Wednesday, July 25, 2012

MALAYSIA MERANCANG PENGGUNAAN NUKLEAR SECARA RAHSIA?



Sekumpulan NGO yang bergabung atas nama Malaysian Coalition Against Nuclear (MyCan) telah mendedahkan bahawa kerajaan Malaysia secara “sulit” telah meneruskan perancangan bagi program tenaga nuklear negara.

Jurucakap MyCan, Dr. Ronald McCoy memaklumkan bahawa menurut sumber dalaman yang diperolehi oleh gabungan tersebut, pihak Malaysian Nuclear Power Corporation (MNPC) telah mengenalpasti 7 tapak berpotensi bagi pembinaan janakuasa nuklear tersebut. Diberitahu bahawa tapak-tapak tersebut terletak di 4 negeri, 1 di Kedah dan 2 tapak di Perak, Terengganu dan Johor.

Dimaklumkan lagi bahawa MNPC telah memilih sebuah syarikat juruperunding antarabangsa, Burn and Roe dari Amerika Syarikat bagi merangka satu pelan pembangunan prasarana bagi tenaga nuklear (nuclear power infrastructure development plan – NPIDP). B&R ditugaskan untuk membuat satu kajian kesesuaian dan membuat cadangan terbaik bagi perlaksanaan projek tersebut dari segi pemilihan tapak, teknologi yang bakal digunapakai serta sais janakuasa, pembangunan prasarana bagi menyokong program tenaga nuklear negara serta penyediaan dokumen pembidaan bagi logi janakuasa tersebut.- sumber dipetik dari Malaysiakini
++++++++++++++++++++


Bagi saya, apa yang dibuat oleh MNPC adalah sesuatu yang logik dan terbaik. Malaysia telah pun mengumumkan secara terbuka sejak tahun 2011 lagi bahawa negara memang berminat untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga selepas 2022 nanti. Satu perbadanan yang dikenali sebagai Malaysian Nuclear Power Corporation (MNPC) telah ditubuhkan dan Dr. Mohd Zam Zam telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan tersebut.

Jadi isu kerajaan bergerak secara rahsia tidak timbul. Dalam isu penggunaan teknologi nuklear ini, kerajaan Malaysia telah menunjukkan secara telus bahawa semua langkah perlu dibuat bagi memastikan bahawa sebarang program melibatkan penggunaan tenaga nuklear dibuat dengan kajian yang teliti serta mengambilkira kepentingan negara dalam jangkapanjang.

Pemilihan 7 tapak yang diheboh-hebohkan tersebut bukanlah sesuatu yang pasti. Sebenarnya TNB dan Agensi Nuklear Malaysia telahpun menjalankan kajian bagi mengenalpasti tapak yang sesuai sejak  tahun 80an lagi. Masa itu kerajaan masih lagi menetapkan sumber nuklear sebagai “the last option”. Kajian ini sentiasa dikemaskini bagi memastikan tapak yang dikenalpasti masih sesuai. Walau bagaimana pun pemilihan sebarang tapak samada yang  telah dikenalpasti mahupun yang baru akan tertakluk kepada kajian oleh juruperunding yang dilantik. Juruperunding tersebut, B&R (jika benar) merupakan juruperunding yang akan membuat cadangan akhir kepada kerajaan tentang kemungkinan penggunaan teknologi nuklear termasuk pemilihan tapak yang sesuai.

Jadi saya berharap sangat supaya Dr. McCoy tidak buat ribut tak tentu pasal. Dr McCoy ini sejak sekian lama dikenali sebagai  aktivis anti senjata nuklear. Perbezaan antara senjata dan janakuasa nuklear ialah tindakbalas nuklear dalam reaktor merupakan tindakabalas terkawal sedangkan bom nuklear merupakan tindakbalas TIDAK terkawal.

Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, penggunaan teknologi nuklear adalah sesuatu yang tak dapat dielakkan pada masa depan. Buat masa ini tiada option lain yang dapat digunakan bagi penjanaan skala besar tenaga selain gas, minyak dan arang batu. Sumber alternatif seperti solar, angin, biomass, ombak dan sebagainya bukanlah alternatif yang setimpal dengan tenaga nuklear. Penggunaan hidro juga mempunyai kelemahannya sendiri.

Mahu tidak mahu, jika Malaysia mahu meneruskan pembangunan perindustriannya, maka satu punca baru bagi penjanaan sumber tenaga yang mencukupi  perlu di cari. Buat waktu ini tiada alternatif yang lebih sesuai melainkan tenaga nuklear.

UnclearEngineer

No comments:

Post a Comment

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.