Monday, January 28, 2013

RASUAH – BAGAI MEMBUKA PEKONG DI DADA (BAHAGIAN 1)

Kesimpulan dari tinjauan terbaharu UMCEDEL, Universiti Malaya – Orang Cina memilih Pakatan Rakyat sebab PR sanggup mengenepikan Islam dan hak istimewa orang Melayu. Orang Melayu pula memilih Pakatan Rakyat sebab mereka mahu menghapuskan rasuah hatta jika mereka terpaksa mengorbankan Islam dan bangsa sendiri.

+++++++++++++

Begitulah muaknya sesetengah orang Melayu dengan gejala rasuah yang dilihat terus bermaharajalela. Sampaikan mereka sanggup untuk mengorbankan bangsa mereka sendiri jika itulah yang akan mampu menghapuskan gejala rasuah ini. MasyaAllah, amat bahaya pemikiran sebegini bagi saya. Umpama kata orang tua-tua kita dulu – “marahkan nyamuk, kelambu habis kita bakar” walaupun sedar bahawa kita tidak punya wang lagi untuk membeli kelambu baru. Akhirnya semua kena demam denggi.

Benarkah rasuah dah merebak luas hingga menjadi penyakit kronik negara?

Jawapan ikhlas saya, dari apa yang saya lalui lebih 20 tahun dalam kerjaya saya, memang ada kebenaran akan tuduhan tersebut. Tetapi jika dibandingkan dengan apa yang berlaku disekeliling kita, saya percaya di Malaysia rasuah masih dijalankan dalam sembunyi-sembunyi dan belum lagi menjadi penyakit kronik. Hanya mereka serta mangsa yang terlibat sahaja yang tahu. Sedangkan di sesetenggah negara, ianya sudah merebak secara terang-terangan.
Kalau diandaikan sebagai barah, barah rasuah di Malaysia masih di tahap 2. Masih boleh sembuh jika diberikan rawatan yang bersesuaian.

Kalau ditanya mereka yang terlibat dalam perniagaan, memang ramai antara mereka yang mengakui terlibat dalam gejala sebegini. Sesetengahnya terlibat dalam keadaan terpaksa tapi tak kurang juga antara mereka adalah pemberi rasuah paling ikhlas.

Satu masa dulu saya pernah terlibat dalam pembinaan kilang dan kerenah birokrasi kadang-kadang hampir-hampir menyebabkan saya rasa mahu “give up”. Untuk mendapatkan kelulusan membina dan selepas projek siap, untuk mendapatkan sijil layak menduduki (CF) boleh jadi satu masalah besar jika permohonan gagal dilincirkan dengan wang. Ini sebuah rahsia yang semua peniaga tahu. Malah untuk menjadi seorang usahawan besar dan berjaya, antara kebolehan yang perlu dipelajari “to perfection” adalah seni “kau garu belakang aku, aku garu belakang kau”.
Mungkin golongan pembangkang yang membenci rasuah hanya menuduh rasuah ini kerja kakitangan kerajaan sahaja. Salah besar tu. Di sektor swasta, rasuah juga berlaku dengan rancak malah mungkin lebih hebat lagi. Disebabkan ia melibatkan wang syarikat dan tidak melibatkan wang rakyat maka penyakit ini di sektor swasta tidak menjadi satu kemarahan orang ramai. Mungkin ada yang tak tahu bahawa terdapat kakitangan institusi kewangan yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman meminta “upah” berapa peratusan dari jumlah pinjaman yang diluluskan untuk sesuatu projek. Kalau tidak, projek tak dapat dilaksanakan sebab ketiadaan sumber pembiayaan. Kadang-kadang kakitangan ini akan merekomen sesetengah juruperunding bagi menyediakan kertas kerja serta mengisi borang permohonan yang kononnya akan mengikut format yang dikehendaki bank. Sudah tentu khidmat ini perlu dibayar dan saya yakin pegawai bank akan dibayar juga oleh juruperunding akhirnya sebagai “membalas budi”.

Pemberian hamper semasa perayaan memang dah jadi lumrah dalam sektor swasta malah yang rajin menghantar hamper ke rumah pegawai-pegawai kerajaan juga adalah syarikat-syarikat swasta. Ada tu bersama hamper ada “angpow” lumayan untuk anak. Pandai depa ini, kerana takut diistilahkan rasuah jika di berikan pada bapa maka angpow tersebut disasarkan kepada anak pula.

Cukup setakat ini dulu. Saya akan menulis pengalaman peribadi saya dalam menghadapi gejala rasuah sebagai kakitangan kerajaan selama 13 tahun dan di sektor swasta selama hampir 20 tahun dalam Bahagian 2 nanti, insya Allah.

UnclearEngineer

No comments:

Post a Comment

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.