Monday, February 4, 2013

INTERNATIONAL MEETING ON RADIATION PROCESSING (IMRP) - BAHAGIAN 2

(Bersambung dari Bahagian 1)

Malam selepas temubual oleh jawatankuasa pemilih akan diadakan pula “Gala Dinner”. Semua peserta akan mengenakan baju sut dengan tali  leher bagi lelaki. Pada malam ini juga akan di umumkan bandaraya tuan rumah bagi IMRP seterusnya. Saya telah mengenakan baju sut terbaik saya dengan tali leher warna merah. Sebelum masuk ke dewan jamuan hotel, ada “cocktail reception” di lobi dewan. Semua yang boleh “minum” akan memegang gelas wine masing-masing sambil berbual ringan sesama perwakilan. Saya seperti biasa dengan segelas coke ditangan akan berlegar sambil bertegur sapa dengan rakan-rakan yang saya kenali. Kebanyakan perwakilan memberikan pandangan bahawa Jepun akan terpilih memandangkan bahawa Jepun sebenarnya dijemput untuk menyertai bidaan oleh penganjur tidak seperti Malaysia dan China yang menawarkan diri secara sukarela. Jadi pada pendapat mereka adalah memalukan pihak penganjur dan Jepun jika bidaan Jepun gagal. Kawan-kawan saya dari Kanada walau bagaimana pun amat yakin bahawa Malaysia akan berjaya. George West begitu yakin bahawa mereka telah berjaya menukar persepsi negatif Malaysia pada pandangan kebanyakan perserta persidangan kepada persepsi positif. Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia juga di lihat mempunyai kekangan bila tiba soal makanan dan minuman halal/haram. Tetapi itu semua sudah saya jelaskan dengan mendalam semasa interview pagi tadi.
Bergambar dengan rakan semeja dari Peranchis.
Saya memilih untuk tidak mengisi meja di depan pentas. Saya memerhati sekeling dan saya nampak sekumpulan peserta persidangan dari Perancis dan meja mereka nampaknya punya beberapa tempat duduk yang masih kosong. Salah searang dari mereka memang amat saya kenali sebab syarikat dia membekalkan beberapa barangan dan mesin peralatan kepada syarikat tempat saya berkerja. Bila melihat saya datang, kawan saya itu terus mengajak saya duduk bersama mereka. Saya tanpa banyak berfikir terus duduk bersama. Sebelum duduk, saya bersalaman sambil memperkenalkan diri dengan setiap yang duduk di meja tersebut. Mereka mengangguk-angguk sambil berkata “Malaysia? Malaysia very good”. Rupanya ada juga antara mereka yang telah menjejakkan kaki ke Malaysia. Saya terus berbual dalam bahasa Inggeris dengan kawan yang duduk di sebelah saya sedangkan yang lain rancak berbual sesama sendiri dalam bahasa Peranchis sambil meneguk wine kegemaran masing-masing. Malam tu “wine on the house” jadi riuh jugalah meja saya jadinya. Tak lama kemudian diumumkan bahawa makan malam akan bermula. Maka dengan itu bermulah juga dilema saya.

Semasa persidangan di siang hari, makanan halal dan kosher ada di sediakan di atas meja khas. Jadi saya tak perlu nak pergi jauh-jauh. Saya terus dapatkan meja makanan halal dan kosher ini untuk memilih makanan yang sesuai buat selera saya.  Memang tak berapa lalu tekak saya dengan makanan di sini. Selalunya saya ada bawa makanan sendiri terutama serunding dari Malaysia dan akan makan dalam bilik seorang diri kalau saya rasa lapar. Saya juga banyak membeli buah-buahan dan saya simpan dalam peti ais bilik hotel. Jadi semasa gala dinner ini saya terus memesan makanan halal dari “waiter”.

Sambil menunggu makanan, saya meneguk air coke dalam gelas  saya serta meneruskan bualan dengan kawan di kerusi sebelah. Bila makanan saya sampai, saya cuma lihat sayur dan filet ikan dengan sos dalam pinggan. Pengalaman saya belajar selama 6 tahun di luar negara membuatkan saya boleh memakan apa sahaja makanan selain daging babi. Dengan lafas “bismillah” saya suap makanan ke dalam mulut. Akhirnya satu pinggan habis saya makan. Setelah selesai  makan,  maka bermulalah bahagian bagi pengumuman tuan rumah bagi IMRP yang akan datang.

Saya buat-buat muka selamba sahaja sebab kalau Malaysia gagal maka saya tak akan terasa malu sangat. Pengerusi IMRP Chicago pun dijemput ke atas pentas untuk membuat ucapan serta mengumumkan kotaraya pembida yang berjaya. Dalam hati saya kuat mengatakan Jepun sudah pasti akan diserahkan kerja-kerja bagi tuan rumah IMRP 2006. Siapa yang mampu lawan bidaan Jepun? Bagi saya cukuplah saya mengetahui bahawa saya telah menjalankan usaha terbaik saya untuk mempromosi Kuala Lumpur dan Malaysia di Chicago ini.
Bergambar dengan Robert Moss, Pengerusi JK Pelaksana IMRP 2003 Chicago,
Gord Ashfield dan isteri.
Pengerusi akhirnya mengumumkan -  “After much deliberations by the selection Committee, I hereby declare Kuala Lumpur, Malaysia as the host of out next IMRP conference”. Betul ke apa yang aku dengar ni? Gery Defalco, George West dan Gord Ashfiled, tiga orang sahabat saya yang kuat membantu dalam kerja-kerja membida terus datang ke meja saya untuk mengucapkan tahniah. Betapa bangganya saya rasa apabila dipanggil naik ke pentas untuk memberikan ucapan ringkas apabila nama Malaysia dan Kuala Lumpur diumumkan sebagai pembida yang berjaya. Dari bahagian tengah dewan saya berjalan perlahan ke pentas. Berlatar belakangkan video dari Tourism Malaysia yang dipancarkan ke screen besar pentas, dengan di sinari lampu saya dapat lihat kebanyakan peserta lain berdiri sambil bertepuk tangan dan bersorak tanda setuju dengan pemilihan pengerusi. Wow, “standing ovation”, man.

Saya rasa kebanyakan peserta lain tak sangka akan pemilihan Malaysia tapi bila nama Malaysia di umumkan, mereka rasa amat teruja umpama menyokong bidaan pihak “underdog”. Dalam ucapan ringkas, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada JK pemilih kerana memilih Malaysia. Saya ulangi sekali lagi janji saya untuk memastikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah terbaik dalam sejarah IMRP. Turun sahaja dari pentas saya terus mendapatkan delegasi China dan Jepun untuk bersalam sebagai tanda rendah diri saya. Saya tahu mereka memang amat kecewa pada malam itu. Ketua delegasi Jepunlah yang paling terkejut apabila Malaysia di pilih dan saya sempat bergambar dengan beliau yang bermasam muka kerana “kekecewaan yang amat bersangatan”.
Bergambar dengan ketua delegasi Jepun sejurus selepas KL, Malaysia diistiharkan 
sebagai pemenang. Mak oii, masamnya muka dia.
Saya pergi dari satu meja ke satu meja bagi menerima ucapan tahniah sambil menaikkan gelas berisi coke aksi “yamseng”. Huh, memang bangga sugguh saya. Ini betul-betul satu sejarah yang paling gemilang. Habis pengumuman, majlis tari menari pun bermula. George West dengan isterinya Mrs Browyn antara yang paling mula masuk untuk menari. Saya memerhatikan sahaja. Tak lama lepas itu saya meminta diri untuk balik ke bilik hotel untuk menalipon “boss” saya di KL mengenai kejayaan Malaysia ni. Mungkin dia juga tidak sangka akan kejayaan ini. Esok paginya hampir semua peserta persidangan sudah mengenali saya. Hei, Malaysia – congratulations.
Gambar sahabat baik dan "sifu" saya George West, CEO Steritech, Australia
 dan isteri Mrs Browyn (kanan sekali) sudah bersiap untuk menari.
Itulah cerita saya dalam membida IMRP 2006. Akhirnya Malaysia berjaya dalam mengatur persidangan IMRP 2006 tersebut dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak sebagai perasmi persidangan. Memang betul pun IMRP 2006 telah diiktiraf sebagai IMRP terbaik yang pernah diadakan. Bukan itu sahaja, penganjur SterilGamma berjaya membuat keuntungan lebih RM200,000 dari pengajuran IMRP tersebut. Untuk makluman, semua kerja-kerja penganjuran terdahulu tidak pernah menghasilkan keuntungan, malah kerap sahaja kerugian.

InsyaAllah saya akan sambung di Bahagian 3 nanti mengenai IMRP 2006 di KL dan bagaimana pihak penganjur membuatkan para peserta begitu kagum dengan negara kita, Malaysia.

UnclearEngineer

2 comments:

  1. wow tumpang bangga.....saya seronok baca pengalaman2 hebat sebegini...ada sesuatu yg dapat saya belajar darinya.... bagaimana cara untuk mendekati org ramai dan menjual diri...terima kasih ...

    keep charging En. Yaziz...saya nantikan sambungan cerita ini...

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum en yaziz...im impress with you..semangat anak malaysia yg cukup hebat..
    saya turut berbangga sebagai pelajar nuklear eng di Malaysia...

    ReplyDelete

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.