Aku hilang 4 hari pada minggu lepas kerana pergi ke Semporna, Sabah. Tujuan ke sana, pertama kerana memenuhi tugasan satu projek untuk kajian teknoekonomi yang ditaja oleh sebuah agensi kerajaan. Kedua, untuk melihat sendiri bumi Sabah yang di katakan penuh dengan keindahan projek ekopelancungannya samada di bumi dan laut sekitarnya.
Dulu aku pernah membaca tentang perusahaan pemeliharaan rumpai laut yang begitu popular di bahagian laut sekitar Filipina Selatan, Sabah dan juga kepulauan Indonesia yang berdekatan. Katanya industri ini amat sesuai dibangunkan di kawasan sekitar Sabah ini kerana kualiti air dan alam semula jadi nya mampu menghasilkan rumpai laut yang berkualiti tinggi.
Sempat bertemu dan berbincang dengan Prof Madya Dr. Suhaimi Md. Yasir, penyelidik dari Sekolah Sains & Teknologi, Universiti Malaysia Sabah di Lapangan Terbang Tawau. Beliau dalam perjalanan ke Kota Kinabalu. Bekas pelajar sekolah Menengah Teknik, Seremban, beliau berasal dari Perak. Dr. Suhaimi ini merupakan pensyarah UMS yang telah berperanan sebagai koordinator bagi membangunkan industri ini di sekitar laut kawasan Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Kota Belud. Menurut Dr. Suhaiami, beliau juga terlibat dengan projek serupa di Pulau Langkawi tetapi kawasan perairan Sabah ini lebih sesuai untuk di bangunkan industri ini secara besar-besaran.
Kata Dr. Suhaimi lagi, industri rumpai laut ini amat lumayan hasilnya. Pulangan dari pelaburan akan dapat diraih hanya dalam masa 2 tahun. Ini bermakna jika kita misalnya melabur RM 2 juta, kita akan mendapat balik modal kita ini dalam masa 2 tahun sahaja dan selepas itu kita mampu mengaut keuntungan saban tahun (setelah di tolak kos operasi).
Apa sebenarnya rumpai laut ini? Rumpai laut (seaweed) spesis Euchema cottonii atau Euchema kappayachus alvarezii (berwarna hijau, coklat dan puteh), nama tempatan Agar-Agar. Tumbuhan akuatik yang hidup terapung di atas permukaan air laut. Rumpai laut ini sesuai diusahakan di kawasan laut yang terlindung, dengan ketinggian ombak antara 1-2 kaki, saliniti air laut antara 30-35 ppm, kualiti air yang baik/jernih dengan dasar laut berpasir dan berbatu karang. Rumpai laut diekstrak untuk menghasilkan Carrageenan. Antara lain kegunaannya sebagai bahan campuran dalam industri pembuatan cat, shampo,dakwat, tekstail, penyembur serangga, agen pembersih, sebagai bahan pengikat dalam industri pembuatan bahan letupan, sebagai bahan pengembang dalam industri permakanan, industri farmasiutikal (pengikat ubat-ubatan), bahan kosmetik dan lain-lain kegunaan. Paling besar produk rumpai laut ini digunakan dalam industri makanan sebagai bahan pengikat (food binder) contoh dalam industri pembuatan burger, ais krim dan banyak lagi. Disebabkan produk ini bahan semula jadi, amat sesuai untuk industri penghasilan makanan halal.
Saya dan rakan pasukan berpeluang untuk melihat sendiri kawasan pemeliharan rumpai laut ini di persekitaran laut berdekatan Semporna Sabah dengan menyewa boat. Setelah hampir 30 minit merendah laut, kami bertemu dengan satu kawasan yang terdapat banyak kelong/pelantar. Kebanyakan pelantar di sini yang mengusahakan rumpai laut menggunakan kaedah rawai (tangsi dan pelampung dari botol plastik kosong, paling popular digunakan) pada ke dalaman 2 – 5 meter bagi menghasilkan rumpai laut, di tuai dan dikeringkan di atas pelantar sebelum di bungkus untuk di proses seterusnya di bandar Semporna mahupun Tawau.
Pelantar-pelantar ini di diami oleh keluarga dari suku nomadik Bajau Laut. Kehidupan seharaian mereka anak beranak berlegar di atas pelantar yang luasnya ibarat sekangkang kera ini. Anak-anak pekerja pelantar ini makan, minum, bermain dan segala nika aktiviti kehidupan seharian mereka dilakukan di atas pelantar ini. Terdapat juga set TV dan radio sebagai alat untuk berhibur bagi yang berkemampuan. Kedaifan dan kemiskinan terserlah ditengah industri yang dikatakan amat menguntungkan ini. Sekolah? Saya rasa semua anak-anak ini tidak bersekolah. Apakah kerana mereka orang nomadik laut yang tidak berwarganegara membuatkan mereka tidak layak di bantu? Saya amat berharap Dato Shafie Afdal, MP Semporna akan dapat berbuat sesuatu.
Saya meninggalkan Hotel Seafest, Semporna dengan seribu kenangan dan kesyukuran. Syukur kerana saya masih mampu menimba ilmu dan mendapat pengetahuan dan pengalaman baru. Yang paling aku bersyukur sekali kerana aku tidak di lahirkan sebagai anak-anak Bajau Laut di perairan Semporna ini. Sedih juga melihat kemiskinan yang masih ketara di bumi bertuah ini.
Unclearengineer.