Sunday, December 25, 2011

MERRY CHRISTMAS DAN KESANNYA KEPADA AKIDAH SEORANG MUSLIM

Saya mulakan komen saya pada pagi Disember 25, 2011 ini dengan ucapan - Merry Christmas to all my Christian friends.

Bercerita pasal ucapan Merry Christmas ni saya ada terbaca baru-baru ini satu tulisan (tak ingat dalam internet atau pun dalam akhbar arus perdana) mengenai isu ini.

Menurut mereka yang “berilmu” ini, kita orang Islam tidak boleh mengucapkan perkataan “Merry Christmas” ini kepada sahabat kristian kita. Katanya ini kerana dengan berbuat demikian mampu memesongkan akidah kita sebagai Muslim sejati. Habis sahaja saya baca tulisan tersebut, maka berkatalah dalam hati saya “dah mulalah dah tu, satu lagi polimik akan timbul”.

Saya dah pun berumur 56 tahun. Sepanjang umur dewasa saya terutama semasa menuntut selama 6 tahun di  luar negara, saya punya ramai rakan yang beragama kristian (separuhnya saya tak pernah tengok dia orang pergi sembahyang kat gereja pun tapi saya pasti mereka ni kristian). Saya telah mengucapkan “Merry Christmas” ni kepada kawan-kawan saya ini saban tahun. Pada waktu ini pun masih lagi  saya lakukannya melalui email. Saya tak pernah pun rasa goyah akidah saya terhadap Islam setiap kali datang hari krismas. Malah saya rasa akidah saya makin kuat terutama apabila umur saya makin meningkat. Jadi saya tak faham kenapa ada orang yang punya ilmu “tinggi” ni kata begitu?

Sebelum saya menulis lebih lanjut di sini, ingin saya ingatkan pembaca bahawa saya bukan penganut fahaman “pluralisma” yang heboh diperkatakan baru-baru ini. Bagi saya, Islam tetap “the one and only” agama yang benar, benar sebenar-benarnya dan bukan agama lain. Saya mengucapkan Merry Christmas ni kepada kawan-kawan kristian saya saban tahun atas sifat saya menghormati hari kebesaran agama rakan saya ini. Itu sahaja. Perkataan di sini adalah “menghormati”. Jadi kenapa kita perlu bimbang sehingga kita perlu menghalang perbuatan ini atas sebab ia mampu mengoncang akidah dan keimanan kita?

Tak lama dulu kita pernah heboh tentang isu seorang Tok Guru yang di katakan hebat ilmu agamanya yang mengatakan “Allah itu samseng”. Saya faham apa maksud sebenar yang mahu di sampaikan oleh Tok Guru ini tapi cara menyampaikan maksud ini saya rasa sudah melebihi batas kita sebagai seorang insan. Mengatakan Allah mempunyai sifat buruk seperti samseng memang tak kena sungguh. Ini saya rasa memang mampu menggoyang akidah kita jika kita benar-benar percaya begitu. Tapi mengucapkan Merry Christmas ni lain. Tiada unsur-unsur negatif tentang agama Islam dan Allah yang kita sembah, hanya menghormati hari kebesaran tanpa mengiktiraf kebenaran agama kristian itu sendiri. Kau dengan  agama mu dan aku dengan agama ku. Jadi apa masaalahnya?

Bila saya fikrkan dalam dalam, maka saya terfikir jika perkara mengucapkan “Merry Christmas” ni pun boleh melencongkan akidah kita, maka saya rasa entah beberapa kerat sahaja agaknya orang Islam “tulin” yang masih tegak berjalan di muka bumi ini. Harus sahaja majoriti yang mengaku Islam ni sudah lama gugur akidah masing-masing, betul tak logik saya? Bercerita pasal logik ni, ada pula orang yang tinggi ilmu ini berkata bahawa Islam bukan di lihat secara logik-logik. Saya jawab kembali jika Islam ini paling benar, kenapa Islam itu sendiri tak mampu memenuhi pemikiran secara logik manusia? Wah ini dah melencong dari tajuk pula ni. Saya takut nanti yang kata saya pula dah terpesong………… dan perlu betaubat. Jadi kita tinggal dulu isu logik melogik dalam kepercayaan beragama ni sehingga kita berjumpa dalam perbincangan di tajuk ini nanti. Itu pun jika saya ada mood nak menulis pasal tajuk ini.

Saya melihat terlalu banyak sangat pendapat yang di keluarkan oleh orang-oarang bijak pandai dan tinggi agama mengenai isu akidah ini. Si ulama dari kumpulan A kata, sebab dia tak percaya dengan penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam maka gugurlah Islamnya. Si ulama dari kumpulan B pula kata sebab dia kata Allah itu samseng dan boleh berkawan dengan syaitan maka dialah sebenarnya yang terkeluar dan terpesong akidahnya.  Semuanya kata dia punya nas yang sahih. Kalau kita fikir betul-betul, sebenarnya berapa sangatlah orang Islam yang benar benar Islam kat Malaysia ni kan? Kebanyakan nya dah terpalit akidah masing-masing jika kita percaya dengan semua hukum yang diturunkan oleh orang-orang yang tinggi ilmunya ini. Nak cerita negara Islam macam mana jika orang Islam tulinnya dah jadi minoriti!

Mintalah sahabat-sahabat saya yang pandai ilmu agama ini mengupas sikit isu yang saya bangkitkan ini. Tetapi saya pohon kalau boleh tulislah dengan ringkas dan tidak berbelit-belit supaya mudah bagi saya  memahaminya. Sementara itu saya nak bersiap-siap untuk bertemu rakan saya Marvin Lee pada tengah hari ini. Semalam saya dah ucapkan “Merry Christmas” pada beliau.


UnclearEngineer

No comments:

Post a Comment

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.