Leka membaca blog “Another Brick in the Wall” yang sekarang ini sedang menunaikan ibadah haji di Mekah. Beliau menulis mengenai batuk yang di alaminya. Teringat saya semasa saya menjadi tetamu Allah pada 2003 dulu.
Memang “batuk Mekah” ni spesial sikit sebab ia amat liat untuk pulih. Batuk serta berkahak kuning amat menyulitkan ibadah haji saya. Sehingga ada masa saya yang terlalu keletihan kerana kurang tidur dek terlampau banyak batuk pada pagi hari terutama sebelum masuk waktu subuh. Mengikut isteri saya, dia dapat mendengar batuk saya setiap malam walaupun kami tidur di bilik berasingan. Begitulah dugaan yang saya alami semasa mengerjakan haji pada tahun tersebut.
Semasa mula-mula sampai di Madinah saya memang rasa amat sihat sekali. Setiap pagi saya hanya akan memakai jubah nipis dan akan berlari-lari anak untuk pergi solat subuh di Masjid Nabawi. Walaupun cuaca pada masa itu amat sejuk, saya masih selesa dengan angin sejuk yang membadai badan dan muka saya. Rupa-rupanya inilah yang menjadi punca saya di serang batuk apabila saya sampai di Mekah kemudianya.
Dalam saya reda dengan dugaan Allah terhadap diri saya, saya tidak dapat melupakan kawan-kawan sebilik hotel saya sepanjang berada di Mekah. Tidak seorang pun yang menunjukkan tanda kurang selesa dengan keadaan saya. Mungkin semasa saya sedang batuk tak berhenti-henti, mereka juga tidak dapat tidur lena kerana nya. Namun mereka tetap tersenyum melayan saya umpama tidak ada apa yang berlaku. Saya juga beberapa kali menemui doktor di klinik Tabung Haji namun batuk saya tidak juga reda. Habis ubat batuk yang diberikan oleh doktor termasuk juga “antibiotic”. Huh, memang hebat penangan “batuk Mekah” ni.
Akhirnya dengan kepayahan, saya menamatkan rukun haji saya bersama isteri. Sesudah sampai ke tanah air, saya masih mengalami batuk kokol yang berpanjangan. Kalau tak silap saya, sebulan selepas kembali dari Mekah, saya masih tidak sembuh sepenuhnya dari batuk saya ini. Rupa-rupanya ada rakan di Malaysia yang mendengar khabar dari rakan yang sama di Mekah mengenai kesihatan saya ini. Ada juga suara-suara sumbang berkomen mengatakan yang bukan-bukan. Kononnya saya di hukum Allah atas kesalahan saya sebelum ke Mekah. Bagi saya jika inilah hukum Allah terhadap segala kesilapan saya yang lampau, saya terima sahaja dengan penuh rela.
Kini tahun 2011, hampir 8 tahun telah berlalu. Jika ada kengkawan yang sama sebilik di Mekah dulu membaca tulisan saya ini, saya ingin mengucapkan terima kasih atas simpati dan juga keperihatinan tuan-tuan terhadap saya. Saya pasti taun-tuan memang mengerti apa maknanya menjadi tetamu Allah serta dugaan Allah bagi setiap insan yang menyahut panggilan dari Kaabah ini.
Tergiang-giang di telingga saya laungan talbiah, labbaikallah………aku menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan.
Allahhuakbar, air mata ku menitis jatuh.
UnclearEngineer
No comments:
Post a Comment
Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.