Tuesday, July 24, 2012

SEJARAH PERINTIS TEKNOLOGI NUKLEAR - PART 2



CERITA SEBELUM MELANGKAH KE US

++++++++++++++++++++++++++++
Ada rakan yang ingin tahu kepada soalan terakhir saya dalam Part 1 mengenai perkembangan teknologi nuklear selepas 34 tahun. Sabar ye, mungkin saya akan jawab kemudian nanti.

Dalam sambungan bahagian ke 2 dan seterusnya, saya ingin bercerita tentang susah senang “saya dan keluarga” dalam mengejar segulong ijazah dan juga menjalani latihan praktikal bagi mendapatkan sehelai sijil tauliah pengendali reaktor nuklear.
+++++++++++++++++++++++++++

Kenapa saya kata, saya dan keluarga? Memang masa mula-mula pergi ke US saya hanya pergi berempat sahaja. Berlainan dengan rakan-rakan bertiga yang lain, saya telahpun berkahwin selepas saya lulus dari UTM sebelum menerima tawaran dari PUSPATI.
Gambar saya dan isteri, Nor Rihan Abdullah. Gambar ini di ambil sebulan selepas 
perkahwinan saya. Beberapa bulan kemudian saya terpaksa meninggalkan isteri saya  
dalam keadaan sarat mengandung untuk memulakan latihan saya di US. Berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul. 

++++++++++++
NOTA: Di belakang gambar ini tertulis - "Abang Yaz, renungilah gambar kita berdua ini agar hilang segala rindu & kesunyian di kala kita berjauhan. Salam rindu dengan penuh kasih sayang dari isterimu. Norihan 4/10/78."
++++++++++++


Sebenarnya saya merupakan pelajar tajaan JPA semasa di universiti dan sepatutnya selepas saya lulus dari UTM saya akan diserap ke dalam mana-mana jabatan kerajaan persekutuan. Banyak kawan-kawan saya di UTM yang ditindik terus dengan JKR melainkan saya dan sahabat saya, Puad (bersama dengan saya ke US) dan beberapa orang lagi. Nama kami telah dihantar ke Jabatan Kilang dan Jentera (sekarang dikenali sebagai DOSH). Selepas berapa bulan menanti panggilan melapor diri yang tak kunjung datang, saya mengambil keputusan untuk memohon kerja di sektor swasta.

Alhamdulillah, saya ditawarkan bekerja sebagai “Shift Technical Officer” di sebuah kilang penapisan minyak sawit yang terletak di Jalan Kem, Pelabuhan Kelang. Kalau tak silap saya nama syarikat itu adalah Socoil Corporation Sdn. Bhd, a “Chinaman” company. Melainkan Pengurus HR, kebanyakan pegawai atasan syarikat ini adalah orang China. Saya dan Abang Odzaly merupakan 2 kakitangan teknikal Melayu.  Saya melaporkan diri dengan Jurutera Kilang, Disebabakan saya adalah “Shift” Technical Officer, maka saya juga diperlukan untuk  buat kerja shift.

Berkerja di kilang ini merupakan satu kejutan budaya bagi saya. Manakan tidak, bekerja di sektor swasta dalam syarikat kepunyaan orang Cina bukanlah sesuatu yang saya impikan selama ini. Bagaimanapun, saya tetap kuatkan azam saya, untuk mengharungi semua ini dan menimba sebanyak mungkin pengalaman.

Hari pertama saya ditunjukkan sebuah bilik kecil dan di atas meja sudah tersusun beberpa fail tebal mengenai setiap sistem kilang termasuk ratusan lakaran/diagram serta berpuluh-puluh lukisan kejuruteraan yang berkaitan. Arahan pertama dari jurutera, “read all this manual and ask me if there is anything that you don’t understand”. Wow, ini merupakan pengenalan hari pertama bekerja di syarikat swasta. Terkejut beruk saya.“Macam mana aku nak faham semua sistem sebuah kilang? Bukan nak tanya apa yang aku tak faham, nak mula baca kat mana pun aku tak tahu!” kata ku dalam hati.

Dipendekkan cerita akhirnya saya berjaya mengharungi bulan pertama di kilang. Untuk tugasan selanjutnya saya diarahkan untuk mengubah sistem “deodorizer” bagi memperbaiki sistem yang sedia ada. Saya diberikan seorang juru kimpal, seorang pekerja Cina yang bagitu rajin tapi banyak cakap (talkative).  Selama beberapa minggu kami berdua berkerja sama-sama sehingga akhirnya dapat di sudahkan projek yang diberikan dengan jayanya. Selepas selesai projek pengubahsuaian, saya mula dimasukkan ke dalam kerja-kerja syif. Memang kerja syif ini amat mencabar terutama jika kita kena syif ketiga “the so called graveyard shift”. Kadang-kadang masuk pukul 11:00 malam dan hanya dapat balik tidur dengan selesa di bilik selepas pukul 12:00 tengahari keesokan harinya. Apabila ada problem dalam syif tersebut maka saya terpaksa menulis laporan dan menunggu Jurutera Kilang sampai untuk membuat laporan secara verbal pula. Jurutera Kilang pula selalu sampai lambat ke ofis. Puaslah menunggu. Saya sempat bertahan selama lebih setahun bekerja di kilang ini hinggalah saya di panggil oleh PUSPATI. Sebagai “government scholar” saya terpaksa meninggalkan sektor swasta untuk kembali bekerja di sektor awam bagi memenuhi kontrak perkhidmatan saya dengan kerajaan..

Selama setahun bekerja di Socoil, saya telah mengumpul sedikit sebanyak wang bagi perkahwinan saya dengan sepupu saya sendiri, Nor Rihan Abdullah (Kak An). Cerita bagaimana seorang pemuda pemalu “abang lebai” berkenalan dan akhirnya berkahwin dengan seorang gadis pingitan anak seorang peneroka di FELDA Bukit Rokan, Negeri Sembilan ini pun punya cerita panjangnya sendiri. Cerita ini biarlah menjadi sejarah dalam lipatan hati kami berdua. Jadi apabila saya berlepas ke US, saya telahpun berkahwin. Isteri saya, Nor Rihan pula sedang mengandung anak saya yang sulung. Kerana itu saya terpaksa tinggalkan dia di Malaysia dahulu.
Gambar semasa majlis menyarungkan cincin pertunangan. "Kak An" merupakan peminat setia Rafeah Buang. Masa mudanya juga ada iras-iras Rafeah Buang.

Kenapa saya bercerita tentang kerja saya di Socoil? sebenarnya pengalaman pertama bekerja di Socoil amat berharga bagi saya. Saya dapat melihat bagaimana tekun dan rajinnya kakitangan Cina bekerja. Diskriminasi perkauman dalam pekerjaan. Bagaimana hidup di kalangan manusia yang bercakap dalam bahasa yang kita tak faham. Mungkin juga mereka sedang bercerita dan mengumpat kita. Siapa tahu? Semua ini telah membina persepsi saya mengenai kehidupan masyarakat majmuk dalam Malaysia ni.

Semua pengalaman ini telah memberikan saya pengajaran yang secukupnya apabila kemudiannya saya menjawat jawatan sebagai pegawai penyelidik di PUSPATI, pengurus kilang, pengarah teknikal dan juga sebagai pengarah urusan syarikat dalam kerjaya saya seterusnya.

Pengalaman yang saya lalui di Socoil ini jugalah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk masuk menjadi ahli dan bergerak aktif dalam UMNO pada awal tahun 1990an walaupun saya pernah berjinak-jinak dengan ABIM dan pernah menjadi anak murid Ustaz Fadhil Nor semasa zaman mahasiswa saya di UTM sebelum ini. Bagi saya hanya UMNO merupakan wadah terbaik orang Melayu di Malaysia.

Bersambung di Part 3…………

UnclearEngineer

1 comment:

  1. as salam pok chik UE....

    lama saya ternanti2 cerita pok chik yg sebegini.... seronok mendengar kisah org lama2...ketekunan dan semangat yg kental mengharungi kepayahan amat saya kagumi....

    ReplyDelete

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.