Sunday, July 8, 2012

DATO NIK AZIZ DAN ASABIAH PAS


Tertarik amat saya membaca pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya chedet.cc mengenai PAS dan mainan politik Dato Nik Aziz Nik Mat.

Pandangan Tun mengenai PAS akan mengekalkan pemerintahannya di Kelantan selepas PRU 13 ini mungkin akan melemahkan semangat jentera PRU 13 UMNO di Kelantan atau mungkin juga akan menaikkan lagi semangat juang UMNO untuk membuktikan kepada Tun bahawa rakyat Kelantan sudah bersedia untuk berubah angin.

Ketaksuban orang Kelantan terhadap Dato Nik Aziz Nik Mat memang satu yang legendari. Beliau memang dihormati oleh ramai orang sehingga ramai yang akan akur dengan apa yang terpacul keluar dari mulut beliau walau bagaimana tak logik dan katun bunyinya. Ini bukan sahaja melibatkan rakyat biasa tetapi juga melibatkan gulongan intelektual juga. Satu cerita dan pengalaman saya mengenai peminat setia Dato Nik Aziz ini.

Saya ada seorang sahabat yang mempunyai ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Nuklear dan PhD dalam Kajilogam. Kedua-duanya diperolehi dari universiti luar negara. Beliau saya lihat seorang yang alim dan warak dan saya merasa amat selesa bersahabat dengan beliau. Kalau pergi mesyuarat atau seminar/persidangan beliau akan menampilkan imej yang amat baik samaada bertali leher serta sut yang bersesuaian. Janggut beliau pun sentiasa dijaga rapi. Dalam bidang beliau, beliau merupakan seorang pakar dan telah pergi merata tempat di dunia memberikan perkhidmatan kepakaran beliau. Selepas balik kerja dari pejabat, beliau akan bertukar pakaian memakai jubah dan serban apabila tiba waktu untuk bersembahyang di surau berdekatan. Saya selalu terpesona dan kagum dengan sahabat saya ini. Kepada saya, beliau pernah berkata bahawa beliau tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti walaupun saya tahu dari percakapan, beliau sebenar tak berapa suka kepada UMNO.

Satu hari  saya dan sahabat saya ni telah bersama-sama dalam satu perbincangan yang di adakan di Kota Baru, Kelantan. Seperti biasa kami selalu bertukar-tukar pandangan mengenai tajuk yang dibincangkan sambil menyelitkan gurauan mengenai politik UMNO/PAS jika ada peluang. Saya selalu senyum sinis dengan apa yang beliau katakan. Satu pagi, entah macam mana topik mengenai rasuah terkeluar dari mulut beliau. Saya pun sambil lewa buat komen bahawa rasuah ni sebenarnya bukan masalah UMNO sahaja tapi semua parti termasuk PAS. Tiba-tiba dia meninggikan suara beliau dan nampak benar marahnya kepada saya. “Jadi kau kata Nik Aziz ni pun rasuah juga ke?”, sergah sahabat saya ni. “Tolong dengar baik-baik, saya tak kata Nik Aziz tapi mengatakan PAS secara amnya”, kata saya cuba menenangkannya. “Nik Aziz tu kan Mursyidul Am PAS dan bila kau kata PAS tu termasuklah Nik Aziz sekali. Kau tuduh Nik Aziz perasuahlah juga,” jawabnya balik menampakkan tak puas hatinya. Sebab saya tak mahu menjejaskan persahabatan saya dengan sahabat saya ini maka saya pun minta supaya isu rasuah ni dihentikan setakat itu sahaja. Nampak beliau tidak puas hati.

Saya sebenarnya terkejut dengan reaksi spontan sahabat saya ni. Nampak sangat beliau begitu menghormati Dato Nik Aziz Nik Mat sehingga sesuatu yang dilihat memburukkan batang tubuh Dato Nik Aziz walaupun tidak disebut nama secara “direct” pun akan menyebabkan beliau akan naik darah. Begitulah hormatnya beliau terhadap Dato Nik Aziz Nik Mat dan saya percaya ramai lagi manusia Melayu seperti beliau. Katakanlah apa-apa yang buruk pun mengenai Nik Aziz, mereka tetap tak percaya. Yang menariknya sahabat ini berasal dari Johor, negeri yang dikatakan kubu kuat UMNO.

Apa yang sebenarnya yang ada pada Dato Nik Aziz sehingga ramai orang begitu terpesona dengan perwatakan beliau? Saya rasa iannya datang imej beliau sebagai seorang pemimpin yang hidup sederhana. Orang terpikat dengan cara kehidupan beliau yang konon melambnagkan emimpin Islam yang sebenar. Tak kisah jika beliau tidak mampu membangunkan negeri. Tak kisah jika masa beliau lebih banyak diluangkan untuk berceramah agama. Tak apa jika air yang diminum air keruh. Semua dapat dimaafkan kerana mereka percaya Dato Nik Aziz seorang manusia yang tidak mengejar kekayaan duniawi. Beliau dipuja sebagai keramat hidup. Siapa boleh menang jika bertanding dengan keramat? Beliau dilihat ikhlas dengan tugasnya walaupun tidak nampak visi yang mahu dicapai dalam membangunkan Kelantan.

PAS akan tetap diundi oleh rakyat Kelantan selagi Dato Nik Aziz masih aktif dalam PAS. Dato Mustapha Mohamad tidak akan dapat menandingi gaya kepimpinan Dato Nik Aziz ni. Mungkin itulah yang mahu disampaikan oelh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya itu. Selagi pemimpin UMNO dilihat sebagai kaki pengumpul harta dengan persepsi rasuahnya, maka selagi itulah pemimpin seperti Dato Nik Aziz Nik Mat akan tetap disokong oleh sebahagian pengundi.

Nik Aziz ni ada jugalah sebabnya tapi ada seorang pemimpin pembangkang yang seorang tu lagi saya hairan.. Nak kata alim tak pulak, nak kata hidup "simple" pun tak juga dan sejarah hidupnya penuh dengan segala macam keburukan tetapi penyokong dia masih  tetap setia. Macam mana nak diterangkan fenomena ini? Tak tahu saya!

UnclearEngineer

No comments:

Post a Comment

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.