Tak ingat jika ada pesanan terakhir dari
abah sebelum dia pergi. Aku cuba mengingat-ingat kembali, sah memang tak ada
walaupuan abah menghembuskan nafas terakhir dia di depan aku. Masa itu aku
sedang mengelap badannya yang masih basah selepas sahaja aku selesai mandikan
dia.
Beberapa minggu sebelum itu, abah ku dah
tak boleh lagi bergerak. Dia lumpuh akibat serangan angin ahmar di kampung.
Selepas beberapa hari terlantar di hospital, aku bawa abah keluar ke rumah ku
di Bandar Baru Bangi. Di Bandar Baru Bangi juga lah dia menghembuskan nafas terakhirnya.
Semasa hidup dia, abah seorang yang
kurang bercakap. Dengan anak-anaknya pun dia begitu. Aku adik beradik memang semuanya
takut dengan abah. Dia kepantangan jika kami adik beradik berbuat sesuatu yang
tak baik. Dia akan datang dan akan terus menerkam dengan rotan ditangan. Abang Long ku pernah dirotan teruk apabila
abah dapat tahu dia menghisap rokok dengan kawan-kawan. Sejak hari itu kami
adik beradik tak pernah cuba menghisap rokok lagi sehinggalah kini.
Abah sebelum pencen bekerja sebagai seorang
konstabal polis. Sebelum masuk polis dia pernah bekerja dengan tentera udara British
di Singapura. Masa itu Malaya masih lagi belum merdeka. Dari cerita yang ku
curi dengar, abah pernah dihantar oleh tentera British bertugas ke Hong Kong.
Jadi dia bukan orang kampung sangat, kerana dia pernah berkhidmat diperantauan
semasa muda dia. Dia berkahwin dengan ibu aku bukanlah atas dasar cinta. Orang
masa itu semuanya menyerahkan soal rumah tangga kepada orang tua. Wan Saami, nenek
aku yang meminang ibu ku untuk dinikahi abah. Abah dan emak menurut sahaja.
Sesuatu yang aku perhati tentang abah
adalah sikap hormatnya pada orang tua. Kalau balik kampung, dia amat merendah
suara jika bercakap dengan Mak Ulu dan Acik Terisah, dua orang kakak dia. Dia
anak bongsu dan sudah tentu juga amat disayangi oleh kedua-dua kakaknya ini.
Seorang lagi abang dia bernama Cikgu Yusof Majid. Semua orang di Seri Menanti
termasuk DYMM Tuanku Jaafar, YamTuan Besar Negeri Sembilan terdahulu, kenal
dia. Tuanku Jaafar dan Pak Lang Yusuf sama bersekolah di Kuala Pilah dulu. Aku
tahu kerana aku telah diberitahu sendiri oleh Tuanku Jaafar sendiri semasa aku
mengadap Tuanku.
Dua orang kakaknya dan Pak Lang Yusuf
merupakan tempat abah selalu mengadu. Jika tidak dengan abang dan kakaknya ini,
abah akan hanya berdiam diri. Walau apa pun dugaan yang kesusahan yang dia
alami dan harungi, dia tak kan bercerita pada sesiapa pun. Kami anak-anak dia
pun tak tahu akan masaalah yang dihadapi. Abah bukan jenis manusia yang suka
berkonfrantasi. Dia lebih suka diam dan mengalah dalam segala hal. Kalau dia
ambil tindakan pun, dia akan menyepikan diri sendiri. Masa itu baharulah aku tahu
bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan abah. Pernah dia merajuk meninggalkan
kampung emak dan tinggal dengan Acik Terisah, salah seoarang kakak dia sebab dia
dah tak tahan dengan leteran emak yang kadang-kadang tak pernah berkesudahan.
Abah tak pernah bercerita dan menasihat anak-anak
macam abah-abah yang lain. Tak perasan jika dia menasihati aku supaya kuat
belajar. Yang kita tahu apabila dia melakukan sesuatu, maka itulah tanda dia
amat mengambil berat. Umpama, jika aku meminta sesuatu tentang hal perbelanjaan
melibatkan sekolah, dia akan cuba dapatkan walaupun aku tahu dia tak punya sumber
kewangan yang mencukupi. Entah berhutang ke dia dengan kawan-kawan atau ada
duit simpanan dia yang aku tak tahu. Yang penting dia akan cuba carikan sampai
dapat supaya tak tergendala pelajaran anak-anak dia.
Di sekolah aku seorang murid yang aktif –
pengawas kanan, ketua darjah, mewakili sekolah dalam sukan hoki dan badminton
dan pelari jarak dekat 100m dan 200m. Semua cikgu kenal aku tapi mereka selalu
bertanya, mana satu abah kau, Yaziz? Abah tak pernah datang ke mesyuarat PIBG,
dia juga tak pernah berjumpa Guru Kelas ku untuk menanya tentang prestasi pelajaran
ku. Jadi macam mana cikgu nak kenal dengan dia?
Dia seorang konstabel polis yang hidup
sederhana. Tinggal di berek polis dengan konstabel-konstabel polis yang lain.
Rumah orang ada TV tapi rumah kami tak ada. TV 2nd hand pun abah tak
mampu beli. Abah bukan kaki minum di warong. Habis sahaja kerja rondaannya dia
akan balik ke rumah. Kadang-kadang aku hairan bila lihat singlet (baju dalam)
abah yang berlubang-lubang. Mungkin agaknya dia lebih rela menghabiskan duit
gaji dia membeli keperluan keluarga dan anak-anaknya seramai 6 orang dari berbelanja
untuk diri dia sendiri. Sembahyang 5 waktu nya tak pernah tinggal. Semua
anak-anaknya di ajar mengaji sendiri. Dah besar baru aku sedar kenapa.
Apa ye pesanan terakhir abah? Memang tak
ada yang dipesan pada aku mahupun adik-adik yang lain. Tapi kehidupan yang
dilalui membuatkan aku sedar bahawa abah ingin aku mencari sendiri apa yang dia
mahu supaya kami contohi. Tak lain tak bukan, abah mahu kami percaya “bahawa
hidup ini biarlah seadanya tapi dari wang titik peluh yang halal”. Mungkin itulah
“pesan” terakhir abah buat aku adik beradik yang akan aku pegang sampai mati.
Semoga Allah ampunkan segala dosa abah
ku, Tuan Haji Yunus bin Haji Majid. Amin.
UnclearEngineer
Apabila membaca tulisan ku ini, air mata ku jatuh berderai.
ReplyDelete