Wednesday, June 29, 2011

20 TAHUN DALAM KENANGAN – KAPT. (U) MOHD TADJUDDIN BIN MOHD YUNUS

Mohd Tadjuddin (tengah) di depan pesawat pejuang Skyhawk
Tahun ini 2011 genaplah 20 tahun adik ku Kapt (U) Mohd Tajuddin Mohd Yunus kembali mengadap Ilahi dalam keadaan yang amat tragis sekali. Peristiwa kemalangan di East Sale Air Force Base, Australia melibatkan beliau bagaikan ku rasakan berlaku baru semalam. Sehingga kini, aku masih tak dapat melupakan panggilan telefon dari MINDEF yang ku terima pada malam kejadian tersebut.

Dektar, panggilan yang aku dan lain-lain adik beradik berikan untuk beliau sejak dari kecil. Dikalangan kawan-kawannya di MRSM Seremban beliau di kenali sebagai Tajud, Pak Uda oleh anak-anak buah dan TJ oleh rakan sekerja di Pangkalan TUDM, Kuantan. Di Kuantan beliau bertugas sebagai juruterbang pejuang di SKUADRON KE 9 SKYHAWK.

Bagaimana seorang “top student” dari MRSM Seremban boleh sangkut jadi “fighter pilot”  TUDM memang mempunyai cerita serta sejarahnya tersendiri. Cukup untuk ku katakan bahawa destini dirinya  telah ditentukan Allah untuk menjadi seorang juruterbang. Akhirnya beliau berjaya mencapai cita-cita nya walaupun terlalu banyak rintangan yang perlu beliau lalui. Itulah cita-citanya dan akhirnya dia meningggal dunia dalam kerjaya yang diminatinya. Memang betul, Allah yang menetukan segala-galanya.

Malam 5 hb. Ogos, 1991 itu masih segar diingatan ku. Semasa itu aku masih berkhidmat di Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) dan tinggal di Bandar Baru Bangi. Lebih kurang 8:30 malam aku sedang melayan Berita Utama di TV3 yang memang merupakan stesyen TV kegemaran ku. Telefon berbunyi dan aku tangkas menjawabnya. Dihujung sana terdengar suara seorang lelaki berpangkat Jeneral memperkenalkan dirinya. Mendengar sahaja panggilan ini dari MINDEF nafas ku terus berlari laju. Belum pun sempat pegawai kanan TUDM tersebut menerangkan maksud panggilan, aku dengan pantas terus mengajukan pertanyaan. Apa terjadi kepada adik saya? Apakah dia masih hidup atau sudah mati?. Pertanyaan demi pertanyaan ku terus mengasak bertalu-talu.

Sebenarnya aku memang suka tengok wayang cerita perang. Itu sebabnya aku bercita-cita mahu jadi pegawai tentera bila besar. Aku pernah bermimpi bahawa aku tidak mati di atas katil tapi di sambar peluru musuh semasa berdiri gagah menghadapi musuh yang begitu ramai sambil mempertahankan bendera tanah air yang ku cintai ini. Bagiku itulah cara kematian yang teramat mulia bagi seorang lelaki. Entah macam mana pula boleh jadi  jurutera nuklear akhirnya. Itu namanya suratan serta ketentuan Allah jua. Jadi “scene” dalam wayang perang yang memperlihatkan bagaimana pihak tentera memaklumkan pada waris tentang perwira yang gugur di medan perang itulah yang membuatkan aku pasti bahawa panggilan dari MINDEF itu mahu memaklumkan tentang sesuatu nahas telah berlaku. Sebelum bertolak ke Australia, Dekta telah meminta izin untuk meletakkan nama ku sebagai waris terdekat jika terjadi sesuatu kepada beliau semasa latihannya nanti.

Sang Jenderal telah meminta kebenaran untuk datang sendiri ke rumah dan bertanya tentang alamat serta kedudukan rumah ku. Sebelum meletakkan telefon pegawai tersebut telah memaklumkan bahawa kapal terbang adik saya telah di dapati hilang dalam penerbangan latihan sebelah malam. Kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang di jalankan oleh anggota RAAF. Belum lagi ada kepastian tentang kedudukan adik saya dan seorang juruterbang berpangkat major yang bertindak sebagai jurulatih adik saya pada malam itu. Bagaimana pun beliau ada memaklumkan bahawa kapalterbang yang dipandu adik saya ini mempunyai “ejector seats” nya tersendiri. Mungkin adik saya dan jurulatihnya selamat walaupun mengalami kecederaan. Itulah kata hati ku sebagai penyedap perasaan.

Selepas memaklumkan kepada isteri dan anak-anakku yang waktu itu masih kecil untuk memahami, aku terus diam terpaku melayan pertanyaan yang bermain dalam otak ku sendiri. Mood nak tengok berita TV sudah terbantut. Sementara menunggu kesampaian tetamu dari MINDEF aku terus melayan perasaan. Bagaimanakah nak ku sampaikan berita ini kepada ibu bapa ku di kampung nanti? Ya, Allah selamatkanlah Dekta supaya aku tidak perlu jadi manusia pertama untuk memaklumkan berita ini kepada kedua orang tua ku. Aku tak sanggup mendengar tangisan terutama dari ibu ku. Apatah lagi Dekta merupaka “favourite son” kepada ibu ku kerana dia adalah model seorang “gentleman” serta anak yang baik. Tidak pernah melawan dan meninggikan suara kepada emak dan abah. Memang setakat yang ku ingat, tak pernah! Aku masih ingat, abah merotannya sepanjang jalan ke sekolah sebab dia enggan ke sekolah pada pagi itu sebab takut di buli samseng. Biru birat belakang dia kena rotan abah tapi sambil menanggis dia tetap tak lari!

Sejarah Dekta ni penuh dengan cerita nya tersendiri. Dia pada mulanya enggan pergi apabila dapat tawaran biasiswa MARA untuk menuntut dalam bidang fizik di Indiana University, Bloomington, USA. Mungkin dia ada perancangan masadepannya tersendiri. Sebab emak berkeras dia akur dan akibatnya akan di tanggung oleh dia kemudian. Itulah Dektar yang ku kenali. Kerana ibu, dia sanggup memendam perasaan bersendirian. Setelah jadi pegawai TUDM, emak selalu mendesak dia supaya kahwin. Dia menolak dengan caranya sendiri. Aku masih ingat katanya, “Tar akan kahwin jika Tar sampai umur 30 tahun nanti”. Apakah dia sudah mengetahui akan qada dan kadar nya? Mungkin secara kebetulan, adik ku menemui nahas semasa umur nya baru melepasi 29 tahun!

Lama juga aku menunggu sebelum 2 orang muncul dari kereta yang berhenti di depan rumah. Jam besar di dinding  rumah ku sudah meliwati pukul 10:00 malam. Aku begitu tenang menyambut kedua tetamu. Aku sudah redha dengan apa jua berita yang akan disampaikan. Aku tidak akan terperajat lagi jika berita yang sampai adalah berita paling buruk sekalipun. Setelah duduk dan memperkenaklan diri, pegawai yang paling senior sekali terus membuka bicara. Suaranya tenang, perkataannya bersususn satu, satu. Mengiku beliau, Dekta serta kumpulan seperlatihannya telah diarah menjalankan penerbangan malam menggunakan “instrument rating”. Saya diberitahu bahawa dalam latihan sebegini, cermin kokpit akan di selubungi dan juruterbang perlu mengendali kapal terbang masing-masing  semasa berlepas, berlegar di angkasa dan mendarat semula dengan hanya berpandukan “instruments” yang ada di dalam kokpit tanpa merujuk kepada kedudukan muka bumi di luar. Kapal terbang adik saya dimaklumkan telah jatuh terhempas di dalam kawasan ladang gandum beberapa batu dari landasan terbang sewaktu mahu mendarat. Menurut beliau bangkai pesawat telah dijumpai dan pihak penyelamat sedang berusaha untuk mengeluarkan dua jasad yang di jumpai dalam pesawat  yang telah hangus terbakar. Kedua-dua, adik saya dan jurulatihnya telah di sahkan terbunuh. Innalillah………… selepas menjamah sedikit air yang dihidang, kedua-dua tetamu ini terus berlalu dan berjanji akan menalipon lagi pada esok hari.

Malam itu aku tak lelap tidur. Bagaimana aku mahu menyusun kata apabila bercakap dengan bapa serta ibu ku nanti? Ya, Allah berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi saat-saat begini. Esok pagi aku dan keluarga terus balik kampung. Aku bertekad mahu memberitahu sendiri berita buruk ini.  Sesampai di kampung, aku di maklumkan bahawa kedua-dua orang tua ku berada di rumah abang sulung ku di Melaka. Aku bergegas pula bertolak ke Melaka. Sampai di Melaka, ibu ku kelihatan cemas umpama sudah mengetahui sesuatu buruk akan di sampaikan.Mungkin inilah yang dikatakan gerak hati seorang ibu tambahan pula bila melihat aku datang sekeluarga padahal hari tersebut hari kerja dan sekolah. “Kau tak kerja ke?”, tegur ibu ku sewaktu bersalam. “Tak mak, saya datang nak cakap sikit dengan abah dan emak”, kata ku selamba tanpa mahu memperlihatkan sebarang perubahan di wajah ku. Aku terus jemput abah dan mak duduk di kerusi.

“Mak, abah, saya datang ni bawa satu berita. Saya minta mak dan abah supaya banyak-banyak bersabar”, kata ku sambil cuba menahan kesedihan serta emosi. Di saat itu juga aku sudah tidak dapat menahan air mata ku yang terus sahaja jatuh berderai umpama awan hitam yang tidak mampu membendung kandungan air hujannya lagi. Aku merasa sudah tak mampu lagi untuk bersuara. “Mak, abah”, aku terdiam seketika. “Dekta dah tak ada lagi!”, kataku umpama macam separuh menjerit. “Dia nahas udara malam tadi di Australia”, sambung ku lagi. Ayah ku yang sememangnya uzur sejak balik dari mengerjakan haji terus mengurut dadanya sambil menyebut “Allah, Allah.”. Sedangkan ibu ku terus sahaja menanggis teresak-esak sambil menyapu air mata dengan tuala mandi yang masih diselepangkan dileher. “Sabarlah emak, sabarlah abah, marilah kita pulang ke kampung untuk menunggu jenazah Dekta”, kata ku memujuk.

Esoknya berita tentang nahas di Australia itu menjadi berita hangat dalam setiap akhbar. An ace pilot from Malaysia died in an airplane crash in Australia merupakan antara berita yang terpampang di muka depan akhbar. Pemberita, jurukemera TV bertali arus datang ke rumah di kampung untuk mendapatkan berita. Aku, ibu dan adik beradik yang lain ditemuramah. Perkara ini berterusan sehingga seminggu. Bagi saya  serta keluarga masih terus menunggu kesampaian kembali jenazah Dekta dari Australia supaya dapat disemadikan di tanah perkuburan di kampung ku. Akhirnya selepas lebih 7 hari menunggu, jenazah sampai di kampung pada hampir pukul sebelas malam. Menurut mereka yang sempat memandi dan serta melakukan sembahyang jenazah di sebuah Masjid di Melbourne, hanya terdapat beberapa ketul dari jenazah adik ku yang dapt dipunggut. Seketul daging dibahagian pinggul serta beberapa ketulan tulang serta tengkorak beliau. Lainnya habis hanggus terbakar.

Selesai di sembahyangkan, keranda terus di usung ke tanah perkuburan oleh sekumpulan pegawai tentera udara dalam pakaian istiadat. Pekan Seri Menanti tidak pernah jem dengan kereta sebegitu rupa. Dianggarkan sepanjang jalan lima kilometer (kiri/kanan) sebelum dan selepas rumah ibu ku dipenuhi dengan kereta dan kenderaan tentera. Kawasan kubur yang gelap gelita jadi terang benderang dengan lampu yang dipasang oleh juga pihak tentera. Lewat pukul 12:00 tengah malam, bugel “the last post” dibunyikan dan beberapa das tembakan rifel tanda penghormatan dilepaskan. Semasa talkin di baca, ayah ku diam kaku sambil memerhati sedangkan ibu hampir rebah menahan tangis meratapi pemergian anak kesayangannya. “Selamat tinggal Dektar, semoga kau aman dalam perjalanan menemui tuhan mu”, kata ku dalam hati.

Ayah ku tidak pernah sembuh dari sakitnya sejak peristiwa itu. Selang setahun, ayah ku pula meninggal dunia dan di kuburkan bersebelahan dengan kubur Dektar, anak yang tidak pernah menyakiti hatinya. Aku pula beberapa tahun kemudian telah berpeluang melawat Melbourne, Australia dan aku telah mengambil peluang untuk menziarahi tempat nahas adik ku. Di sebatang pohon di tempat di mana pesawat Dekta meletup dan terbakar, aku berdiri sambil membacakan doa supaya rohnya aman sentiasa.

Di hadapan bangunan blok pentadbiran Pengkalan Tentera Udara East Sale telah di tanam sebatang pokok tanda ingatan oleh rakan seperlatihan. Di pangkal pokok tersebut tertanam sekeping plak berbunyi  “THIS TREE WAS PLANTED IN MEMORY OF CAPT MOHD TADJUDDIN BIN MOHD YUNUS KILLED TRAGICALLY O5 AUGUST 1991.”

Plag peringatan yang di letakkan di pangkal sepohon pokok
di East Sale Air Force Base, Australia.
Selepas 20 tahun aku dan anak-anak ku masih terus mengingati.  Apabila aku melihat semula video cerita Top Gun yang amat di gemari Dekta, aku umpama melihat adik ku Tadjuddin menggantikan  Tom Cruise mengendalikan jet pejuangnya di angkasa raya . Selamat tinggal adik ku, Anggah doakan semoga kau  aman di alam barzah mu. Amin.


UnclearEngineer

9 comments:

  1. This was one of the saddest moment of my life. Too many good memories with him still etched firmly in my mind. Dulu Adi bercita-cita nk jadi pilot mcm arwah Pak Uda, tapi lepas kejadian tu, semua orang bangkang dan terkuburlah cita-cita tu...

    Rasa terpukul pula bila teringat yg raya 3 tahun lepas adalah kali terakhir Adi menziarahi kubur mereka berdua. Insya-Allah tahun ni Adi akan ziarah semula.

    Al-Fatihah...

    ReplyDelete
  2. Hadi

    Sebenarnya air mata Pak Ngah akan jatuh berderai setiap kali Pak Nagh membaca cerita yang Pak Ngah tulis sendiri ini. Begitulah kasih seorang abang kepada seorang adik. Jadikan lah ia satu iktibar bagaimana hubungi baik yang perlu kita jalin antara Hadi adik beradik.

    Dengan tertulisnya cerita ini, maka akan tenaglah hati Pak Ngah untuk sekian kalinya. 20 tahun perasaan yang terprndam yang tak dapat Pak Ngah nak gambarkan sebab Pak Ngah memang tahu apa yang Pak Uda kau lalui dalam kehidupan nya sebelum dia meninggal dunia.

    UnclearEngineer

    ReplyDelete
  3. aminnnn....with tears of my eyes
    kasih seorg abg kepada adik..tiada siapa yg benar2 mengerti....

    ReplyDelete
  4. Pak Ngah, terima kasih kerana mengingatkan ain pada arwah Pak Uda, dulu masa kecik tiap kali balik kg, ain x pernah lupa menziarah kubur Pak Uda, tapi makin lama amalan itu makin Ain lupakan, Masih teringat lagi saat-saat terakhir bersama Pak Uda di kampung sebelum dia bertolak ke Australia. Masih terkilan lagi sebab ain tertidur ketika jenazah Pak Uda sampai ke rumah Wan, semoga Allah mencucuri rahmat pada Pak Uda kesayangan semua anak2 buah nya ini...Al Fatihah buat Pak Uda ku tercinta...

    ReplyDelete
  5. Terima kasih Abah. Fadly dah lama memendam nak tulis pasal arwah. Bak kata Ain, dulu memang selalu ziarah kubur arwah tapi makin lama dilupakan pula. 20 tahun dah? Sekejap sangat masa berlalu...teringat lagi masa arwah menumpang di BBB dulu, setiap petang Fadly dan arwah akan main badminton bersama. Dia tak kisah melayan kerenah anak buahnya...kalaulah dia ada anak, pasti dia sayang anak dia tu.

    ReplyDelete
  6. Salam. Saya Muhd Suhaidi, seorang pelajar Kej. Elktronik di sbuah politeknik di utara. Saya mrupakan pnulis secara sambilan untuk sebuah majalah pertahanan tempatan. Pada mulanya saya mncari mklumat mngenai kejuruteraan aeronautik, tetapi trjumpa blog tuan. Saya brminat untuk mnulis artikel mngenai nahas pesawat yang mlibatkan adik tuan. Jika tuan sudi untk brkgsi kisah ini, tuan boleh mnghubngi saya mlalui emel, adi_7051193@yahoo.com. T. ksih.

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum Tuan Haji. Saya Ahmad Nazari Yusof, satu sekolah dengan arwah Tajud dari sekolah rendah di ACS Melaka dan MRSM Seremban. Menitis airmata saya baca artikel ini. Kami dari MRSM Seremban tak pernah lupa pada arwah Tajud. Setiap kali kami berjumpa kami akan mengimbas kembali masa-masa arwah masih bersama kami. Al-Fatihah buat arwah. Kami sentiasa doakan arwah semuga dihimpunkan bersama para solihin. Innalillahiwainnailaihirajiun.

    ReplyDelete
  8. Al-Fatihah...ajalnya ketika bertugas..sya juga juruterbang pejuang TUDM..dapat rasakan kesedihan tuan2 sekeluarga...seharusnya kita kena bangga beliau pergi sebagai wira negara...takziah saya ucapkan walaupun sudah menjangkau 20 tahun pemergiannya..

    ReplyDelete
  9. Saya juga bercita cita ke arah untuk menjadi juruterbang tudm.sedang dalam usaha.sememangnya risiko untuk mnjadi juruterbang amat tinggi.semangat juang takkan pernah luput walaupun kami tahu mati kami tidak seperti yang lain.risiko kami lebih terdedah untuk kemalangan seumpama itu.namun smangat kami xkan pernah pudar.saya kagum dgn keluarga encik.semoga roh arwah tenang disana.amin...

    ReplyDelete

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.