Sunday, July 22, 2012

SEJARAH PERINTIS TEKNOLOGI NUKLEAR - PART 1


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Artikel ini saya tulis sebagai mengingati satu lembaran sejarah negara bagi ditatapi oleh generasi akan datang. Cerita tentang sekumpulan anak muda Melayu yang terlibat dalam meneroka bidang teknologi nuklear di rantau orang hampir 34 tahun yang lalu. Semoga akan dapat dimenafaatkan sebagai pengorbanan  untuk  pembangunan negara.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Saya merupakan antara beberapa kerat pelajar Melayu yang dipilih sebagai perintis kepada program membangunkan keupayaan teknologi nuklear oleh kerajaan Malaysia melalui Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) hampir 34 tahun yang lampau. Kebanyakan kami telah dihantar ke Radiation Center, Oregon State University, USA untuk menimba sebanyak mungkin  ilmu dalam kejuruteraan nuklear dan kendalian reaktor.

Masih saya ingat tanggal September 1978, empat (4) anak muda Melayu berangkat ke US menaiki penerbangan MAS ke Tokyo dan kemudiannya menyambung perjalanan kami ke San Fransisco sebelum menaiki penerbangan ke Lapanganterbang  Eugene, Oregon. Di sana seorang senior kami (pegawai PUSPATI) sudah sedia menunggu untuk membawa kami ke bandar Corvallis, Oregon. Dari hari itu bermulalah kehidupan kami sebagai mahasiswa selama 3 ½ tahun di Oregon State University (OSU). Keempat-empat kami terdiri dari Idris Besar (graduan UM dalam fizik, budak Kelantan, sekarang bergelar Dr.), Abd. Rahman (graduan UM dalam fizik, dibesarkan di Singapura dan sekarang tak dapat dikesan), Puad Hj. Abu (graduan UTM dalam kejuruteraan mekanikal, budak Rembau, sekarang juga telah bergelar, Dr.) dan akhir sekali saya, graduan UTM dalam kejuruteraan mekanikal berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Saya sendiri sebenarnya telah ditawarkan Biasiswa Federal bagi menyambung pelajaran ke UK dalam bidang kejuruteraan mekanikal tetapi saya tolak untuk menyahut panggilan bagi merintis satu bidang teknologi baru bagi negara. Semangat kami begitu berkobar-kobar untuk menyumbangkan bakti pada negara tercinta.

Sebenarnya, penubuhan PUSPATI diilhamkan oleh Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu selepas beliau melawat pusat penyelidikan nuklear Indonesia di Bandung. Bermula pada 1976/77, PUSPATI telah mula menghantar kakitangan perintis untuk melanjutkan pengajian dalam teknologi berkaitan nuklear ke luar negara. Sebelum saya sampai ke OSU, terdapat lima (5) kakitangan PUSPATI yang telah pun menjalani latihan di sana. Mereka terdiri dari Dr. Ahmad Tajudin Ali (graduan Univ. London dalan kejuruteraan nuklear, berasal dari Perlis dan sekarang bergelar Tan Sri), Ir. Kasbun Kamat (graduan Uni. of Glasgow dalam kejuruteraan mekanikal,  berasal dari Klang), Ir. Razali Hamzah (graduan UK dalam bidang elektronik, berasal dari Juaseh, Kuala Pilah), Ir. Nahrul Khair Alang Rashid (graduan UK dalam kejuruteraan elektronik berasal dari Perak dan sekarang Prof Madya di UIAM) dan Yusof Ali (graduan UKM dalam fizik, berasal dari Johor). Walau bagaimanapun, empat senior saya di OSU (melainkan sdr. Yusuf Ali) ini telah pun hampir menamatkan latihan dan sudah bersedia untuk bergerak ke tempat latihan baru di US sebelum balik ke Malaysia.

Di OSU, rutin harian kami adalah sebagai pelajar dengan mengambil kursus-kursus yang berkaitan dengan teknologi nuklear dan pada masa yang sama saya dan sahabat saya dari UTM, Mohd. Puad Abu terpaksa menjalani latihan mengendali reaktor penyelidikan yang terdapat di Radiation Center, OSU dan mengambil peperiksaan sebagai Pengendali Reaktor bertauliah yang dijkendalikan oleh US Nuclear Regulatory Commission (USNRC). Dua lagi kawan saya, Idris Besar dan Abd Rahman pula akan menamatkan ijazah sarjana masing-masing sambil menimba pengalaman sebagai ahli fizik kesihatan (health physicist). Sebagai pelatih di Radiation Center, saya dan Puad amat disenangi oleh jurulatih-jurulatih kami sebab kami ringan tangan membantu dalam setiap kerja yang di suruh dan tak di suruh oleh jurulatih dan penyelia kami. Kedua-dua kami terutama Puad selalu di panggil sebagai “lover boy” dan SS (bemakna stupid student). Kami berdua menerima gelaran tersebut dengan senang hati dan ini membuatkan Bill Carpenter, jurulatih kami tidak lokek untuk mengajar kami semua selok belok dalam mengendalikan reaktor nuklear dengan selamat.
Bergambar dengan jurulatih dan professor kami di Radiation Center, Oregon State Univ.
Satu dari kiri - Dr. Puad Abu, tiga dari kiri - Dr. Idris Besar dan dua dari kanan saya - Yaziz Yunus.  Jurulatih bagi pengendalian reaktor, Bill Carpenter berdiri dua dari kiri.
Radiation Center, OSU ditadbir oleh seorang professor  bernama Prof CH Wang. Beliau berasal dari China dan telah enggan balik ke China apabila tamat pengajian di US. Saya dan rakan-rakan memang gerun dengan Prof Wang ini. Cakap nya selalu sahaja sinis terutama terhadap pelajar Melayu dari Malaysia. Kenapa, saya pun tak mahu ambil tahu. Setiap kali selepas keputusan peperiksaan keluar, kami berempat terpaksa mengadap Prof. Wang ini. Didalam bilik dia, kami selalu mendengar perkataan yang memeritkan telingga. Ini kerana keputusan salah seorang dari kami, Abd. Rahman tidak begitu memberangsangkan. Dia selalu mengungkit-ungkit dan membandingkan keputusan kami dengan pelajar dari Taiwan dan China yang mendapat “straight As” . Why can’t you  Malaysians be like the Taiwan and China students? Huhu, memang berasap telingga. Tapi demi untuk menimba ilmu, saya dan rakan yang lain buat “masuk telinga kiri keluar telinga kanan” sahaja. Saya dan sahabat saya Puad pernah ditengking depan pelajar-pelajar lain oleh Prof Wang ini apabila kami gagal menamatkan satu tugasan yang beliau beri. Kata-kata Prof Wang ni masih tergiang di telingga saya sehingga hari ini – “you want to call yourselves an engineer when you can’t even complete this simple task I have given you?”. Mulai hari itu saya jadi berani dalam setiap tindak tanduk dan dalam kerja saya. Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya kenapa kami menjadi mangsa dan sasaran Prof. Wang ini.
Duduk di depan konsol sambil mengawasi kendalian
Reaktor TRIGA Mark II, Oregon State University..
Sebenarnya dalam kumpulan kami, Abd Rahman sedang menghadapi masalah peribadi. Beliau telah mengabaikan pelajaran dan suka bersendirian dalam biliknya. Mungkin mentalnya tak stabil.  Keputusannya setiap semester tidak menggalakkan dan inilah punca sindiran Prof Wang tersebut. Abd. Rahman akhirnya dipanggil pulang ke Malaysia dan sejak itu saya tak pernah berjumpa dengan dia sampai sekarang. Apakah dia jadi “tak sente” sebab matapelajaran yang di ambil? Neah, I don’t think so. Mungkin juga "cultural shock".

Salah seorang senior kami di OSU ialah Ir. Kasbun Kamat, anak Jawa yang berasal dari Kampung Uganda, Kelang. Wak Kasbun gelaran yang kami beri kepada dia, memang terkenal dengan muka “cenge” dan garangnya. Selepas kami mengadap Prof Wang, kami akan pula kena “lecture” dengan Wak Kasbun ni. Dia akan cuba membakar semangat kami untuk belajar bersungguh-sungguh demi membuktikan bahawa anak Melayu mampu menakluki teknolgi nuklear. Saya amat menghormati Ir. Kasbun ni, seorang nasioanalis Melayu yang amat tebal sifat kebangsaannya. Beliau pernah satu masa di lantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah, PUSPATI tetapi berhenti dalam keadaan yang amat “membingungkan” saya untuk berkhidmat pula dengan Shell Malaysia. Beliau merupakan salah seorang pengerak utama pembinaan kompleks termasuk reaktor penyelidikan di PUSPATI, Bangi.

Dipendekan cerita selepas 3 ½ tahun diperantauan - saya, Puad dan Idris Besar lulus dalam pengajian dan latihan kami dan pada 1981 berangkat pulang ke Malaysia. Selepas setahun, reaktor penyelidikan jenis TRIGA yang di beli dari General Atomic, Amerika Syarikat selesai di bina dan ditauliahkan. Kumpulan projek yang berjaya membina dan mentauliahkan reaktor tersebut terdiri dari mereka-mereka yang pernah berlatih di Radiation Center, Oregon State University.  Saya dan Puad menjadi tenaga utama kemudiannya dalam kerja-kerja pengendalian dan penyelenggaraan harian reaktor tersebut. Puad kemudiannya dipinjamkan ke Lembaga Perlesenan Tenaga Atom yang baru sahaja ditubuhkan sebagai salah seorang pengarah bahagian. Ketua Pengarah pertama LPTA pula ialah Ir. Kasbun Kamat  yang kami panggil sebagai Wak Kasbun tu. Sistem yang kami bina di PUSPATI masih lagi digunapakai di Agensi Nuklear Malaysia (dulunya dikenali sebagai PUSPATI) termasuk semua borang dan juga manual. Kebanyakan pengendali kanan Reaktor TRIGA PUSPATI sekarang ini pun merupakan "anak murid" yang kami latih dulu.




September ini genaplah 30 tahun Reaktor TRIGA PUSPATI dibina. Mungkin pihak Agensi Nuklear akan menyambutnya dengan satu sambutan besar-besaran. Saya berharap nama-nama yang saya sebutkan dalam artikel ini akan dijemput hadir bagi sama-sama meraikannya.


Selepas 30 tahun, apakah teknologi nuklear sudah berkembang maju seperti sepatutnya di Malaysia? Bagaimana dengan bekas jurutera seperti saya yang telah mengorbankan masa depan serta kerjaya untuk berkecimpung dalam teknologi ini? Jangan sesekali lupakan kami kerana ilmu dan pengalaman yang kami timba perlu dimenafaatkan spenuhnya oleh kerajaan.

Akan bersambung lagi di Part 2……….

UnclearEngineer

No comments:

Post a Comment

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.