Tuesday, June 21, 2011

BAPA KU SEORANG MATA-MATA.



Abah duduk di sebelah kiri.
Gambar semasa di Bandar Hilir, Melaka
Bangun pada pagi ini aku teringat bapa ku. Mungkin kerana sempena Hari Bapa pada hujung minggu ini.

Bapa ku yang ku panggil abah, Haji Yunus bin Hj. Majid (no polisnya PC 27558) merupakan seorang mata-mata (dikenali juga sebagai Mat kampau, Mat bond). Sebagai seorang anggota polis, hidup keluarga ku sentiasa di penuhi dengan berpindah dari satu berek polis ke satu berek polis yang lain. Kadang-kadang  naik lengoh juga menyusun barang dan mengikat tilam untuk dinaikkan ke atas lori. Tapi apa yang hendak di runggutkan kerana kerja abah aku inilah maka aku pernah tinggal di Johor, Perak dan Melaka. Jauh perjalanan banyak pengalaman kata orang.
Ada sesuatu yang gajil tentang abah ku ini. Percaya ke tidak bahawa di bawah uniform polis yang nampak kemas itu, abah ku selalu memakai singlet cap pagoda yang telah lusuh dan berlubang-lubang. Aku mulanya tak ambil kesah (kata orang muda sekarang, tak ambil pot) langsung. Nak bertanya takut dimarah. Hanya aku dapat mencari jawapannya setelah aku dewasa.

Abah ku jenis manusia yang tak suka membuang masa di luar. Habis sahaja kerja dia akan terus balik ke rumah. Hobinya sewaktu di rumah ialah bertukang kayu dan juga membuat jala ikan. Sekali sekala dia akan turun ke sungai untuk menjala ikan. Balik nanti emak akan terpaksa pula menyiang ikan yang dijalanya untuk dibuat sarapan malam. Sekali sekala aku pun tolong emak menyiang ikan sungai yang banyak bersisik. Sebagai seorang anggota polis dia amat taat terhadap kerja. Selama puluhan tahun menjadi polis abah ku tidak pernah dapat kenaikan pangkat. Cuma beberapa bulan sebelum pencen ayahku di naikkan pangkat sebagai lans korporal (satu calit). Hooray, aku amat gembira dan bangga sekali bahawa akhirnya ayah ku tidak pencen sebagai seorang prebet polis tua.

Mungkin ada perangainya yang membuatkan ketuanya kurang senang. Kawan baik abah semasa di kampung di Seri Menanti  adalah Tan Sri Samad Idris. Walaupun kawan sekampungnya menjadi Menteri Dalam Negeri begitu lama sekali tapi abah aku tak pernah menggunakan kabelnya ini untuk mendapatkan sebarang kelebihan untuk dirinya sendiri. Pernah Allahyarham Tan Sri Samad berkata dengan ku “abah kau ni panas baran dan degil”. Betul ke kata Tan Sri tu?

Semasa kanak-kanak, aku amat teringin supaya abah dapat belikan TV untuk aku dan adik beradik ku yang seramai 7 orang. Kami asyik mengendeng tengoh TV kat rumah orang. Sambil duduk tertip di tepi pintu rumah jiran dengan abang menonton cerita kartun mahupun cerita samurai yang amat kami gemari. Ada masanya, mungkin kerana angin kurang bagus agaknya maka jiran tak buka pintu langsung, kami adik beradik jadi hampa. Saya ada bertanya pada emak. Kenapa orang lain ada TV sedangkan rumah ku tak ada TV padahal ayah jiran ku juga seorang mata-mata seperti abah? Jawab mak ringkas, “abah kau manalah ada duit. Gaji dia habis untuk belanja kau orang bertujuh".

Setelah aku dewasa sedikit, barulah aku faham semuanya. Abah ku merupakan seorang manusia yang mahu hidup dengan kejujuran dia. “Biar kita hidup jujur dengan rezeki yang halal”, pernah katanya pada ku suatu hari. Ingatan beliau kalau tak ada wang, jangan berani nak berhutang.

Selepas lulus MCE (sekarang ni SPM lah), aku minta izin abah nak memohon jawatan sebagai  Inspektor polis. Abah mati-matian membantah. Pelik juga memikirkan seorang anggota polis marah anaknya mengikut jejaknya menjadi seorang pegawai polis. Atau ada sesuatu yang di ketahui tentang kerjaya seorang polis yang abah ku tidak mahu anaknya akan terlibat nanti? Wallahualam.

Aku rasa dalam diri ku terdapat perangai ayah ku yang ku warisi. Sebab itu aku seperti ayah memang susah mahu dinaikkan pangkat sebab aku bukan jenis kaki bodek bos.
Sempena hari bapa ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada allahyarham abah ku (andainya dia mampu mendengar suara hati ku ini) . Semoga apa yang abah ku contohkan dalam kehidupan beliau  akan menjadi contoh bagi aku buat selama-lamanya.

Hidup kita biar sentiasa  jujur, yang lain serahkan sahaja kerja Allah.

1 comment:

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.