Thursday, January 31, 2013

INTERNATIONAL MEETING ON RADIATION PROCESSING (IMRP)

Sesungguhnya “mesyuarat” merupakan nama yang kurang tepat untuk IMRP. IMRP ini sebenarnya sebuah persidangan bagi industri pemprosesan sinaran melibatkan teknologi gama, alur elektron dan x-ray. Ia tersenarai sebagai persidangan terbesar dalam teknologi pemprosesan menggunakan sinaran seantero dunia dan “a must attend” bagi mereka-mereka yang terlibat dalam industri ini. Sesiapa yang belum pernah ke IMRP, maknanya belum lagi sah jadi ahli dalam “kelab” ini.

IMRP pertama telah di adakan di San Juan, Puerto Rico pada 1976 dan sehingga kini sudah 16 kali IMRP ini di adakan di 16 kota besar berlainan. IMRP yang pernah saya hadiri termasuk Istanbul (1994), Anaheim, California (1997), Melbourne, Australia (1999) dan Chicago, US (2003). Kuala Lumpur telah berpeluang menjadi tuan rumah IMRP pada 2006. IMRP terbaharu pula akan di adakan di Shanghai, China pada November 2013 ini.

Kuala Lumpur merupakan satu-satunya bandaraya di Asia selain Tokyo (1980) dan Beijing (1992) yang pernah dipilih sebagai tuan rumah. Bagaimana KL terpilih? Inilah cerita yang mahu saya ceritakan. Cerita mengenai seorang anak Melayu hampir 10 tahun yang lalu terkontang kanting seorang diri di Chicago, Ilinois, USA semasa berlangsungnya IMRP 2003 berusaha melawan gelombang bidaan dari Jepun dan China. Akhirnya Jepun dan China tewas dan KL berjaya menjadi tuan rumah yang dikatakan persidangan paling berjaya dalam sejarah IMRP. Tiada niat saya untuk memuji usaha saya tapi inilah sejarah yang perlu di ceritakan kepada semua anak-anak muda terutama yang masih mencebur diri dalam bidang teknologi nuklear ini bahawa Malaysia mampu melakukannya jika kita mahu!

Masih teringat saya akan peristiwa di IMRP 2003 Chicago, Amerika Syarikat. Saya telah di arahkan supaya membuat bidaan untuk membawa IMRP 2006 ke Kuala Lumpur, Malaysia. Masaalahnya saya merupakan delegasi solo Malaysia ke persidangan di Chicago tersebut dan ini sudah tentu merupakan satu kerja yang amat berat untuk menyakinkan tuan rumah dan delegasi lain yang datang dari seluruh dunia untuk memilih Malaysia. Semasa bertolak saya masih tak mengetahui siapakah lagi negara yang akan membuat bidaan. Yang saya difahamkan pihak industri mahu IMRP 2006 selepas Chicago di adakan di Asia pula.

Dari Kuala Lumpur lagi saya sudah bersiap sedia dengan segala bahan yang akan saya gunakan untuk meyakinkan jawatankuasa pemilih hos baru (New Host Selection Committee) di Chicago nanti. Persembahan audio dan video telah saya sediakan dengan pertolongan kawan-kawan di Malaysia. Saya bawa cenderhati sebanyak mungkin dari Malaysia sebagai usaha memperkenalkan Malaysia kepada perwakilan yang hadir nanti. Setiap ahli jawatankuasa pemilih dibekalkan dengan beg yang tertulis nama peribadi dan dipenuhi dengan semua dokumen bidaan serta brosur mengenai Malaysia terutama Kuala Lumpur. Semuanya saya angkut dalam baggage saya. Pengalaman saya sebagai ahli jawatankuasa pemilih host baru di IMRP Melbourne (1999), saya jadikan sebagai rujukan. Saya pastikan semua yang perlu telah saya sediakan. Hanya persembahan oral saya di depan jawatankuasa pemilih yang akan menjadi penentu kejayaan.

Mendapatkan visa ke US bukan sesuatu yang mudah pada masa tersebut terutama selepas berlakunya peristiwa 9/11 (2001) dan pengeboman di Bali, Indonesia yang berlaku hanya setahun sebelumnya. Saya telah ditanya soalan berulang-ulang kali oleh Pegawai Konselar di kedutaan US di Kuala Lumpur. Mereka mahu pastikan bahawa jurutera nuklear dari Malaysia ini mempunyai sebab yang sah untuk menghadiri persidangan melibatkan teknologi nuklear di Chicago ini. Setelah sebulan lebih menanti, akhirnya visa saya di luluskan. Saya bertolak ke Chicago dengan penuh debaran. Boleh kah saya lakukan semua ini seorang diri?

Setelah melalui pemeriksaan ketat semasa transit di Lapangan Terbang Los Angeles, saya akhirnya sampai di Chicago pada waktu malam. Saya ambil limosin lapanganterbang dari O’Hare Airport ke Fairmont Chicago Hotel. Memang sejuk dan berangin kota Chicago ini. Patutlah Chicago di gelar sebagai  “the Windy City”. Setelah beberapa hari di Chicago barulah saya tahu bahawa China dan Jepun adalah negara Asia yang juga berminat untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan tahun 2006 tersebut.

Keesokannya setelah medaftarkan diri saya terus mencari rakan-rakan dari negara-negara lain yang saya kenali sejak saya menghadirkan diri di IMRP-IMRP yang lalu. Orang nombor satu yang saya cari ialah “sifu” saya George West dari Australia. Saya mengenali George West sejak 1989 apabila dia menjadi pensyarah saya dalam satu kursus yang saya hadiri di Bangkok, Thailand.  Saya banyak bertanya dengan dia dan akhirnya saya menjadi “best participant” bagi kursus tersebut. George West amat kagum dengan kesungguhan saya mahu belajar sebanyak mungkin dari dia. Sejak itu saya dan George West menjadi rakan karib. Pernah satu hari dia menyampaikan hasrat mahu “join” syarikat saya. Di Austrlia dia merupakan CEO, Steritech – syarikat pemberi perkhidmatan sterilisasi terbesar di Australia (3 logi di Melbourne, Sydney dan Brisbane). Kemudian saya cari Gery Defalco dan Gordon Ashfiled dari MDS Nordion, Kanada. Saya mengenali mereka berdua ni sejak 1988 apabila berurusan mengenai pembelian dan pemasangan logi SINAGAMA di Agensi Nuklear Malaysia (dulunya di kenali sebagai PUSPATI) dan seorang lagi Eric Beer, jurutera mekanikal yang berkerjasama dengan saya merekabentuk logi gama di Rawang, Selangor. Keempat-empat mereka bersetuju nak membantu saya dalam kerja-kerja melobi.

Saya dengan bantuan rakan dari Australia dan Kanada mula bertemu dengan semua peserta persidangan. Sasaran utama saya adalah mereka-mereka yang tergulong sebagai “captians of the industry” – CEO, SVP, VP dan pengurus kanan syarikat. Setiap waktu rehat dan “coffee break” saya gunakan untuk berjumpa dengan peserta-peserta sebanyak mungkin sambil memperkenalkan diri saya, negara saya Malaysia dan hasrat saya mahu mendapatkan sokogan bagi menjadi Kuala Lumpur sebagai hos akan datang IMRP. Begitu juga dengan keempat kawan saya.  Saya beruntung kerana ramai dari peserta negara lain telah mengenali saya sebab dalam beberapa persidangan-persidangan terdahulu saya selalu dipilih mempengerusikan sesi perbincangan dan pembentangan kertas kerja selaian dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pelaksana. Cuma mereka jarang dapat bercakap dengan saya secara peribadi. Selama seminggu persidangan berjalan, di sebelah malamnya akan ada sahaja majlis makan malam yang dihoskan oleh para syarikat penaja. Disini juga saya tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan rakan-rakan dan melobi. Selepas selesai makan malam, terdapat banyak majlis minum-minum santai di bilik-bilik persendirian di aras eksekutif hotel. George West dan Gerry Defalco menjadi perantara saya untuk saya meyelinap masuk ke bilik-bilik persendirian ini. Masha Allah, banyak sangat minuman keras dan mereka-meraka yang dijemput ini akan minum berbual sampai mabuk sebelum balik semula ke bilik masing-masing untuk tidur.  Demi untuk menjayakan bidaan Kuala Lumpur saya terpaksa bersama-sama mereka sambil berbual-bual dan melayan kengkawan yang ada setengahnya sudah pun mula mabuk. Ramai juga peserta persidangan yang saya jumpa dan bersalam dengan cara ini. Rupa-rupanya mereka amat menghargai usaha saya ini dan memberikan galakan kepada saya untuk terus berusaha sampai KL berjaya.

Gambar sekitar IMRP 2003 di Chicago, Ilinois, USA.

Tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Sebelah pagi sebelum “Gala Dinner” diadakan maka jawatankuasa pemilih akan memanggil semua yang berminat membida untuk ditemubual oleh ahli jawatankuasa. Yang pertama masuk adalah pembida dari Jepun, kedua Malaysia dan akhir sekali China. Cara nombor temubual di atur, saya sudah merasa bahawa jawatankuasa mungkin lebih memihak kepada Jepun. Saya mula berkira-kira apa yang akan saya cakapkan di depan jawatankuasa nanti. Satu soalan yang pasti mereka mahu tahu adalah tentang situasi keselamatan di Malaysia. Ada di antara peserta dari Amerika Syarikat dan Eropah bimbang tentang keselamatan masing-masing semasa di KL nanti. Mereka memberikan contoh peristiwa pengeboman di Bali, Indonesia.

Lama juga pembida dari Jepun berada di bilik temubual, mungkin lebih dari sejam, agaknya. Akhirnya pintu bilik terbuka dan pembida Jepun terus keluar tanpa menyapa saya. Ah, sombong juga depa ni. Tanpa senyum mereka terus berlalu pergi. Pintu masih tertutup untuk beberapa ketika. Mungkin ada perbincangan pendek oleh ahli jawatankuasa. Kemudian terdengar suara menjemput saya masuk. Jeng, jeng, jeng……… masaklah kau Yaziz di”provoke” dengan soalan panas AJK pemilih. Bagaimana saya tahu? Saya tahu kerana 4 tahun terdahulu, saya adalah salah seorang AJK pemilih di IMRP Melbourne yang memilih Paris sebagai kota pilihan. Soalan provokasi saya telah menyebabkan pembida dari Brazil naik angin bila Paris diumumkan sebagai pemenang.

Saya berjalan masuk ke bilik temubual dengan tenang (walaupun dalam hati hanya Allah sahajalah yang tahu). Terus saya pasangkan komputer saya ke LCD sebelum memperkenalkan diri. Setiap meja AJK pemilih saya letakkan satu beg berisi semua dokumen bidaan dan brosur bagi memperkenalkan Malaysia. Semua terkejut bila setiap beg telah saya jahitkan nama penuh masing-masing lengkap dengan cadangan logo IMRP Kuala Lumpur. Kemudian saya mainkan video dari Tourism Malaysia bagi memperkenalkan Malaysia secara ringkas. Persembahan “power point” pula amat memberangsangkan mereka. Saya sebagai wakil Malaysia telah menjanjikan yang terbaik kepada setiap peserta dan pengalaman di Malaysia yang tak akan mereka lupakan. Saya juga berjanji untuk menjemput Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri untuk merasmikan persidangan tersebut. Apabila masa soalan tiba maka soalan cepumas pun diajukan. How safe is Malaysia do you think? Saya katakan Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang berasingan walaupun kami berjiran. Kegiatan pengganas terhad di Malaysia dan tiada pengeboman berlaku di Malaysia sejak sekian lama. Pihak keselamatan Malaysia amat professional dalam menangani kes melibatkan keselamatan negara. Malaysia lebih proaktif dalam kerja-kerja perisikan dan berjaya membendung banyak perancangan pengganas lama sebelum para pengganas ini berjaya melakukannya. Yang menghairankan, banyak dari AJK pemilih menganggap Malaysia dan Indonesia serupa umpama sebuah negara yang bersatu. Penerangan saya beri nampaknya dapat di terima ahli Jawatankuasa. Selepas tidak ada lagi soalan, saya terus mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk membida bagi Malaysia dan saya berjanji sekali lagi untuk menjadikan IMRP Kuala Lumpur sebagai IMRP paling baik pernah dianjurkan.

Selepas keluar dari bilik saya terus balik ke bilik hotel saya sambil tertanya-tanya. Mampukah saya tadi meyakinkan jawatankuasa pemilih bahawa bidaan Malaysia lebih baik dari Jepun?

(bersambung di bahagian 2)

UnclearEngineer

Monday, January 28, 2013

RASUAH – BAGAI MEMBUKA PEKONG DI DADA (BAHAGIAN 1)

Kesimpulan dari tinjauan terbaharu UMCEDEL, Universiti Malaya – Orang Cina memilih Pakatan Rakyat sebab PR sanggup mengenepikan Islam dan hak istimewa orang Melayu. Orang Melayu pula memilih Pakatan Rakyat sebab mereka mahu menghapuskan rasuah hatta jika mereka terpaksa mengorbankan Islam dan bangsa sendiri.

+++++++++++++

Begitulah muaknya sesetengah orang Melayu dengan gejala rasuah yang dilihat terus bermaharajalela. Sampaikan mereka sanggup untuk mengorbankan bangsa mereka sendiri jika itulah yang akan mampu menghapuskan gejala rasuah ini. MasyaAllah, amat bahaya pemikiran sebegini bagi saya. Umpama kata orang tua-tua kita dulu – “marahkan nyamuk, kelambu habis kita bakar” walaupun sedar bahawa kita tidak punya wang lagi untuk membeli kelambu baru. Akhirnya semua kena demam denggi.

Benarkah rasuah dah merebak luas hingga menjadi penyakit kronik negara?

Jawapan ikhlas saya, dari apa yang saya lalui lebih 20 tahun dalam kerjaya saya, memang ada kebenaran akan tuduhan tersebut. Tetapi jika dibandingkan dengan apa yang berlaku disekeliling kita, saya percaya di Malaysia rasuah masih dijalankan dalam sembunyi-sembunyi dan belum lagi menjadi penyakit kronik. Hanya mereka serta mangsa yang terlibat sahaja yang tahu. Sedangkan di sesetenggah negara, ianya sudah merebak secara terang-terangan.
Kalau diandaikan sebagai barah, barah rasuah di Malaysia masih di tahap 2. Masih boleh sembuh jika diberikan rawatan yang bersesuaian.

Kalau ditanya mereka yang terlibat dalam perniagaan, memang ramai antara mereka yang mengakui terlibat dalam gejala sebegini. Sesetengahnya terlibat dalam keadaan terpaksa tapi tak kurang juga antara mereka adalah pemberi rasuah paling ikhlas.

Satu masa dulu saya pernah terlibat dalam pembinaan kilang dan kerenah birokrasi kadang-kadang hampir-hampir menyebabkan saya rasa mahu “give up”. Untuk mendapatkan kelulusan membina dan selepas projek siap, untuk mendapatkan sijil layak menduduki (CF) boleh jadi satu masalah besar jika permohonan gagal dilincirkan dengan wang. Ini sebuah rahsia yang semua peniaga tahu. Malah untuk menjadi seorang usahawan besar dan berjaya, antara kebolehan yang perlu dipelajari “to perfection” adalah seni “kau garu belakang aku, aku garu belakang kau”.
Mungkin golongan pembangkang yang membenci rasuah hanya menuduh rasuah ini kerja kakitangan kerajaan sahaja. Salah besar tu. Di sektor swasta, rasuah juga berlaku dengan rancak malah mungkin lebih hebat lagi. Disebabkan ia melibatkan wang syarikat dan tidak melibatkan wang rakyat maka penyakit ini di sektor swasta tidak menjadi satu kemarahan orang ramai. Mungkin ada yang tak tahu bahawa terdapat kakitangan institusi kewangan yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman meminta “upah” berapa peratusan dari jumlah pinjaman yang diluluskan untuk sesuatu projek. Kalau tidak, projek tak dapat dilaksanakan sebab ketiadaan sumber pembiayaan. Kadang-kadang kakitangan ini akan merekomen sesetengah juruperunding bagi menyediakan kertas kerja serta mengisi borang permohonan yang kononnya akan mengikut format yang dikehendaki bank. Sudah tentu khidmat ini perlu dibayar dan saya yakin pegawai bank akan dibayar juga oleh juruperunding akhirnya sebagai “membalas budi”.

Pemberian hamper semasa perayaan memang dah jadi lumrah dalam sektor swasta malah yang rajin menghantar hamper ke rumah pegawai-pegawai kerajaan juga adalah syarikat-syarikat swasta. Ada tu bersama hamper ada “angpow” lumayan untuk anak. Pandai depa ini, kerana takut diistilahkan rasuah jika di berikan pada bapa maka angpow tersebut disasarkan kepada anak pula.

Cukup setakat ini dulu. Saya akan menulis pengalaman peribadi saya dalam menghadapi gejala rasuah sebagai kakitangan kerajaan selama 13 tahun dan di sektor swasta selama hampir 20 tahun dalam Bahagian 2 nanti, insya Allah.

UnclearEngineer