Wednesday, September 26, 2012

PERKEMBANGAN TEKNOLOGI NUKLEAR DI INDONESIA


Saya amat tertarik dengan video dari youtube ini mengenai reaktor nuklear 30 MW yang beroperasi di Serpong, Indonesia. Saya berpeluang melawat reaktor ini beberapa tahun yang lampau. Saya juga berpeluang melihat operasi pembuatan radioisotop dan “sel panas” yang terletak bersebelahan dengan kompleks reaktor ini.
Dari segi peralatan dan teknologi, Indonesia saya dapati lebih maju dan terkehadapan dalam teknologi nuklear ini. Indonesia telah memperkenalkan teknologi nuklear lebih awal dari Malaysia, malah Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) dibangunkan di Malaysia selepas Tun Dr. Ismail begitu tertarik dengan teknologi ini sebaik melawat reaktor TRIGA di Bandung.


UnclearEngineer. 

Saturday, September 22, 2012

MASAALAH AIR DI SELANGOR, MATILAH KITA KALAU MACAM NI.


Baru habis baca pasal masaalah air di Selangor. Ada blog yang tuduh terdapat arahan supaya di tutup paip bagi memberi gambaran bahawa terdapat kekurangan bekalan air di Selangor sehingga perlu diadakan “ration” air di sesetengah tempat. Saya tak nak tuduh siapa yang suruh dan siapa yang untung mahupun rugi dalam kes ini. Saya pasti, yang rugi adalah pengguna. Yang kesiannya rakyat yang duduk di rumah-rumah flat yang terpaksa memikul air dari lori ke tingkat 3/4 rumah masing-masing.

Teringat saya beberapa tahun yang lalu saya pernah pergi ke Karachi, Pakistan. Sahabat yang saya jumpa di sana memberitahu bahawa di Karachi ada sendiket yang mencari keuntungan atas kesengsaraan orang ramai. Diberitahu bahawa disesetengah kawasan Karachi, pekerja syarikat pembekal air diupah sendiket supaya dengan sengaja merosakkan pam sehingga menyebabkan ketiadaan air di kawasan berkenaan. Penduduk akan terpaksa berpusu-pusu membeli air untuk kegunaan harian dari lori-lori tangki yang secara kebetulan tiba-tiba datang membawa air. Selepas beberpa hari, pam pun diperbaiki dan bekalan air pun pulih semula. Pada masa yang sama, pam di kawasan lain pula jadi problem dan lori-lori tangki yang sama akan pergi pula ke tempat baru untuk menjual air. Perkara ini berulang setiap masa dan sudah tentu akan mendatangkan keuntungan kepada tuan-tuan punya lori tangki air. Saya sedih mendengar cerita sebegini dan ianya berlaku di sebuah negara yang kononnya ditubuhkan atas dasar mahu menegakkan Islam sebagai agama negara.

Sekarang saya dengar pula ianya berlaku di negara saya sendiri. Walaupun bukan kerana meraih keuntungan kewangan tapi politik, ianya amat menjijikan saya. Tak kanlah mahu menunjukkan bahawa parti aku baik dan parti lawan tak baik sehingga sanggup menjadikan rakyat sebagai mangsa. Dah hilang akal ke ahli politik kita ni?

Dulu orang kata sistem politik dua parti akan memberikan kebaikan pada Malaysia. Saya dah mula tak percaya dengan tanggapan ini. Nampak sangat kalau beginilah cara berpolitik di Malaysia masakini, tidak mustahil kita akan menuju ke arah apa yang berlalu di Pakistan. Buat masaalah dengan sengaja dan segera menuduh parti lawan yang menyebabkannya. Semasa tuduh menuduh berlangsung, rakyat yang akan menanggung akibatnya.

Apa nak jadi kat Malaysia di masa depan kalau macam ni? Masih ada ke harapan untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 nanti?

UnclearEngineer

Monday, September 17, 2012

LOMPAT APEK LOMPAT, AIYAA



Seorang tokoh korporat UMNO Sabah,  Tan Sri Ibrahim Menudin  telah mengumumkan keluar UMNO dan menyertai PKR. Membaca latarbelakang Tan Sri Ibrahim Menudin ini kita akan terkejut dengan sumbangan besar beliau terhadap usaha membawa masuk UMNO ke Sabah dulu. Beliau yang merupakan seorang akauntan dan pernah terlibat mengendalikan beberapa syarikat tersenarai yang besar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan juga ahli lembaga pengarah.

Kalau Dato Karim Ghani, Pengasas UMNO Sabah sendiri cakap macam ni, apa cerita? Kalau kaya
macam Dato Karim ni dan anggap duduk tepi jamban, saya pun nak. Jangan mare, gurau je.

Antara perkara yang di sebut sebagai sebab dia keluar UMNO ialah kegagalan kerajaan BN membangunkan Labuan dan isu rasuah yang mencemari UMNO Sabah. Rasuah? That bad huh, sehingga seorang yang sekaliber Tan Sri Ibrahim boleh melompat . Soalan yang bermain di kepala saya, kenapa sekarang? Tuduhan rasuah dalam kerajaan sudah lama dibangkitkan dan sebagai seorang bekas ahli korporat “BN friendly” mungkin beliau juga pernah terlibat dalam kegiatan ini. Ini cuma tanggapan saya jika perkara isu rasuah ini sebegitu parah seperti yang didakwa.

Saya pernah sekali pergi ke Labuan. Memang amat mengeciwakan. Sebelum sampai di sana, gambaran saya tentang Labuan adalah sebuah pulau yang hebat membangun sebaris dengan namanya  sebagai pusat kewangan pesisiran pantai bertaraf antarabangsa setanding Singapura dan Hong Kong. Kawasan komersial bandarnya jauh lebih kecil jika di bandingkan dengan bandar Kajang sebagai bandingan. Tetapi yang saya hairan, kenapa wakil Sabah mahupun UMNO Labuan tidak pernah menyuarakan isu pembangunan Labuan ini secara serius di mana-mana forum seperti di Perhimpunan Agong UMNO dan juga semasa perbahasan buget di Parlimen? Bagi saya, wakil UMNO dari Sabah termasuk Tan Sri Ibrahim sendiri telah gagal membawa isu Sabah secara efektif. Sayangnya, Tan Sri Ibrahim telah mengambil jalan mudah dengan melompat keluar parti dari terus menyuarakan inspirasi rakyat  di Sabah dan di Labuan. Apakah beliau pasti bahawa parti barunya ini akan mampu membangunkan Labuan serta menghapuskan  rasuah yang menjadi  penyebab beliau melompat? Pada pandangan beliau mungkin PKR akan lebih sensitif dari BN.

Selepas Lajim Ukin dan kini Tan Sri Ibrahim Menudin mengistiharkan keluar UMNO/BN, maka berkatalah orang kuat UMNO di Sabah bahawa tindakan terbaru ini tidak akan menjejaskan kekuatan parti di Sabah. Sebagai ahli UMNO, saya pun amat berharap kebenaran seperti yang dikata.  Kebenarannya, dengan berpaling tadahnya Lajim Ukin dan sekarang  Tan Sri Ibrahim Menudin, sesuatu perlu di buat oleh UMNO/BN Sabah bagi memastikan Sabah kekal sebagai “tabung simpanan” BN pada PRU 13 ini.

Bagi pandangan saya, isu Sabah dan Sarawak ni sejak sekian lama merupakan satu isu sensitif dalam pembinaan negara Malaysia. Walaupun rakyat di Semenanjung dapat menerima orang Sabah sebagai rakyat Malaysia yang setanding tapi dari pandangan orang Sabah berlainan pula. Sebagai pelawat di Sabah dan juga Sarawak, saya merasa ada sesuatu yang tak kena tentang pandangan mereka tentang orang Semenanjung. Banyak saya dengar tentang pelabelan  orang dari Semenajung sebagai  “penjajah”. Setelah 49 tahun dalam Malaysia, sentimen “penjajah dan rakyat kelas tiga” masih terus menebal. Mungkin itu kegagalan sebenarnya ahli politik Malaysia. Kita gagal membangunkan jati diri Malaysia seperti negara-negara lain di dunia.

Peninglah  lagi kepala DS Najib. Saya doakan DS Najib akan dapat mencari jalan terbaik bagi mengekalkan sokongan Sarawak dan Sabah terhadap kerajaan BN sama ada diperingkat negeri mahupun federal. Lebih penting  lagi jika DS Najib dapat mencari jalan untuk memperkuatkan lagi semangat Malaysia dikalangan semua rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada.

Jika belum terlambat, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia untuk semua warga Malaysia yang sudi membaca blog saya ini.

UnclearEngineer

Friday, August 31, 2012

APA SALAHNYA DENGAN BENDERA INI?



Umur ku sudah 57 tahun. Dua tahun lebih tua dari umur merdekanya Malaysia. Saban tahun sambutan serta perarakan merdeka akan ku ikuti dengan penuh minat dari kaca TV. Cuma tahun 1973, aku sendiri pernah bersama dalam gelombang perbarisan hari kemerdekaan ini. Aku berarak dengan penuh semangat sebagai anggota “marching band” Sekolah Menengah Teknik, KL.  Fuh, betapa aku bangga pada pagi itu bila melintasi Pentas di Raja.

Tapi itu dulu, sekarang lain. Dalam kegairahan menyambut kemerdekaan ke 55, sekumpulan manusia telah berkumpul malam tadi di Dataran Merdeka membuat onar. Aku masih boleh terima jika mereka tidak berpuas hati atas perkara-perkara yang menasabah. Tetapi ada sekumpulan yang mengibarkan satu bendera asing malam tadi. Apa? Mereka mahu menukar bendera yang selama ini kita anggap adalah sesuatu yang telah sinonim dengan negara ini hampir 55 tahun? Apa gilanya manusia ini? Logik apa mahu kita menukar bendera? Rupa macam bendera Amerika? Sebab lain kerana bendera ini dicipta oleh UMNO, parti keramat yang telah berjaya mengusahakan kemerdekaan Malaya lebih 55 tahun yang lalu tanpa pertumpahan darah? Ah, ini mesti sebab sentimen  ABU. Ada lagi sebab lain? Tak ada. Itu sahaja sebab mahu di tukar sebuah bendera? Berapa buah negara di dunia yang sanggup menukar benderanya selepas merdeka? Rasa saya tak pernah dengar pun. Memang dah gila sesetengah kita ni.



Kalau ikut logik, bendera yang dicadangkan kan itu juga mirip kepada bendera beberapa negara lain. Sekali pandang macam bendera Indonesia mahupun Singapura, jiran terdekat kita. Jika dibandingkan dengan bendera sekarang, saya dapati bendera yang ada sekarang lebih meriah warnanya dan lebih menarik pada pandangan mata. Lepas menukar bendera mahu apa lagi mereka? Mahu tukar nama Malaysia itu sendiri? Bila akan kesudahannya.

Inilah erti kebebasan bagi sesetengah kita. Bukan dicadangkan sesuatu pembaharuan yang akan meningkatkan pencapaian negara tapi kita mempertikaikan sesuatu yang telah terbina dan diterima lebih 55 tahun tanpa masalah oleh rakyat negara ini. Apa kena mengena menukar bendera dengan pembaharuan politik ataupun peperangan memerangi rasuah misalnya. Sia-sia kita merdeka 55 tahun tapi masih pada minda kelas negara ketiga, memperjuangkan sesuatu yang remeh temeh.

Penulis dengan sekumpulan veteran tentera membuat laporan polis di Balai  Polis Bukit Sentosa

Dengar khabarnya beberapa pemimpin pembangkang telah turut hadir dalam perhimpunan "Janji Demokrasi"  malam tadi. Apa punya pemimpin masa depanlah mereka-mereka ini. Letih benak aku bila memikirkannya. 

Dalam keadaan begini, apa tindakan pihak berkuasa? Jangan dibiarkan cacing naik sampai ke mata.  Susah nak dibendung nanti jika lain-lain institusi negara turut dipertikaikan.

UnclearEngineer

Tuesday, August 28, 2012

NUKLEAR – PILIHAN TERBAIK NEGARA?


Belum tentu lagi, beb.

Sejak Februari 2012 Iran telah berjaya  membekalkan bahanapi nuklear buatan sendiri untuk reaktor penyelidikannya. Bahanapi jenis LEU (low enriched uranium) yang 20% diperkayakan itu telah dihasilkan sendiri oleh Iran apabila terdapat usaha pihak negara lain menghalang bekalan bahanapi dari luar.

Kejayaan Iran mengeluarkan bahanapi LEU ini telah menyebabkan kemarahan beberapa kuasa dunia termasuk Israel sendiri. Walau bagaimana pun,  Iran telah memberi  jaminan bahawa negara tersebut tidak akan mengeluarkan bahanapi melepasi 20% ketulinan U-235. Sebagai makluman, ketulinan 90% diperlukan bagi pembuatan bom.


Masaalah bekalan bahanapi yang berterusan adalah isu paling besar yang harus dihadapi oleh mana-mana negara yang mahu menjadikan option nuklear sebagai salah satu pilihan tenaga negara. Berharap kepada negara luar semata-mata akan menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada pengeluar bahanapi asing. Isu bekalan bahanapi berterusan pada harga yang berpatutan penting diambilkira. Apakah nuklear pilihan terbaik kita?

Saya percaya akan kemampuan dari segi teknikal anak tempatan bagi mengendalikan reaktor nuklear secara selamat.  Tambahan pula Malaysia bukanlah negara yang berada di garisan rekah yang mampu dilanda gempa. InsyaAllah, kemalangan yang menimpa Fukushima, Jepun tak mungkin akan berlaku di bumi Malaysia ini.

Isu bekalan bahanapi ini bukan isu teknikal. Ia mungkin boleh menjadi isu politik seperti yang dialami oleh Iran. Saya telah menyuarakan perkara pembekalan bahanapi secara berterusan ini (security of supply) dalam beberapa perjumpaan dan seminar membincangkan pilihan tenaga nuklear negara. Sayang, sehingga kini saya belum lagi mendapat jawapan yang memuaskan hati saya.

Sebagai jurutera nuklear, saya tahu apa yang saya cakap dan saya percaya Malaysia perlu mencari pilihan terbaik buat negara ini dengan berfikir semasak-masaknya.

Mungkin ada sahabat-sahabat saya di Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (Malaysian Nuclear Power Corporation – MNPC) yang boleh memberikan jawapan yang saya cari? Kalau begitu, silakan.

UnclearEngineer

Friday, August 24, 2012

PETUA MENGATASI SIMPULAN URAT (KREM) DI KAKI



Saya mempunyai masaalah suka “krem“ di bahagian peha dan betis kaki terutama waktu malam semasa tidur. Keadaan ini akan kerap lagi berlaku bila kaki saya keletihan di sebabkan banyak berdiri atau berjalan jauh.  Semasa tidur, saya secara tiba-tiba akan meraung kesakitan yang teramat sangat dan selalunya serangan ini akan reda selepas 10-15 minit berdiri dan mengurut bahagian yang “tersimpul urat” tersebut. Selepas umur makin meningkat, masaalah tersimpul urat ini makin kerap berlaku dan mengambil masa yang semakin panjang untuk dipulihkan.

Lebih sebulan yang lepas saya terbaca satu petua dalam internet mencadangkan satu cara mudah bagi mengatasi masaalah ini. Penulis mencadangkan supaya apabila kita terasa mana-mana bahagian kaki kita akan “krem”, cepat-cepat naikkan tangan kita di atas kepala. Jika berlaku di kaki kiri, naikkan tangan kanan dan jika berlaku di kaki kanan, naikkan pula tangan kiri. Biarkan tangan di atas kepala tersebut, insyaAllah dalam masa beberapa saat, kekejangan urat tersebut akan tiba-tiba rasa hilang dan keadaan akan balik seperti normal. Ini boleh dilakukan semasa kita berdiri mahupun sedang berbaring tidur.

Saya mulanya skeptikal juga dengan petua ini tetapi setelah beberapa kali mencuba saya boleh akui tentang kebekesanannya. Sebenarnya saya menulis ini pun selepas saya terjaga disebabkan “krem”  kaki sebentar  tadi. Bagi yang suka “krem” di kaki, jangan lupa mencuba.

It works for me. Really amazing.

UnclearEngineer.
4:00 am, 24/8/2012

Thursday, August 16, 2012

DR. PATRICK MOORE, SEORANG PENGASAS GREENPEACE


DARI ANTI KE PRO NUKLEAR.

Tahun 1971, Patrick Moore dengan 11 orang aktivist alam sekitar menaiki sebuah bot tua yang bocor dari Vancouver, British Colombia. Destinasi mereka menuju ke persisiran pantai Alaska bagi membantah ujian bom nuklear bawah tanah Amerika Syarikat. Ini merupakan permulaan tertubuhnya NGO alam sekitar paling terkenal Greenpeace. Beliau akhirnya dilantik sebagai Pengarah Greenpeace Antarabangsa (Greenpeace International), dan menjadi suara paling lantang menentang penggunaan tenaga nuklear.

tu cerita dahulu. Sekarang, Dr. Moore sudah berubah angin. Kata orang Malaysia, sudah menjadi “katak lompat” yang melompat ke dalam kem lawan. Dia sudah menjadi seorang yang menyokong kuat penggunaan teknologi nuklear sebagai sumber tenaga. Pada pandangan beliau: teknologi nuklear merupakan teknologi bersih “non-greenhouse-gas-emitting”. Dengan itu teknologi nuklear sesuai mengganti sumber bahanapi fosil seperti minyak, gas dan arang batu serta mampu memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat dunia.

Dr. Moore keluar dari Greenpeace pada 1986. Beliau mengaku masih percaya kepada semua idealisma Greenpeace melainkan dalam isu penggunaan tenaga nuklear. Sudah tentu banyak bekas rakan-rakan Dr. Moore yang masih bergiat aktif dalam kem “anti nuklear” menyingga.

Di Malaysia kita ada Dr. McCoy, seorang aktivis alam sekitar yang anti semua yang ada perkataan nuklear. Bila agaknya beliau akan merubah fikiran nya macam Dr. Moore? Wallahualam.

UnclearEngineer