Saturday, October 29, 2011

VIETNAM – GERGASI YANG BARU SEBENTAR TERSEDAR DARI TIDUR


Bergambar dengan Mr Tran Khac An (tengah), Director - Research and Development Cente for Radiation Technology, Vietnam dan sahabat dari Malaysia, Sdra. Aziz selepas sahaja selesai makan tengah hari. Mr An ini sahabat yang sama-sama menuntut di Technical University Budapest, Hungary pada 1984.

Enam hari di Vietnam minggu lepas memberikan peluang bagi saya untuk melihat bagaimana salah sebuah negara besar di Asia Tenggara ini (80 juta penduduk) membangun. Umpama seekor gergasi yang baru sebentar bangun dari tidur panjang yang lena, Vietnam telah mula mengorak langkah mencari tempatnya di kalangan negara-negara membangun dunia.

Ho Chi Minh - Bandaraya ribuan motosikal

Lapangan terbang utama Ho Chi Minh City (dulunya terkenal sebagai Saigon) tidaklah sesibuk KLIA malah jauh dari kesibukan di LCCT, Sepang. Terdapat sekurang-kurangnya 6 penerbagan dari KLIA/LCCT setiap hari ke Saigon (tidak termasuk penerbagan Vietnam Airlines) di penuhi dengan pelancong dan peniaga Malaysia yang ingin mendapatkan barangan murah untuk di niagakan dan di bawa pulang. Pasar Ben Thanh merupakan pasar di mana tertumpunya pelancong dari Malaysia. Semasa menyusuri lorong-lorong sempit dalam pasar yang amat merimaskan dan panas, saya dapat mendengar suara-suara Melayu berbicara dengan loghat Kedah mahupun Nogori. “Mari bang, murah…murah” jeritan dari amoi-amoi yang menjaga gerai memanggil pelanggan-pelanggan dari Malaysia yang melintas lalu di hadapan gerai masing-masing.

Jaga, jaga. Amoi yang menjaga gerai di sini memang keterlaluan “friendly”nya. Semasa lawatan pada tahun lepas, seorang sahabat saya yang berkopiah (memang dia ni boleh dikatakan alim) terpaksa menjerit meminta tolong dengan saya apabila dia kepong dengan di pegang tangan oleh sekumpulan amoi sebuah gerai. Amoi tersebut cuba menjual beberapa barangan yang terdapat di kedainya. Saya cuma senyum sebelum berlalu pergi tanpa “memberikan bantuan”. Saya rasalah, rakan saya tu pun sebenarnya suka diperlakukan begitu. Sebab saya kebetulan melintas, jadi dia pun buat-buatlah minta tolong. Dasar manusia alimlah tu, alim-alim kucing.

Ben Thanh Market - tumpuan pelancong Malaysia

Memang barang-barang di sini murah. Syaratnya kita kena pandai menawar. Kalau tak, terkenalah juga kita nanti. Terdapat banyak baju kemeja biasa, kemeja-T dari jenama mahal, baju kurung fesyen terbaharu, telekong dan lain-lain barang dengan harga yang hampir separuh di jual di KL. Di bahagian belakang pasar, ada pula dijual buah-buahan tempatan seperti ciku, rambutan, jambu batu, longan, mata kucing dan tak lupa buah naga Vietnam. Saya tertarik dengan buah rambutannya yang hampir sama dengan isi rambutan jenis klon “anak sekolah” yang terdapat di Malaysia. Rasanya amat manis dengan bulunya yang kontot dan tidak lebat. Rambutan dijual 30,000 Dong sekilo (lebihkurang RM6.00 sekilo). Mahal juga…….

Vietnam terutama di bahagian selatan merupakan sebuah delta yang subur. Dari atas kapalterbang, kita boleh melihat luasnya tanah pertanian yang terbentang di bawah. Sebab itulah, Vietnam merupakan antara negara pengeksport beras terbesar di dunia. Vietnam juga dikeleilingi oleh laut yang luas. Selain dari beras, sumber minyak dan indusri tekstil, Vietnam juga banyak menghasilkan barangan laut (seafood). Industri pemprosesan barangan laut seperti ikan dan udang merupakan industri ketiga mendatangkan hasil paling tinggi bagi ekonomi Vietnam. Tak hairanlah terdapat 7 kemudahan penyinaran di Vietnam yang dibina bagi membersihkan hasil laut yang siap diproses ini yang kebanyakannya di eksport ke Eropah dan Amerka Syarikat. Katanya akan ada 2 buah lagi kemudahan penyinaran sedang dirancang untuk di bina dalam masa terdekat.

Saya telah berpeluang melawat dan melihat secara lebih dekat 3 dari kemudahan penyinaran kepunyaan syarikat swasta dan juga kerajaan Vietnam. Sebuah kemudahan gamma, sebuah kemudahan alur elektron dan sebuah lagi menggunakan teknologi sinar –x. Kemudahan sinar-x  Vietnam ini merupakan antara 2 buah yang terdapat di Asia selain yang terdapat di Riyadh, Saudi Arabia dan diluar negara China dan Jepun. Kemudahan alur elektron dan sianar-x digunakan kebanyakannya bagi pemprosesan hasil laut dan hasil pertanian. Kemudahan gama pula digunakan bagi mensteril barangan perubatan selain barangan kering seperti herba, rempah ratus seperti serbuk cili dan barangan perubatan tradisional. Kemudahan-kemudahan ini menggunakan teknologi dari US, Rusia dan juga Hungary. Sebuah kemudahan yang dalam pembinaan pula menggunakan teknologi dari China.


Keratan akhbar- buah naga Vietnam ke pasaran US.
Di salah satu institiut penyelidikan yang saya lawati, tahap kemapuan teknologi orang Vietnam ini sudah sampai ke tahap mampu untuk membina mesin mereka sendiri menggunakan teknolgi dan kepakaran anak tempatan. Untuk makluman, Pembantu Pengarah (Deputy Director) salah sebuah Institiut penyelidikan Vietnam ini pernah belajar di Malaysia beberapa tahun yang lepas. Silap-silap, anak murid akan mengajar cikgu pula di masa depan. Apa tidaknya jika pencapaian guru masih lagi di takok lama.

Rakyat Vietnam amat kemaruk untuk memajukan negara mereka. Dengan kerja keras, saya yakin ini akan tercapai jika kerajaan Vietnam mengambil berapa langkah proaktif. Industrilisasi secara besar-besaran juga sedang melanda negara komunis ini. Jika ini berterusan, saya rasa negara yang mempunyai pasaran dalam negara seramai 80 juta ini akan mengatasi negara seperti Filipina dan juga Thailand. Jangan terkejut jika Vietnam juga akan mengatasi Malaysia di masa hadapan jika kita terus alpa.

Lawatan saya kali ini telah berjaya membuka mata  saya terhadap kemampuan negara Vietnam terutama dalam teknologi pemprosesan menggunakan sinaran. Saya tidak akan teragak-agak untuk menjalin kerjasama dengan syarikat dan institiut Vietnam terutama melibatkan pemprosesan menggunakan sinaran jika terdapat peluang nanti.

UnclearEngineer

1 comment:

  1. Alhamdulillah, Agensi Nuklear Malaysia kabarnya akan menghidupkan semula Jawatankuasa Antara Agensi bagi Penyinaran Makanan yang telah tidak aktif lagi sejak sekian lama. Dengan pimpinan Dr. Mohamad Lebai Juri, Ketua Pengaran ANM, aktiviti penyinrana makanan di Malaysia bagi tujuan eksport akan dapat berkembang.

    ReplyDelete

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.