Thursday, October 20, 2011

MANILA AIRPORT WORLD’S WORST

The Ninoy Aquino International Airport's Terminal 1 was given the dubious title as the world’s worst  by an online budget travel guide, www.sleepinginairports.net, based on reviews from its readers – dipetik dari AFP.
-----------------------------------
 

Filipina oh Filipina. Kenapalah jadi sampai macam ini? Ini patut jadi pengajaran kepada rakyat Malaysia. Filipina pada satu masa merupakan sebuah negara yang amat di segani di Asia Tenggara. Tapi sekarang, sedih…. the sick man of South East Asia. Saya perhatikan kemerosotan Filipina ini mula berlaku selepas jatuhnya President Marcos dulu. Sejak itu Filipina berkokok sebagai sebuah negara demokrasi tapi realitinya negara makin terkebelakang disegi pembangunan dan rakyat semakin susah dan papa kedana.

Teringat saya masa awal 80an dulu, banyak kakitangan “pioneer” PUSPATI telah di hantar ke Filipina untuk menjalani latihan asas dalam teknologi nuklear. Malaysia masa itu baru bermula nak mengenali teknologi ini. Tak berapa lama lepas tu, Presiden Marcos telah membenarkan negaranya membina janakuasa nuklear pertama di rantau Asia Tenggara. Saya ingat lagi sebuah syarikat Amerika, Westinghouse Corporation beribu pejabat di Pittsburgh, USA telah diberikan kontrak bagi membekal logi nuklear tersebut. Saya ingat cerita ini kerana saya pernah menjalani “internship” selama 3 bulan di Westinghouse Corp. (Nuclear Power Division) semasa menamatkan ijazah sarjana saya di University of Pittsburgh.


Setelah logi siap dengan nilai pelaburan berbillion dollar, rakyat Filipina telah membantah sehingga menyebabkan logi tersebut terpaksa di“mothball”. Alasannya kerana logi tersebut dibina di atas garisan geologi yang tidak stabil dan mungkin akan mengalami kerosakan jika terjadi gegaran bumi. Walaupun saintis dan jurutera Filipina sendiri memperakui keselamatan logi tersebut tapi rakyat yang telah dihasut oleh gerakan anti nuklear luar negara, masih juga membantah. Akhirnya, pelaburan berbillion dollar hancur masuk longkang.

Hampir 25 tahun telah berlalu. Logi nuklear pun sudah hampir berkarat. Gempa bumi masih tidak juga berjaya mengegarkan tapak logi ini. Ramai jurutera dan juruteknologi nuklear rakyat tempatan telah berhijrah ke luar negara. Presiden, demi presiden baru silih berganti. Filipina makin lama makin terbenam ke bawah. Sekarang, Vietnam dan Kemboja (dua buah negara miskin satu masa dulu) nampak lebih menuju ke hadapan. Yang paling menakjubkan, saya sebagai seorang jurutera muda yang pernah belajar dari kepakaran Filipina telah kembali ke Manila pada 1999 sebagai seorang pakar IAEA bagi menasihati kerajaan Filipina sendiri bagaimana mahu membina sebuah logi penyinaran!

Apa pengajaran pada kita? Bagaimana sebuah negara yang dulunya OK menjadi begini? Sampaikan lapangan terbang utama nya pun tak dapat di selenggara dengan baik sehingga di cop sebagai yang paling teruk di DUNIA, ya saya ulang di dunia! dan negara ini hampir 25 tahun dulu mempunyai kepakaran membina sebuah logi janakuasa nuklear!

Wahai rakyat Malaysia, semua contoh dah berada di depan mata kita. Lihat dan fikir dengan rasional. Jangan kita mabuk berpolitik sehingga kita tidak sedar bahawa orang lain makin laju mengejar kejayaan ekonomi. Demokrasi bukan tidak ada kebaikannya tapi asyik berpolitik perkara yang remeh temeh tidak akan membawa kita ke mana-mana. Saya tidak hairan jika kita terus alpa, Vietnam pula akan nanti mengatasi Malaysia.

Minggu depan saya akan ke Vietnam selama 5 hari untuk melihat perkembangan terkini mengenai teknologi pemprosesan menggunakan sinaran di sana. Vietnam juga pernah menghantar pelatihnya belajar di Malaysia satu masa dulu. Apakah kisah dan pengalaman Filipina akan berulang kembali tapi kali ini melibatkan Malaysia pula?

UnclearEngineer

No comments:

Post a Comment

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.