pinjaman yang diluluskan untuk sesuatu projek. Kalau tidak, projek tak dapat dilaksanakan sebab ketiadaan sumber pembiayaan. Kadang-kadang kakitangan ini akan merekomen sesetengah juruperunding bagi menyediakan kertas kerja serta mengisi borang permohonan yang kononnya akan mengikut format yang dikehendaki bank. Sudah tentu khidmat ini perlu dibayar dan saya yakin pegawai bank akan dibayar juga oleh juruperunding akhirnya sebagai “membalas budi”.

Pemberian hamper semasa perayaan memang dah jadi lumrah dalam sektor swasta malah yang rajin menghantar hamper ke rumah pegawai-pegawai kerajaan juga adalah syarikat-syarikat swasta. Ada tu bersama hamper ada “angpow” lumayan untuk anak. Pandai depa ini, kerana takut diistilahkan rasuah jika di berikan pada bapa maka angpow tersebut disasarkan kepada anak pula.

Cukup setakat ini dulu. Saya akan menulis pengalaman peribadi saya dalam menghadapi gejala rasuah sebagai kakitangan kerajaan selama 13 tahun dan di sektor swasta selama hampir 20 tahun dalam Bahagian 2 nanti, insya Allah.

UnclearEngineer

Tuesday, November 6, 2012

PEMBERI PERKHIDMATAN INTERNET – JANJI DITEPATI?

Hari ini masuk 4 hari perkhidmatan internet  rumah ku terganggu. Amat memeritkan terutama bagi manusia seperti aku yang banyak membuat kerja di rumah dan memerlukan sambungan internet untuk menghantar dan menerima fail serta membuat carian melalui google.

Apa sebenarnya masaalah depa ni? Dunia makin maju dan di negara luar perkhidmatan internet  semakin bertambah laju dan canggih tapi di Malaysia kita masih lagi bergelut dengan masaalah sambungan internet yang tak konsisten. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada. Terutama bila musim hujan macam waktu sekarang ni.
Pendawaian berserabut di tiang telefon. Saya jumpa pendawaian begini di Ho Chi Minh City,
Vietnam baru-baru ini. Sekurang-kurangnya kat Malaysia tak macam ni.

Ada satu syarikat tu, sanggup lancarkan satelit baru. Selepas ini katanya perkhidmatan TV berbayar syarikat tersebut akan bertambah baik, tapi bila hujan turun, kualiti siaran terus “hilang” juga. Baru baru ini syarikat telah membuat penyenaraian IPO kat Bursa Malaysia. Padan muka bila harga saham pada hari pertama tidak langsung memenuhi sasaran. Kalau asyik menipu sahaja, lama-lama orang dah tak percaya walaupun macam mana di”goreng” penganalisis.

Katanya bahawa Malaysia diantara negara di mana bayaran bagi perkhidmatan internet  adalah antara  yang tinggi di dunia. Dah tu kenapa jadi macam ini? Kalau dulu syarikat telco merupakan jabatan kerajaan tetapi selepas di swastakan pun perubahan mendadak seperti yang diharapkan rakyat tidak juga berlaku. Masa Telekom tahun awal 1980an dulu memanglah tak efisient langsung. Perkhidmatan hanya diberikan selepas beberapa bulan di buat permohonan. Walaupun kini masa pemasangan boleh di katakan cepat tapi dari segi kualiti lain masih dengan “buat kerja cara lama”, cara kakitangan gomen.

Sebuah syarikat telco GLC telah terpilih untuk diberikan peluang memasang sistem perkhidmatan inernet  jalur lebar berkelajuan tingi. Selepas lebih 2 tahun dilancarkan, perkhidmatan ini masih lagi tak sampai ke pusat penduduk di luar Kuala Lumpur. Semalam aku bertanya dengan kakitangan kaunter syarikat telco tersebut , bila perkhidmatan tersebut akan sampai ke Rawang. Sambil tersenyum, dia memberitahu tak tahu lagi. Terus sahaja saya sindir dia. Nasib baiklah di Malaysia, kalau kat negara lain syarikat ini boleh bungkus terus. Ade ke menasabah syarikat yang mementingkan untung melenggah-lenggahkan perkhidmatan yang akan memberikan pulangan yang lebih baik lagi dari segi pendapatan dan juga keuntungan syarikat? Berniaga tak mahu untung dan ini nmungkin berlaku di Malaysia ataupun di sesetengah negara Afrika sahaja!

Galak juga ku baca sumpah seranah kawan-kawan facebook mengenai perkhidmatan internet di tempat masing-masing (syarikat GLC mahupun bukan-GLC pun sama). Aku juga nak ikut memaki macam mereka tapi tak tergamak nak buat sebegitu rupa. Mungkin jika ada syarikat baru yang lebih responsif kepada komplen pelanggan, mahu sahaja aku beralih angin dari syarikat perkhidmatan yang ku gunakan sekarang.

Memang ada yang tak kena dengan mentaliti sesetengah orang-orang berniaga kat Malaysia ni. Pelik-pelik belaka. Nak buat perniagaan tapi masih menganggap pelanggan sebagai peminta sedekah. Kata-kata “pelanggan di utamakan” hanya sebagai kata-kata slogan yang di gantung di dinding Bilik Mesyuarat Lembaga (Board Room) sahaja. Slogan untuk tontonan tanpa ada komitmen yang serius oleh kakitangan dan pihak pengurusan atasan untuk melakukannya. Sementara itu pelanggan seperti aku terpaksalah menunggu sehingga “masaalah teknikal” dapat di atasi. Yang bagusnya, bayaran bagi 4-5 hari perkhidmatan tergendala itu masih dicaj kepada pelanggan. Amboi, pandai betui otak penipu korang je. Bab ini memang dia orang semua pakar. Makan duit haramlah tu.

Hampir hilang sabar aku dah. Oi, bila lagi kamu semua nak berubah, hah? Lahabau betullah kau orang.

UnclearEngineer.

Monday, October 29, 2012

MEMBEBEL SELEPAS AIDULADHA. ISLAM NAK KE MANA?


Minggu ni banyak cerita sambutan hari raya haji dan pengorbanan. Jem lebuhraya sehingga ke pagi isnin. Huh, hebat umat melayu Islam Malaysia ni dengan limpah ruah rezeki yang Allah berikan. Di luar sana bagaimana keadaan negara dan orang Islam penduduknya?

Sebelum ini ada saya cerita pasal negara Mali yang hampir ke arah huru hara, meniru Somalia. Sebelum itu lagi Syria berbunuhan sesama sendiri. “Musim bunga Arab” memporakperandakan Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen. Sudah kedengaran pula Jordan apabila diadudombakan penduduk Palestin dan kaum Badawi penyokong kerajaan beraja Hashimite.

Paling dekat dengan kita, perbalahan di Mindanao, Filipina yang nampak semakin menghampiri jalan penyelesaian. Eh, belum lagi sebab ada lagi kumpulanyang konon Islam masih lagi menganas. KumpulanAbu Sayaf? Selatan Thai pula yang hanya menunggu masa untuk meledak.

Di Pakistan, pagi tadi dalam berita di TV ada cerita tentang bom yang meledak di sebuah makam menyebabkan kematian. Kalau iapun nak menghalang kurafat, tak ada ke jalan lain yang lebih baik? Yang dibom masjid dan membunuh jemaah yang sedang solat subuh tu apa pula justifikasi mereka? Oh ya, jangan lupa pasal dua bakal pengebom berani mati dari Malaysia yang ditangkap di Lebanon. Berita yang kita dengar dan baca kebanyakan nya mengenai orang Islam. Semuanya mengenai kekecohan yang tak berkesudahan.

Agaknya kalau perkara ini berterusan 10 tahun lagi, bagaimanakah kedudukan Islam dan ummahnya di dunia ini. Ada ke orang yang memikirkan tentang ini? Ramai, tapi “ada aku kisah”. Silap haribulan Malaysia pun akan jadi bahan berita bila gulongan Islam majoriti merasa tidak puas hati di tindas oleh gulongan bukan Islam minoriti.

Kalau saya anak muda Islam yang ikhlas mencari kebenaran dalam Islam maka saya akan mula bertanya. Betul kah Islam bermakna selamat, sejahtera atau damai selain tunduk atau patuh? Melihat apa yang berlaku di seluruh dunia (melainkan di Kutub Utara dan Selatan sebab di situ tak ada orang Islam) maka tak nampak pun selamat, sejahtera dan damainya. Yang ada hanya pergaduhan dan perpecahan sehingga menjadi beban kepada masyarakat agama lain. Maka jika banyak yang kecewa dan lari dari agama ini dan yang menjadi murtad, maka siapa lagi yang mahu kita persalahkan? Kita orang-orang tua (termasuk ustaz dan ulama) yang konon tahu tentang agama Islam tapi tak menunjukkan contoh yang  baik sebagaimana yang kita ucapkan sehingga menyebabkan ramai yang keciwa. Kalau tak percaya pergi baca blog Melayu murtad dan lihat apa yang mereka tulis yang menyebabkan mereka menjadi begitu. Bagi saya orang Islam telah gagal menterjemahkan Islam sebenar dalam mencari keredhaan Allah dalam keseimbangan kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Kenapa ayat-ayat Quran yang menyeru kepada perpaduan ummah tak mampu membuatkan pemimpin-pemimin kita bersatu ke arah barisan yang satu? Betul ke kita beriman dengan AlQuran atau kita orang Islam hanya “as usual” hanya pandai menanam tebu di bibir sahaja?

Tak kuasa nak berfikir lagi. Siapalah saya yang berani menulis sebegini. Saya berhenti di sini nampaknya. Salam.

UnclearEngineer

Saturday, October 20, 2012

REAKTOR PEMBIAK NEUTRON LAJU (FAST BREEDER REACTOR) – TEKNOLOGI MASA DEPAN.

Prototype Fast Breeder Reactor (PFBR) yang sedang dibina oleh India. Dibangunkan oleh Indira Ghandi Center for Atomic Research (IGCAR) di Kalpakkam, Tamil Nadu.
Sebenarnya masih banyak tentang teknologi penjanaan tenaga letrik menggunakan kaedah nuklear yang tak di ketahui umum. Banyak penyelidikan yang telah dilakukan oleh saintis dan jurutera dari serata dunia dalam membangunkan teknologi nuklear yang lebih canggih. Kalau perkataan inovasi merupakan perkataan popular pada 1940-1950an, maka teknologi nuklearlah yang paling banyak menghasilkan inovasi saintifik pada  masa itu.

Mungkin kita dah tahu serba sedikit tentang teknologi paling asas tindakbalas pembelahan nuklear (nuclear fission) menggunakan U-235 sebagai bahan bakar. Dalam teknologi ini bahan U-235 akan di”bakar” dalam teras reaktor bagi mengasilkan haba yang akhirnya digunakan bagi menghasilkan wap yang mampu menjalankan turbin bagi menjana tenaga letrik. Ini cara konventional dan masih digunakan secara berleluasa masakini.

Selain “fission”, para saintis juga telah berjaya menghasilkan tenaga melalui melalui “fusion”. Tindakbalas “fusion” dikatakan lebih baik sebab bahanapi yang digunakan adalah atom hidrogen (semua negara boleh mengeluarkan hidogen) bukan uranium dan menghasilkan bahan buangan yang tidak beradioaktif tinggi sehingga senang untuk dilupuskan. Tetapi teknologi ini terlalu sulit untuk disempurnakan dan sehingga kini jauh dari tahap kesempurnaan. Di atas kertas dengan mengambilkira teori dan pengiraan, ianya boleh dilakukan tapi secara praktisnya, ia merupakan satu cerita lain.

Tapi satu inovasi teknologi nuklear yang paling menarik ialah teknologi “fission” yang menghasilkan tambahan lebih banyak bahanapi. Cakap paling senang, lagi kita bakar, lagi banyak banahanapi yang akan kita hasilkan. Teknologi ini dikenali sebagai teknologi “breeder” atau pembiak. Dalam teknologi pembiak ini, plutonium atau uranium-233 yang terhasil dari tindakbalas pembelahan dalam teras reaktor akan dapat pula digunakan sebagai bahanapi untuk reaktor lain. India adalah antara negara yang paling aktif dalam penyelidikan ini kerana teknologi ini boleh menggunakan bahan thorium untuk diubah menjadi uranium-233 yang kemudiannya boleh digunakan sebagai bahanapi seterusnya. India diketahui mempunyai banyak simpanan thorium dan ini merupakan sebab kenapa minat tinggi India dalam teknologi sebegini. Selain India, China dan Malaysia juga punya banyak simpanan bahan thorium. Masih ingat kes nadir bumi , Asian Rare Earth di Ipoh? Bahan buangan yang disimpan adalah merupakan simpanan strategik bahan thorium Malaysia! Jika pada masa depan Malaysia mengambil jalan teknologi pembiak (breeder) ini, nescaya kita tidak perlu lagi mengimport bahanapi thorium yang diperlukan. Sebab kita ada banyak bahan ini yang disimpan di Banjaran Titiwangsa.

Rajah memperlihatkan bagaimana reaktor pembiak neutron bekelajuan tinggi (FBR) menggunakan
cecair sodium  sebagai bahan penyejuk.
Paling menarik mengenai reaktor jenis ini adalah bahan penyejuk yang digunakan. Air merupakan bahan penyejuk popular tetapi dalam teknologi “fast breeder”  ini, gas (helium) dan juga cecair logam (sodium dan pelambam) digunakan sebagai bahan penyejuk! Really mind boggling.

Penyelidikan teknologi “breeder” telah lama bermula sejak tahun 50an lagi di Amerika Syarikat, United Kingdom, Peranchis, bekas USSR, India dan Jepun. Walau bagaimana pun di sebabkan penentagan orang ramai yang meningkat di Amerika Syarikat dan Eropah maka banyak kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan reaktor jenis ini telah diberhentikan kerana kekurangan sumber pembiayaan. Hanya India dan mungki juga China yang diketahui masih meneruskan usaha-usaha pembangunan teknologi ini.
India pada masa ini sedang membangunkan sebuah protaip reaktor ini dikenali sebagai Prototype Fast Breeder Reactor (PFBR) berkuasa 500 MWe di Kalpakkam, India. Setakat ini hampir 56 billion Rupees telah dibelanjakan. PFBR di Kalpakkam ini menggunakan U-238 sebagai bahanapi bagi menghasilkan lebih banyak bahan “fissile” dan sodium sebagai bahan penyejuk. Penggunaan cecair sodium menambah satu lagi kesulitan teknikal disebabkan sodium diketahui akan meletop jika bersentuhan dengan air dan mudah terbakar bila bercampur dengan udara.

Dalam perbincangan dengan sahabat-sahabt yang terlibat dalam progran nuklear Malaysia, option “thorium fuel cycle” ini juga telah menarik minat beberapa pemimpin negara. Eloklah tu. Dengan ini saya ingin syorkan supaya satu program tersusun dibina untuk penyelidikan dan pembangunaan teknologi FBR (fast breeder reactor) ini. Lebih baik lagi jika satu kerjasama penyelidikan dijalin dengan India dan China secepat mungkin.

Berikut adalah senarai “Fast Breeder Reactor- FBR”  yang sedang beroperasi dan sedang dibina di seluruh dunia:-

BN-600, 1981 –masih beroperasi, Rusia
FBTR, 1985, 10.5 MWt, India
China Experimental Fast Reactor, 65 MWt, 2009
Joyo, Japan, 2003
Monju Reactor, 300 MWe – masih beroperasi
PFBR, Kalpakkam, India, 500 MWe – masih dalam pembinaan
BN-800, Rusia – masih dalam pembinaan

Nota: Kalau dilihat semuanya berada di Asia dan Rusia TIDAKdi Amerika Syarikat mahupun Eropah.

Mahu tahu lebih lanjut mengenai “sodium cooled fast bredeer reactor “ (PFBR) ini, sila lawat http://en.wikipedia.org/wiki/Sodium-Cooled_Fast_Reactor 

UnclearEngineer

Friday, October 19, 2012

TEMPAT RAHSIA DI CELAH BANJARAN GUNUNG


Los Alamos National Laboratory (LANL) dibangunkan semasa perang dunia ke 2 sebagai kemudahan rahsia bagi menyelaras kerja-kerja penyelidikan saintifik pihak Berikat untuk membangunkan senjata nuklear. Semasa Projek Manhatan, LANL menjadi tempat di mana beribu-ribu kakitangan termasuk beberapa orang  saintis pemenang Hadiah Nobel melakukan penyelidikan. J Robert Oppenheimer merupakan pengarah pertama makmal. Beliau bersama Enrico Fermi (seorang saintis berasal dari Itali) telah dinobatkan sebagai “bapa bom atom”.

Kedudukan LANL  ini merupakan satu lokasi rahsia berdekatan sebuah pekan kecil yang di kenali sebagai Santa Fe sehinggakan alamat bagi surat menyurat hanyalah Peti Surat 1663, Santa Fe, New Mexico.  Selalunya tapak makmal sebegini terletak jauh terpencil  dan tersorok sehingga menyukarkan mereka-mereka yang tak berkenaan untuk sampai.

Selain LANL, Amerika Syaraikat mempunyai beberapa lagi lokasi dalam projek pembangunan senjata nuklear antaranya di bawah stadium  di Universiti Chicago, Lawrance Livermore National Laboratory (LLNL) dan sebuah lagi makmal yang dikenali sebagai Argonne National laboratory. Di bawah stadium inilah dibina reaktor pertama di dunia yang dikenali sebagai “Chicago Pile (CP-01)” yang berjaya buat pertama kalinya pada 2 Disember 1942 menghasilkan tindakan berantai terkawal. Dari ujian inilah akhirnya dibina beberapa reaktor pengeluaran plutonium (plutonium production reactor) yang menghasilkan bahan mentah untuk bom nuklear Amerika Syarikat. Jurulatih saya semasa saya menuntut  di Oregon State University Radiation Center, Bill Carpenter merupakan salah seorang mantan pengendali reaktor jenis ini. Untuk  makluman, “production reactor’ merujuk kepada reaktor yang dibina hanya untuk pengeluaran plutonium bagi pembuatan bom atom semata-mata.

40 tahun kemudian pada 1982, tindakan berantai nuklear pertama di bumi Malaysia berlaku di Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI), Bangi, Selangor. Saya adalah antara mereka yang terlibat dalam melakar sejarah ini.
Di China juga mereka mempunyai kemudahan penyelidikan senjata nuklear serupa yang terletak di Malan Base, sebuah kawasan terpencil  di kawasan bergurun, Xinjiang. Lima puluh tahun dulu, beribu-ribu saintis China di kerah untuk berkerja dan memerah otak bagi memastikan keseimbangan strategik dalam kekuatan ketenteraan China dengan negara jiran terutama Rusia dan Amerika Syarikat. Cuma di China aktiviti penyelidikan di makmal ini sudah lama di berhentikan dan khabar terkini kerajaan China akan cuba menukar tapak ini sebagai satu tempat tarikan pelancungan.

Saya pernah sampai ke Los Alamos National Laboratory ini pada tahun 1983 sebagai mewakili Malaysia dalam satu latihan melibatkan bahan nuklear. Kerja apa yang saya buat dan pelajari di sana? Hehehe, tak boleh cerita, rahsia…… 

UnclearEngineer

Wednesday, October 17, 2012

MENIMBA PENGALAMAN DI KOTA BUDAPEST

Terjumpa lagu ini “ I just call to say I love you” nyanyian Stevie Wonder.  Teringat penghujung tahun 1984 di kampus Technical University Budapest, Hungary. Berkursus anjuran IAEA (Internatioanal Atomic Energy Agency) dengan pensyarah-pensyarah terdiri dari professor Universiti Teknikal Budapest (UTB). Rakan sekursus dari sekumpulan pakar nuklear dari seluruh dunia dan berkursus selama 4 bulan. Dalam kesunyian meninggalkan isteri dan keluarga di tanah air, saya selalu mainkan lagu ini sebagai hiburan. Masa tu nak masuk telefon tak semudah sekarang. Jadi perhubungan dengan Malaysia hanya dengan surat aerogram sahaja. Selain lagu Stevie Wonder, saya juga suka dengar lagu “Light my fire” nyanyian Jose Feleciano dan lagu-lagu Endang S Taurina (Hujan datang lagi) serta Hetty Koes Endang (Hati lebur jadi debu). Memang shahdu beb senikata lagu-lagu ni. Hanya mereka yang berjauhan dengan orang tersayang lebih 4 bulan yang tahu sebuah kerinduan sehebat ini. Kaset  inilah yang saya putar berulang kali selama 4 bulan itu sampai naik kusai. Perlu dingat, saya masa itu baru berumur 29 tahun. Huhuhu, bujang (sementara) trang tang tang di bumi orang, bersendirian tanpa keluarga.


Cerita bermula bila saya menjejakkan kaki ke kota Budapest pada  8 September 1984. Sebagai sebuah negara komunis (negara setelit Rusia), banyak yang tak saya ketahui tentang negara bernama Hungary ini. Negaranya terletak di tengah-tengah benua Eropah.  Hampir-hampir sama keluasan tanah dengan Malaysia dengan jumlah penduduh juga hampir serupa. Tapi Hungary ni ada kelebihan. Walaupun kecil tapi punya keupayaan teknikal yang amat tinggi. Sebagai sebuah negara komunis pada masa itu, tukaran wang asing amat terhad menyebabkan negara tidak dapat membeli peralatan canggih dari luar. Tapi itu tak menjadi halangan bagi mereka kerana mereka berusaha untuk membuat sendiri peralatan nuklear yang mereka perlukan. Ditengah-tengah kampus universiti ini terletak sebuah reaktor penyelidikan yang direka, di bina oleh professor-professor dan jurutera universiti menggunakan bahan dan teknologi tempatan. Memang hebat.
Kampus Technical University Budapest berhadapan dengan Sungai Danube dan di sebelah belakangnya kawasan berbukit. Bungunan lamanya memang cantik.
Menaiki teksi ke kampus universiti untuk mendaftar, saya melalui jalan raya yang bersih dan agak lengang dengan kereta. Sesuatu yang saya perasan, bangunan di Kota Budapest ini nampak macam “tidak ceria” dengan kebanyakan bangunan dicat warna kelabu hitam. Kereta pula banyak kereta yang diguna pakai di Rusia dan model paling banyak jenama  jenis Skoda. Disebabkan saya lambat sampai dari peserta antarabangsa yang lain, saya telah ditempatkan di sebuah flat yang agak jauh sedikit dari pusat bandar dan kampus universiti. Murung saya bila mengenangkan nya. Orang Hungary tidak begitu pandai berbahasa Inggeris dan sudah tentu komunikasi dengan mereka agak terhad. Kalau duduk 4 bulan macam ni, boleh jadi gila saya nanti, kata hati saya. Tapi tak apa, saya check in di flat yang telah ditentukan terlebih dahulu. Tahulah saya mencari flat lain nanti. Memang benar selepas dua minggu saya berpindah ke sebuah flat yang terletak disebelah kampus tapi berkongsi pula dengan seorang jurutera dari India. Maka bermulalah dilema saya tinggal dengan jurutera India ini. Ini cerita ibarat keluar dari mulut harimau masuk pula ke mulut naga.

Rakan satu flat saya seorang jurutera nuklear dari India. Dia kasta Brahmin dan dia tak makan daging, katanya. Jadi bila makan kena berhati-hati walaupun masak ikan, dia akan komplen. Pada hari sabtu, kalau saya teingin nak masak ikan, saya terpaksa mencuri-curi terutama semasa dia tak ada di flat kerana buat kerja di makmal. Selepas masak, makan cepat-cepat dan basuh pinggan mangkuk serta periuk sebelum dia pulang. Tapi macam mana pun saya sorok dia masih dapat menghidu bau masakan dan mukanya akan jadi masam mencuka untuk beberapa hari. Untuk makluman pada hari biasa saya akan makan di kefeteria universiti. Selalunya lauk ikan dan sayur sahaja.


Sedikit demi sedikit saya belajar tentang sistem kasta dalam agama Hindu ini dari sahabat saya dari India ini. Satu lagi perangai dia yang saya tak boleh tahan ialah bila dia bercerita. Memang tak mahu kalah, semua tentang negara India dan dia sahaja yang terbaik. Sah dia ni tak pernah pergi luar negeri.

Memang dia seorang jurutera nuklear yang hebat dengan teknologi yang tercanggih pada masa tersebut. Dia berkhidmat sebagai jurutera di “sodium coolled fast reactor” (SFR). Untuk makluman pembaca yang bukan jurutera nuklear, breeder reactor merupakan satu tahap teknologi yang lebih kehadapan dari teknologi reaktor komersial yang ada sekarang seperti teknologi PWE atau BWR. Cuba bayangkan pada 1984, India sudah pun membangunkan teknologi ini dan membina rekator tersebut dengan kepakaran sendiri.  Dalam reaktor “breeder”,  bahanapi akan lebih banyak terhasil selagi mana reaktor dikendalikan. Hairan kan? Umpama kereta yang semakin bertambah minyaknya semakin jauh kita pandu. Kalau teknologi “breeder” ini di komersialkan, maka dunia tak akan semudah itu kehabisan sumber tenaganya. Tetapi teknologi ini terlalu komplek dan dengan itu sukar ditawan. Cuba bayangkan bendalir sodium sebagai media yang menyejukkan teras reaktor. Bagaimana nak di kawal bendalir sodium yang bersuhu tinggi ini? Dalam teknologi konvensioanal, air digunakan sebagai penyejuk.

Kawan India saya ini (saya dah lupa nama dia) saya rasa amat jeles dengan saya dari Malaysia ni. Bila lihat dari gambar yang saya tunjukkan dengan dia, saya punyai kereta di Malaysia dan rumah saya nampak mewah, maka dia mula rasa tercabar. Jadi untuk menaikkan ego dia, dia akan cerita semua cerita-cerita paling hebat pasal India dan diri dia. Entah betul entah tidak, wallahualam. Tambah dia naik “jaki” bila saya selalu gunakan pemain mini kaset saya mendengar lagu-lagu yang saya katakan di atas. Agaknya, gaji dia di India terlalu sedikit sehingga tidak mampu nak beli pemain keset mini seperti yang saya punya. Tapi saya tak layan sangat dia, akhirnya dia diam sendiri.  Selepas sekian lama, agaknya kat mana dia sekarang?

Satu karektor yang paling saya tak boleh lupa ialah kawan sekursus dari Iran. Iran pada masa tu sudah di kenali sebagai Islamic Republic of Iran. Saya amat teruja untuk mengenali seorang jurutera nuklear dari Iran ini. Mungkin dia pun hebat juga walaupun tak sehebat latarbelakang rakan dari India dan Pakistan. Mula bertemu dengan dia, dia terus peluk saya sambil mengucapkan “Assalamualaikum, bro”.  Mula-mula nampak OK dia ni. Tapi selepas beberapa minggu, saya makin jauh dari dia dan dia mula bertukar menjadi menjadi manusia yang tak layak mewakili sebuah negara yang diasaskan oleh Imam Khomeini.  Dia dan kawan saya dari Pakistan menjadi hipokrit besar.

Disebabkan kami ditaja oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation) maka elaun bulanan yang kami terima amatlah besar. Dengan duit yang mewah dan harga barang yang murah maka ramailah dari rakan-rakan saya ni jadi kaki joli dan berpoya-poya terutama di hujung minggu. Disebabkan Hungary adalah sebuah negara yang baik ekonominya dalam Eropah Timur maka banyaklah pekerja-pekerja dari Cuba yang datang mencari kerja. Paling ramai gadis yang belum berkahwin. Pada hujung minggu, gadis-gadis Cuba ini akan meramaikan diri di pub-pub serta tempat-tempat  hiburan mencari teman untuk berhibur. Rakan saya dari Iran dan Pakistan ini antara mereka yang akan juga mengunjungi tempat-tempat di mana ramai gadis dari Cuba ini berkumpul.  Pada pagi isnin nanti, maka kedua-dua mereka ini akan menceritakan dengan bangga kepada rakan kelas apa yang mereka telah buat dengan girlfriend Cuba mereka pada hujung minggu yang baru berlalu. Kalau Imam Khomenei tahu, rakan saya dari Iran ini pasti akan di rejam sampai mati. Sahabat Iran saya ni juga tak segan silu minum minuman keras apabila ada sahaja jamuan makan malam yang di adakan oleh universiti dan pihak penganjur. Dia selalu menyindir saya sebab tak mahu bersama dia. Lantaklah, kau dengan kehidupan hipokrit mu dan aku dengan kehidupan cara Melayu Islam ku.

Bagi mengubati rindu untuk berbual-bual, saya akan ke flat rakan dari Indonesia pada hujung minggu. Sahabat Indonesia saya ini berasal dari kepulauan Maluku dan seorang yang beragama Kristian. Tapi dia seorang yang baik dan saya amat gemar berbicara dalam Bahasa Melayu dengan dia. Kadang-kadang kami berdua tergelak bila memceritakan kelakuan "rusa masuk kampung" rakan dari Iran dan Pakistan. Dia punyai sebuah Vespa di Indonesia dan menunggang Vespa tersebut untuk ke tempat kerja. Bila dia tahu saya punyai mobil di Malaysia, dia macam terkejut. Bagi melepaskan ketagih nak makan daging ayam, maka rakan Indonesia saya ini akan masak gulai ayam untuk saya. Ayam di beli di supermarket berdekatan dan sudah tentu tak disembelih. Tapi zaman tu, tekak boleh terima punya, jadi tiada problem. Lagipun nak cari ayam sembelih di negara komunis ni kat mana?

Yang paling meyenangkan saya ialah pengangkutan awam Kota Budapest yang murah dan efisient. Sebagai  mahasiswa  saya ada kad pelajar yang boleh digunakan bagi menaiki perkhidmatan tram mengelilingi Kota Hungary. Bila dah tak ada nak buat apa-apa, saya akan naik tram yang berhenti di depan kampus dan buat satu pusingan sebelum turun balik di stesyen di mana saya naiki tram tadi. Kalau ada tempat yang saya minati, saya akan turun untuk melihat dan naik tram kembali bila mahu pulang. Semua mahasiswa naik tram secara percuma, cuma perlu tunjukan kad pelajar bila di minta pemeriksa tiket. Dalam Kota Budapest ini saya terjumpa beberapa bangunan lama yang mempunyai unsur-unsur Islam. Ada antaranya sudah di buat panggung wayang dan muzium. Rupa-rupa nya Islam pernah bertapak di sini semasa zaman KalifahTurki. Tentera Islam pernah sampai ke pinggir Kota Vienna, Austria dan hanya terpaksa berpatah balik apabila kalah dalam peperangan merebut Vienna. Kalau tentera Islam menang, sejarah Eopah mungkin akan berubah untuk selama-lamanya.

Kenapa professor Universiti Teknikal Budapest tabik hormat kat Malaysia? Satu hari saya menjalani satu kerja ujikaji di makmal menggunakan sebuah alat yang begitu canggih sekali. Selesai latihan makmal, seorang professor memanggil saya. Saya pun tercenggang, apa hal pulak ni? Apabila saya rapat kat dia, professor ini terus buka penutup alat canggih tersebut. Ditunjukkan pada saya cip-cip komputer alat tersebut sambil menyebut, Malaysia serta menunjuk ibu jari tanda bagus. Saya lihat memang betul semua cip komputer yang ada dalam alat tersebut tertulis “Made in Malaysia”. Professor ni ingat cip itu direka dan dihasilkan oleh orang Malaysia. Tak tahu dia yang memasang  cip tersebut “Minah Karan” yang kebanyakannya lulus SRP sahaja sedangkan cip direka oleh jurutera asing syarikat multinasional. Ini sah kes lembu punya susu, sapi dapat nama.

Sejak berpisah, saya tak pernah berjumpa dengan rakan-rakan sekursus saya melainkan Mr. Ann dari Vietnam.  Tahun lepas saya jumpa kembali dengan An. Dia yang kenal saya dulu semasa bertemu di Lapangan Terbang. Bila bertemu dia terus tanya saya "Did we meet in Budapest, Hungary? Kuat ingatan dia. Sekarang dia dah jadi Ketua Pengarah sebuah Institut Penyelidikan Sains Nuklear di Ho Chih Minh City, Vietnam. Masa di Budapest, cakap bahasa Inggeris pun berterabur. Tapi tahun lepas, Bahasa Inggeris dia dah OK. Seorang lagi yang saya jumpa ialah Dr. Ferenc Levi, professor UTB yang datang ke Malaysia hampir 2 tahun yang lepas. Dia datang melawat Agensi Nuklear Malaysia sebagai seorang pakar nuklear dari IAEA.
Bergambar dengan Mr. Tran Khac An (tengah), rakan saya dari Vietnam semasa saya melawat institut penyelidikan beliau pada tahun lepas, 2011.

Sayang semua gambar-gambar saya semasa kursus ini tak tahu di mana saya letakkan. Kalau tidak boleh juga saya masukkan sebagai hiasan. Itulah serba sedikit kisah pengalaman hidup saya untuk saya kongsi bersama. Ada mood dan masa, akan saya tulis cerita dan pengalaman lain pula.


Salam.

UnclearEngineer