Thursday, December 19, 2013

PESAN TERAKHIR ABAH

Tak ingat jika ada pesanan terakhir dari abah sebelum dia pergi. Aku cuba mengingat-ingat kembali, sah memang tak ada walaupuan abah menghembuskan nafas terakhir dia di depan aku. Masa itu aku sedang mengelap badannya yang masih basah selepas sahaja aku selesai mandikan dia.

Beberapa minggu sebelum itu, abah ku dah tak boleh lagi bergerak. Dia lumpuh akibat serangan angin ahmar di kampung. Selepas beberapa hari terlantar di hospital, aku bawa abah keluar ke rumah ku di Bandar Baru Bangi. Di Bandar Baru Bangi juga lah dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Semasa hidup dia, abah seorang yang kurang bercakap. Dengan anak-anaknya pun dia begitu. Aku adik beradik memang semuanya takut dengan abah. Dia kepantangan jika kami adik beradik berbuat sesuatu yang tak baik. Dia akan datang dan akan terus menerkam dengan rotan ditangan.  Abang Long ku pernah dirotan teruk apabila abah dapat tahu dia menghisap rokok dengan kawan-kawan. Sejak hari itu kami adik beradik tak pernah cuba menghisap rokok lagi sehinggalah kini.

Abah sebelum pencen bekerja sebagai seorang konstabal polis. Sebelum masuk polis dia pernah bekerja dengan tentera udara British di Singapura. Masa itu Malaya masih lagi belum merdeka. Dari cerita yang ku curi dengar, abah pernah dihantar oleh tentera British bertugas ke Hong Kong. Jadi dia bukan orang kampung sangat, kerana dia pernah berkhidmat diperantauan semasa muda dia. Dia berkahwin dengan ibu aku bukanlah atas dasar cinta. Orang masa itu semuanya menyerahkan soal rumah tangga kepada orang tua. Wan Saami, nenek aku yang meminang ibu ku untuk dinikahi abah. Abah dan emak menurut sahaja.

Sesuatu yang aku perhati tentang abah adalah sikap hormatnya pada orang tua. Kalau balik kampung, dia amat merendah suara jika bercakap dengan Mak Ulu dan Acik Terisah, dua orang kakak dia. Dia anak bongsu dan sudah tentu juga amat disayangi oleh kedua-dua kakaknya ini. Seorang lagi abang dia bernama Cikgu Yusof Majid. Semua orang di Seri Menanti termasuk DYMM Tuanku Jaafar, YamTuan Besar Negeri Sembilan terdahulu, kenal dia. Tuanku Jaafar dan Pak Lang Yusuf sama bersekolah di Kuala Pilah dulu. Aku tahu kerana aku telah diberitahu sendiri oleh Tuanku Jaafar sendiri semasa aku mengadap Tuanku.

Dua orang kakaknya dan Pak Lang Yusuf merupakan tempat abah selalu mengadu. Jika tidak dengan abang dan kakaknya ini, abah akan hanya berdiam diri. Walau apa pun dugaan yang kesusahan yang dia alami dan harungi, dia tak kan bercerita pada sesiapa pun. Kami anak-anak dia pun tak tahu akan masaalah yang dihadapi. Abah bukan jenis manusia yang suka berkonfrantasi. Dia lebih suka diam dan mengalah dalam segala hal. Kalau dia ambil tindakan pun, dia akan menyepikan diri sendiri. Masa itu baharulah aku tahu bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan abah. Pernah dia merajuk meninggalkan kampung emak dan tinggal dengan Acik Terisah, salah seoarang kakak dia sebab dia dah tak tahan dengan leteran emak yang kadang-kadang tak pernah berkesudahan.

Abah tak pernah bercerita dan menasihat anak-anak macam abah-abah yang lain. Tak perasan jika dia menasihati aku supaya kuat belajar. Yang kita tahu apabila dia melakukan sesuatu, maka itulah tanda dia amat mengambil berat. Umpama, jika aku meminta sesuatu tentang hal perbelanjaan melibatkan sekolah, dia akan cuba dapatkan walaupun aku tahu dia tak punya sumber kewangan yang mencukupi. Entah berhutang ke dia dengan kawan-kawan atau ada duit simpanan dia yang aku tak tahu. Yang penting dia akan cuba carikan sampai dapat supaya tak tergendala pelajaran anak-anak dia.

Di sekolah aku seorang murid yang aktif – pengawas kanan, ketua darjah, mewakili sekolah dalam sukan hoki dan badminton dan pelari jarak dekat 100m dan 200m. Semua cikgu kenal aku tapi mereka selalu bertanya, mana satu abah kau, Yaziz? Abah tak pernah datang ke mesyuarat PIBG, dia juga tak pernah berjumpa Guru Kelas ku untuk menanya tentang prestasi pelajaran ku. Jadi macam mana cikgu nak kenal dengan dia?

Dia seorang konstabel polis yang hidup sederhana. Tinggal di berek polis dengan konstabel-konstabel polis yang lain. Rumah orang ada TV tapi rumah kami tak ada. TV 2nd hand pun abah tak mampu beli. Abah bukan kaki minum di warong. Habis sahaja kerja rondaannya dia akan balik ke rumah. Kadang-kadang aku hairan bila lihat singlet (baju dalam) abah yang berlubang-lubang. Mungkin agaknya dia lebih rela menghabiskan duit gaji dia membeli keperluan keluarga dan anak-anaknya seramai 6 orang dari berbelanja untuk diri dia sendiri. Sembahyang 5 waktu nya tak pernah tinggal. Semua anak-anaknya di ajar mengaji sendiri. Dah besar baru aku sedar kenapa.

Apa ye pesanan terakhir abah? Memang tak ada yang dipesan pada aku mahupun adik-adik yang lain. Tapi kehidupan yang dilalui membuatkan aku sedar bahawa abah ingin aku mencari sendiri apa yang dia mahu supaya kami contohi. Tak lain tak bukan, abah mahu kami percaya “bahawa hidup ini biarlah seadanya tapi dari wang titik peluh yang halal”. Mungkin itulah “pesan” terakhir abah buat aku adik beradik yang akan aku pegang sampai mati.

Semoga Allah ampunkan segala dosa abah ku, Tuan Haji Yunus bin Haji Majid. Amin.

UnclearEngineer

Monday, February 18, 2013

XENOPHON - YOU ARE NOT WANTED HERE.


“Malaysia on any measure is one of the most democratic and freewheeling nations in Southeast Asia. Its elections are certainly not perfect, but they are better than in most parts of the world. Indeed, its very openness allows people such as Xenophon to grandstand there.” - The Australian newspaper’s foreign editor Greg Sheridan.
++++++++++

Xenophon loses his microphone while playing the Xylophone on his handphone. Kah, kah, kah. Sorry mate, I can’t help it. Its so funnylah.

Amek kau Senator Xenophon. Mahu tunjuk pandai pulak kau di Malaysia ni. Boleh aku nasihat kau sikit tak? Tukarlah nama kau tu, kelakar betul.

UnclearEngineer

Thursday, February 14, 2013

LEONG PEI KOE


Leong Pei Koe, 29 tahun seorang ahli DAP Pulau Pinang telah dijatuhkan oleh mahkamah sebulan penjara dan denda RM8,000 atas dua kesalahan menunjukkan tanda isyarat lucah ke arah DYMM Raja Permaisuri Agong dan ASP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Majistret Muhamad Hidayat Wahab memberitahu bahawa beliau telah mengambil kira perakuan bersalah dan permohonan maaf Leong serta kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman. Sebelum itu, Leong yang tanpa diwakili peguam telah memohon maaf kerana melakukan kesalahan tersebut.

Umur 29 tahun bukan budak-budak lagi. Ada pelajaran tapi tak digunakan. Macam orang bodoh dangkal yang tanpa sebab apa-apa mencari pasal. Kan dah kena makan nasi penjara percuma selama 30 hari. Karpal Singh, mahupun lain-lain peguam hebat DAP pun tak berani nak mewakili si Leong ni di mahkamah walaupun diberitakan terdahulu bahawa Pakatan Rakyat memutuskan untuk menyediakan khidmat guaman secara percuma ( 
http://suarapakatanrakyat.com/2013/02/hina-permaisuri-agung-pr-akan-pastikan-keadilan-untuk-leong-pei-koe/)

Selepas dibebaskan, mungkin akan berlaku salah satu dari dua senario ini. Dia akan balik bekerja di Singapura dan terus jadi warganegara di sana atau dia akan mengekalkan kewarganegaraan Malaysia tetapi menjadi penyokong totok DAP. Ikut suka kaulah Leong. Kalau kau memilih pilihan kedua, tolong jaga mulut kau tu sikit boleh tak?

Teringat kata-kata dia, “Ini Pulau Pinang Cina punya, polis Melayu tak ada kuasa”. Apa punya rasis ayat dia. Tapi Pakatan Rakyat kata Leong seorang yang berani. Berani tak bertempat.

UnclearEngineer

Monday, February 4, 2013

INTERNATIONAL MEETING ON RADIATION PROCESSING (IMRP) - BAHAGIAN 2

(Bersambung dari Bahagian 1)

Malam selepas temubual oleh jawatankuasa pemilih akan diadakan pula “Gala Dinner”. Semua peserta akan mengenakan baju sut dengan tali  leher bagi lelaki. Pada malam ini juga akan di umumkan bandaraya tuan rumah bagi IMRP seterusnya. Saya telah mengenakan baju sut terbaik saya dengan tali leher warna merah. Sebelum masuk ke dewan jamuan hotel, ada “cocktail reception” di lobi dewan. Semua yang boleh “minum” akan memegang gelas wine masing-masing sambil berbual ringan sesama perwakilan. Saya seperti biasa dengan segelas coke ditangan akan berlegar sambil bertegur sapa dengan rakan-rakan yang saya kenali. Kebanyakan perwakilan memberikan pandangan bahawa Jepun akan terpilih memandangkan bahawa Jepun sebenarnya dijemput untuk menyertai bidaan oleh penganjur tidak seperti Malaysia dan China yang menawarkan diri secara sukarela. Jadi pada pendapat mereka adalah memalukan pihak penganjur dan Jepun jika bidaan Jepun gagal. Kawan-kawan saya dari Kanada walau bagaimana pun amat yakin bahawa Malaysia akan berjaya. George West begitu yakin bahawa mereka telah berjaya menukar persepsi negatif Malaysia pada pandangan kebanyakan perserta persidangan kepada persepsi positif. Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia juga di lihat mempunyai kekangan bila tiba soal makanan dan minuman halal/haram. Tetapi itu semua sudah saya jelaskan dengan mendalam semasa interview pagi tadi.
Bergambar dengan rakan semeja dari Peranchis.
Saya memilih untuk tidak mengisi meja di depan pentas. Saya memerhati sekeling dan saya nampak sekumpulan peserta persidangan dari Perancis dan meja mereka nampaknya punya beberapa tempat duduk yang masih kosong. Salah searang dari mereka memang amat saya kenali sebab syarikat dia membekalkan beberapa barangan dan mesin peralatan kepada syarikat tempat saya berkerja. Bila melihat saya datang, kawan saya itu terus mengajak saya duduk bersama mereka. Saya tanpa banyak berfikir terus duduk bersama. Sebelum duduk, saya bersalaman sambil memperkenalkan diri dengan setiap yang duduk di meja tersebut. Mereka mengangguk-angguk sambil berkata “Malaysia? Malaysia very good”. Rupanya ada juga antara mereka yang telah menjejakkan kaki ke Malaysia. Saya terus berbual dalam bahasa Inggeris dengan kawan yang duduk di sebelah saya sedangkan yang lain rancak berbual sesama sendiri dalam bahasa Peranchis sambil meneguk wine kegemaran masing-masing. Malam tu “wine on the house” jadi riuh jugalah meja saya jadinya. Tak lama kemudian diumumkan bahawa makan malam akan bermula. Maka dengan itu bermulah juga dilema saya.

Semasa persidangan di siang hari, makanan halal dan kosher ada di sediakan di atas meja khas. Jadi saya tak perlu nak pergi jauh-jauh. Saya terus dapatkan meja makanan halal dan kosher ini untuk memilih makanan yang sesuai buat selera saya.  Memang tak berapa lalu tekak saya dengan makanan di sini. Selalunya saya ada bawa makanan sendiri terutama serunding dari Malaysia dan akan makan dalam bilik seorang diri kalau saya rasa lapar. Saya juga banyak membeli buah-buahan dan saya simpan dalam peti ais bilik hotel. Jadi semasa gala dinner ini saya terus memesan makanan halal dari “waiter”.

Sambil menunggu makanan, saya meneguk air coke dalam gelas  saya serta meneruskan bualan dengan kawan di kerusi sebelah. Bila makanan saya sampai, saya cuma lihat sayur dan filet ikan dengan sos dalam pinggan. Pengalaman saya belajar selama 6 tahun di luar negara membuatkan saya boleh memakan apa sahaja makanan selain daging babi. Dengan lafas “bismillah” saya suap makanan ke dalam mulut. Akhirnya satu pinggan habis saya makan. Setelah selesai  makan,  maka bermulalah bahagian bagi pengumuman tuan rumah bagi IMRP yang akan datang.

Saya buat-buat muka selamba sahaja sebab kalau Malaysia gagal maka saya tak akan terasa malu sangat. Pengerusi IMRP Chicago pun dijemput ke atas pentas untuk membuat ucapan serta mengumumkan kotaraya pembida yang berjaya. Dalam hati saya kuat mengatakan Jepun sudah pasti akan diserahkan kerja-kerja bagi tuan rumah IMRP 2006. Siapa yang mampu lawan bidaan Jepun? Bagi saya cukuplah saya mengetahui bahawa saya telah menjalankan usaha terbaik saya untuk mempromosi Kuala Lumpur dan Malaysia di Chicago ini.
Bergambar dengan Robert Moss, Pengerusi JK Pelaksana IMRP 2003 Chicago,
Gord Ashfield dan isteri.
Pengerusi akhirnya mengumumkan -  “After much deliberations by the selection Committee, I hereby declare Kuala Lumpur, Malaysia as the host of out next IMRP conference”. Betul ke apa yang aku dengar ni? Gery Defalco, George West dan Gord Ashfiled, tiga orang sahabat saya yang kuat membantu dalam kerja-kerja membida terus datang ke meja saya untuk mengucapkan tahniah. Betapa bangganya saya rasa apabila dipanggil naik ke pentas untuk memberikan ucapan ringkas apabila nama Malaysia dan Kuala Lumpur diumumkan sebagai pembida yang berjaya. Dari bahagian tengah dewan saya berjalan perlahan ke pentas. Berlatar belakangkan video dari Tourism Malaysia yang dipancarkan ke screen besar pentas, dengan di sinari lampu saya dapat lihat kebanyakan peserta lain berdiri sambil bertepuk tangan dan bersorak tanda setuju dengan pemilihan pengerusi. Wow, “standing ovation”, man.

Saya rasa kebanyakan peserta lain tak sangka akan pemilihan Malaysia tapi bila nama Malaysia di umumkan, mereka rasa amat teruja umpama menyokong bidaan pihak “underdog”. Dalam ucapan ringkas, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada JK pemilih kerana memilih Malaysia. Saya ulangi sekali lagi janji saya untuk memastikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah terbaik dalam sejarah IMRP. Turun sahaja dari pentas saya terus mendapatkan delegasi China dan Jepun untuk bersalam sebagai tanda rendah diri saya. Saya tahu mereka memang amat kecewa pada malam itu. Ketua delegasi Jepunlah yang paling terkejut apabila Malaysia di pilih dan saya sempat bergambar dengan beliau yang bermasam muka kerana “kekecewaan yang amat bersangatan”.
Bergambar dengan ketua delegasi Jepun sejurus selepas KL, Malaysia diistiharkan 
sebagai pemenang. Mak oii, masamnya muka dia.
Saya pergi dari satu meja ke satu meja bagi menerima ucapan tahniah sambil menaikkan gelas berisi coke aksi “yamseng”. Huh, memang bangga sugguh saya. Ini betul-betul satu sejarah yang paling gemilang. Habis pengumuman, majlis tari menari pun bermula. George West dengan isterinya Mrs Browyn antara yang paling mula masuk untuk menari. Saya memerhatikan sahaja. Tak lama lepas itu saya meminta diri untuk balik ke bilik hotel untuk menalipon “boss” saya di KL mengenai kejayaan Malaysia ni. Mungkin dia juga tidak sangka akan kejayaan ini. Esok paginya hampir semua peserta persidangan sudah mengenali saya. Hei, Malaysia – congratulations.
Gambar sahabat baik dan "sifu" saya George West, CEO Steritech, Australia
 dan isteri Mrs Browyn (kanan sekali) sudah bersiap untuk menari.
Itulah cerita saya dalam membida IMRP 2006. Akhirnya Malaysia berjaya dalam mengatur persidangan IMRP 2006 tersebut dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak sebagai perasmi persidangan. Memang betul pun IMRP 2006 telah diiktiraf sebagai IMRP terbaik yang pernah diadakan. Bukan itu sahaja, penganjur SterilGamma berjaya membuat keuntungan lebih RM200,000 dari pengajuran IMRP tersebut. Untuk makluman, semua kerja-kerja penganjuran terdahulu tidak pernah menghasilkan keuntungan, malah kerap sahaja kerugian.

InsyaAllah saya akan sambung di Bahagian 3 nanti mengenai IMRP 2006 di KL dan bagaimana pihak penganjur membuatkan para peserta begitu kagum dengan negara kita, Malaysia.

UnclearEngineer

GAS BATU SYAL – SUMBER TENAGA BARU DUNIA

Satu revolusi dalam pencarian sumber tenaga baru sedang berlaku sekarang. Penggunaan gas yang semakin meningkat dari sumber yang tak pernah dibangunkan secara serius sebelum ini, gas dari batu syal (shale). Apa itu batu syal? Menurut Kamus Dewan, batu syal adalah sejenis batu lembut yang mudah pecah menjadi lapisan-lapisan nipis. Rupa-rupa dalam struktur batu ini banyak terperangkap gas methane yang boleh disedut keluar.

Amerika Syarikat katanya sudahpun berusaha secara bersunngguh-sungguh meningkatkan pengeluarah gas dari sumber batu syal ini. Pada 2000, gas dari batu syal merupakan 1% sahaja dari pengeluaran gas asli Amerika. Diunjurkan pada 2010 akan meningkat kepada 20% dan kepada 50% pada 2035. Ini satu jumlah peningkatan yang amat mengagumkan.

Masalah yang dihadapi oleh lain-lain negara seperti negara-negara Eropah dari memenafaatkan sumber baru ini adalah tentangan NGO alam sekitar terhadap proses “fracking” yang digunakan bagi mengeluarkan gas yang terperangkap dalam formasi bawah tanah batu syal ini.  Konon proses “fracking” ini akan mampu meyebabkan gegaran bawah tanah dan juga pencemaran sumber air.


Antara negara-negara yang mempunyai banyak sumber tenaga dari batu syal ini selain Amerika Syarikat termasuklah China, Peranchis, Rusia, Kanada, German, Australia, Afrika Selatan, Argentina, Mexico dan Ukraine.  Setahu saya Malaysia tak punya sumber batu syal ni dalam jumlah yang banyak.


Jadi bila dah habis simpanan minyak, arang batu dan gas asli, kita nak gantikan dengan apa? Tenaga suria? Neah. Tenaga angin? Neah. Tenaga hidro? Neah. Tenaga nuklear dengan penggunakan bahan thorium (BUKAN uranium) sebagai bahanapi? Mungkin.

Kita biarkan sahaja pembuat polisi memikirkan nya.

UnclearEngineer

Sunday, February 3, 2013

RASUAH DAN PARTI ISLAM

Pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Luthfi Hassan Ishaaq telah disoal siasat oleh Suruhanjaya Penghapusan Rasuan (KPK), Indonesia berhubung kes rasuah import daging lembu. Jurucakap KPK, Johan Budi berkata, penyiasat merampas wang berjumlah satu bilion rupiah (RM306,000) dari sebuah kereta milik pembantu Luthfi.

PKS merupakan antara parti Islam terbesar Indonesia dan mempunyai 3 pemimpin berjawatan menteri dalam kabinet Presiden Bambang Susilo. Tuduhan keatas Luthfi telah mengoncang kredibiliti parti Islam tersebut yang selama ini melaungkan cogankata bersih dari amalan rasuah.  

Menurut Din Syamsuddin, Pengerusi Muhammadiah (kumpulan Islam kedua terbesar Indonesia) kes rasuah membabitkan parti Islam mencetuskan masalah besar kepada umat Islam di negara itu. Katanya, keadaan itu menggambarkan parti Islam TIDAK BOLEH MELAKSANAKAN SEPENUHNYA NILAI ISLAM DALAM KEGIATAN MEREKA. “Tidak hairanlah sekiranya ramai orang berkata, tidak ada bezanya parti Islam dengan parti sekular.
Sebenarnya itu juga yang sedang berlaku di Malaysia. Parti Islam hanya bercakap berdegar-degar untuk menegakkan Islam tapi banyak perkara mungkar yang dilakukan pemimpin dan ahli parti yang tidak secocok dengan amalan Islam sebenar. Kalau tidak ditangani, ini akan meruntuhkan kepercayaan orang Islam terhadap parti Islam dalam jangka panjang.

Apa yang berlaku di Indonesia memberikan kita peringatan bahawa sebelum berkuasa memang senang untuk menuduh parti pemerintah mengamalkan rasuah. Tapi bagaimana bila parti Islam ini menjadi sebahagian dari kerajaan? Contoh di Indonesia adalah sebagai bukti, dalam hal begini Indonesia dan Malaysia sama sahaja……..

UnclearEngineer

Thursday, January 31, 2013

INTERNATIONAL MEETING ON RADIATION PROCESSING (IMRP)

Sesungguhnya “mesyuarat” merupakan nama yang kurang tepat untuk IMRP. IMRP ini sebenarnya sebuah persidangan bagi industri pemprosesan sinaran melibatkan teknologi gama, alur elektron dan x-ray. Ia tersenarai sebagai persidangan terbesar dalam teknologi pemprosesan menggunakan sinaran seantero dunia dan “a must attend” bagi mereka-mereka yang terlibat dalam industri ini. Sesiapa yang belum pernah ke IMRP, maknanya belum lagi sah jadi ahli dalam “kelab” ini.

IMRP pertama telah di adakan di San Juan, Puerto Rico pada 1976 dan sehingga kini sudah 16 kali IMRP ini di adakan di 16 kota besar berlainan. IMRP yang pernah saya hadiri termasuk Istanbul (1994), Anaheim, California (1997), Melbourne, Australia (1999) dan Chicago, US (2003). Kuala Lumpur telah berpeluang menjadi tuan rumah IMRP pada 2006. IMRP terbaharu pula akan di adakan di Shanghai, China pada November 2013 ini.

Kuala Lumpur merupakan satu-satunya bandaraya di Asia selain Tokyo (1980) dan Beijing (1992) yang pernah dipilih sebagai tuan rumah. Bagaimana KL terpilih? Inilah cerita yang mahu saya ceritakan. Cerita mengenai seorang anak Melayu hampir 10 tahun yang lalu terkontang kanting seorang diri di Chicago, Ilinois, USA semasa berlangsungnya IMRP 2003 berusaha melawan gelombang bidaan dari Jepun dan China. Akhirnya Jepun dan China tewas dan KL berjaya menjadi tuan rumah yang dikatakan persidangan paling berjaya dalam sejarah IMRP. Tiada niat saya untuk memuji usaha saya tapi inilah sejarah yang perlu di ceritakan kepada semua anak-anak muda terutama yang masih mencebur diri dalam bidang teknologi nuklear ini bahawa Malaysia mampu melakukannya jika kita mahu!

Masih teringat saya akan peristiwa di IMRP 2003 Chicago, Amerika Syarikat. Saya telah di arahkan supaya membuat bidaan untuk membawa IMRP 2006 ke Kuala Lumpur, Malaysia. Masaalahnya saya merupakan delegasi solo Malaysia ke persidangan di Chicago tersebut dan ini sudah tentu merupakan satu kerja yang amat berat untuk menyakinkan tuan rumah dan delegasi lain yang datang dari seluruh dunia untuk memilih Malaysia. Semasa bertolak saya masih tak mengetahui siapakah lagi negara yang akan membuat bidaan. Yang saya difahamkan pihak industri mahu IMRP 2006 selepas Chicago di adakan di Asia pula.

Dari Kuala Lumpur lagi saya sudah bersiap sedia dengan segala bahan yang akan saya gunakan untuk meyakinkan jawatankuasa pemilih hos baru (New Host Selection Committee) di Chicago nanti. Persembahan audio dan video telah saya sediakan dengan pertolongan kawan-kawan di Malaysia. Saya bawa cenderhati sebanyak mungkin dari Malaysia sebagai usaha memperkenalkan Malaysia kepada perwakilan yang hadir nanti. Setiap ahli jawatankuasa pemilih dibekalkan dengan beg yang tertulis nama peribadi dan dipenuhi dengan semua dokumen bidaan serta brosur mengenai Malaysia terutama Kuala Lumpur. Semuanya saya angkut dalam baggage saya. Pengalaman saya sebagai ahli jawatankuasa pemilih host baru di IMRP Melbourne (1999), saya jadikan sebagai rujukan. Saya pastikan semua yang perlu telah saya sediakan. Hanya persembahan oral saya di depan jawatankuasa pemilih yang akan menjadi penentu kejayaan.

Mendapatkan visa ke US bukan sesuatu yang mudah pada masa tersebut terutama selepas berlakunya peristiwa 9/11 (2001) dan pengeboman di Bali, Indonesia yang berlaku hanya setahun sebelumnya. Saya telah ditanya soalan berulang-ulang kali oleh Pegawai Konselar di kedutaan US di Kuala Lumpur. Mereka mahu pastikan bahawa jurutera nuklear dari Malaysia ini mempunyai sebab yang sah untuk menghadiri persidangan melibatkan teknologi nuklear di Chicago ini. Setelah sebulan lebih menanti, akhirnya visa saya di luluskan. Saya bertolak ke Chicago dengan penuh debaran. Boleh kah saya lakukan semua ini seorang diri?

Setelah melalui pemeriksaan ketat semasa transit di Lapangan Terbang Los Angeles, saya akhirnya sampai di Chicago pada waktu malam. Saya ambil limosin lapanganterbang dari O’Hare Airport ke Fairmont Chicago Hotel. Memang sejuk dan berangin kota Chicago ini. Patutlah Chicago di gelar sebagai  “the Windy City”. Setelah beberapa hari di Chicago barulah saya tahu bahawa China dan Jepun adalah negara Asia yang juga berminat untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan tahun 2006 tersebut.

Keesokannya setelah medaftarkan diri saya terus mencari rakan-rakan dari negara-negara lain yang saya kenali sejak saya menghadirkan diri di IMRP-IMRP yang lalu. Orang nombor satu yang saya cari ialah “sifu” saya George West dari Australia. Saya mengenali George West sejak 1989 apabila dia menjadi pensyarah saya dalam satu kursus yang saya hadiri di Bangkok, Thailand.  Saya banyak bertanya dengan dia dan akhirnya saya menjadi “best participant” bagi kursus tersebut. George West amat kagum dengan kesungguhan saya mahu belajar sebanyak mungkin dari dia. Sejak itu saya dan George West menjadi rakan karib. Pernah satu hari dia menyampaikan hasrat mahu “join” syarikat saya. Di Austrlia dia merupakan CEO, Steritech – syarikat pemberi perkhidmatan sterilisasi terbesar di Australia (3 logi di Melbourne, Sydney dan Brisbane). Kemudian saya cari Gery Defalco dan Gordon Ashfiled dari MDS Nordion, Kanada. Saya mengenali mereka berdua ni sejak 1988 apabila berurusan mengenai pembelian dan pemasangan logi SINAGAMA di Agensi Nuklear Malaysia (dulunya di kenali sebagai PUSPATI) dan seorang lagi Eric Beer, jurutera mekanikal yang berkerjasama dengan saya merekabentuk logi gama di Rawang, Selangor. Keempat-empat mereka bersetuju nak membantu saya dalam kerja-kerja melobi.

Saya dengan bantuan rakan dari Australia dan Kanada mula bertemu dengan semua peserta persidangan. Sasaran utama saya adalah mereka-mereka yang tergulong sebagai “captians of the industry” – CEO, SVP, VP dan pengurus kanan syarikat. Setiap waktu rehat dan “coffee break” saya gunakan untuk berjumpa dengan peserta-peserta sebanyak mungkin sambil memperkenalkan diri saya, negara saya Malaysia dan hasrat saya mahu mendapatkan sokogan bagi menjadi Kuala Lumpur sebagai hos akan datang IMRP. Begitu juga dengan keempat kawan saya.  Saya beruntung kerana ramai dari peserta negara lain telah mengenali saya sebab dalam beberapa persidangan-persidangan terdahulu saya selalu dipilih mempengerusikan sesi perbincangan dan pembentangan kertas kerja selaian dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pelaksana. Cuma mereka jarang dapat bercakap dengan saya secara peribadi. Selama seminggu persidangan berjalan, di sebelah malamnya akan ada sahaja majlis makan malam yang dihoskan oleh para syarikat penaja. Disini juga saya tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan rakan-rakan dan melobi. Selepas selesai makan malam, terdapat banyak majlis minum-minum santai di bilik-bilik persendirian di aras eksekutif hotel. George West dan Gerry Defalco menjadi perantara saya untuk saya meyelinap masuk ke bilik-bilik persendirian ini. Masha Allah, banyak sangat minuman keras dan mereka-meraka yang dijemput ini akan minum berbual sampai mabuk sebelum balik semula ke bilik masing-masing untuk tidur.  Demi untuk menjayakan bidaan Kuala Lumpur saya terpaksa bersama-sama mereka sambil berbual-bual dan melayan kengkawan yang ada setengahnya sudah pun mula mabuk. Ramai juga peserta persidangan yang saya jumpa dan bersalam dengan cara ini. Rupa-rupanya mereka amat menghargai usaha saya ini dan memberikan galakan kepada saya untuk terus berusaha sampai KL berjaya.

Gambar sekitar IMRP 2003 di Chicago, Ilinois, USA.

Tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Sebelah pagi sebelum “Gala Dinner” diadakan maka jawatankuasa pemilih akan memanggil semua yang berminat membida untuk ditemubual oleh ahli jawatankuasa. Yang pertama masuk adalah pembida dari Jepun, kedua Malaysia dan akhir sekali China. Cara nombor temubual di atur, saya sudah merasa bahawa jawatankuasa mungkin lebih memihak kepada Jepun. Saya mula berkira-kira apa yang akan saya cakapkan di depan jawatankuasa nanti. Satu soalan yang pasti mereka mahu tahu adalah tentang situasi keselamatan di Malaysia. Ada di antara peserta dari Amerika Syarikat dan Eropah bimbang tentang keselamatan masing-masing semasa di KL nanti. Mereka memberikan contoh peristiwa pengeboman di Bali, Indonesia.

Lama juga pembida dari Jepun berada di bilik temubual, mungkin lebih dari sejam, agaknya. Akhirnya pintu bilik terbuka dan pembida Jepun terus keluar tanpa menyapa saya. Ah, sombong juga depa ni. Tanpa senyum mereka terus berlalu pergi. Pintu masih tertutup untuk beberapa ketika. Mungkin ada perbincangan pendek oleh ahli jawatankuasa. Kemudian terdengar suara menjemput saya masuk. Jeng, jeng, jeng……… masaklah kau Yaziz di”provoke” dengan soalan panas AJK pemilih. Bagaimana saya tahu? Saya tahu kerana 4 tahun terdahulu, saya adalah salah seorang AJK pemilih di IMRP Melbourne yang memilih Paris sebagai kota pilihan. Soalan provokasi saya telah menyebabkan pembida dari Brazil naik angin bila Paris diumumkan sebagai pemenang.

Saya berjalan masuk ke bilik temubual dengan tenang (walaupun dalam hati hanya Allah sahajalah yang tahu). Terus saya pasangkan komputer saya ke LCD sebelum memperkenalkan diri. Setiap meja AJK pemilih saya letakkan satu beg berisi semua dokumen bidaan dan brosur bagi memperkenalkan Malaysia. Semua terkejut bila setiap beg telah saya jahitkan nama penuh masing-masing lengkap dengan cadangan logo IMRP Kuala Lumpur. Kemudian saya mainkan video dari Tourism Malaysia bagi memperkenalkan Malaysia secara ringkas. Persembahan “power point” pula amat memberangsangkan mereka. Saya sebagai wakil Malaysia telah menjanjikan yang terbaik kepada setiap peserta dan pengalaman di Malaysia yang tak akan mereka lupakan. Saya juga berjanji untuk menjemput Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri untuk merasmikan persidangan tersebut. Apabila masa soalan tiba maka soalan cepumas pun diajukan. How safe is Malaysia do you think? Saya katakan Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang berasingan walaupun kami berjiran. Kegiatan pengganas terhad di Malaysia dan tiada pengeboman berlaku di Malaysia sejak sekian lama. Pihak keselamatan Malaysia amat professional dalam menangani kes melibatkan keselamatan negara. Malaysia lebih proaktif dalam kerja-kerja perisikan dan berjaya membendung banyak perancangan pengganas lama sebelum para pengganas ini berjaya melakukannya. Yang menghairankan, banyak dari AJK pemilih menganggap Malaysia dan Indonesia serupa umpama sebuah negara yang bersatu. Penerangan saya beri nampaknya dapat di terima ahli Jawatankuasa. Selepas tidak ada lagi soalan, saya terus mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang untuk membida bagi Malaysia dan saya berjanji sekali lagi untuk menjadikan IMRP Kuala Lumpur sebagai IMRP paling baik pernah dianjurkan.

Selepas keluar dari bilik saya terus balik ke bilik hotel saya sambil tertanya-tanya. Mampukah saya tadi meyakinkan jawatankuasa pemilih bahawa bidaan Malaysia lebih baik dari Jepun?

(bersambung di bahagian 2)

UnclearEngineer

Monday, January 28, 2013

RASUAH – BAGAI MEMBUKA PEKONG DI DADA (BAHAGIAN 1)

Kesimpulan dari tinjauan terbaharu UMCEDEL, Universiti Malaya – Orang Cina memilih Pakatan Rakyat sebab PR sanggup mengenepikan Islam dan hak istimewa orang Melayu. Orang Melayu pula memilih Pakatan Rakyat sebab mereka mahu menghapuskan rasuah hatta jika mereka terpaksa mengorbankan Islam dan bangsa sendiri.

+++++++++++++

Begitulah muaknya sesetengah orang Melayu dengan gejala rasuah yang dilihat terus bermaharajalela. Sampaikan mereka sanggup untuk mengorbankan bangsa mereka sendiri jika itulah yang akan mampu menghapuskan gejala rasuah ini. MasyaAllah, amat bahaya pemikiran sebegini bagi saya. Umpama kata orang tua-tua kita dulu – “marahkan nyamuk, kelambu habis kita bakar” walaupun sedar bahawa kita tidak punya wang lagi untuk membeli kelambu baru. Akhirnya semua kena demam denggi.

Benarkah rasuah dah merebak luas hingga menjadi penyakit kronik negara?

Jawapan ikhlas saya, dari apa yang saya lalui lebih 20 tahun dalam kerjaya saya, memang ada kebenaran akan tuduhan tersebut. Tetapi jika dibandingkan dengan apa yang berlaku disekeliling kita, saya percaya di Malaysia rasuah masih dijalankan dalam sembunyi-sembunyi dan belum lagi menjadi penyakit kronik. Hanya mereka serta mangsa yang terlibat sahaja yang tahu. Sedangkan di sesetenggah negara, ianya sudah merebak secara terang-terangan.
Kalau diandaikan sebagai barah, barah rasuah di Malaysia masih di tahap 2. Masih boleh sembuh jika diberikan rawatan yang bersesuaian.

Kalau ditanya mereka yang terlibat dalam perniagaan, memang ramai antara mereka yang mengakui terlibat dalam gejala sebegini. Sesetengahnya terlibat dalam keadaan terpaksa tapi tak kurang juga antara mereka adalah pemberi rasuah paling ikhlas.

Satu masa dulu saya pernah terlibat dalam pembinaan kilang dan kerenah birokrasi kadang-kadang hampir-hampir menyebabkan saya rasa mahu “give up”. Untuk mendapatkan kelulusan membina dan selepas projek siap, untuk mendapatkan sijil layak menduduki (CF) boleh jadi satu masalah besar jika permohonan gagal dilincirkan dengan wang. Ini sebuah rahsia yang semua peniaga tahu. Malah untuk menjadi seorang usahawan besar dan berjaya, antara kebolehan yang perlu dipelajari “to perfection” adalah seni “kau garu belakang aku, aku garu belakang kau”.
Mungkin golongan pembangkang yang membenci rasuah hanya menuduh rasuah ini kerja kakitangan kerajaan sahaja. Salah besar tu. Di sektor swasta, rasuah juga berlaku dengan rancak malah mungkin lebih hebat lagi. Disebabkan ia melibatkan wang syarikat dan tidak melibatkan wang rakyat maka penyakit ini di sektor swasta tidak menjadi satu kemarahan orang ramai. Mungkin ada yang tak tahu bahawa terdapat kakitangan institusi kewangan yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman meminta “upah” berapa peratusan dari jumlah pinjaman yang diluluskan untuk sesuatu projek. Kalau tidak, projek tak dapat dilaksanakan sebab ketiadaan sumber pembiayaan. Kadang-kadang kakitangan ini akan merekomen sesetengah juruperunding bagi menyediakan kertas kerja serta mengisi borang permohonan yang kononnya akan mengikut format yang dikehendaki bank. Sudah tentu khidmat ini perlu dibayar dan saya yakin pegawai bank akan dibayar juga oleh juruperunding akhirnya sebagai “membalas budi”.

Pemberian hamper semasa perayaan memang dah jadi lumrah dalam sektor swasta malah yang rajin menghantar hamper ke rumah pegawai-pegawai kerajaan juga adalah syarikat-syarikat swasta. Ada tu bersama hamper ada “angpow” lumayan untuk anak. Pandai depa ini, kerana takut diistilahkan rasuah jika di berikan pada bapa maka angpow tersebut disasarkan kepada anak pula.

Cukup setakat ini dulu. Saya akan menulis pengalaman peribadi saya dalam menghadapi gejala rasuah sebagai kakitangan kerajaan selama 13 tahun dan di sektor swasta selama hampir 20 tahun dalam Bahagian 2 nanti, insya Allah.

UnclearEngineer