Hari ini hari Jumaat. Saya berkesempatan bersolat
di sebuab masjid di Hulu Yam Lama. Kalau tak salah saya inilah pertama kali
saya sampai ke sini bersolat. Kali ini saya bukan nak cerita pasal solat jumaat
ataupun tentang masjid-masjid yang bertaburan di Hulu Selangor yang dibina oleh
kerajaaan BN/PERIKATAN dulu tetapi kini di kuasai puak-puak Pakatan Rakyat. Di
Selangor sekarang ini orang ameno duduk diam-diam jadi makmum. Kalau kena kutuk
dek khatib sekali sekala, buat bodoh diam ajelah. Orang kalah peranglah
katakan. Tak di jual sebagai hamba abdi seperti dalam cerita Arab dulu kala pun
dah kira baik tu.
Sebenarnya saya lebih tertarik mendengar cerita
tentang BR1M 2 yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan. Siapa yang sedang pertimbangkan? Jemaah
kabinet katanya. Sebagaimana biasa, tangan saya naik gatal balik nak menulis.
Orang tua kata kalau tapak tangan kanan gatal maka tandanya nak dapat duit. Tapi
saya bukan gatal tapak tangan, tapi jari-jari tangan saya. Untuk menghilangkan
gatal, saya kena menulis. Orang nak baca atau tidak, ada aku kesah?
Sebelum itu saya nak buat pengakuan. Saya buka pakar
ekonomi sekadar seorang jurutera yang tak keruan (unclear engineer). Jadi mungkin
cadangan saya ada kelemahan dari segi terjemahan isu dan pengolahan masaalah.
Harap dapat diterima seadanya.
Penyerahan baucer BR1M di Bukit Sentosa oleh YB P Kamalanathan dengan bantuan BN Bukit Sentosa. |
Dari dulu lagi saya memang tak setuju dengan
pemberian percuma kepada mana-mana gulongan masyarakat tanpa penerima
menghasilkan sebarang hasil kerja setanding dengan wang yang diberi. Umpama dapat
duit yang jatuh dari langit hasil berdoa selepas sembahyang. Yang paling teruk
sekali, duit ni jatuh tanpa menadah tangan berdoa pun. Yang tak solat dan tak
berdoa pun dapat sama, asalkan depa boleh buktikan gaji depa di bawah RM3,000
sebulan.
Asas kenapa saya tak suka pemberian percuma wang tunai
seperti BR1M ini adalah kerana kerajaan akan memulakan satu lagi perangai buruk
rakyat Malaysia. Perangai suka menunggu pemberian wang tunai dari kerajaan
saban tahun. Masuk sekolah dapat wang tunai bantuan persekolahan, masuk universiti
dapat wang tunai beli buku. Ekonomi dunia merudum dan barang naik harga dapat
pula bantuan BR1M. Konon untuk menunjukkan kerajaan perihatin.
Sebahagian penerima baucer BR1M di Bukit Sentosa. Penerima dari semula gulongan rakyat berbilang kaum. |
Dulu kita marah terutama kepada orang Melayu kerana
katanya kita orang Melayu dah terkena penyakit subsidi. Sikit, sikit nak subsidi.
Kerajaan cuba tarik subsidi, rakyat akan naik marah. Silap haribulan kerajaan
semasa boleh runtuh tersungkur kerana kemarahan rakyat ini. Maka satu strategi
telah dilakukan kerajaan bagaimana nak mengurangkan subsidi tersebut. Contoh,
subsidi bagi minyak dan gas masak. Rakyat sudah boleh dapat menerima jika
subsidi minyak dan gas masak dikurangkan. Kenapa subsidi perlu dikurangkan? Kata
menteri bagi menyelamatkan beban kewangan kerajaan menangung subsidi yang semakin
meningkat sehingga mengurangkan perbelanjaan yang patut dibelanjakan untuk
projek pembangunan.
Jadi atas sebab apa pula pemberian tunai seperti
BR1M ini di buat? Sekali bayar hari tu tak mencukupi ke sehingga perlu di ulang
sekali lagi? Apakah ekonomi dunia sudah pulih sehingga kita perlu mengeluarkan
wang sebegitu banyak untuk diberikan secara percuma kepada rakyat? Setahu saya,
ekonomi dunia masih lagi dalam keadaan yang tidak meyakinkan terutama dengan
masaalah hutang di “Zon Euro” yang melibatkan Greece dan sedang menular ke
lain-lain negara Eropah. Dulu siapa yang ajar kita iaitu apabila keadaan susah
kita mesti berjimat-jimat dan simpan wang kita sebagai persediaan menghadapi
zaman meleset. Kita di ajar menyimpan semasa zaman susah tetapi kerajaan melakukan
sebaliknya. Sebanyak RM 2.6 biliion dibelanjakan untuk BR1M dan BR1M2 jika dilaksanakan akan menyebabkan hampir RM
5.2 billion (RM 5,200 juta) dikeluarkan dari simpanan kerajaan untuk sesuatu
yang dibelanjakan tanpa pulangan ekonomi yang sepatutnya. Hanya membanjirkan
ekonomi dengan lebihan tunai, yang akan pula meningkatkan inflasi dan akhirnya
menaikkkan lagi harga barangan.
Penerima baucer BR1M dari kalangan rakyat berbilang kaum di Bukit Sentosa. |
Apa cadangan alternatif? Kalau nak membantu rakyat
yang tersepit dengan masaalah kenaikan harga barangan kita perlu mengadakan
satu cara bagaimana rakyat dapat berkerja mencari rezeki dengan mudah. Kerajaan
perlu menggalakkan penduduk berpendapatan rendah melakukan kerja-kerja
membangun ekonomi keluarga. Bantuan seperti wang ringgit untuk memulakan
aktiviti perniagaan perlu diberikan kepada yang berminat untuk berniaga
kecil-kecilan. Permudahkan “red tape” dalam memberikan lesen perniagaan bagi gerai-gerai
di tepi jalan di bandar-bandar misalnya. Galakkan rakyat berniaga dengan
mengeluarkan pinjamanan mudah. Jika gerai yang di bina di tepi jalan nampak
daif, bantu mereka dari segi pinjaman kewangan untuk mencantikan lagi gerai-gerai
mereka. Tak perlulah bagi penguatkuasa majlis tempatan meruntuh gerai-gerai dan
mematikan perniagaan kecil-kecilan ini. Kita patut menggalak, bukan meruntuh!
Saya juga ingin mencadangkan supaya industri
perkilangan yang selamat dibenarkan didirikan dalam kawasan kampung di luar
bandar. Ini akan memudahkan penduduk disekeliling kilang tersebut mendapat
kerja tanpa perlu berhijrah ke kawasan bandar. Dengan duduk tinggal bersama
keluaraga di kampung, masalah sosial kehidupan di bandar akan dapat dielakkan.
Saya pernah melawat sebuah kilang membuat barangan perubatan didirikan dalam sebuah
kampung di Perlis dimana di luar pagar kilang kita boleh lihat rumah kampung
yang di didiami oleh anak-anak muda kampung tersebut yang berkerja di kilang.
Wang yang berlebihan juga boleh digunakan untuk pembinaan
infrastruktur seperti jalan baru, jambatan baru, lapangan terbang baru dan
sebagainya. Projek pembinaan ini akan dapat merangsang sektor pembinaan negara.
Projek perumahan rakyat juga boleh dirancakkan lagi dengan membina lebih banyak
rumah mampu milik (benar2 mampu di miliki rakyat berpendapatan rendah).
Bagi menggalakkan wanita terus berkerja untuk
meningkatkan pendapatan keluarga, kerajaan patut membina lebih banyak pusat
jagaan bayi di tempat-tempat kerja. Satu industri bagi penjagaan anak perlu di
adakan supaya wanita yang sudah berkeluarga mampu meneruskan kerja
masing-masing setelah bersalin. Mungkin kita boleh mengambil ribuan pekerja asing
yang kita latih untuk tujuan ini.
Saya berharap kita dapat gunakan peruntukan BR1M2
untuk tujuan seperti di atas. Saya percaya hasilnya akan lebih baik dari hanya
memberikan wang tunai terus kepada rakyat. Banyak juga yang dapat BR1M dulu pun
bukan nak ucap terima kasih kat kerajaan BN pun.
Akhir sekali saya minta maaf sebab menulis panjang
sikit pada kali ini. Salam 1Malaysia.
UnclearEngineer
No comments:
Post a Comment
Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.