Wednesday, August 1, 2012

SEJARAH YANG TIDAK AKAN DAPAT DIPADAMKAN - PART 3


Semalam (31/6/2012) saya telah menghadiri mesyuarat J/K  di Kompleks LPTA, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, Dengkil, Bangi. Selepas habis mesyuarat dan sambil menunggu temujanji seterusnya pada 2:30 petang, saya telah mengambil kesempatan untuk melawat kawan serta kakitangan muda Jabatan Reaktor, Agensi Nuklear Malaysia yang terletak berdekatan.

Kesempatan ini saya gunakan untuk menemui sebanyak mungkin sahabat-sahabat serta “anak murid” yang masih lagi bertugas di Agensi. Tidak banyak yang berubah sejak saya tinggalkan dulu. Reaktor masih lagi beroperasi dengan baik dalam dalam perancangan adalah projek untuk menaiktaraf sistem kawalan reaktor dari sistem analog kepada digital. Khabarnya beberapa kakitangan akan berada di Korea Atomic Energy Research Institute (KAERI), Korea Selatan selama beberapa bulan bagi menjayakan projek ini. Saya doakan projek ini akan berjaya dilaksanakan sebagai penambah pengalaman kepada kakitangan teknikal Agensi.

Saya berkesempatan untuk membelek rekod-rekod lama. Dan sesuatu yang menarik minat saya adalah buku catitan “Reactor Logbook” yang mencatitkan setiap aktiviti Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) sepanjang  tahun 1982  iaitu tahun pertama kendalian RTP.


Entri 28 Jun, 2012 mencatatkan aktiviti dari pagi lagi apabila bahanapi reaktor mula dimasukkan dalam teras reaktor. Setiap kemasukan bahanapi akan di dahulukan dengan pengukuran rod bahanapi untuk dimasukkan dalam kad sejarah rod (fuel rod history card). Ini penting bagi mengesan jika terdapat kecacatan fizikal rod sepanjang masa ianya digunakan nanti. Saya dan Dr. Ahmad Tajuddin Ali bertugas sebagai pengendali reaktor secara bergilir sehinggalah keadaan reaktor mencapai tahap kritikaliti pada sebelah petangnya. Dr. Ahmad Tajuddin, sebagai Pengarah Kendalian dan merupakan Ketua Projek diberikan penghormatan sebagai pengendali yang membawa RTP dari tahap sub-kritikal, melintasi kritikal dan superkritikal dan kembali semula ke keadaan kritikal. Satu sejarah perkembangan teknologi nuklear di Malaysia telah berlaku pada hari tersebut.

Sejarah tersebut telah berlaku hampir 30 tahun yang lalu. Tapi tidak apa yang signifikan yang telah di buat untuk mengingatinya pada tahun ini. Selain sambutan kecil-kecilan di peringkat jabatan,  tidak ada aktiviti untuk memanggil kakitangan telibat untuk menceritakan pengalaman masing-masing dalam satu seminar  terancang. Malaysia telah mencanang  untuk membina janakuasa nuklear  pertama  yang dijangka akan beroperasi pada 2022 nanti. Tapi nampaknya aktiviti “public acceptance” masih tak nampak digerakan oleh agensi yang dipertanggungjawabkan. Apa pegawai-pegawai Malaysian Nuclear Power Corporation (MNPC) yang telah ditubuhkan sejak tahun lepas ini buat?

Apakah pengalaman dengan Lynas masih tidak dapat mengajar kita sesuatu? Tidak hairan jika ramai rakan-rakan saya dalam bidang nuklear ini merungut, “kalau macam inilah – jangan haraplah kita dapat yakinkan rakyat untuk menerima teknolgi nuklear”.  Yang paling menyedihkan, orang lama terdiri dari kumpulan perintis telah dilupakan.

Saya pun malas nak ambil tahu pasal ni lagi. Dia orang terutama dalam MNPC pandai-pandai belaka. Buatlah kerja ni sendirian. Buat apa saya nak bantu?  Lagipun dia orang tak pernah minta tolong dan ambil endah pasal aku pun. Samada Malaysia pergi nuklear ataupun tidak, ia bukanlah  sesuatu persoalan yang kritikal bagi saya pada masa ini.

UnclearEngineer

1 comment:

  1. Sdr Yaziz.... Tarikh itu sepatutnya 28 Jun 1982, bukan 2012!

    ReplyDelete

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.