Sunday, April 8, 2012

HARI-HARI KU YANG MENYERONOKAN SEBAGAI PELAJAR – PART 2


Dalam bulatan merah, Dato Mohd  Zin Mohamad dan saya dalam bulatan biru bersama-sama rakan
pengawas dari Tingkatan 3 dan Tingkatan 2.

Dalam aku menyelongkar tulisan-tulisan lama tahun lepas dalam blog ku ini, terjumpa satu artikel yang aku tulis pasal kehidupan ku di sekolah Menengah Teknik (TI), Jalan Cheras, Kuala Lumpur (http://unclearengineer.blogspot.com/2011/06/oh-my-glorious-student-days-part-1.html) pada awal tahun 70an. Aku namakan artikel tersebut “My glorious student days - Part 1”. Rupa-rupanya Part 2 seterusnya tak pernah pun ku sambung lagi. Maka pada pagi ahad yang aman ni aku akan cuba untuk menulis sambungan cerita tersebut.

Sebelum masuk TI, aku bersekolah di Sekolah Menengah Bachang (sekarang di kenali sebagai Sekolah Menengah Tun Tuah), Melaka. Di sekolah ini aku jadi “model student”. Pengawas, aktif berpersatuan dan aktif juga bersukan. Semua guru2 dan seluruh murid sekolah ini kenal aku. Sebagai pegawas aku memang “strict” sikit. Murid-murid yang melanggar peraturan sekolah sudah tentu akan ku saman tanpa mengira anak  siapa mereka.

Satu hari, sekumpulan murid-murid Cina telah menahan basikal aku di tengah jalan semasa aku dalam perjalanan pulang lepas sekolah. Mereka rupa-rupanya tak berpuas hati atas apa yang telah aku lakukan terhadap seorang kawan mereka di sekolah pada hari tersebut. Dari jauh aku dah nampak mereka menghalang jalan dengan basikal masing-masing. Aku “buat sahal”  je terus berkayauh basikal menyusur jalan. Sampai di tempat mereka berkumpul, aku pun berhenti. Nampak macm mereka mula nak memukul aku beramai-ramai. Aku pun terus mengeluarkan amaran “you touch me, I’ll report this to my father!” rupanya kata-kata itu menakutkan mereka. Perlahan-lahan mereka berundur sambil mengambil basikal mereka dan berkayuh pergi. Huhu… takut juga mereka ye? Apa tidaknya, bapa aku sebenarnya seorang konstabel polis dan memang selalu meronda melepasi sekolah hampir setiap hari. Zaman tu budak-budak nakal masih hormat dan takutkan polis. Selepas peristiwa tersebut, tiada lagi murid-murid nakal yang berani menggangu aku. Kalau ada murid-murid yang lupa pakai stokin ataupun lupa menyematkan lencana sekolah di poket baju, mereka lebih rela lari dan berselisih dengan aku. Siapa mahu didenda membasuh tandas sekolah atau pun mencabut kemuncup di padang sekolah pada hari minggu?

Semasa di Melaka ni antara kawan baik aku ialah Ahmad Tamby Kadir (bekas pensyarah UiTM dan sekarang seorang juruperunding kejuruteraan), Mustadza Abu Bakar (seorang akauntan lulusan UM dan pernah berkhidmat di PKNM, terakhir aku baca cerita dia dibicarakan kerana satu kes rasuah semasa jadi YDP, Majlis Daerah Jasin). Syeikh Obid Sheikh Salim (katanya dah jadi kontrator penambakan pantai yang besar juga) dan Abdullah Hassan (seorang jurutera sivil yang terakhir di kabarkan “mencari makan” di Negara Teluk).

Ada dua kenalan aku di SM Tun Tuah ni yang berjaya dalam politik. Seorang, senior setahun aku Mohd Zin Mohamad aka “Zin Badak” (sekarang bergelar Dato dan mantan Menteri Kerja Raya) dan seorang “informer” aku semasa aku jadi pengawas di sekolah iaitu Asaari Ibrahim (sekarang bergelar Dato dan menjadi Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Dato Shaziman Mansor). Kedua-dua mereka ni masa di sekolah tak ada tokoh langsung sebagai pemimpin politik tapi mungkin pengalaman mengajar mereka sehingga menjadi ahli politik yang berjaya. Aku dan Zin Badak akhirnya sama-sama menyambung pelajaran ke TI KL selepas lulus LCE (sekarang ni di kenali sebagai peperiksaan PMR). Mohd Zin akhirnya mashur sebagai “king ragger” di TIKL sedangkan aku masih lagi dengan perangai lama….. seorang murid yang baik. Nama –nama guru ku yang masih ku ingat di SM Tun Tuah termasuk Mr. AG Leon (pengetua – dah lama meninggal), Mr. Chin (sudah meninggal, seorang guru yang amat mengambil berat tentang kemajuan persekolahan ku), Ms. Lee (guru sejarah yang mampu membuatkan aku berminat sangat-sangat pada subjek sejarah), Ustaz Ramli yang amat penyabar dan amat lemah lembut.

Selama 4 tahun disekolah ini (termasuk setahun di kelas peralihan – remove class), aku dan rakan-rakan telah berpeluang mengasah daya kepimpinan masing-masing. Yang paling  ironisnya, yang berjaya dalam politik adalah mereka-mereka yang pernah kami pimpin semasa di sekolah dulu. Sedangkan kami, apa pun “tarak” walaupun bergerak aktif dalam politik tanah air sejak sekian lama.

Memang benar kata peribahasa Melayu - tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

UnclearEngineer

No comments:

Post a Comment

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.