Wednesday, August 24, 2011

LYNAS OH LYNAS: PART 2 – ADA LAGI CERITA?

Sesuatu yang amat menarik perhatian saya apabila menonton Buletin Utama TV3 sebentar tadi. Wawancara wartawan Karam Singh Walia dengan dua orang saintis nuklear tempatan. Seorang merupakan Wakil Parlimen PAS Hulu Langat Dr. Che Rosli dan seorang lagi Prof Ahmad Termizi pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Kedua-duanya membidas tuduhan tuduhan liar yang tidak berasas yang cuba di putarbelitkan oleh YB Fauziah mengenai pembinaan kilang Lynas di Kuantan , Pahang.
Sebenarnya saya kenal kepada kedua-dua mereka ini kerana saya pernah tinggal beberapa tahun di Bandar Baru Bangi semasa bertugas di PUSPATI. Tambahan pula banyak kawan-kawan saya di PUSPATI yang lulus dari UKM merupakan rakan sekuliah mahupun anak murid Dr. Che Rosli. Dr. Che Rosli juga pernah saya bantu dalam penyinaran sampel penyelidikan beliau. Waktu itu saya bertugas sebagai Penyelia Reaktor di Agensi Nuklear Malaysia (dulu di kenali sebagai PUSPATI) dan beliau bertugas sebagai pensyarah di UKM pada awal tahun lapan puluhan dulu.
Semasa kontroversi Lynas ini mula timbul dan melihat kepada penglibatan PKR dan PAS dalam menentang projek ini, saya sebenarnya amat mengharap Dr. Che Rosli akan dapat tampil ke hadapan dan menyatakan perkara sebenar dari segi saintifik bagi menyanggah fitnah yang diputarbelitkan oleh pembangkang terutama oleh YB Fauziah. Rupa-rupanya Dr Che Rosli telah diarah oleh “pemimpin atasan” parti  supaya tidak membuka mulut untuk menyatakan kebenaran.
Antara penipuan yang di sangkal oleh Dr. Che Rosli dan Prof Ahmad Termizi  termasuklah menyamakan logi Lynas dengan logi nuklear seperti di Fukushima di Jepun. Saya pernah menulis “ Menjawab soalan saudara DP menhgenai Lynas” dalam blog saya  (www.unclearengineer.blogspot.com) bertarikh  29/06/2011 mengenai perkara ini. Saya nyatakan bahawa dari segi perbandingan, logi Lynas umpama bumi dengan langit jika di bandingkan dengan logi nuklear di Fukushima. Tujuan pembangkang yang cuba mengaitkan Lynas dengan Fukushima hanya satu, menanam persepsi dalam benak rakyat betapa bahayanya Logi Lynas ini dan sebagai jalan mudah mempengaruhi mereka supaya terus menetang projek ini. Kenyataan Prof Ahmad Termizi bahawa kesediaan Lynas untuk menanam modal di Malaysia di sebabkan kos operasi yang rendah (sebab-sebab ekonomi sahaja) bukan kerana kilang tersebut telah tidak mendapat kebenaran dari kerajaan Australia untuk di bina di negara tersebut. Alasan yang sama juga telah saya tulis dalam blog saya “ Lynas oh Lynas – mari kita berdikir secara rasioanal” bertarikh 16/6/2011. Sila baca pos saya dan juga jawapan kepada komen pembaca.
Saya amat tertarik untuk melihat apa yang akan berlaku selepas ini. Saya juga ada membaca di akhbar bahawa Malaysian Bar juga telah masuk campur menyebelahi pihak pembangkang dalam isu melibatkan Lynas ini. Bagi saya ini memperlihatkan betapa Malaysian Bar telah digunakan oleh pemimpin mereka untuk terus menentang projek-projek ekonomi yang dibangunkan oleh kerajaan BN (peringkat negeri mahupun federal). Mereka ini berhujah seperti burung kakak tua, mengajuk apa sahaja yang di hamburkan dari mulut tuan politik (political master) mereka tanpa dapat menilai isu Lynas ini dari segi fakta saintifik sebenar. Saya juga amat berharap persatuan bukan kerajaan (NGO) contohnya seperti Persatuan Sains Nuklear Malaysia (MNS) yang mewakili  ahli dari disiplin sains nuklear akan juga mula bersuara. Tak kan nak terus diam sahaja kot! Yang berilmu harus menyatakan pandangan mereka berasaskan ilmu yang di pelajari.
Saya mengucapkan syabas kepada Dr. Che Rosli dengan pendedahan yang dibuat  di Buletin Utama TV3. Ini yang kita panggil sebagai  politik berprinsip. Arahan parti tidak dapat mendiamkan mulut mereka dari menyatakan yang  benar. Akhir sekali saya berharap YB Dr. Che Rosli tidak akan di kenakan tindakan disiplin oleh PAS kerana memberikan  wawancara di TV3 ini. Sudah tentu Malaysia memerlukan banyak lagi YB yang sebegini dalam parlimen kita.

No comments:

Post a Comment

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.