Tuesday, January 24, 2012

LYNAS - BERI KE TAK, BERI KE TAK, BERI….

30 hb. Januari, 2012 merupakan tarikh penting bagi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), Gebeng, Kuantan, Pahang. Pada hari itu, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) akan bermesyuarat  sama ada untuk meyokong atau tidak permohonan Lynas bagi mendapatkan lesen pra-operasi. Tarikh untuk mendapatkan maklumbalas awam bagi permohonan tersebut telah pun ditutup pada 20 hb. Januari 2012 yang lalu.

Sebenarnya ini merupakan satu “precedent” yang tidak pernah berlaku dalam sejarah perlesenan di bawah bidang kuasa AELB. Sebelum ini keputusan samaada mahu melulus atau tidak pemberian lesen bagi satu-satu permohonan adalah terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa AELB. Pertimbangan yang perlu di ambilkira hanyalah pertimbangan teknikal yang akhirnya persoalan yang perlu di jawab adalah sama ada AELB berpuas hati bahawa kilang yang mahu di lesen itu selamat atau tidak.

Sayang dalam isu LAMP ini kerana disebabkan tekanan politik yang berlebihan maka MITI dan seterusnya kabinet terpaksa masuk campur. Saya berharap setiap mereka yng terlibat dalam isu ini dapat mengagak di mana garis tanggugjawab masing-masing. Jangan nanti ada yang di heret ke mahkamah kerana melebihi tanggung jawab di segi perundangan. LAMP boleh sahaja memfailkan gantirugi beratus juta ringgit jika mereka telah memenuhi semua syarat tapi masih tidak di berikan lesen atau terdapat pihak yang sengaja melewat-lewatkan pemberian lesen tanpa sebab-sebab teknikal yang menasabah.

Terbaharu saya telah membaca dalam Utusan Malaysia jawapan dari Prof. Dr. Bahari Ismail, Penasihat Radiologikal LAMP sebagai menjawab tuduhan pengkritik yang mengelarkan diri sebagai “pakar nuklear” mengenai projek Lynas ini. Memang cantik jawapan dari sahabat saya Prof Ismail Bahari dari Universiti kebangsaan Malaysia ni. Penggunaan Bahasa Malaysia beliau dengan istilah yang tepat serta penerangan yang mudah dan jelas amat menarik minat saya untuk membaca.

Prof. Ismail Bahari sudah menjawab semuanya termasuk kritikan mengenai tempat perlupusan residu dari Lynas. Kalau masih nak dipersoalkan juga, memang dasar pembangkang tegarlah tu. Sebelum ini Akademi Sains Malaysia dan Persatuan Sains Nuklear telah menyatakan pendapat bahawa projek Lynas ini adalah selamat dan boleh diteruskan dengan syarat LAMP mematuhi semua peraturan yang telah dikenakan oleh AELB.

Saya berharap semuanya akan selesai dengan cara baik dan Malaysia akan mendapat faedah dari pelaburan yang amat besar ini. Kepada mereka-mereka yang terlibat sama ada yang pro mahupun kontra projek Lynas ini bolehlah kita muhasabah diri selepas ini. Lihat kesilapan kita masing-masing dan buat lah isu ini sebagai pengajaran supaya apa yang kita buat pada masa depan hendaklah berlandaskan kebenaran, semata-mata kebenaran.

Kalau Lynas dah riuh macam ni, bagaimanalah pula bila kita mula nak membina janakuasa nuklear pertama Malaysia nanti? Saya amat berharap Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (Malaysian Nuclear Power Corporation) yang baru di tubuhkan akan dapat belajar dari apa yang berlaku di Gebeng ini. MNPC tidak mampu membuat semua ini bersendirian. Gembeling semua sahabat dan NGO dari sekarang untuk turut terlibat membantu.

Kepada Prof. Ismail Bahari, tahniah atas segala usaha penerangan yang berterusan sepanjang isu Lynas ini berjalan. Lepas ni boleh lah pula kita duduk berbincang pasal isu RPA yang masih lagi terbengkalai tu.

Saya perturunkan jawapaan Prof. Dr. Ismail Bahari seperti di bawah ini untuk bacaan tuan/puan.
--------------------------------------


MEMBETULKAN MAKLUMAT 'MENYESATKAN'

Oleh Prof Dr. Ismail Bahari

Prof Dr. Ismail Bahari ialah pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri lebih 30 tahun.

TERLALU banyak maklumat salah yang boleh 'menyesatkan' pembaca yang saya dapati pada temu bual dengan seorang yang dikatakan sebagai 'pakar nuklear', seperti mana dilaporkan dalam akhbar terbitan parti pembangkang baru-baru ini.

Bukan tujuan untuk memperkecil-kecilkan kepakaran 'pakar nuklear' yang ditemu bual itu, tetapi untuk membetulkan daripada sudut fakta ilmiah semata-mata.

PANEL PENASIHAT AGENSI TENAGA DAN ATOM ANTARABANGSA (IAEA) YANG MEMBUAT PENYELIDIKAN DAN KEPUTUSAN BAGI PROJEK LYNAS ADVANCED MANUFACTURING PLANT (LAMP) DI GEBENG, KUANTAN TELAH MENYEMBUNYIKAN MAKLUMAT TENTANG WUJUDNYA BAHAN-BAHAN URANIUM DAN THORIUM DALAM PROJEK TERSEBUT.

Untuk penjelasan, panel IAEA ini adalah panel pakar yang dipertanggungjawabkan untuk menaksir kesan dan risiko radiologi akibat pelaksanaan projek Lynas ini. Bermakna, mereka dipanggil untuk memberi pandangan bebas terhadap isu radionuklid semula jadi bahan-bahan uranium dan thorium.

Ini telah disebut dengan jelas dalam laporan panel pakar IAEA itu sendiri, agak pelik jika hal ini tidak disedari sekiranya laporan ini benar-benar dibaca dan difahami oleh 'pakar nuklear' berkenaan.

KADAR BAHAN RADIOAKTIF DALAM NADIR BUMI ADALAH RENDAH TETAPI JUMLAH YANG DIBAWA MASUK BESAR.

Istilah tepat sepatutnya ialah kepekatan aktiviti bukan kadar bahan radioaktif. Jika kepekatan aktiviti radionuklid adalah rendah seperti diakui oleh 'pakar nuklear' itu sendiri, maka dosnya sudah pasti rendah.

Aras dos rendah kepada pekerja Lynas dan orang ramai sekitar kilang Lynas telah dilaporkan dalam Penaksiran Impak Radiologi (RIA) yang dibentangkan kepada pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Perlu ditekankan bahawa operasi Lynas tidak memekatkan kepekatan aktiviti thorium. Kepekatan aktiviti thorium dalam pekatan lantinid adalah sama dengan kepekatan aktiviti residu (iaitu sekitar 6 Bq g-1)

BAHAN BUANGAN MENGANDUNGI URANIUM DAN THORIUM DICAMPAK KE DALAM KAWASAN PEMBUANGAN SELUAS 48 HEKTAR, KEMUDIAN MENJADI PEKATAN YANG MENGHASILKAN GAS RADON SELAIN HABUK-HABUK THORIUM DAN URANIUM.

Sedangkan, 'bahan buangan' tidak dicampakkan ke dalam kawasan pembuangan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, disimpan sementara dalam sel yang direka dan dibina khas, selaras dengan piawaian antarabangsa yang diiktiraf selamat.

Kaedah kejuruteraan yang digunakan ini serta sifat fiziko-kimia uranium dan thorium itu sendiri akan memastikan tidak berlaku penyebaran gas radon/thoron serta habuk mengandungi uranium dan thorium yang memudaratkan manusia.

Perlu ditekankan bahawa RIA ke atas projek ini mendapati potensi penyebaran gas thoron adalah sangat kecil dan sukar diukur. Perlu ditekankan juga persekitaran semula jadi sendiri mempunyai uranium dan thorium yang masing-masing membebaskan gas radon dan thoron.

BETAPA BAHAN URANIUM YANG TERDAPAT DALAM PROJEK LYNAS INI ADALAH SAMA DENGAN YANG DIGUNAKAN DALAM LOJI NUKLEAR FUKUSHIMA DI JEPUN.

Sedangkan, ini adalah maklumat yang sangat tidak lengkap, menyesatkan malahan berbahaya. Memang U-238 terkandung dalam bahan proses Lynas adalah sama jenisnya dengan yang digunakan dalam reaktor nuklear di Fukushima tetapi kepekatan yang terdapat pada kedua-duanya adalah berbeza ' ibarat langit dan bumi'.

Uranium semula jadi (seperti yag digunakan oleh Lynas) terdiri daripada 0.7 peratus (%) U-235 dan 99.3% U-238.

U-235 adalah bahan belahan dalam bahan api nuklear yang sangat penting untuk memulakan tindak balas nuklear. Dalam bahan api nuklear kepekatan U-235 diperkaya menjadi 5%.
Dalam reaktor nuklear Fukushima yang menggunakan bahan api MOX atau campuran bahan belahan oksida, U-235 tidak digunakan dalam bahan api nuklear tetapi digantikan dengan Plutonium-239 (radionuklid ini tidak terdapat secara semula jadi dalam alam sekitar dan tidak ada dalam bahan pekatan yang digunakan Lynas).

Sepekara lagi, uranium bukan hanya ada dalam bahan api nuklear dan pekatan lanthanid Lynas (28 ppm) sahaja tetapi wujud dalam baja (boleh mencapai 400 ppm) dan arang batu (> 100 ppm).

Secara anologi, 'pakar nuklear' berkenaan seolah-olah menyatakan bahawa tanah di Pahang atau keseluruhan Malaysia mempunyai persamaan dengan reaktor nuklear di Fukushima hanya kerana ia mempunyai bahan uranium yang sama.

BAHAN BUANGAN LYNAS BOLEH MENCEMARKAN AIR DAN ALAM SEKITAR.

Sedangkan, hasil kajian RIA mendapati bahan buangan Lynas tidak mencemarkan air dalam alam sekitar. Sama seperti kilang-kilang lain di Kawasan Perindustrian Gebeng, setiap pelepasan kilang ke persekitaran hendaklah mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan AELB.

GAS RADON AKAN TERBEBAS KE UDARA. PARTIKEL ALFA YANG DIHIDU JUGA BOLEH MEROSAKKAN SEL TUBUH DAN KROMOSOM MANUSIA.

Sedangkan, maklumat ini tidak lengkap dan sekali lagi menyesatkan. Memang benar gas radon dihasilkan tetapi 'pakar nuklear' tersebut tidak pula menyatakan bahawa gas radon daripada thorium (lebih tepat disebut thoron) mempunyai jangka hayat yang sangat pendek, cuma 56 saat.

Ini bermakna dalam masa 56 saat gas thoron terbentuk dan dibebaskan ke udara, ia akan segera menyepai menjadi radionuklid pepejal yang jatuh ke bumi serta tidak membahayakan. Dengan kepekatan aktiviti yang kecil, kemungkinan thoron dihidu dan memudaratkan adalah sangat tipis.

Pakar Nuklear ini lupa atau sengaja lupa menyatakan bahawa risiko dikawal dengan Had Dos. Selagi Had Dos tidak dilampaui, risikonya boleh diterima. Had Dos ini digunakan kerana kita perlu ingat bahawa kita sentiasa terdedah kepada uranium dan thorium semula jadi.

Selagi ada uranium dan thorium, selagi itu kita terdedah kepada radon, thoron dan zarah alfa. Pendek kata kita tidak boleh kata kita tidak hendak didedahkan kepada radon, thoron atau zarah alfa atau sinaran sebab kesemua ini berada di mana-mana sahaja di muka bumi ini.

Sebaliknya, berdasarkan kepekatan aktiviti Th-232 yang ada dalam bahan mentah dan residu pemprosesan Lynas, serta sifat fizik gas thoron itu sendiri telah ditentukan secara saintifik tidak mampu mencemarkan alam sekitar sehingga ke tahap dikatakan berbahaya kepada manusia yang menghidunya.

PELAN PELUPUSAN SISA ADALAH TIDAK LENGKAP.

Sedangkan, sebagai ' pakar nuklear', beliau tentu tahu bahawa pelan pelupusan sisa bukan setakat melupus sisa dengan menanam, tetapi turut merangkumi penggunaan semula sisa tersebut dengan selamat. Dengan cara ini, isu pelupusan kekal mungkin tidak diperlukan.

Jika perlu dilupuskan, Lynas pula sudah mereka bentuk dan membina tapak pelupusan sementara yang mematuhi segala syarat dan kriteria pembinaan tapak pelupusan kekal (sungguhpun bukan matlamatnya untuk menjadikan tapak tersebut sebagai tapak pelupusan sisa kekal).

SEBAGAI RAKYAT MALAYSIA, KITA PERLU MENOLAK INDUSTRI INI KERANA TIDAK ADA LEVEL RADIASI YANG SELAMAT.
                  
Sebagai seorang pendidik dan penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri selama lebih 30 tahun (dan masih berkhidmat dengan selamat), saya amat terkejut dengan kesimpulan yang dibuat oleh 'pakar nuklear' itu.

Sama ada disedari atau tidak, beliau sebenarnya menyatakan bahawa kita boleh hidup dalam dunia yang bebas daripada dedahan sinaran atau radiasi. Bukan pakar nuklear pun tahu, ini tidak benar sama sekali. Sama ada kita hendak atau tidak, kita sentiasa terdedah kepada sinaran dari bumi dan matahari.

Malah terdapat beberapa tempat di negara kita yang mempunyai aras sinaran semula jadi yang lebih tinggi daripada aras purata tanah-tanih Malaysia. Sila rujuk hasil kajian aras sinaran di kawasan lombong bijih timah di Perak, Selangor dan Pantai Pasir Hitam di Langkawi.

Begitu juga, cuba lihat di Ramsar, Iran; Kerala, India; Grand Junction, Colorado, Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain yang disahkan mempunyai aras sinaran semula jadi yang jauh lebih tinggi daripada apa yang bakal dibebaskan oleh Lynas.

Persoalannya, adakah penduduk di tempat-tempat tersebut semua cacat dan terencat? Malah, kajian ke atas penduduk di Ramsar, Iran mendapati penduduk di sana mempunyai jangka hayat yang lebih panjang daripada rakyat Iran di tempat-tempat lain.

Rujuklah dokumen ilmiah sebelum membuat pernyataan tidak tepat, salah dan mampu menyesatkan. ‘Pakar nuklear' tersebut pernah belajar dan memperolehi ijazah pertama dalam bidang Kejuruteraan Nuklear dan Fizik di Amerika Syarikat. Tidakkah beliau terdedah kepada sinaran semasa pengajiannya?

Tentulah ada. Maka, adakah beliau atau keluarga beliau mengalami apa-apa kecacatan akibat dedahan sinaran tidak kira rendah mana pun tahapnya?

‘Pakar nuklear’ sepatutnya mendidik masyarakat tentang fakta sebenar sinaran dan kesannya, dan tidak menyesatkan masyarakat dengan maklumat yang tidak lengkap dan salah.

-    the end,

UnclearEngineer.

Sunday, January 22, 2012

TAUKEH CINA DAN TUAN TANAH MELAYU. KEADILAN – DARI DUA PANDANGAN YANG BERBEZA

Cerita ini pernah saya baca beberapa tahun dulu. Hampir sama. Saya nak tulis semula dengan gaya saya sendiri untuk dijadikan sebagai satu analogi kepada keadaan yang kita hadapi sekarang. Mari kita baca dan kita fikir.

Sebuah syarikat besar dan berjaya kepunyaan seorang usahawan bangsa Cina bergelar Tan Sri telah mangadakan satu majlis yang begitu gilang gemilang. Antara ramai tetamu yang telah dijemput hadir termasuklah beberapa VVIP Melayu dan wartawan dari beberapa buah akhbar tempatan.

Ucapan Tan Sri ini dimulakan dengan menceritakan bagaimana dia memulakan syarikat dia ni lebih 50 tahun yang lalu. Hebat dan bersemangat betul ucapan dia. Sudah tentu ucapannya bukan dalam bahasa Melayu. Semua yang hadir terngaga mulut mendengar cerita uasahawan ini.

Usahawan bergelar Tan Sri ini pun bercerita tentang konsep 1Malaysia yang di amalkan dalam syarikat dia selama ni. Dengan bangga, dia mengatakan bahawa dia telah mengamalkan konsep 1Malaysia ini dari dahulu lagi. Katanya kalau tidak kerana kakitangan berbilang bangsa yang berkerja keras membangunkan syarikat, syarikat kepunyaannya ini tak akan dapat mencapai kejayaan seperti apa yang di nikmati sekarang. Disebutkan berapa nama Melayu, India dan Cina yang masih lagi berkhidmat sebagai kakitangan kanan syarikat. Begitulah pentingnya sumbangan kakitangan berbilang bangsanya.

Sebagai balasan, Tan Sri ini memberitahu semua hadirin bahawa dia juga telah menyediakan satu pakej gaji, kenaikan gaji tahunan dan bonus akhir tahun yang amat lumayan sebagai penghargaan kepada semua kakitangan. Beliau berpendapat, setiap kejayaan syarikat perlu di kongsi bersama dengan kakitangan. Wah, bergemuruhlah tepukan dari para tetamu dan kakitangan yang mendengar.

Selesai majlis telah diadakan satu sidang akhbar dengan para wartawan yang di jemput hadir. Banyaklah soalan yang telah ditanya wartawan Dipenghujung sidang akhbar tersebut, seorang wartawan Melayu mula membuka mulut. Dialog mereka lebih kurang begini:-

“Tan Sri, saya amat tertarik dengan cerita Tan Sri tadi. Tan Sri juga seorang yang tidak lokek untuk berkongsi kejayaan dengan kakitangan. Boleh saya tanya berapa saham syarikat ini yang dipegang oleh kakitangan syarikat Tan Sri?”, wartawan tersebut memulakan.

“Syarikat saya mempunyai skim option saham bagi kakitangan. Saya peruntukan 10% dari saham syarikat ini untuk mereka,” jawab Tan Sri sambil kembang kempis hidungnya tanda bangga.

“Kenapa 10% sahaja? Kenapa tidak di kongsi samarata sahaja saham syarikat ini dengan semua kakitangan. Bukankah itu lebih adil? Lagi pun ada antara mereka-merka ini telah berkhidmat dengan setia selama lebih 50 tahun. Tanpa sumbangan mereka, syarikat tak akan semaju hari ini”, tanya wartawan  itu lagi.

“Wah, ini dah soalan provokasi ni, Sial betul reporter Melayu ni”, kata Tan Sri tersebut dalam hati. Dia mula naik angin. “Well, look here. This company is MY company. I started it with my own hard earned money. The staff are my employees. I have paid them well and I have allocated 10% of the company’s share to them. What else do they want?” Jawapan Tan Sri dengan bingkas bangun menutup sidang akhbar tersebut.
----------------------------------

Soalan saya, apakah perbuatan usahawan ini adil? Saya berpendapat apa yang dilakukannya adalah amat adil.

Gambar ini sebagai hiasan sahaja.

Sekarang, mari kita tukar cerita ini dengan apa yang berlaku di Malaysia sekarang. Bila kaum bukan bumiputera menuntut hak samarata dengan tuan tanah asal (serupa dengan tuan punya syarikat) tanpa menghiraukan hak istimewa yang telah dipersetujui lebih 50 tahun yang lalu. Kenapa orang Melayu mempertahankan haknya di label sebagai rasis dan tak adil? Rupa-rupanya keadilan ini ada berapa sudut pandangan yang berbeza. Kalau orang Cina buat dikatakan adil kalau Melayu pula, rasis dan zalim.

UnclearEngineer

Thursday, January 19, 2012

MEJER JENERAL (B) DATUK SERI JAMIL KHIR BAHAROM DAN CERITA RUMAH LELONGNYA.

Isu rumah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula mula dibangkitkan oleh pembangkang. Kesian juga saya lihat Pak Menteri ni. Lepas satu, satu isu negatif mengenai beliau yang cuba dispinkan oleh pembangkang. Hari tu pasal duit zakat dan ini ditambah dengan isu rumah banglo besar dia pula.



Kepada manusia-manusia yang banyak sangat hasad dengki dalam hati tu cubalah muhasabah diri banyak-banyak. Pak Menteri ni pencen Mejer Jeneral (jeneral dua bintang tu) dan kemudianya dilantik jadi menteri penuh kerajaan persekutuan. Tak mungkin ke dia mampu buat rumah banglo sebegitu besar? Tambahan pula Pak Menteri ni orang agama. Saya tahu orang agama pandai simpan duit sebab selalunya mereka tak joli duit macam kita orang biasa.

Saya ada ramai sahabat yang ada rumah lebih hebat dari itu dan mereka ini tak pernah pencen sebagai jeneral dua bintang mahupun pernah jadi menteri penuh pun. Ada satu rumah banglo yang tersergam indah di Bukit Sentosa, jalan tempat saya duduk sekarang. Boleh teka siapa tuan punya banglo ni? Pemandu teksi! Jika nak di tuduh pemandu teksi ni ambil rasuah, memang tak percaya saya.


Politik kat Malaysia ni dah jadi caca marba betul. Atas sebab-sebab berlainan pegangan politik , maka kita akan ungkit apa sahaja yang mampu menjatuhkan musuh politik kita itu. Kalau yang bercita-cita nak jadi pemimpin utama negara tu, bolehlah juga saya faham. Ini setakat menteri agama yang di lantik bukan pun yang dia cari maka kita aniaya dia dengan macam-macam cerita negatif. Dari pandangan sayalah, Datuk Seri Jamil Khir ini merupakan antara orang paling akhir dalam kabinet untuk kita tuduh mengamalkan rasuah. Kalau di buat laporan SPRM pun pertuduhan ini akan di buang oleh mahkamah. Sebabnya, bukti terlalu lemah. Banyak lagi menteri lain yang mampu dijadikan sasaran pasal rumah macam “stano” ni.

Untuk mengetahui cerita sebenar tentang rumah banglo Datuk Seri Jamil Khir ni, sila lawat www.agendadaily.com di bawah tajuk “ Beli rumah lelong pada tahun 1994, Jamil Khir akui buat renovation setiap hari...... “.

Sudah, sudahlah tu. Bagi saya, yang benar tetap benar tapi kes ni sah pertuduhan yang di buat-buat. Kesian Datuk Seri ni. Dia ni bukan pun Ketua Bahagian tapi dek dah dilantik menteri maka segala-gala cerita mengenai dia dan keluarga jadi halal oleh puak-puak lawan untuk dibuat manipulasi politik. Nasiblah Datuk Seri kan? Sabo je le........Bak kata orang tua-tua, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Sekian.

UnclearEngineer.

Sunday, January 15, 2012

USE OF ZAKAT FOR MAIWP LEGAL COSTS IN LINE WITH ISLAMIC LAW, SAYS MUFTI

USE OF ZAKAT FOR MAIWP LEGAL COSTS IN LINE WITH ISLAMIC LAW, SAYS MUFTI.
(Penggunaan wang zakat bagi belanja perundangan MAIWP selari dengan undang Islam, kata mufti)
-    dipetik dari the Malaysian Insider pada 11/01/2012.
----------------------------------

Ini satu lagi “blunder” yang tak sepatutnya timbul pada masa ini. Saya sebenarnya setuju dengan pendapat mufti tersebut tapi saya tak berpuas hati cara isu ini ditangani oleh mereka-mereka yang terlibat.

Pertama kali isu ini timbul, menteri yang terlibat telah menafikan bahawa wang zakat telah digunakan. Saya difahamkan bahawa wang yang di gunakan bukan dari tabung zakat tapi dari peruntukan luar dari geran kerajaan. Seorang pegawai kanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan kenyataan bahawa pembiayaan kos guaman Menteri terbabit dan dua lagi pegawai kanan MAIWP dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran kerajaan. Jadi BUKAN dari duit zakat yang di bayar oleh pembayar zakat saban tahun. Bagi saya isu tersebut dah selesai.

Tup, tup datang cerita pasal mufti mengeluarkan kenyataan di atas. Jadi maksudnya wang yang di bayar tu memang dari tabung duit zakatlah? Cerita pasal duit dari geran kerajaan itu nampaknya sengaja di ada-adakan. Maknanya ada orang yang telah cuba berbohong dalam isu ini!

For goodness sake, janganlah dijatuhkan kewibawaan MAIWP dan juga menteri yang mengendalikan hal ehwal Islam di mata rakyat Malaysia. Kalau orang agama dah pandai berdolak dalik dan ditangkap kerana tidak berkata benar, apalah lagi yang boleh kita harapkan kepada mereka-mereka yang mengendalikan institusi Islam di Malaysia? Isu menteri kerajaan BN guna wang zakat ini memang mudah di putarbelitkan sebagai isu pilihanraya bagi menimbulkan kebencian penduduk Melayu/Islam di luar bandar terhadap kerajaan.

Banyak lagi yang boleh saya tulis pasal isu ini tapi cukuplah apa yang telah saya tuliskan di atas.

Adoi, kesian YAB DS Najib. Isu NFC belum lagi dapat diselesaikan sebaik-baiknya datang pula isu ini. Nampaknya ini merupakan satu lagi sebab untuk melenggah-lenggahkan tarikh pilihanraya umum dari tarikh asal pada suku pertama 2012.

UnclearEngineer

Wednesday, January 11, 2012

MELIHAT SERTA MENELITI PERMOHONAN LESEN LYNAS (LAMP).

Apa punya tuduhan? Tak faham tapi nak kelirukan pula orang lain.

Semalam selepas sahaja habis mesyuarat di Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA), di Dengkil saya telah mengambil kesempatan untuk melihat dokumen bagi permohonan Lesen Kelas A (Milling) bagi mendapatkan kebenaran menjalankan aktiviti pra-operasi kilang Lynas di Gebeng, Kuantan. Saya telah menghabiskan masa selama 1.5 jam  di dalam bilik dokumen tersebut.

Sebelum saya meneruskan tulisan saya, saya mahu minta maaf jika terjemahan yang saya gunakan kurang tepat. Al maklumlah dukumen yang disediakan semuanya dalam bahasa Inggeris dan saya terpaksa menterjemahkannya sebaik mungkin bagi kemudahan pembaca budiman. Mana-mana istilah teknikal yang saya tak dapat cari dalam Bahasa Malaysia, saya terpaksa gunakan istilah dalam Bahasa Inggeris. Harap tuan/puan boleh terima, OK?

-----------------------------------------------------------

Saya mulakan dengan sedikit latar belakang mengenai tatacara permohonan lesen kepada LPTA. Mengikut Atomic Energy Licensing Act 1984 (Akta 304), Part 11, Pasal 12(1) menyatakan:-

12. (1) Without prejudice to the requirements of any other law, no person shall-
(a)     site, construct or operate a nuclear installation;
(b)     deal in, possess or dispose of any radioactive material, nuclear material, prescribed substance or irradiating apparatus,

unless he is the holder of a valid licence issued under section 16 (5) by the appropriate authority for such purpose and as specified in the licence.

Disebabkan Lynas berkemungkinan “deal in, possess or dispose” bahan radioaktif, mengikut Akta 304 yang berkuatkuasa telah mewajibkan supaya Lynas memohon lesen bagi menjalankan aktivitinya di Malaysia.  Kerana pemprosesan oleh Lynas memerlukan pembinaan sebuah kilang pemprosesan, maka Lynas perlu memohon Lesen Kelas A (melibatkan aktiviti “milling”). Terdapat 4 tahap kebenaran dalam permohonan lesen Kelas A sebelum Lynas diberikan Lesen operasi sepenuhnya.

Tahap 1 – Kelulusan tapak (siting)
Tahap 2 – Kelulusan bagi memulakan pembinaan (construction)
Tahap 3 – Pra-operasi (lesen sementara bagi tahap pra-operasi)
Tahap 4 – Operasi (pada tahap ini pengilang akan di berikan lesen penuh untuk operasi)

Pada masa ini, Lynas telah pun diberikan kelulusan bagi Tahap 1 dan Tahap 2 oleh LPTA di masa Kawasan Perindustrian Gebeng telah diluluskan sebagai tapak kilang yang sesuai dan pelan tapak serta rekabentuk kilang diluluskan bagi kerja-kerja pembinaan. Sekarang ini, kilang telah siap dan Lynas sedang memohon untuk memulakan operasi sementara untuk menguji dan mentauliahkan kilang tersebut sepertimana spesifikasi yang telah ditetapkan. Dokumen yang saya teliti ini merupakan dokumen perlu bagi mendapatkan kebenaran bagi Tahap 3 ini.

Sebagaimana yang diperlukan, Lynas di kehendaki menyatakan dengan jelas tentang rancangan bagi mengendalikan sisa (residue) hasil dari pemprosesan “lanthanide concentrate”, bahan mentah yang di bawa masuk dari Australia.

Dinyatakan dalam dokumen Lynas bahawa terdapat tiga (3) jenis sisa yang akan terhasil dari pemprosesan “lanthanite concetrate” ini.

i.      Flue Gas Desulfurization (FDG). Sisa FDG ini merupakan sisa dari  sistem “gas scrubber” yang di gunakan bagi menapis dan mencuci gas yang dilepaskan keluar dari serombong kilang. Tahap keradioaktifan adalah teramat rendah pada paras  0.47 Bacquerel/gram.

ii.     Sisa “Neutralization Underflow” (NUF). Sisa NUF ini terhasil dari sistem lumpur pekat ketumpatan tinggi (high density sludge system) yang merupakan sistem pra-rawatan sisa pepejal dari kilang pemecahan (cracking) dan kilang pengasingan (separation).

iii.    Sisa “Water Leach Purification” (WLP) yang terhasil dari proses larutlesap (leaching) dan pembersihan komponen lanthanide larut air di kilang pemecahan dan kilang pengasingan. Tahap keradioaktifan sisa adalah pada 62.29 Bacquerel/gram.

FDG dan NUF merupakan sisa berkeradioaktifan teramat rendah dan jika terbukti sedemikian boleh di keluarkan dari senarai bahan sisa yang dipantau di bawah Akta 304. WLP juga boleh diklasifikasikan sebagai sisa bahan buangan paras rendah (very low level waste – VVLW). Bergantung kepada hasil kajian terhadap sisa yang terhasil, kesemua sisa akan di simpan dalam kawasan kilang di tempat penstoran sisa sementara yang telah disiapkan. Untuk makluman, semua sisa ini boleh diproses lagi menjadi bahan gypsum bagi perbagai kegunaan dalam induatri pembinaan dan juga boleh di proses selanjutnya menjadi baja.

Bagi memastikan keselamatan radiologikal pekerja dan juga penduduk awam sekitar kilang terjamin, pihak Lynas telah bersetuju untuk menghadkan dos dedahan kepada pekerja pada 6.0 mSv/setahun dan orang awam pada 0.3 mSv/setahun. Had yang diperuntukan oleh Peraturan Piawaian Keselamatan Asas (Basic Safety Standard)  Malaysia dan juga peraturan antarabangsa adalah pada 20 mSv/setahun (pekerja) dan I.0 mSv/setahun (orang awam). Ini bermakna, pihak Lynas begitu konfiden dengan tahap keselamatan kilang dan secara sukarela telah menurunkan lagi had dedahan dos ke paras yang lebih rendah dari yang diperlukan.

Saya juga telah meniliti sistem pengesahan kualiti (quality assurance program) bagi pengendalian sisa pemprosesan. Walaupun tidak begitu detail seperti yang saya jangkakan, tetapi dokumen program kualiti  tersebut di dapati mencukupi. Tatacara kendalian piawai (SOP) bagi semua aktiviti ada di tulis dengan detail, termasuk langkah keselamatan bagi keadaan kecemasan.

Apa pandangan saya? Setelah mengambilmasa lebih satu jam membaca dokumen tersebut, saya berpuas hati dan berasa yakin bahawa operasi Lynas dalam pengendalian, pemindahan dan juga penyimpanan sisa pemprosesan tidak akan menimbulkan sebarang masalah radiologikal kepada pekerja dan penduduk sekitar kilang tersebut.

Syor saya supaya LPTA meluluskan pemberian lesen opeasi sementara kepada Lynas bagi menjalankan kerja-kerja menguji dan mentauliahkan kilang. Lesen operasi sepenuhnya hanya akan diberikan kepada Lynas jika kajian serta data yang di kumpul semasa kerja-kerja menguji dan pentauliahan kilang mendapati kebenaran data sebagaimana yang telah dilaporkan dalam dokumen yang telah di serahkan kepada LPTA.

---------------------------------------

Menurut cerita sahabat di LPTA, berbagai kerenah orang ramai yang dapat di lihat dari pengunjung yang datang bagi memberikan ulasan. Kebanyakan nya tidak mampu untuk memberikan ulasan yang membina kerana mereka sendiri tidak begitu arif tentang fakta sains dalam dokumen tersebut. Ada seorang “apek” tu datang marah-marah serta membawa poster dalam tulisan Cina yang di tulis sebesar-besarnya. Orang suruh baca dan bagi maklumbalas tapi dia datang nak menunjuk perasaan. Tak tahulah saya nak kata apa-apa lagi.

Yang terbaik, jika kita tak tahu hujung pangkal sila bertanya pada pakar bukan ahli politik (parti pemerintah mahupun pembangkang). Jika tanya pada ahli politik, alamat kita akan jadi lebih konfiuslah nanti. Soalan akhir saya sebelum beredar, YB Fauziah, heroin anti Lynas tu dah datang ke belum? Tak ada staf di kaunter yang berani nak jawab. Tak datang lagilah tu, gamaknye!

UnclearEngineer

Saturday, January 7, 2012

PERBANDINGAN KOS BAGI PROJEK BAKUN, NUKLEAR DAN MRT BARU


Pagi ini saya nak tulis sikit perbandingan antara tiga projek prasarana yang telah dan akan di buat oleh kerajaan. Tujuan saya supaya satu kajian semula dapat di buat melibatkan projek MRT Sg. Buloh ke Kajang yang saya rasa teramat mahal dan hanya mampu memberikan menafaat kepada sebilangan kecil rakyat yang mendiami kawasan-kawasan terlibat di sepanjang laluan MRT tersebut. Saya tidak bermaksud supaya projek tersebut dibatalkan terus tetapi perlu dibuat satu kajian semula kos bagi tujuan mengawalnya dari menjejak sehingga RM 40 billion seperti yang telah di war-warkan.

Jika di lihat dalam jadual di atas, kedua-dua logi hidro Bakun dan logi nuklear walaupun berharga jauh lebih murah tetapi akan menghasilkan pendapatan paling kurang RM1.0 billion setahun bagi setiap projek. Berapa pula hasil kutipan tiket MRT nanti? Katakanlah RM 200 juta setahun, jadi “pay back period” bagi projek MRT adalah selama 200 tahun? Tak logik sungguh bagi kiraan saya.

Saya rasa harga projek ini terlalu tinggi (overinflated). Sebagai perbandingan tambahan, Pentagon (Jabatan Pertahanan AS) telah memberikan syarikat aerospace terkenal, Boeing kontrak bernilai AS$3.48 billion (RM11 billion) bagi membina, menguji dan menyelenggara sistem peluru berpandu pertahanan AS selama 7 tahun. Kos sistem pertahanan peluru berpandu paling canggih bagi melindungi negara paling kuat di dunia pun masih jauh lebih murah dari kos sistem MRT Malaysia. Itu pun bukan bagi keseluruhan sistem tapi bagi satu laluan Sg. Buluh ke Kajang sahaja.

Tak ada ke projek alternatif yang lebih murah seperti jalanraya bertingkat (atas jalanraya yang ada sekarang) bagi melalui jalanan Sungai Buluh ke Kajang ni? Bagaimana jika keseluruhan projek MRT ini di buat di bawah tanah tanpa perlu dilakukan pengambilalihan tanah komersial dengan bayaran pampasan yang tinggi? Saya berpendapat amat “cost efective” jika kita ambil pakar perunding menjalankan kajian bagi tujuan pengurangan kos projek ini.

RM40.0 billion, jika kerajaan berhutang bagi pembinaan projek MRT ini akan menyebabkan impikasi hutang sebanyak RM1,428 bagi setiap 28 juta rakyat Malaysia. Bagi saya projek MRT ini akan menjadi projek prasarana paling mahal dalam sejarah Malaysia. Bagaimana dengan pendapat saudara, berbaloi ke?

UncleaEngineer

Friday, January 6, 2012

GAJI MENTERI SINGAPORK KENA POTONG! KESIAN AHLI PARLIMEN MALAYSIA

Gaji semua menteri Singapore akan kena potong. Gaji presiden pun kena potong. Gaji Speaker Parlimen dan Timbalan pun kena sunat. Purata 30 peratus.

Gaji PM Lee Hsien Loong "tinggal hanya" S$2.2 juta setahun (RM5.28juta). Dulu setahun S$3juta. Presiden kena potong 50 peratus, kesian gaji "tinggal" S$1.5juta (RM3.6juta) saja. Dulu S$3.2juta. Gaji menteri kini akan "hanya" S$935,000 setahun (RM2.24juta) = atau RM172,000 sebulan (termasuk 1bulan bonus). Makan tak habis oi, gaji RM172,000 sebulan!!!. Dulu purata gaji mereka S$1.5juta!).

GAJI OBAMA sebagai biggest economy in the world? Yang kawal tentera paling gah? Ish, US$400,000 setahun = S$520,000 = RM1.25juta.

-   Dipetik dari blog OpEd (www.remgold.blogspot.com)

KOMEN: Kalau dah Presiden, Perdana Menteri, Menteri dah dapat gaji sampai lebih RM1 juta setahun, berapa pulak agaknya gaji S/U Politik, S/U Sulit, S/U Akhbar, Pegawai Khas dan lain-lain?

Saya pasti Menteri dan Wakil Parlimen di Singapork tak macam kita kat Malaysia. Orang kahwin, orang meninggal, kenduri tahlil & doa selamat, masuk hospital, hatta orang bersalin semua kena lawat dan ziarah dengan membawa sedikit “angpow”. Itu tak termasuk pengundi yang datang mengadu pasal anak masuk U, cermin mata patah, reban ayam roboh di pukul ribut, road tax dah mati, bayaran bil letrik tertunggak dan seribu macam lagi masalah rakyat. Semua ni wakil rakyat kena hulur juga. Kalau tidak nanti kena tuduh tak mesra rakyat. Dengan semua kos ini,  agaknya berapalah gaji menteri dan ahli parlimen kat Malaysia ni? Menteri mungkin antara RM150,000 setahun dan ahli parlimen dan ADUN mungkin sekitar RM70,000 sahaja setahun. Tempoh hari dalam ucapan belanjawan, PM ada kata nak naikkan gaji wakil parlimen. Tapi kena pula “tembak” dek wakil perlimen pembangkang (sebenarnya hati kata mahu, tapi takut rakyat nanti marah). Akhirnya tak jadi. Kesian ahli parlimen Malaysia, terkulat-kulat sahajalah untuk beberapa tahun lagi.

Sebagai perbandingan, kita lihat gaji kakitangan kerajaan diperingkat JUSA C, yang paling junior. Saya di maklumkan bahawa mereka ini di bayar gaji RM200,000 setahun (tak masuk lagi elaun dan lain-lain). Kalau peringkat JUSA A ke atas, ada yang jejak lebih RM500,000 ke atas setahun. Jadi mungkin dah jadi terbalik kot, pegawai lebih tinggi gaji dari bos (menteri dan timbalan menteri).

Saya rasa anomali gaji antara pegawai kerajaan dengan ahli politik yang di pilih rakyat amat ketara sungguh di Malaysia. Ini sebenar tidak baik untuk negara kerana lambat laun kita akan dapati banyak pemimpin yang punya bakat untuk mentadbir  tidak mahu jadi pemimpin politik. Maka kerjaya sebagai ahli politik akan hanya dapat menarik bakat bakat yang tidak berkualiti dari segi latarbelakang akademik mahupun keupayaan pentadbirannya. Dalam jangka panjang ini akan melemahkan keupayaan negara untuk bersaing di peringkat global.

Satu lagi keanihan kat Malaysia (bukan kat Malaysia sahaja, lihat sahaja di negara-negara sekeliling kita) ialah walaupun gaji tidak setimpal dengan perbelanjaan yang melebihi upah, kita masih melihat Pak Menteri dan wakil rakyat kita nampak hidup begitu mewah. Dah tu macam mana kita nak terangkan pada rakyat bila ada rumah menteri dan wakil rakyat Malaysia macam mini istana? Agaknya gaji memang kecil tapi ada duit lain lagi yang jatuh dari langit! Itulah agaknya yang menyebabkan ramai orang masih kuat minat mereka nak jadi ahli politik ni, wallahualam.

UnclearEngineer