Wednesday, July 25, 2012

MALAYSIA MERANCANG PENGGUNAAN NUKLEAR SECARA RAHSIA?



Sekumpulan NGO yang bergabung atas nama Malaysian Coalition Against Nuclear (MyCan) telah mendedahkan bahawa kerajaan Malaysia secara “sulit” telah meneruskan perancangan bagi program tenaga nuklear negara.

Jurucakap MyCan, Dr. Ronald McCoy memaklumkan bahawa menurut sumber dalaman yang diperolehi oleh gabungan tersebut, pihak Malaysian Nuclear Power Corporation (MNPC) telah mengenalpasti 7 tapak berpotensi bagi pembinaan janakuasa nuklear tersebut. Diberitahu bahawa tapak-tapak tersebut terletak di 4 negeri, 1 di Kedah dan 2 tapak di Perak, Terengganu dan Johor.

Dimaklumkan lagi bahawa MNPC telah memilih sebuah syarikat juruperunding antarabangsa, Burn and Roe dari Amerika Syarikat bagi merangka satu pelan pembangunan prasarana bagi tenaga nuklear (nuclear power infrastructure development plan – NPIDP). B&R ditugaskan untuk membuat satu kajian kesesuaian dan membuat cadangan terbaik bagi perlaksanaan projek tersebut dari segi pemilihan tapak, teknologi yang bakal digunapakai serta sais janakuasa, pembangunan prasarana bagi menyokong program tenaga nuklear negara serta penyediaan dokumen pembidaan bagi logi janakuasa tersebut.- sumber dipetik dari Malaysiakini
++++++++++++++++++++


Bagi saya, apa yang dibuat oleh MNPC adalah sesuatu yang logik dan terbaik. Malaysia telah pun mengumumkan secara terbuka sejak tahun 2011 lagi bahawa negara memang berminat untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga selepas 2022 nanti. Satu perbadanan yang dikenali sebagai Malaysian Nuclear Power Corporation (MNPC) telah ditubuhkan dan Dr. Mohd Zam Zam telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan tersebut.

Jadi isu kerajaan bergerak secara rahsia tidak timbul. Dalam isu penggunaan teknologi nuklear ini, kerajaan Malaysia telah menunjukkan secara telus bahawa semua langkah perlu dibuat bagi memastikan bahawa sebarang program melibatkan penggunaan tenaga nuklear dibuat dengan kajian yang teliti serta mengambilkira kepentingan negara dalam jangkapanjang.

Pemilihan 7 tapak yang diheboh-hebohkan tersebut bukanlah sesuatu yang pasti. Sebenarnya TNB dan Agensi Nuklear Malaysia telahpun menjalankan kajian bagi mengenalpasti tapak yang sesuai sejak  tahun 80an lagi. Masa itu kerajaan masih lagi menetapkan sumber nuklear sebagai “the last option”. Kajian ini sentiasa dikemaskini bagi memastikan tapak yang dikenalpasti masih sesuai. Walau bagaimana pun pemilihan sebarang tapak samada yang  telah dikenalpasti mahupun yang baru akan tertakluk kepada kajian oleh juruperunding yang dilantik. Juruperunding tersebut, B&R (jika benar) merupakan juruperunding yang akan membuat cadangan akhir kepada kerajaan tentang kemungkinan penggunaan teknologi nuklear termasuk pemilihan tapak yang sesuai.

Jadi saya berharap sangat supaya Dr. McCoy tidak buat ribut tak tentu pasal. Dr McCoy ini sejak sekian lama dikenali sebagai  aktivis anti senjata nuklear. Perbezaan antara senjata dan janakuasa nuklear ialah tindakbalas nuklear dalam reaktor merupakan tindakabalas terkawal sedangkan bom nuklear merupakan tindakbalas TIDAK terkawal.

Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, penggunaan teknologi nuklear adalah sesuatu yang tak dapat dielakkan pada masa depan. Buat masa ini tiada option lain yang dapat digunakan bagi penjanaan skala besar tenaga selain gas, minyak dan arang batu. Sumber alternatif seperti solar, angin, biomass, ombak dan sebagainya bukanlah alternatif yang setimpal dengan tenaga nuklear. Penggunaan hidro juga mempunyai kelemahannya sendiri.

Mahu tidak mahu, jika Malaysia mahu meneruskan pembangunan perindustriannya, maka satu punca baru bagi penjanaan sumber tenaga yang mencukupi  perlu di cari. Buat waktu ini tiada alternatif yang lebih sesuai melainkan tenaga nuklear.

UnclearEngineer

Tuesday, July 24, 2012

SEJARAH PERINTIS TEKNOLOGI NUKLEAR - PART 2



CERITA SEBELUM MELANGKAH KE US

++++++++++++++++++++++++++++
Ada rakan yang ingin tahu kepada soalan terakhir saya dalam Part 1 mengenai perkembangan teknologi nuklear selepas 34 tahun. Sabar ye, mungkin saya akan jawab kemudian nanti.

Dalam sambungan bahagian ke 2 dan seterusnya, saya ingin bercerita tentang susah senang “saya dan keluarga” dalam mengejar segulong ijazah dan juga menjalani latihan praktikal bagi mendapatkan sehelai sijil tauliah pengendali reaktor nuklear.
+++++++++++++++++++++++++++

Kenapa saya kata, saya dan keluarga? Memang masa mula-mula pergi ke US saya hanya pergi berempat sahaja. Berlainan dengan rakan-rakan bertiga yang lain, saya telahpun berkahwin selepas saya lulus dari UTM sebelum menerima tawaran dari PUSPATI.
Gambar saya dan isteri, Nor Rihan Abdullah. Gambar ini di ambil sebulan selepas 
perkahwinan saya. Beberapa bulan kemudian saya terpaksa meninggalkan isteri saya  
dalam keadaan sarat mengandung untuk memulakan latihan saya di US. Berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul. 

++++++++++++
NOTA: Di belakang gambar ini tertulis - "Abang Yaz, renungilah gambar kita berdua ini agar hilang segala rindu & kesunyian di kala kita berjauhan. Salam rindu dengan penuh kasih sayang dari isterimu. Norihan 4/10/78."
++++++++++++


Sebenarnya saya merupakan pelajar tajaan JPA semasa di universiti dan sepatutnya selepas saya lulus dari UTM saya akan diserap ke dalam mana-mana jabatan kerajaan persekutuan. Banyak kawan-kawan saya di UTM yang ditindik terus dengan JKR melainkan saya dan sahabat saya, Puad (bersama dengan saya ke US) dan beberapa orang lagi. Nama kami telah dihantar ke Jabatan Kilang dan Jentera (sekarang dikenali sebagai DOSH). Selepas berapa bulan menanti panggilan melapor diri yang tak kunjung datang, saya mengambil keputusan untuk memohon kerja di sektor swasta.

Alhamdulillah, saya ditawarkan bekerja sebagai “Shift Technical Officer” di sebuah kilang penapisan minyak sawit yang terletak di Jalan Kem, Pelabuhan Kelang. Kalau tak silap saya nama syarikat itu adalah Socoil Corporation Sdn. Bhd, a “Chinaman” company. Melainkan Pengurus HR, kebanyakan pegawai atasan syarikat ini adalah orang China. Saya dan Abang Odzaly merupakan 2 kakitangan teknikal Melayu.  Saya melaporkan diri dengan Jurutera Kilang, Disebabakan saya adalah “Shift” Technical Officer, maka saya juga diperlukan untuk  buat kerja shift.

Berkerja di kilang ini merupakan satu kejutan budaya bagi saya. Manakan tidak, bekerja di sektor swasta dalam syarikat kepunyaan orang Cina bukanlah sesuatu yang saya impikan selama ini. Bagaimanapun, saya tetap kuatkan azam saya, untuk mengharungi semua ini dan menimba sebanyak mungkin pengalaman.

Hari pertama saya ditunjukkan sebuah bilik kecil dan di atas meja sudah tersusun beberpa fail tebal mengenai setiap sistem kilang termasuk ratusan lakaran/diagram serta berpuluh-puluh lukisan kejuruteraan yang berkaitan. Arahan pertama dari jurutera, “read all this manual and ask me if there is anything that you don’t understand”. Wow, ini merupakan pengenalan hari pertama bekerja di syarikat swasta. Terkejut beruk saya.“Macam mana aku nak faham semua sistem sebuah kilang? Bukan nak tanya apa yang aku tak faham, nak mula baca kat mana pun aku tak tahu!” kata ku dalam hati.

Dipendekkan cerita akhirnya saya berjaya mengharungi bulan pertama di kilang. Untuk tugasan selanjutnya saya diarahkan untuk mengubah sistem “deodorizer” bagi memperbaiki sistem yang sedia ada. Saya diberikan seorang juru kimpal, seorang pekerja Cina yang bagitu rajin tapi banyak cakap (talkative).  Selama beberapa minggu kami berdua berkerja sama-sama sehingga akhirnya dapat di sudahkan projek yang diberikan dengan jayanya. Selepas selesai projek pengubahsuaian, saya mula dimasukkan ke dalam kerja-kerja syif. Memang kerja syif ini amat mencabar terutama jika kita kena syif ketiga “the so called graveyard shift”. Kadang-kadang masuk pukul 11:00 malam dan hanya dapat balik tidur dengan selesa di bilik selepas pukul 12:00 tengahari keesokan harinya. Apabila ada problem dalam syif tersebut maka saya terpaksa menulis laporan dan menunggu Jurutera Kilang sampai untuk membuat laporan secara verbal pula. Jurutera Kilang pula selalu sampai lambat ke ofis. Puaslah menunggu. Saya sempat bertahan selama lebih setahun bekerja di kilang ini hinggalah saya di panggil oleh PUSPATI. Sebagai “government scholar” saya terpaksa meninggalkan sektor swasta untuk kembali bekerja di sektor awam bagi memenuhi kontrak perkhidmatan saya dengan kerajaan..

Selama setahun bekerja di Socoil, saya telah mengumpul sedikit sebanyak wang bagi perkahwinan saya dengan sepupu saya sendiri, Nor Rihan Abdullah (Kak An). Cerita bagaimana seorang pemuda pemalu “abang lebai” berkenalan dan akhirnya berkahwin dengan seorang gadis pingitan anak seorang peneroka di FELDA Bukit Rokan, Negeri Sembilan ini pun punya cerita panjangnya sendiri. Cerita ini biarlah menjadi sejarah dalam lipatan hati kami berdua. Jadi apabila saya berlepas ke US, saya telahpun berkahwin. Isteri saya, Nor Rihan pula sedang mengandung anak saya yang sulung. Kerana itu saya terpaksa tinggalkan dia di Malaysia dahulu.
Gambar semasa majlis menyarungkan cincin pertunangan. "Kak An" merupakan peminat setia Rafeah Buang. Masa mudanya juga ada iras-iras Rafeah Buang.

Kenapa saya bercerita tentang kerja saya di Socoil? sebenarnya pengalaman pertama bekerja di Socoil amat berharga bagi saya. Saya dapat melihat bagaimana tekun dan rajinnya kakitangan Cina bekerja. Diskriminasi perkauman dalam pekerjaan. Bagaimana hidup di kalangan manusia yang bercakap dalam bahasa yang kita tak faham. Mungkin juga mereka sedang bercerita dan mengumpat kita. Siapa tahu? Semua ini telah membina persepsi saya mengenai kehidupan masyarakat majmuk dalam Malaysia ni.

Semua pengalaman ini telah memberikan saya pengajaran yang secukupnya apabila kemudiannya saya menjawat jawatan sebagai pegawai penyelidik di PUSPATI, pengurus kilang, pengarah teknikal dan juga sebagai pengarah urusan syarikat dalam kerjaya saya seterusnya.

Pengalaman yang saya lalui di Socoil ini jugalah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk masuk menjadi ahli dan bergerak aktif dalam UMNO pada awal tahun 1990an walaupun saya pernah berjinak-jinak dengan ABIM dan pernah menjadi anak murid Ustaz Fadhil Nor semasa zaman mahasiswa saya di UTM sebelum ini. Bagi saya hanya UMNO merupakan wadah terbaik orang Melayu di Malaysia.

Bersambung di Part 3…………

UnclearEngineer

Sunday, July 22, 2012

SEJARAH PERINTIS TEKNOLOGI NUKLEAR - PART 1


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Artikel ini saya tulis sebagai mengingati satu lembaran sejarah negara bagi ditatapi oleh generasi akan datang. Cerita tentang sekumpulan anak muda Melayu yang terlibat dalam meneroka bidang teknologi nuklear di rantau orang hampir 34 tahun yang lalu. Semoga akan dapat dimenafaatkan sebagai pengorbanan  untuk  pembangunan negara.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Saya merupakan antara beberapa kerat pelajar Melayu yang dipilih sebagai perintis kepada program membangunkan keupayaan teknologi nuklear oleh kerajaan Malaysia melalui Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) hampir 34 tahun yang lampau. Kebanyakan kami telah dihantar ke Radiation Center, Oregon State University, USA untuk menimba sebanyak mungkin  ilmu dalam kejuruteraan nuklear dan kendalian reaktor.

Masih saya ingat tanggal September 1978, empat (4) anak muda Melayu berangkat ke US menaiki penerbangan MAS ke Tokyo dan kemudiannya menyambung perjalanan kami ke San Fransisco sebelum menaiki penerbangan ke Lapanganterbang  Eugene, Oregon. Di sana seorang senior kami (pegawai PUSPATI) sudah sedia menunggu untuk membawa kami ke bandar Corvallis, Oregon. Dari hari itu bermulalah kehidupan kami sebagai mahasiswa selama 3 ½ tahun di Oregon State University (OSU). Keempat-empat kami terdiri dari Idris Besar (graduan UM dalam fizik, budak Kelantan, sekarang bergelar Dr.), Abd. Rahman (graduan UM dalam fizik, dibesarkan di Singapura dan sekarang tak dapat dikesan), Puad Hj. Abu (graduan UTM dalam kejuruteraan mekanikal, budak Rembau, sekarang juga telah bergelar, Dr.) dan akhir sekali saya, graduan UTM dalam kejuruteraan mekanikal berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Saya sendiri sebenarnya telah ditawarkan Biasiswa Federal bagi menyambung pelajaran ke UK dalam bidang kejuruteraan mekanikal tetapi saya tolak untuk menyahut panggilan bagi merintis satu bidang teknologi baru bagi negara. Semangat kami begitu berkobar-kobar untuk menyumbangkan bakti pada negara tercinta.

Sebenarnya, penubuhan PUSPATI diilhamkan oleh Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu selepas beliau melawat pusat penyelidikan nuklear Indonesia di Bandung. Bermula pada 1976/77, PUSPATI telah mula menghantar kakitangan perintis untuk melanjutkan pengajian dalam teknologi berkaitan nuklear ke luar negara. Sebelum saya sampai ke OSU, terdapat lima (5) kakitangan PUSPATI yang telah pun menjalani latihan di sana. Mereka terdiri dari Dr. Ahmad Tajudin Ali (graduan Univ. London dalan kejuruteraan nuklear, berasal dari Perlis dan sekarang bergelar Tan Sri), Ir. Kasbun Kamat (graduan Uni. of Glasgow dalam kejuruteraan mekanikal,  berasal dari Klang), Ir. Razali Hamzah (graduan UK dalam bidang elektronik, berasal dari Juaseh, Kuala Pilah), Ir. Nahrul Khair Alang Rashid (graduan UK dalam kejuruteraan elektronik berasal dari Perak dan sekarang Prof Madya di UIAM) dan Yusof Ali (graduan UKM dalam fizik, berasal dari Johor). Walau bagaimanapun, empat senior saya di OSU (melainkan sdr. Yusuf Ali) ini telah pun hampir menamatkan latihan dan sudah bersedia untuk bergerak ke tempat latihan baru di US sebelum balik ke Malaysia.

Di OSU, rutin harian kami adalah sebagai pelajar dengan mengambil kursus-kursus yang berkaitan dengan teknologi nuklear dan pada masa yang sama saya dan sahabat saya dari UTM, Mohd. Puad Abu terpaksa menjalani latihan mengendali reaktor penyelidikan yang terdapat di Radiation Center, OSU dan mengambil peperiksaan sebagai Pengendali Reaktor bertauliah yang dijkendalikan oleh US Nuclear Regulatory Commission (USNRC). Dua lagi kawan saya, Idris Besar dan Abd Rahman pula akan menamatkan ijazah sarjana masing-masing sambil menimba pengalaman sebagai ahli fizik kesihatan (health physicist). Sebagai pelatih di Radiation Center, saya dan Puad amat disenangi oleh jurulatih-jurulatih kami sebab kami ringan tangan membantu dalam setiap kerja yang di suruh dan tak di suruh oleh jurulatih dan penyelia kami. Kedua-dua kami terutama Puad selalu di panggil sebagai “lover boy” dan SS (bemakna stupid student). Kami berdua menerima gelaran tersebut dengan senang hati dan ini membuatkan Bill Carpenter, jurulatih kami tidak lokek untuk mengajar kami semua selok belok dalam mengendalikan reaktor nuklear dengan selamat.
Bergambar dengan jurulatih dan professor kami di Radiation Center, Oregon State Univ.
Satu dari kiri - Dr. Puad Abu, tiga dari kiri - Dr. Idris Besar dan dua dari kanan saya - Yaziz Yunus.  Jurulatih bagi pengendalian reaktor, Bill Carpenter berdiri dua dari kiri.
Radiation Center, OSU ditadbir oleh seorang professor  bernama Prof CH Wang. Beliau berasal dari China dan telah enggan balik ke China apabila tamat pengajian di US. Saya dan rakan-rakan memang gerun dengan Prof Wang ini. Cakap nya selalu sahaja sinis terutama terhadap pelajar Melayu dari Malaysia. Kenapa, saya pun tak mahu ambil tahu. Setiap kali selepas keputusan peperiksaan keluar, kami berempat terpaksa mengadap Prof. Wang ini. Didalam bilik dia, kami selalu mendengar perkataan yang memeritkan telingga. Ini kerana keputusan salah seorang dari kami, Abd. Rahman tidak begitu memberangsangkan. Dia selalu mengungkit-ungkit dan membandingkan keputusan kami dengan pelajar dari Taiwan dan China yang mendapat “straight As” . Why can’t you  Malaysians be like the Taiwan and China students? Huhu, memang berasap telingga. Tapi demi untuk menimba ilmu, saya dan rakan yang lain buat “masuk telinga kiri keluar telinga kanan” sahaja. Saya dan sahabat saya Puad pernah ditengking depan pelajar-pelajar lain oleh Prof Wang ini apabila kami gagal menamatkan satu tugasan yang beliau beri. Kata-kata Prof Wang ni masih tergiang di telingga saya sehingga hari ini – “you want to call yourselves an engineer when you can’t even complete this simple task I have given you?”. Mulai hari itu saya jadi berani dalam setiap tindak tanduk dan dalam kerja saya. Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya kenapa kami menjadi mangsa dan sasaran Prof. Wang ini.
Duduk di depan konsol sambil mengawasi kendalian
Reaktor TRIGA Mark II, Oregon State University..
Sebenarnya dalam kumpulan kami, Abd Rahman sedang menghadapi masalah peribadi. Beliau telah mengabaikan pelajaran dan suka bersendirian dalam biliknya. Mungkin mentalnya tak stabil.  Keputusannya setiap semester tidak menggalakkan dan inilah punca sindiran Prof Wang tersebut. Abd. Rahman akhirnya dipanggil pulang ke Malaysia dan sejak itu saya tak pernah berjumpa dengan dia sampai sekarang. Apakah dia jadi “tak sente” sebab matapelajaran yang di ambil? Neah, I don’t think so. Mungkin juga "cultural shock".

Salah seorang senior kami di OSU ialah Ir. Kasbun Kamat, anak Jawa yang berasal dari Kampung Uganda, Kelang. Wak Kasbun gelaran yang kami beri kepada dia, memang terkenal dengan muka “cenge” dan garangnya. Selepas kami mengadap Prof Wang, kami akan pula kena “lecture” dengan Wak Kasbun ni. Dia akan cuba membakar semangat kami untuk belajar bersungguh-sungguh demi membuktikan bahawa anak Melayu mampu menakluki teknolgi nuklear. Saya amat menghormati Ir. Kasbun ni, seorang nasioanalis Melayu yang amat tebal sifat kebangsaannya. Beliau pernah satu masa di lantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah, PUSPATI tetapi berhenti dalam keadaan yang amat “membingungkan” saya untuk berkhidmat pula dengan Shell Malaysia. Beliau merupakan salah seorang pengerak utama pembinaan kompleks termasuk reaktor penyelidikan di PUSPATI, Bangi.

Dipendekan cerita selepas 3 ½ tahun diperantauan - saya, Puad dan Idris Besar lulus dalam pengajian dan latihan kami dan pada 1981 berangkat pulang ke Malaysia. Selepas setahun, reaktor penyelidikan jenis TRIGA yang di beli dari General Atomic, Amerika Syarikat selesai di bina dan ditauliahkan. Kumpulan projek yang berjaya membina dan mentauliahkan reaktor tersebut terdiri dari mereka-mereka yang pernah berlatih di Radiation Center, Oregon State University.  Saya dan Puad menjadi tenaga utama kemudiannya dalam kerja-kerja pengendalian dan penyelenggaraan harian reaktor tersebut. Puad kemudiannya dipinjamkan ke Lembaga Perlesenan Tenaga Atom yang baru sahaja ditubuhkan sebagai salah seorang pengarah bahagian. Ketua Pengarah pertama LPTA pula ialah Ir. Kasbun Kamat  yang kami panggil sebagai Wak Kasbun tu. Sistem yang kami bina di PUSPATI masih lagi digunapakai di Agensi Nuklear Malaysia (dulunya dikenali sebagai PUSPATI) termasuk semua borang dan juga manual. Kebanyakan pengendali kanan Reaktor TRIGA PUSPATI sekarang ini pun merupakan "anak murid" yang kami latih dulu.




September ini genaplah 30 tahun Reaktor TRIGA PUSPATI dibina. Mungkin pihak Agensi Nuklear akan menyambutnya dengan satu sambutan besar-besaran. Saya berharap nama-nama yang saya sebutkan dalam artikel ini akan dijemput hadir bagi sama-sama meraikannya.


Selepas 30 tahun, apakah teknologi nuklear sudah berkembang maju seperti sepatutnya di Malaysia? Bagaimana dengan bekas jurutera seperti saya yang telah mengorbankan masa depan serta kerjaya untuk berkecimpung dalam teknologi ini? Jangan sesekali lupakan kami kerana ilmu dan pengalaman yang kami timba perlu dimenafaatkan spenuhnya oleh kerajaan.

Akan bersambung lagi di Part 2……….

UnclearEngineer

Sunday, July 8, 2012

DATO NIK AZIZ DAN ASABIAH PAS


Tertarik amat saya membaca pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya chedet.cc mengenai PAS dan mainan politik Dato Nik Aziz Nik Mat.

Pandangan Tun mengenai PAS akan mengekalkan pemerintahannya di Kelantan selepas PRU 13 ini mungkin akan melemahkan semangat jentera PRU 13 UMNO di Kelantan atau mungkin juga akan menaikkan lagi semangat juang UMNO untuk membuktikan kepada Tun bahawa rakyat Kelantan sudah bersedia untuk berubah angin.

Ketaksuban orang Kelantan terhadap Dato Nik Aziz Nik Mat memang satu yang legendari. Beliau memang dihormati oleh ramai orang sehingga ramai yang akan akur dengan apa yang terpacul keluar dari mulut beliau walau bagaimana tak logik dan katun bunyinya. Ini bukan sahaja melibatkan rakyat biasa tetapi juga melibatkan gulongan intelektual juga. Satu cerita dan pengalaman saya mengenai peminat setia Dato Nik Aziz ini.

Saya ada seorang sahabat yang mempunyai ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Nuklear dan PhD dalam Kajilogam. Kedua-duanya diperolehi dari universiti luar negara. Beliau saya lihat seorang yang alim dan warak dan saya merasa amat selesa bersahabat dengan beliau. Kalau pergi mesyuarat atau seminar/persidangan beliau akan menampilkan imej yang amat baik samaada bertali leher serta sut yang bersesuaian. Janggut beliau pun sentiasa dijaga rapi. Dalam bidang beliau, beliau merupakan seorang pakar dan telah pergi merata tempat di dunia memberikan perkhidmatan kepakaran beliau. Selepas balik kerja dari pejabat, beliau akan bertukar pakaian memakai jubah dan serban apabila tiba waktu untuk bersembahyang di surau berdekatan. Saya selalu terpesona dan kagum dengan sahabat saya ini. Kepada saya, beliau pernah berkata bahawa beliau tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti walaupun saya tahu dari percakapan, beliau sebenar tak berapa suka kepada UMNO.

Satu hari  saya dan sahabat saya ni telah bersama-sama dalam satu perbincangan yang di adakan di Kota Baru, Kelantan. Seperti biasa kami selalu bertukar-tukar pandangan mengenai tajuk yang dibincangkan sambil menyelitkan gurauan mengenai politik UMNO/PAS jika ada peluang. Saya selalu senyum sinis dengan apa yang beliau katakan. Satu pagi, entah macam mana topik mengenai rasuah terkeluar dari mulut beliau. Saya pun sambil lewa buat komen bahawa rasuah ni sebenarnya bukan masalah UMNO sahaja tapi semua parti termasuk PAS. Tiba-tiba dia meninggikan suara beliau dan nampak benar marahnya kepada saya. “Jadi kau kata Nik Aziz ni pun rasuah juga ke?”, sergah sahabat saya ni. “Tolong dengar baik-baik, saya tak kata Nik Aziz tapi mengatakan PAS secara amnya”, kata saya cuba menenangkannya. “Nik Aziz tu kan Mursyidul Am PAS dan bila kau kata PAS tu termasuklah Nik Aziz sekali. Kau tuduh Nik Aziz perasuahlah juga,” jawabnya balik menampakkan tak puas hatinya. Sebab saya tak mahu menjejaskan persahabatan saya dengan sahabat saya ini maka saya pun minta supaya isu rasuah ni dihentikan setakat itu sahaja. Nampak beliau tidak puas hati.

Saya sebenarnya terkejut dengan reaksi spontan sahabat saya ni. Nampak sangat beliau begitu menghormati Dato Nik Aziz Nik Mat sehingga sesuatu yang dilihat memburukkan batang tubuh Dato Nik Aziz walaupun tidak disebut nama secara “direct” pun akan menyebabkan beliau akan naik darah. Begitulah hormatnya beliau terhadap Dato Nik Aziz Nik Mat dan saya percaya ramai lagi manusia Melayu seperti beliau. Katakanlah apa-apa yang buruk pun mengenai Nik Aziz, mereka tetap tak percaya. Yang menariknya sahabat ini berasal dari Johor, negeri yang dikatakan kubu kuat UMNO.

Apa yang sebenarnya yang ada pada Dato Nik Aziz sehingga ramai orang begitu terpesona dengan perwatakan beliau? Saya rasa iannya datang imej beliau sebagai seorang pemimpin yang hidup sederhana. Orang terpikat dengan cara kehidupan beliau yang konon melambnagkan emimpin Islam yang sebenar. Tak kisah jika beliau tidak mampu membangunkan negeri. Tak kisah jika masa beliau lebih banyak diluangkan untuk berceramah agama. Tak apa jika air yang diminum air keruh. Semua dapat dimaafkan kerana mereka percaya Dato Nik Aziz seorang manusia yang tidak mengejar kekayaan duniawi. Beliau dipuja sebagai keramat hidup. Siapa boleh menang jika bertanding dengan keramat? Beliau dilihat ikhlas dengan tugasnya walaupun tidak nampak visi yang mahu dicapai dalam membangunkan Kelantan.

PAS akan tetap diundi oleh rakyat Kelantan selagi Dato Nik Aziz masih aktif dalam PAS. Dato Mustapha Mohamad tidak akan dapat menandingi gaya kepimpinan Dato Nik Aziz ni. Mungkin itulah yang mahu disampaikan oelh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya itu. Selagi pemimpin UMNO dilihat sebagai kaki pengumpul harta dengan persepsi rasuahnya, maka selagi itulah pemimpin seperti Dato Nik Aziz Nik Mat akan tetap disokong oleh sebahagian pengundi.

Nik Aziz ni ada jugalah sebabnya tapi ada seorang pemimpin pembangkang yang seorang tu lagi saya hairan.. Nak kata alim tak pulak, nak kata hidup "simple" pun tak juga dan sejarah hidupnya penuh dengan segala macam keburukan tetapi penyokong dia masih  tetap setia. Macam mana nak diterangkan fenomena ini? Tak tahu saya!

UnclearEngineer

Wednesday, July 4, 2012

DILEMA PARTI MELAYU

P
Prof Mohamad Agus Yunus dari UKM tidak bersetuju dengan pandangan Tun Dr. Mahathir bahawa PRU13 akan menjadikan isu perkauman sebagai satu isu besar jika dibandingkan dengan PRU yang lepas-lepas. Kata Prof yang bijaksana ini pengundi Malaysia sebenarnya dah jemu dengan isu perkauman yang mainkan oleh parti politik.

Sebenarnya tak semua yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir itu salah. Tetapi untuk menuduh UMNO sengaja memainkan isu tersebut untuk survival adalah keterlaluan. Orang Melayu dalam UMNO sudah lama sedar bahawa Malaysia adalah negara majmuk dan sebab itulah dalam konsep Barisan Nasional semua kaum perlu diwakili dalam kerajaan.


Kebanyakan parti di Malaysia ada isu asas yang selalu dipermainkan untuk mendapatkan undi. DAP/MCA dengan isu kecinaannya, PAS dengan isu keagamaannya dan MIC dengan isu keindiaannya. Mungkin PKR lebih multi-racial tapi nampaknya parti tersebut masih juga di monopoli oleh orang Melayu. Tetapi kenapa hanya UMNO sahaja menjadi sasaran kecaman denga sikap “rasis”nya?

Berbalik kepada isu Melayu. Dalam perlembagaan Malaysia, Melayu tidak semestinya sebuah bangsa yang dilahirkan dari perut seorang ibu Melayu tapi sebuah bangsa yang mampu diperolehi (acquired). Apa taknya, mamak yang kedua ibu bapa yang lahir di India dan bertutur Tamil pun boleh jadi Melayu begitu juga Bengali yang kahwin dengan wanita Melayu dan masuk Islam. Cukup dengan sesaorang itu memeluk Islam dan menjalani kehidupan sebagai orang Melayu dan fasih berbahasa Melayu.

Saya ada seorang sahabat seorang “Syed” yang bapanya sendiri tak berapa fasih berbahasa Melayu dan berkahwin dengan seorang wanita China  tetapi disebabkan dia Islam, dan hidup dalam perkampungan Melayu, maka dia sendiri mengaku dirinya Melayu. Kalau dengar dia bercakap pasal Melayu, naik meremang bulu roma kita di buatnya. Di sekolah dulu saya ada seorang senior yang bernama Rashid s/o Mydin tertulis dalam surat beranaknya. Kalau tengok dia, memang sah dia orang yang berasal dari Benua India. Beberapa tahun dulu aku dengar cerita dia masuk UMNO dan bergerak aktif dalam sebuah bahagian UMNO di Selangor. Aik, sejak bila dia jadi Melayu?

Berlainan dengan kumpulan ketuanan kulit putih “white supremicist” di AS misalnya. Bangsa terpilih adalah bangsa dari darah Eropah, berkulit putih dan beragama Kristian. Kalau bukan dari kulit putih, no way! Dalam istilah Melayu Malaysia, mereka yang hitam legam, putih melepak, sawo matang dan yang bermata sepit juga boleh jadi Melayu. Jadi mana rasis nya Melayu dalam UMNO?

Apa yang kadang-kadang membuatkan orang Melayu rasa terkilan apabila ada di antara rakyat Malaysia yang lahir dan hidup hampir 30-40 tahun di Malaysia masih tidak mampu berbahasa kebangsaan dengan baik. Keenganan mereka berasimilasi dengan keadaan tempatan menyebabkan orang Melayu terpaksa berkeras mempertahankan nilai-nilai asal mereka. Saya percaya jika rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini mampu memperlihatkan kecenderungan mereka kepada budaya tempatan, maka dinding perkauman antara sesama kita dengan sendirinya akan runtuh. Thailand dan Filipina telah membuktikan bahawa ini boleh berlaku. DS Najib telah memperlihatkan bahawa BN yang di tunjangi UMNO boleh bersifat lebih adil dengan semua kaum di Malaysia. Kebanyakan ahli-ahli serta penyokong UMNO menyokong transformasi yang sedang beliau lakukan. Bagaimanapun, tolak ansur Presiden UMNO ini perlu di balas dengan setimpalnya oleh kaum bukan Melayu.

Mengecam UMNO punca masalah perkauman ini adalah kurang tepat. Bak kata orang bijak pandai “bertepuk tangan sebelah tak kan berbunyi”. Sungguh, saya berharap benar supaya rakyat Malaysia menjadi bertambah bersatu selepas PRU13 ini. Melihat perkembangan terkini, ini mungkin satu angan-angan yang tak akan menjadi kenyataan.

Sementara itu, buat sahajalah apa yang patut. Asalkan tolong  jangan dijahanamkan negara ni, OK?

UnclearEngineer