Monday, October 31, 2011

PERJALANAN DALAM MENCARI HAJI YANG MABRUR


Leka membaca blog “Another Brick in the Wall” yang sekarang ini sedang menunaikan ibadah haji di Mekah. Beliau menulis mengenai batuk yang di alaminya. Teringat saya semasa saya menjadi tetamu Allah pada 2003 dulu.

Memang “batuk Mekah” ni spesial sikit sebab ia amat liat untuk pulih. Batuk serta berkahak kuning amat menyulitkan ibadah haji saya. Sehingga ada masa saya yang terlalu keletihan kerana kurang tidur dek terlampau banyak batuk pada pagi hari terutama sebelum masuk waktu subuh. Mengikut isteri saya, dia dapat mendengar batuk saya setiap malam walaupun kami tidur di bilik berasingan. Begitulah dugaan yang saya alami semasa mengerjakan haji pada tahun tersebut.

Semasa mula-mula sampai di Madinah saya memang rasa amat sihat sekali. Setiap pagi saya hanya akan memakai jubah nipis dan akan berlari-lari anak untuk pergi solat subuh di Masjid Nabawi. Walaupun cuaca pada masa itu amat sejuk, saya masih selesa dengan angin sejuk yang membadai badan dan muka saya. Rupa-rupanya inilah yang menjadi punca saya di serang batuk apabila saya sampai di Mekah kemudianya.

Dalam saya reda dengan dugaan Allah terhadap diri saya, saya tidak dapat melupakan kawan-kawan sebilik hotel saya sepanjang berada di Mekah. Tidak seorang pun yang menunjukkan tanda kurang selesa dengan keadaan saya. Mungkin semasa saya sedang batuk tak berhenti-henti, mereka juga tidak dapat tidur lena kerana nya. Namun mereka tetap tersenyum melayan saya umpama tidak ada apa yang berlaku. Saya juga beberapa kali menemui doktor di klinik Tabung Haji namun batuk saya tidak juga reda. Habis ubat batuk yang diberikan oleh doktor termasuk juga “antibiotic”. Huh, memang hebat penangan “batuk Mekah” ni.

Akhirnya dengan kepayahan, saya menamatkan rukun haji saya bersama isteri. Sesudah sampai ke tanah air, saya masih mengalami batuk kokol yang berpanjangan. Kalau tak silap saya, sebulan selepas kembali dari Mekah, saya masih tidak sembuh sepenuhnya dari batuk saya ini. Rupa-rupanya ada rakan di Malaysia yang mendengar khabar dari rakan yang sama di Mekah mengenai kesihatan saya ini. Ada juga suara-suara sumbang berkomen mengatakan yang bukan-bukan. Kononnya saya di hukum Allah atas kesalahan saya sebelum ke Mekah. Bagi saya jika inilah hukum Allah terhadap segala kesilapan saya yang lampau, saya terima sahaja dengan penuh rela.

Kini tahun 2011, hampir 8 tahun telah berlalu. Jika ada kengkawan yang sama sebilik di Mekah dulu membaca tulisan saya ini, saya ingin mengucapkan terima kasih atas simpati dan juga keperihatinan tuan-tuan terhadap saya. Saya pasti taun-tuan memang mengerti apa maknanya menjadi tetamu Allah serta dugaan Allah bagi setiap insan yang menyahut panggilan dari Kaabah ini.

Tergiang-giang di telingga saya laungan talbiah, labbaikallah………aku menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan.

Allahhuakbar, air mata ku menitis jatuh.

UnclearEngineer

Saturday, October 29, 2011

VIETNAM – GERGASI YANG BARU SEBENTAR TERSEDAR DARI TIDUR


Bergambar dengan Mr Tran Khac An (tengah), Director - Research and Development Cente for Radiation Technology, Vietnam dan sahabat dari Malaysia, Sdra. Aziz selepas sahaja selesai makan tengah hari. Mr An ini sahabat yang sama-sama menuntut di Technical University Budapest, Hungary pada 1984.

Enam hari di Vietnam minggu lepas memberikan peluang bagi saya untuk melihat bagaimana salah sebuah negara besar di Asia Tenggara ini (80 juta penduduk) membangun. Umpama seekor gergasi yang baru sebentar bangun dari tidur panjang yang lena, Vietnam telah mula mengorak langkah mencari tempatnya di kalangan negara-negara membangun dunia.

Ho Chi Minh - Bandaraya ribuan motosikal

Lapangan terbang utama Ho Chi Minh City (dulunya terkenal sebagai Saigon) tidaklah sesibuk KLIA malah jauh dari kesibukan di LCCT, Sepang. Terdapat sekurang-kurangnya 6 penerbagan dari KLIA/LCCT setiap hari ke Saigon (tidak termasuk penerbagan Vietnam Airlines) di penuhi dengan pelancong dan peniaga Malaysia yang ingin mendapatkan barangan murah untuk di niagakan dan di bawa pulang. Pasar Ben Thanh merupakan pasar di mana tertumpunya pelancong dari Malaysia. Semasa menyusuri lorong-lorong sempit dalam pasar yang amat merimaskan dan panas, saya dapat mendengar suara-suara Melayu berbicara dengan loghat Kedah mahupun Nogori. “Mari bang, murah…murah” jeritan dari amoi-amoi yang menjaga gerai memanggil pelanggan-pelanggan dari Malaysia yang melintas lalu di hadapan gerai masing-masing.

Jaga, jaga. Amoi yang menjaga gerai di sini memang keterlaluan “friendly”nya. Semasa lawatan pada tahun lepas, seorang sahabat saya yang berkopiah (memang dia ni boleh dikatakan alim) terpaksa menjerit meminta tolong dengan saya apabila dia kepong dengan di pegang tangan oleh sekumpulan amoi sebuah gerai. Amoi tersebut cuba menjual beberapa barangan yang terdapat di kedainya. Saya cuma senyum sebelum berlalu pergi tanpa “memberikan bantuan”. Saya rasalah, rakan saya tu pun sebenarnya suka diperlakukan begitu. Sebab saya kebetulan melintas, jadi dia pun buat-buatlah minta tolong. Dasar manusia alimlah tu, alim-alim kucing.

Ben Thanh Market - tumpuan pelancong Malaysia

Memang barang-barang di sini murah. Syaratnya kita kena pandai menawar. Kalau tak, terkenalah juga kita nanti. Terdapat banyak baju kemeja biasa, kemeja-T dari jenama mahal, baju kurung fesyen terbaharu, telekong dan lain-lain barang dengan harga yang hampir separuh di jual di KL. Di bahagian belakang pasar, ada pula dijual buah-buahan tempatan seperti ciku, rambutan, jambu batu, longan, mata kucing dan tak lupa buah naga Vietnam. Saya tertarik dengan buah rambutannya yang hampir sama dengan isi rambutan jenis klon “anak sekolah” yang terdapat di Malaysia. Rasanya amat manis dengan bulunya yang kontot dan tidak lebat. Rambutan dijual 30,000 Dong sekilo (lebihkurang RM6.00 sekilo). Mahal juga…….

Vietnam terutama di bahagian selatan merupakan sebuah delta yang subur. Dari atas kapalterbang, kita boleh melihat luasnya tanah pertanian yang terbentang di bawah. Sebab itulah, Vietnam merupakan antara negara pengeksport beras terbesar di dunia. Vietnam juga dikeleilingi oleh laut yang luas. Selain dari beras, sumber minyak dan indusri tekstil, Vietnam juga banyak menghasilkan barangan laut (seafood). Industri pemprosesan barangan laut seperti ikan dan udang merupakan industri ketiga mendatangkan hasil paling tinggi bagi ekonomi Vietnam. Tak hairanlah terdapat 7 kemudahan penyinaran di Vietnam yang dibina bagi membersihkan hasil laut yang siap diproses ini yang kebanyakannya di eksport ke Eropah dan Amerka Syarikat. Katanya akan ada 2 buah lagi kemudahan penyinaran sedang dirancang untuk di bina dalam masa terdekat.

Saya telah berpeluang melawat dan melihat secara lebih dekat 3 dari kemudahan penyinaran kepunyaan syarikat swasta dan juga kerajaan Vietnam. Sebuah kemudahan gamma, sebuah kemudahan alur elektron dan sebuah lagi menggunakan teknologi sinar –x. Kemudahan sinar-x  Vietnam ini merupakan antara 2 buah yang terdapat di Asia selain yang terdapat di Riyadh, Saudi Arabia dan diluar negara China dan Jepun. Kemudahan alur elektron dan sianar-x digunakan kebanyakannya bagi pemprosesan hasil laut dan hasil pertanian. Kemudahan gama pula digunakan bagi mensteril barangan perubatan selain barangan kering seperti herba, rempah ratus seperti serbuk cili dan barangan perubatan tradisional. Kemudahan-kemudahan ini menggunakan teknologi dari US, Rusia dan juga Hungary. Sebuah kemudahan yang dalam pembinaan pula menggunakan teknologi dari China.


Keratan akhbar- buah naga Vietnam ke pasaran US.
Di salah satu institiut penyelidikan yang saya lawati, tahap kemapuan teknologi orang Vietnam ini sudah sampai ke tahap mampu untuk membina mesin mereka sendiri menggunakan teknolgi dan kepakaran anak tempatan. Untuk makluman, Pembantu Pengarah (Deputy Director) salah sebuah Institiut penyelidikan Vietnam ini pernah belajar di Malaysia beberapa tahun yang lepas. Silap-silap, anak murid akan mengajar cikgu pula di masa depan. Apa tidaknya jika pencapaian guru masih lagi di takok lama.

Rakyat Vietnam amat kemaruk untuk memajukan negara mereka. Dengan kerja keras, saya yakin ini akan tercapai jika kerajaan Vietnam mengambil berapa langkah proaktif. Industrilisasi secara besar-besaran juga sedang melanda negara komunis ini. Jika ini berterusan, saya rasa negara yang mempunyai pasaran dalam negara seramai 80 juta ini akan mengatasi negara seperti Filipina dan juga Thailand. Jangan terkejut jika Vietnam juga akan mengatasi Malaysia di masa hadapan jika kita terus alpa.

Lawatan saya kali ini telah berjaya membuka mata  saya terhadap kemampuan negara Vietnam terutama dalam teknologi pemprosesan menggunakan sinaran. Saya tidak akan teragak-agak untuk menjalin kerjasama dengan syarikat dan institiut Vietnam terutama melibatkan pemprosesan menggunakan sinaran jika terdapat peluang nanti.

UnclearEngineer

Saturday, October 22, 2011

PART 3: JANAKUASA NUKLEAR

Semua jenis reaktor kuasa (power reactor) yang direkabentuk untuk penjanaan tenaga elektrik menggunakan tenaga haba daripada proses pembelahan berantai untuk memanaskan air dan menghasilkan wap air panas (steam). Wap ini digunakan sebagaimana dalam stesyen janakuasa arang batu, minyak atau gas iaitu ia menggerakkan turbin yang kemudiannya menggerakkan generator yang akhirnya menghasilkan tenaga elektrik.

Reaktor termal menggunakan pelambat (moderator) untuk memperlahankan neutron laju yang keluar dari proses pembelahan, dengan itu menyebabkan ia boleh ditangkap dengan mudah oleh atom Uranium-235. Jumlah kelimpahan semulajadi Uranium-235 hanyalah 0.7%. Sebab itu, dalam kebanyakan reaktor jumlah Uranium-235 bagi bahanapi ditingkatkan melalui proses pengkayaan uranium bagi mengekalkan tindakbalas berantai. Air biasa selalunya digunakan sebagai moderator. Selain itu, moderator lain yang digunakan ialah, graphite dan deuterium. Deuterium adalah salah satu isotop hidrogen yang digunakan dalam bentuk deuterium oksida - air berat. Air biasa hampir semuanya hidrogen oksida dan mengandungi sejumlah kecil air berat.

Haba dipindahkan dari teras reaktor dengan menggunakan penyejuk, yang mana secara langsung atau tidak langsung menghasilkan wap panas (steam) untuk menggerakkan turbin dan juga untuk mengelakkan teras reaktor daripada menjadi terlalu panas. Bahan penyerap neutron seperti boron atau kadmium digunakan dalam rod kawalan yang boleh digerakkan ke dalam atau ke luar teras reaktor bertujuan untuk mengawal kadar tindakbalas dengan tepat.

Secara amnya reaktor kuasa boleh dikategorikan kepada dua jenis. Pertama, dipanggil sebagai “Boiling Water Reactor (BWR)” dan kedua dikenali sebagai “Pressurised Water Reactor (PWR)’. Yang membezakan antara kedua-dua jenis reaktor ini adalh cara bagaimana wap panas yang terhasil dalam teras reactor digunakan bagi menghasilkan kuasa elektrik. Saya berikan di bawah ini gambarajah bagi PWR dan BWR. Boleh anda melihat ciri-ciri kelainan dalam kedua jenis reaktor ini?

Pressurized Water Reactor (PWR)

Boiling Water Reactor (BWR) 

CIRI-CIRI KESELAMATAN

Ciri-ciri keselamatan yang terbina dalam rekabentuk reaktor adalah teramat penting bagi menentukan bahawa teknologi ini akan sentiasa selamat dan tidak memudaratkan manusia mahupun alam sekitar.

Setiap jenis reaktor direka dengan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang menentukan seluruh rekabentuk sistem keselamatannya. Pertama,  prinsip asas rekabentuk yang di gunapakai ialah “fail-safe”. Ini bermakna jika sesuatau kegagalan sistem berlaku, reaktor akan dengan otomatknya terhenti kendaliannya. Selagi kerosakan tidak diperbaiki, reaktor tidak akan dapat dikendalikan semula. Kedua, prinsip “redundancy” dimana setiap sistem kritikal reaktor mestilah dibuat lebih dari satu sistem. Mesti ada sistem dalam “standby”. Jadi jika satu sistem rosak, satu lagi sistem gantian yang sama akan dapat digunakan. Ketiga, prinsip "defence in depth". Prinsip “defence in depth” ini boleh dapat kita lihat dalam pembinaan bangunan reaktor (containment building) - dengan beberapa lapisan penghadang bagi mengelakkan pembebasan bahan radioaktif keluar ke alam sekitar jika berlaku sebarang kemalangan.

Gambar di bawah menunjukkan contoh beberapa peringkat lapisan bagi menghalang pembebasan produk pembelahan mahupun bahan radioaktif lain keluar dari dalam bangunan reaktor (reactor containment building).
Dalam kes kemalangan reaktor di Chernobyl, hanya terdapat dua dan tiga lapisan yang telah dibina. Tanpa  bangunan “containment” sebagai benteng terakhir telah menyebabkan bahan radioaktif terbebas keluar ke kawasan sekitar. Bagi kemalangan di Thrre Mile Island dan yang akhir sekali di Fukushima, Jepun – benteng terakhir dalam bentuk bangunan “containment” inilah yang telah menahan lebih banyak bahan radioaktif terbebas keluar.

BERSAMBUNG........

UnclearEngineer

PART 1 – PERMULAAN – PROSES PEMBELAHAN ATOM

Entri ini sepatutnya dikeluarkan dalam blog ini lebih awal dari entri bagi Part 2, tetapi oleh beberapa sebab bukan teknikal terpaksa saya masukkan dalam blog saya ini terlambat sikit. Walaupun begitu, dalam blog ini saya telah membuat beberapa tambahan serta pembaikan kepada entri seperti dalam FB saya.

Saya juga mohon maaf terlebih dahulu jika istilah yang saya gunakan tidak tepat sebab saya belajar teknologi ini di US tetapi saya cuba menulis dalam Bahasa Melayu semudah mungkin. Jadi mungkin ada yang janggal bunyinya.
-----------


Secara ringkasnya, kuasa nuklear merupakan kuasa yang terhasil dari tindakbalas nuklear - (nuclear reaction) antara neutron dengan atom U-235 (uranium-235) atau Pu-239 (Plutonium-239) juga dikenali sebagai bahan nuklear di mana bagi setiap neutron yang terhasil dari tindak balas sebelumnya akan menghasilkan lebih banyak neutron serta haba dan “fission products” pada tindkabalas-tindakbalas seterusnya. Tindakbalas ini juga dikenali sebagai “chain reaction” atau dalam bahasa Melayunya sebagai tindakbalas berantai. So far, ada OK?


Sila klik pada gambar di bawah untuk lebih memahami tindakbalas ini.



Dalam animasi ini kita dapat melihat bagaimana pembelahan atom U-235 (merah) berlaku dan menghasilkan lebih banyak neutron (hijau). Adalah dianggarkan bahawa bagi setiap neutron asal yang membelah atom U-235, akan menghasilkan 2-3 neutron tambahan. Neutron yang terhasil akan pula membelah lebih banyak atom uranium dan begitulah seterusnya tindakbalas ini merebak. Tindakbalas inilah yang dipanggil sebagai tindakbalas berantai.

Di atas tadi kita telah diterangkan bagaimana atom U-235 menjalani proses pembelahan. Sebagai contoh, tindakabalas tersebut boleh digambarkan seperti persamaan di bawah:- 

235U + 1 neutron à2 neutrons + 92Kr + 142Ba + TENAGA
Kita mungkin bertanya, dari mana datangnya TENAGA yang dihasilkan? Kalau dilihat jisim (mass) masih dalam keadaan seimbang di kedua-dua belah persamaan tersebut.
235 + 1 = 2 + 92 + 142 = 236
Jadi kita nampak tiada jisim yang telah ditukar kepada tenaga. Sebenarnya, jisim atom adalah lebih besar dari jumlah individu jisim proton dan juga neutron dicampurkan. Jisim tambahan ini adalah tenaga pengikat (binding energy) yang mengikat proton dan neutron dalam nukleus atom. Jadi apabila atom U-235 dibelah, sebahagian tenaga yang mengikat proton dan neutron ini dibebaskan sebagai tenaga (energy).
Tindakbalas pembelahan atom (fission) ini berlaku dalam masa yang amat pantas dan haba yang terhasil akan menjadi terlalu besar. Jika tidak di sekat maka akan jadilah letupan yang maha dahsyat. Inilah tindakbalas yang berlaku dalam letupan bom atom. Istilahnya, TIDAKABALAS NUKLEAR TIDAK TERKAWAL (uncontrolled nuclear reaction).

Dalam reaktor nuklear, terdapat rod kawalan (control rods) yang dibina dari bahan penyerap neutron seperti boron sebagai contoh. Apabila rod ini di tarik keluar dari teras reaktor (reactor core) secara perlahan, maka tindakbalas pembelahan nuklear (nuclear fission) akan berlaku tapi dalam mod terkawal. Apabila sahaja keadaan mula menjadi supercritical, maka rod kawalan akan dibenamkan semula bagi meyerap neutron yang terhasil dan ini akan menstabilkan kembali tindakbalas berantai yang berlaku. Istilahnya, TIDAKABALAS NUKLEAR TERKAWAL (controlled nuclear reaction). Inilah tindakbalas yang terdapat dalam janakuasa nuklear bagi penghasilan tenaga elektrik.

Tindakbalas nuklear tidak terkawal di gunakan dalam bidang ketenteraan sedangkan tindakbalas nuklear terkawal digunakan dalam banyak aplikasi bagi kegunaan aman sperti penjanaan kuasa elektrik dan lain-lain.

OKlah setakat ini sahaja dulu.

Selepas ini dalam Part 2 dan seterusnya saya hanya akan bercerita tentang teknologi nuklear untuk keamanan (nuclear technology for peace). Apa macam, boring tak setakat ni?

UnclearEngineer

Friday, October 21, 2011

PART 2: BAGAIMANA REAKTOR NUKLEAR BEROPERASI

Bagi memudahkan penerangan, saya akan menggunakan model reaktor penyelidikan jenis TRIGA Mark II  (juga dikenali sebagai RTP) yang ada di Agensi Nuklear Malaysia (ANM). Reaktor ini telah di gunakan oleh AGM sejak 1982 bagi mengajar teori asas serta melatih bakal pengendali reaktor sebelum mereka boleh di hantar ke luar negara untuk menjalani latihan lanjutan bagi mengendali janakuasa nuklear pertama Malaysia nanti.


Komponen-komponen penting reaktor ini adalah seperti berikut:-

·                     BAHANAPI – tanpa bahanapi, reaktor tidak boleh dikendalikan. Dalam kes ini, bahanapi reaktor terdiri dari bahan uranium-235 jenis “low enriched uranium (LEU)”. Maknanya kandungan U-235 adalah di bawah paras 20% sahaja. Kenapa? Sebab pembekal bahanapi (syaraikat dari US) tak mahu kita memproses bahan api terpakai bagi mendapatkan plutonium untuk tujuan ketenteraan dan dengan itu melanggar perjanjian kawalan senjata nuklear (Non Proliferation Treaty) yang ditandatangani Malaysia.
·                     ROD KAWALAN - Terdapat 4 batang rod kawalan di mana 3 adalah rod yang boleh dioperasikan secara manual dan satu mamapu dikendalikan secara otomatik yang dipanggil “regulating rod”.
·                     TERAS REAKTOR - Bahagian tengah reaktor di mana bahanapi nuklear akan di isi dan di susun dalam bentuk grid bulatan.
·                     AIR -  Air boleh berfungsi sebagai penyejuk haba yang terhasil dari tindakbalas pembelahan (fission) dalam kolam reaktor. Air juga befungsi sebagai penampan sinaran yang terhasil di dalam teras reaktor supaya tidak membahayakan pengendali reaktor yang berada di atas kolam semasa melakukan kerja-kerja pembaikan dan aktiviti lain.
·                     GRAFIT – Grafit ini diletakan dibahagian luar mengelilingi  teras reaktor. Selain berguna sebagai bahan pelambat (moderator) neutron, grafit  juga berfungsi sebagai bahan pembalik (reflector) yang mengarahkan neutron yang terpancar mengarah keluar supaya melantun balik semula ke dalam teras. Ini akan meningkatkan lagi kecekapan proses tindakbalas pembelahan atom uranium.


Setelah pengendali memeriksa semua sistem reaktor seperti yang ada dalam jadual pemeriksaan (checklist) dan mendapati semua sistem dalam keadaan teratur. Maka kertas ‘checklist” yang telah lengkap diisi akan diserahkan kepada jurutera operasi reaktor (di panggil sebagai “reactor supervisor”) untuk ditandatangani dan memberikan kebenaran reaktor dimulakan kendalian. Mana-mana sistem reaktor dalam “checklist” mengalami masalah, maka reaktor tidak akan di benarkan beroperasi sehinggalah pembaikan dilakukan dan di sahkan pulih oleh jurutera operasi. Ini adalah langkah keselamatan yang MESTI di patuhi.
                          
Sebagai makluman, jadual pemeriksaan akan menyatakan status semua sistem termasuk sistem sokongan reaktor dalam keadaan baik. Sistem sokongan yang di periksa termasuk sistem peredaran udara bangunan reaktor, alat pengesan sinaran kawasan (Area Radition Monitor – ARM), pam sistem penyejukan air termasuk “heat exchanger”, menara penyejuk, termasuk bekalan elektrik seperti set “penjana kuasa standby”, semua stesyen bagi ”sample” selain sistem reaktor yang di sebutkan di atas.

Setelah kebenaran di beri maka barulah reakor akan mula dioperasikan. Pengendali akan membuat pemberitahuan berikut melalui sistem  PA bangunan reaktor.  “TUAN2/PUAN2. INI SATU PEMBERITAHUAN. REAKTOR AKAN DIKENDALIKAN. ULANG, REAKTOR AKAN MULA DIKENDALIKAN. TERIMA KASIH”.

Pengendali pun akan mula menekan butang rod kawalan satu persatu menurut aturan sambil memerhati meter-meter yang berkenaan di konsol kawalan.

BERSAMBUNG ………..

Nota:

  
Saya merupakan jurutera  operasi (juga di kenali sebagai reactor supervisor) pertama Reaktor TRIGA Mark II PUSPATI pada 1982. Tulisan ini bersandarkan kepada ingatan saya semasa membentuk sistem keselamatan dan kualiti, serta silibus latihan operator bagi  RTP. Rakan-rakan yang saya ingat Ir. Dr Mohd Puad Abu, Syed Nahar, Syed Azmi (SNahar dan SAzmi berada di IAEA, Vienna sekarang), Ir. Dr. Mohd Asshar, Adnan Bokhari (jurutera elektronik, dah pencen option) selain di bantu oleh juruteknik-juruteknik yang tak dapat nak saya sebutkan semuanya.  Semua kami berkerja di bawah arahan Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali, Prof Madya Nahrul Khair Alang Rashid (UIAM) dan Ir. Kasbun Kamat. Saya juga merupakan pemegang lesen pengendali kanan pertama RTP. Terlalu banyak kenangan yang bermain di kepala saya. Saya berharap jika ada rakan-rakan yang masih berkhidmat di ANM yang membaca, dan jika terdapat kecacatan fakta jangan segan untuk memaklumkan kepada saya. Didahului dengan ucapan terima kasih..

-------------------------------

Apa macam? OK ke tidak setakat ini?

UnclearEngineer

MUAMMAR GADDAFI- MATINYA SEORANG REVOLUSIONARI ATAU DIKTATOR?

Malam tadi aku membaca berita tentang kematian Kol. Muammar Gaddafi di tangan tentera pemberontak dari Majlis Peralihan Nasional (NTC). Dengan terbunuhnya bekas orang kuat Libya ini maka telah berakhirlah satu era bagi negara Libya. Era pemerintahan oleh seorang bekas kepten tentera yang berani merampas kuasa sehingga menjadi Ketua Negara yang akhirnya menjadi “gila-gila”.


Kepada mereka yang berminat dalam perjuangan Islam sejak awal tahun 70’an seperti penulis, Kol Muammar Gaddafi merupakan salah seorang dari pemimpin Islam yang paling lantang memperkatakan tentang sistem pemerintahan Islam. Masa itu banyak anak-anak muda yang terpengaruh dengan cara politik beliau. Gaddafi sentiasa dilihat mempertahankan Islam dengan caranya yang tersendiri. Kekayaaan minyak Libya membuatkan dia lantang bersuara kerana dia sedar Barat akan terpaksa melayan apa sahaja kerenah beliau. Di zaman sebelum Dr. Mahathir bangun sebagai jurucakap bagi negara Islam dan negara-negara membangun yang tertindas, Kol Muammar Gaddafi telah terlebih dahulu membuatkan negara–negara barat pening kepala dengan kelancapan mulutnya. Beliau dianggap bermulut celupar dan bagi banyak penduduk Islam seluruh dunia, mereka amat menghargai kemunculan pejuang Islam ini.

Boleh dikatakan bahawa apa sahaja yang berlaku dalam dunia Islam dan di Timur Tengah, maka disitulah muncul Gaddafi. Apabila negara-negara Arab meninggalkan Yassir Arafat bersaorangan dalam perjuangan bagi menegakkan negara Palestin, Kol Muammar Gaddafi datang dengan bantuan material dan moralnya. Itulah dia manusia bernama Kol Muammar Gaddafi. Berani menyanggah apa yang difikirkan sebagai kezaliman dan ketidakadilan Barat terutama terhadap umat Islam dan Palestin.

Sepuloh tahun kebelakangan ini, Kol Muammar Gaddafi telah mula di lihat berubah secara ketara. Beliau tidak lagi selantang dahulu mempertahankan hak-hak Islam dan rakyat Palestin yang tertindas. Kelakuannya menjadi semakin anih. Satu masa dulu, apabila membuat lawatan negara ke Itali, beliau telah enggan tidur di rumah penginapan Ketua Negara tetapi lebih selesa membawa khemahnya sendiri. Pengawal peribadinya pula di katakan terdiri dari wanita-wanita muda. Entah apa yang mahu di tonjolkan dengan kelakuannya yang ganjil ini, tak ada siapa yang ambil peduli lagi. Kol Muammar Gaddafi dilihat sebagai pemimpin yang telah banyak berubah dan rakyat Libya sendiri telah mula naik muak dengan cara pemerintahannya yang tidak menentu. Mungkin kekuasaannya di Libya yang terlalu lama telah membuatkan dia jadi begitu. Akhirnya rakyat Libya sendiri telah bangun mengangkat senjata menentang regimnya yang dilihat telah “out of touch” dengan realiti politik dewasa ini.

Kol Muammar Gaddafi telah pergi mengadap Penciptanya dalam keadaan yang sungguh tragik sekali. Matinya sebagai seorang revolusionari atau seorang diktator? Tanya sahaja kepada rakyat Libya yang lebih mengetahui.

Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosanya. Alfatihah.

UnclearEngineer

Thursday, October 20, 2011

MANILA AIRPORT WORLD’S WORST

The Ninoy Aquino International Airport's Terminal 1 was given the dubious title as the world’s worst  by an online budget travel guide, www.sleepinginairports.net, based on reviews from its readers – dipetik dari AFP.
-----------------------------------
 

Filipina oh Filipina. Kenapalah jadi sampai macam ini? Ini patut jadi pengajaran kepada rakyat Malaysia. Filipina pada satu masa merupakan sebuah negara yang amat di segani di Asia Tenggara. Tapi sekarang, sedih…. the sick man of South East Asia. Saya perhatikan kemerosotan Filipina ini mula berlaku selepas jatuhnya President Marcos dulu. Sejak itu Filipina berkokok sebagai sebuah negara demokrasi tapi realitinya negara makin terkebelakang disegi pembangunan dan rakyat semakin susah dan papa kedana.

Teringat saya masa awal 80an dulu, banyak kakitangan “pioneer” PUSPATI telah di hantar ke Filipina untuk menjalani latihan asas dalam teknologi nuklear. Malaysia masa itu baru bermula nak mengenali teknologi ini. Tak berapa lama lepas tu, Presiden Marcos telah membenarkan negaranya membina janakuasa nuklear pertama di rantau Asia Tenggara. Saya ingat lagi sebuah syarikat Amerika, Westinghouse Corporation beribu pejabat di Pittsburgh, USA telah diberikan kontrak bagi membekal logi nuklear tersebut. Saya ingat cerita ini kerana saya pernah menjalani “internship” selama 3 bulan di Westinghouse Corp. (Nuclear Power Division) semasa menamatkan ijazah sarjana saya di University of Pittsburgh.


Setelah logi siap dengan nilai pelaburan berbillion dollar, rakyat Filipina telah membantah sehingga menyebabkan logi tersebut terpaksa di“mothball”. Alasannya kerana logi tersebut dibina di atas garisan geologi yang tidak stabil dan mungkin akan mengalami kerosakan jika terjadi gegaran bumi. Walaupun saintis dan jurutera Filipina sendiri memperakui keselamatan logi tersebut tapi rakyat yang telah dihasut oleh gerakan anti nuklear luar negara, masih juga membantah. Akhirnya, pelaburan berbillion dollar hancur masuk longkang.

Hampir 25 tahun telah berlalu. Logi nuklear pun sudah hampir berkarat. Gempa bumi masih tidak juga berjaya mengegarkan tapak logi ini. Ramai jurutera dan juruteknologi nuklear rakyat tempatan telah berhijrah ke luar negara. Presiden, demi presiden baru silih berganti. Filipina makin lama makin terbenam ke bawah. Sekarang, Vietnam dan Kemboja (dua buah negara miskin satu masa dulu) nampak lebih menuju ke hadapan. Yang paling menakjubkan, saya sebagai seorang jurutera muda yang pernah belajar dari kepakaran Filipina telah kembali ke Manila pada 1999 sebagai seorang pakar IAEA bagi menasihati kerajaan Filipina sendiri bagaimana mahu membina sebuah logi penyinaran!

Apa pengajaran pada kita? Bagaimana sebuah negara yang dulunya OK menjadi begini? Sampaikan lapangan terbang utama nya pun tak dapat di selenggara dengan baik sehingga di cop sebagai yang paling teruk di DUNIA, ya saya ulang di dunia! dan negara ini hampir 25 tahun dulu mempunyai kepakaran membina sebuah logi janakuasa nuklear!

Wahai rakyat Malaysia, semua contoh dah berada di depan mata kita. Lihat dan fikir dengan rasional. Jangan kita mabuk berpolitik sehingga kita tidak sedar bahawa orang lain makin laju mengejar kejayaan ekonomi. Demokrasi bukan tidak ada kebaikannya tapi asyik berpolitik perkara yang remeh temeh tidak akan membawa kita ke mana-mana. Saya tidak hairan jika kita terus alpa, Vietnam pula akan nanti mengatasi Malaysia.

Minggu depan saya akan ke Vietnam selama 5 hari untuk melihat perkembangan terkini mengenai teknologi pemprosesan menggunakan sinaran di sana. Vietnam juga pernah menghantar pelatihnya belajar di Malaysia satu masa dulu. Apakah kisah dan pengalaman Filipina akan berulang kembali tapi kali ini melibatkan Malaysia pula?

UnclearEngineer

Tuesday, October 4, 2011

TESLA MODEL S – KERETA ELEKTRIK YANG BERGAYA


AMARAN: INI BUKAN IKLAN TAU, TAPI HEBAHAN KHIDMAT AWAM

Lupakan anggan-anggan anda yang mahu membeli kereta “hybrid” HONDA Insight . Simpan duit anda dan tunggu TESLA Model S ini yang dijangka akan memulakan pengeluaran pada 2012. Tahun depan je tu!

TESLA Model S ini diberitakan mampu mencapai jarak sehingga 320 batu bagi sekali caj dari power point rumah (220V atau 120V) dan boleh bergerak dari 0-60 mph dalam masa 4.2 saat (lebih pantas dari Porsche 911 Carrera). Kelajuan maksimum 130 batu sejam (mph) selain tidak mengeluarkan sebarang asap buangan (zero emission). Sudah tentu bunyinya motornya pun begitu senyap. Bila hantar servis tak perlu nak tukar “spark plug” atau tukar minyak hitam untuk pelincirkan engin. “Catalytic converter” untuk membersihkan asap ekzos? Siapa ada peduli?

 
Tak sabar saya menanti era kereta elektrik ini. Para pengguna sudah bosan dengan kenaikan harga petrol yang amat menyakitkan. Bila harga minyak naik melambong dipasaran antarabangsa, harga petrol di stesyen minyak pun turut naik tapi bila harga minyak mula turun, harga di stesyen pula liat nak turun sama. Dengn kereta letrik ni, tak perlu lagi kita pi kat stesyen Esso ke, Petronas ke atau Shell ke. Silap haribulan semua stesyen petrol boleh tutup. Padan muka aku!

Bagi saya dengan kejayaan pengeluaran kereta elektrik secara besar-besaran ini, maka era kebergantungan dengan sumber minyak akan berkurang. Dunia juga akan dapat mengurangkan pencemaran udara dari engin kenderaan bermotor petrol yang merupakan punca utama dan paling besar pencemaran udara dunia sekarang ini. Minyak hanya akan di gunakan bagi menjalankan kilang-kilang perindustrian, dan penggunaan minyak sebagai bahanapi penting dunia sudah pasti akan jatuh menjunam.


Satu soalan penting. Kalau semua kereta pakai motor elektrik, sudah tentu penggunaan elektrik akan meningkat. Nak jana tenaga eletrik tu pakai bahanapi apa? Kalau janakuasa elektrik guna bahanapi fossil seperti gas, minyak atau arang batu, maka tak berbaloilah. Ibarat umpama mengalih penggunaan dari kereta ke janakuasa. Pi mai, pi mai, dok tang tu juga.

Mungkin saya boleh bagi saranan. Apa kata selain menggunakan solar sebagai penjana tenaga elektrik, kita bangunkan pula janakuasa menggunakan tenaga nuklear. Kereta elektrik tak keluar pencemaran, janakuasa nuklear pun begitu juga. Bersihlah dunia dari pencemaran yang berterusan. Apa anda setuju?

UnclearEngineer

Monday, October 3, 2011

PM, JANGAN KAU HAMPAKAN KAMI ORANG MELAYU

·    Prime Minister pushing his luck – www.outsyedthebox.com
·  Dr. Mahathir Mohamad yang ditanya adakah  sesuai pilihan raya umum diadakan sekarang, menjawab: “Pada pendapat saya sekarang belum sesuai. Banyak lagi yang perlu dilakukan lagipun Umno belum cukup kuat.” Jika diadakan PRU waktu ini, Umno boleh kalah besar kerana sokongan dan semangat mereka telah pudar,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menyampaikan ‘Bicara Negarawan’ pada perhimpunan perdana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) siri kedua peringkat negeri di sini, hari ini – www.penantibangkit.blogspot.com

Membaca entri di blog Out Syed the Box membuatkan hati saya menjadi gundah gulana. Ditambah dengan kenyataan Dr Mahathir yang bagai tak menyokong jika piliharaya umum di adakan dalam masa terdekat membuatkan saya makin tidak sedap badan. Saya tertanya-tanya dalam hati, adakah ini merupakan alamat tak baik yang akan menimpa UMNO dan orang Melayu tak lama lagi?

Sebagai seorang ahli UMNO biasa yang setia, saya telah korbankan apa yang terdaya untuk mempertahankan UMNO sebaik mungkin sejak hampir 20 tahun dulu lagi. Saya juga cuba memberikan maklumbalas kepada kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi bahawa terdapat kegusaran dan kegelisahan di kalangan penyokong UMNO terhadap apa yang sedang dan akan berlaku dalam politik negara ini. Harapan saya, maklumbalas ini akan dapat membantu pemimpin bahagian dan juga Presiden kita (saya berangan DS Najib akan membaca catatan saya ini) membuat keputusan sebaik mungkin.

Kebimbangan saya dan juga mungkin lain-lain ahli UMNO sejak kebelakangan ini melibatkan isu-isu berikut:-

1.       Pemansuhan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) seperti yang di war-warkan sebelum ini. Bagi saya bukan pemansuhan sahaja tapi cara ia dilakukan yang menjadikan saya amat terkejut. Mungkin ramai daripada penyokong ISA ini tidak dapat melihat apa yang akan di ucapkan oleh PM pada malam itu. Bak kata orang- tiada ribut, tiada angin tiba-tiba sahaja atap rumah terbungkas runtuh. Sehingga banyak beranggapan bahawa keputusan tersebut di buat mungkin oleh segelintir pemimpin dalam kerajaan tanpa diberikan sedikit peluang untuk di bincang dan di bahas oleh penyokong parti. Kesian saya lihat ramai blogger pro-kerajaan tersipu kemaluan memandangkan logo “Aku sokong ISA” yang masih melekat kat muka utama blog masing-masing. Mereka terpaksa menelan kepahitan rasa di “tinggalkan”.

2.       Penghapusan quota bumiputera atau lebih tepat membuang “tongkat sakti” yang selama ini menjadi kelebihan bumiputera di Malaysia. Saya amat bersetuju bahawa sistem kuota yang ada sekarang telah tidak menefaatkan sebilangan besar bumiputera. Tapi tidakkah boleh sistem quota ini di perbaiki lagi bagi menghalang “super bumiputera” ini dari terus bergantung dan mengaut kekayaan menggunakan quota tersebut? Kenapa harus di hapuskan? Walau bagaimana pun, akhir-akhir ini terdapat kenyataan balas dari kerajaan bahawa sebenarnya perkara tersebut tidak benar. Penafian tersebut datang terlalu lambat dan ini mengundang banyak spekulasi di kalangan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu sendiri. Betul ke atau tak betul?

3.       Isu Namewee. Terus terang saya katakan bahawa saya tidaklah marah sangat dengan budak muda bernama Namewee ini. Dia ini ada bakat kreatif tapi acap kali hasil kreatif dia mengundang kontroversi. Caranya yang agak kasar dan suka menggunakan perkataan mencarut telah membuatkan banyak orang marah. Videonya yang bertajuk “Negarakuku” amat jelas kurang ajar sekali kerana telah mempermain-mainkan lagu kebangsaan kita Negaraku. Tapi apabila DS Najib membela Namewee ini dengan mengatakan mamat ini menyokong “1Malaysia”, saya juga jadi konfius. 1Malaysia menyokong perangai kurang ajar dan carut-marut? Bagi pendapat saya DS Najib tak perlu bagi komen sebegitu, biar sahaja menteri kanan  beliau seperti Datuk Nazri TS Aziz yang buka mulut.

Saya tidak tahu apa lagi kejutan yang akan keluar dalam masa terdekat. Saya amat-amat berharap apa perubahan yang mahu di lakukan hendaklah di buat secara musyawarah. Cari jalan untuk mendengar semua pandangan. Setelah mendengar pandangan umum terutama dari ahli UMNO dan BN, silalah buat keputusan yang terbaik untuk negara. Saya tidak akan menyesal jika akhirnya pandangan saya diketepikan. Yang penting kita telah menyatakan pandangan.

Sebagai PM, DS Najib akan membuat keputusannya dan dalam amalan demokrasi yang baik keputusan yang dibuat mengambilkira kehendak majoriti terpaksa di patuhi. Akhir sekali, saya berdoa supaya DS Najib akan diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk membuat keputusan terbaik untuk negara. Ini termasuklah bila PRU ke 13 akan diadakan. Sebagai ahli setia parti, saya sentiasa bersedia untuk di kerah berkerja pada bila-bila masa.

UnclearEngineer