Thursday, December 19, 2013

PESAN TERAKHIR ABAH

Tak ingat jika ada pesanan terakhir dari abah sebelum dia pergi. Aku cuba mengingat-ingat kembali, sah memang tak ada walaupuan abah menghembuskan nafas terakhir dia di depan aku. Masa itu aku sedang mengelap badannya yang masih basah selepas sahaja aku selesai mandikan dia.

Beberapa minggu sebelum itu, abah ku dah tak boleh lagi bergerak. Dia lumpuh akibat serangan angin ahmar di kampung. Selepas beberapa hari terlantar di hospital, aku bawa abah keluar ke rumah ku di Bandar Baru Bangi. Di Bandar Baru Bangi juga lah dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Semasa hidup dia, abah seorang yang kurang bercakap. Dengan anak-anaknya pun dia begitu. Aku adik beradik memang semuanya takut dengan abah. Dia kepantangan jika kami adik beradik berbuat sesuatu yang tak baik. Dia akan datang dan akan terus menerkam dengan rotan ditangan.  Abang Long ku pernah dirotan teruk apabila abah dapat tahu dia menghisap rokok dengan kawan-kawan. Sejak hari itu kami adik beradik tak pernah cuba menghisap rokok lagi sehinggalah kini.

Abah sebelum pencen bekerja sebagai seorang konstabal polis. Sebelum masuk polis dia pernah bekerja dengan tentera udara British di Singapura. Masa itu Malaya masih lagi belum merdeka. Dari cerita yang ku curi dengar, abah pernah dihantar oleh tentera British bertugas ke Hong Kong. Jadi dia bukan orang kampung sangat, kerana dia pernah berkhidmat diperantauan semasa muda dia. Dia berkahwin dengan ibu aku bukanlah atas dasar cinta. Orang masa itu semuanya menyerahkan soal rumah tangga kepada orang tua. Wan Saami, nenek aku yang meminang ibu ku untuk dinikahi abah. Abah dan emak menurut sahaja.

Sesuatu yang aku perhati tentang abah adalah sikap hormatnya pada orang tua. Kalau balik kampung, dia amat merendah suara jika bercakap dengan Mak Ulu dan Acik Terisah, dua orang kakak dia. Dia anak bongsu dan sudah tentu juga amat disayangi oleh kedua-dua kakaknya ini. Seorang lagi abang dia bernama Cikgu Yusof Majid. Semua orang di Seri Menanti termasuk DYMM Tuanku Jaafar, YamTuan Besar Negeri Sembilan terdahulu, kenal dia. Tuanku Jaafar dan Pak Lang Yusuf sama bersekolah di Kuala Pilah dulu. Aku tahu kerana aku telah diberitahu sendiri oleh Tuanku Jaafar sendiri semasa aku mengadap Tuanku.

Dua orang kakaknya dan Pak Lang Yusuf merupakan tempat abah selalu mengadu. Jika tidak dengan abang dan kakaknya ini, abah akan hanya berdiam diri. Walau apa pun dugaan yang kesusahan yang dia alami dan harungi, dia tak kan bercerita pada sesiapa pun. Kami anak-anak dia pun tak tahu akan masaalah yang dihadapi. Abah bukan jenis manusia yang suka berkonfrantasi. Dia lebih suka diam dan mengalah dalam segala hal. Kalau dia ambil tindakan pun, dia akan menyepikan diri sendiri. Masa itu baharulah aku tahu bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan abah. Pernah dia merajuk meninggalkan kampung emak dan tinggal dengan Acik Terisah, salah seoarang kakak dia sebab dia dah tak tahan dengan leteran emak yang kadang-kadang tak pernah berkesudahan.

Abah tak pernah bercerita dan menasihat anak-anak macam abah-abah yang lain. Tak perasan jika dia menasihati aku supaya kuat belajar. Yang kita tahu apabila dia melakukan sesuatu, maka itulah tanda dia amat mengambil berat. Umpama, jika aku meminta sesuatu tentang hal perbelanjaan melibatkan sekolah, dia akan cuba dapatkan walaupun aku tahu dia tak punya sumber kewangan yang mencukupi. Entah berhutang ke dia dengan kawan-kawan atau ada duit simpanan dia yang aku tak tahu. Yang penting dia akan cuba carikan sampai dapat supaya tak tergendala pelajaran anak-anak dia.

Di sekolah aku seorang murid yang aktif – pengawas kanan, ketua darjah, mewakili sekolah dalam sukan hoki dan badminton dan pelari jarak dekat 100m dan 200m. Semua cikgu kenal aku tapi mereka selalu bertanya, mana satu abah kau, Yaziz? Abah tak pernah datang ke mesyuarat PIBG, dia juga tak pernah berjumpa Guru Kelas ku untuk menanya tentang prestasi pelajaran ku. Jadi macam mana cikgu nak kenal dengan dia?

Dia seorang konstabel polis yang hidup sederhana. Tinggal di berek polis dengan konstabel-konstabel polis yang lain. Rumah orang ada TV tapi rumah kami tak ada. TV 2nd hand pun abah tak mampu beli. Abah bukan kaki minum di warong. Habis sahaja kerja rondaannya dia akan balik ke rumah. Kadang-kadang aku hairan bila lihat singlet (baju dalam) abah yang berlubang-lubang. Mungkin agaknya dia lebih rela menghabiskan duit gaji dia membeli keperluan keluarga dan anak-anaknya seramai 6 orang dari berbelanja untuk diri dia sendiri. Sembahyang 5 waktu nya tak pernah tinggal. Semua anak-anaknya di ajar mengaji sendiri. Dah besar baru aku sedar kenapa.

Apa ye pesanan terakhir abah? Memang tak ada yang dipesan pada aku mahupun adik-adik yang lain. Tapi kehidupan yang dilalui membuatkan aku sedar bahawa abah ingin aku mencari sendiri apa yang dia mahu supaya kami contohi. Tak lain tak bukan, abah mahu kami percaya “bahawa hidup ini biarlah seadanya tapi dari wang titik peluh yang halal”. Mungkin itulah “pesan” terakhir abah buat aku adik beradik yang akan aku pegang sampai mati.

Semoga Allah ampunkan segala dosa abah ku, Tuan Haji Yunus bin Haji Majid. Amin.

UnclearEngineer