Wednesday, December 21, 2011

LYNAS MAMPU MEMACU INDUSTRI TEKNOLOGI HIJAU, KATA SAINTIS.


LYNAS MAMPU MEMACU  INDUSTRI TEKNOLOGI HIJAU, KATA SAINTIS
Izinkan saya menarik perhatian pembaca kepada satu artikel yang tersiar dalam “the Malaysian Insider” bertarikh Disember 20, 2011 mengenai tajuk seperti di atas.

Logi pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi hijau di Malaysia, kata Akademi Sains Malaysia (ASM - http://www.akademisains.gov.my/). Jurucakap ASM, Datuk Dr. Lee Yee Cheong berkata nadir bumi ibarat “vitamin” bagi industri mesra alam dan Malaysia mempunyai peluang bagi membina industri hiliran hasil produk dari logi tersebut.

Persatuan Nuklear Malaysia (MNS - http://www.nuklearmalaysia.org/) sebagai persatuan tunggal yang mewakili saintis dan teknologis yang terlibat secara langsung dalam teknologi nuklear di Malaysia amat menyambut baik pandangan yang telah diberikan oleh Datuk Dr. Lee Yee Cheong tersebut. Bagi MNS, pemprosesan nadir bumi membawa menafaat yang amat besar kepada industri pembuatan produk hiliran negara selain dari menjadi sumber pengaliran masuk pelaburan langsung dari luar negara. Dengan adanya bahan mentah nadir bumi yang di hasilkan di Malaysia, kita boleh pula membangunkan industri pembuatan yang akan menghasilkan produk, peralatan serta mesin teknologi canggih yang bergantung kepada bahan ini.

MNS juga setuju supaya kaedah yang lebih teratur di ambil dalam menangani penentangan awam terhadap projek seperti projek Lynas. Kerajaan Malaysia harus mengambil langkah yang lebih proaktif sebelum membuat keputusan membenarkan industri sebegini di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya penentangan awam setelah projek bermula kemudiannya.

Rakyat, terutama yang berada di sekeliling tapak logi perlu dibawa berunding terlebih dahulu. Penerangan yang mencukupi dan lengkap mengenai industri ini perlu diberikan dari segi kebaikan terhadap pembangunan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat dan kesuburan aktiviti  ekonomi tempatan. Semua ini perlu di perincikan dan dibentangkan. Kalau boleh, industri sebegini perlu dibina jauh dari kawasan penempatan awam bagi mengelakkan tuduhan yang mungkin akan menakutkan penduduk tempatan dari jurucakap-jurucakap persatuan perlindungan alam sekitar.

Ahli politik juga mesti sedar dengan tanggungjawab bagi memberikan maklumant yang benar dan tepat bagi sesuatu projek. Jika ia melibatkan teknologi tinggi, pandangan dari para saintis dan teknologis tempatan perlu di ambilkira. Pandangan dari ASM dan juga MNS (jika ianya melibatkan teknologi nuklear) adalah amat releven sekali. Tindakan perlu berlandaskan fakta bukan “hearsay”. Malaysia tidak akan mampu mencapai sasaran Wawasan 2020 nya jika kita menolak pengenalan sebarang teknologi baru yang canggih di negara ini atas sebab-sebab yang tidak tepat.  Selagi teknologi tersebut membawa lebih banyak menafaat dari keburukan sejajar dengan “cost benefit analysis”, maka keputusan segera perlu diambil bagi membenarkan pengenalan teknologi tersebut di sini.

Akhir sekali, MNS merasakan pandangan ASM mengenai isu Lynas ini amatlah tepat dan kena pada masanya.

Sekian.


Yaziz Yunus
Pengarah, Komunikasi
Persatuan Nuklear Malaysia (MNS)

No comments:

Post a Comment

Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.