Tuesday, December 16, 2014

1MDB, MOHON PENCERAHAN

Saya tuliskan kembali fakta-fakta yang saya baca mengenai 1MDB. Menurut keputusan kewangan penuh tahunan 1MDB yang di telah di AUDIT untuk 12 bulan berakhir 31 March, 2014:-

FAKTA
  1. Aset bernilai RM51.4 billion
  2. Hutang sebanyak RM41.9 billion (nilai semasa setelah diambil kira tukaran RM/USD pada kadar 3.45 terkini, mungkin telah meningkat kepada RM49.1 billion).
  3. Wang tunai dan simpanan pula berjumlah RM16.7 billion (termasuk RM7.0 billion yang dilabur di Pulau Cayman)
  4. Pendapatan telah meningkat daripada RM2.6 billion kepada RM4.3 billion.
  5. Kerugian sebanyak RM665.3 juta pada tahun kewangan berakhir 31 March, 2014 yang dikatakan disebabkan oleh kos kewangan (finance cost) berjumlah RM2.4 billion dibandingkan RM1.6 billion pada tahun kewangan sebelumnya.
SOALAN
  1. Kalau dah simpanan tunai ada RM16.7 billion, kenapa memohon Bank Negara melanjutkan tempoh hutang tak berbayar (non-performing loan) dari 3 bulan ke 6 bulan? Kenapa simpanan tunai yang banyak ini tak digunakan membayar hutang pada masanya?
  2. Macam mana sebuah syarikat dengan saham berbayar RM3.45 juta boleh membuat pinjaman sehingga RM41.9 billion? Nisbah Keumpilan (Gearing Ratio) adalah 12,144.92 atau 1,214,400%. Ini bermakna 1MDB adalah sebuah syarikat yang mempunyai tanggungan hutang yang TERLALU amat tinggi. Bagaimana bank-bank (tempatan mahupun antarabangsa) boleh memberikan pinjaman kepada syarikat yang mempunyai nisbah keumpilan yang TERAMAT tinggi seperti 1MDB? Apakah ada perjanjian (bertulis dan tak bertulis) bahawa hutang-hutang dijamin pembayaran oleh kerajaan Malaysia sehingga bank-bank ini berani meluluskan permohonan hutang-hutang tersebut?
  3. Bagi keseluruhan hutang RM41.9 billion, maka 1MDB perlu membayar RM4.66 billion setahun (@ i= 2.0%, n=10 tahun) dan RM4.91 billion (@ i= 3.0%, n=10 tahun). Bagi kadar faedah melebihi 3.0%, bayaran balik akan meningkat lagi. Pendapatan 1MDB hanya RM4.3 billion setahun. Macam mana ni?1MDB punya masaalah untuk membayar hutang yang ditanggung. Mungkin untuk membayar hutang ini, 1MDB terpaksa menggunakan simpanan tunai atau menjual aset yang ada. Kalau ini berlaku, boleh kah 1MDB berkata bahawa perniagaan syarikat berjaya?
  4. Dengan sumber dana yang begitu banyak, kenapa 1MDB dibenarkan membeli aset dalam negara (seperti IPP) secara bersaing dengan syarikat swasta tempatan? Apakah ini antara tujuan penubuhan 1MDB untuk bersaing dengan syarikat swasta di Malaysia? Sepatutnya pada 2014 ini, kerajaan Malaysia perlu membuat keputusan untuk mengurangkan keterlibatan dalam perniagaan secara besar-besaran dan tidak bertanding secara terus dengan syarikat swasta tempatan. Ini boleh diumpamakan seperti seorang bapa yang kaya raya bersaing berniaga dengan anak yang tak sekaya bapa. Adil ke tu?
Nampaknya setakat ini dulu yang dapat saya tanya. Mari kita dengar apa jawapan dari pihak 1MDB. Saya amat berharap saya tidak tersalah dalam mengira. Jika ianya berlaku juga, sila maklumkan kepada saya untuk saya buat pembetulan. Wassalam.

Ikhlas

Haji Cerenkova
Aku bukan seorang “village idiot”)