Duduk bersama Tan Sri Mohamad Mohd Taib dan Dato Samad di Majlis Rumah Terbuka YBK di Subang Jaya |
Semalam aku dan isteri ke rumah terbuka Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Subang Jaya. Dapat jumpa ramai kawan dan berpeluang bertemu dan berbual dengan pemimpin lama dan baru. Lepas maghrib, pulang kembali ke Rawang. Masuk Lebuhraya PLUS kat Tol Subang, terperangkap dalam jem teruk. Hati dah mula tak tenteram.
Buka radio klasik FM. Terus dengar siaran langsung ucapan PM sempena hari Malaysia esok. Intro ucapan PM amat baik sekali dengan bahasa Melayu yang di susan rapi. Aku bertanya dalam hati, siapalah penulis ucapan PM pada malam ini? Memang bagus susun bahasa dia, tahniah kata dalam hati ku. Aku merasa amat bangga jadi rakyat Malaysia. Kereta ku terus meluncur laju menuju utara dalam aliran trafik yang memang banyak tapi terkawal.
Aku terus dibuai dengan ucapan PM. Bahasa yang tersusun rapi dalam ucapan PM rupanya bagi menyalut satu “bom berita” yang bakal PM lepaskan.
Beberapa hari sebelumnya aku ada terbaca dalam akhbar maya Malaysian Insider mengenai kemungkinan kerajaan memansuhkan ISA. Akta yang selama ini telah banyak berjasa kearah memastikan keamanan negara. Akta yang ku pertahankan dengan spenuh hati dan jiwa raga hanya sebab aku penyokong kerajaan dan ahli UMNO. Aku dah mula tak sedap hati membaca berita tersebut. Dua hari lepas, tersiar pula penafian tentang berita tersebut pula. Kononnya kerajaan tetap tak akan memansuhkan ISA. Hati aku lega kembali….
Bila PM umumkan sahaja akan pemansuhan ISA, aku terkejut beruk. Tak percaya aku. Betul ke ni? Apa pasal pula ni? Semasa PM mengumumkan pemansuhan tersebut, aku dengar banyak orang yang bertepuk tangan. Mimpi ke aku atau aku memang sudah ketinggalan zaman dengan masih terus menyokong ISA?
Sebenarnya sebagai seorang yang pernah beberapa tahun tinggal di luar negara, aku bukan bersetuju sangat dengan ISA pun. Yang paling aku takuti adalah penyalahgunaan akta ini oleh pihak berkuasa untuk tujuan selain dari sebab-sebab yang melibatkan penjagaan ketenteraman awam serta keselamatan negara. Tetapi bila melihat keadaan Malaysia yang jauh lebih terbelakang berbanding negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dari segi kedewasaan pemikiran rakyat, aku bersetuju dengan peruntukan ISA bagi mengawal keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia. Maknanya aku bersetuju dan menyokong ISA tapi dengan bersyarat – selagi ia tidak disalahgunakan! Atas prinsip inilah ku berikan sokongan padu ku pada kerajaan menggunakan ISA ini.
Pertanyaan aku – apakah keadaan keselamatan Malaysia sudah banyak berubah kearah yang lebih baik sehingga ISA mampu kita hapuskan? Kenapa PM membuat pengumuman ini dalam satu ucapan bukan diumumkan di parlimen selepas perdebatan bebas antara YB-YB mengenai isu ini. Parlimen merupakan pentas yang paling wajar untuk tujuan ini kerana di sinilah semua undang-undang negara termasuk ISA diluluskan? Kenapa ahli-ahli BN mahupun UMNO tidak di sediakan dengan penerangan yang secukupnya untuk mengalas akibat dari pengumuman pemansuhan ISA ini? Apakah ia sudah di bincangkan dalam kabinet, Majlis kerja Tertinggi (MKT) UMNO mahupun diantara komponen BN dan bagaimana dengan pandangan mereka? Oh, terlalu banyak soalan yang bermain dalam benak aku sekarang ini.
Ikhlas ku katakan bahawa pada masa ini aku melihat keputusan penghapusan ISA ini hanya di buat oleh segelintir pemimpin negara sahaja terutama PM tanpa memberikan peluang yang seluas-luasnya kepada rakyat untuk sama-sama mengambil bahagian. Isu ISA adalah isu besar. Isu ini telah dimainkan oleh pembangkang sejak sekian lama. Maka malam tadi pihak pembangkang akan mendabik dada dengan mengatakan bahawa pendapat mereka selama ini tentang ISA akhirnya terbukti benar.
Dalam ucapan PM tersebut juga ada dinyatakan bahawa sebagai ganti kerajaan akan mengubal dua (2) undang-undang baru bagi menggantikan ISA ini. ISA dah mansuh, apakah kedua-dua undang-undang baru ini dapat diluluskan oleh parlimen nanti dengan majoriti 2/3 dalam komposi ahli perlimen sekarang? Pada pandangan aku sepatutnya dua rang undang-undang ini perlu diluluskan dulu sebelum keputusan memansuhkan ISA di buat dan bukan sebaliknya. Yang paling baik, kerajaan boleh buat satu refendum untuk mendapatkan maklumbalas dari rakyat mengenai isu ini. Biarlah rakyat yang menentukan isu sepenting pemansuhan ISA ini. Kenapa PM mengambil risiko membuat keputusan yang di lihat sebagai “unilateral” ini?
Akhir sekali, keputusan telah di buat. PM telah bersuara. Aku sebagai rakyat biasa telah juga menyuarakan pendapat aku melalui blog ini. Sama ada PM nak baca atau tidak isu yang ku tulis ini bukan urusan aku. Yang memimpin negara ini adalah Datuk Seri Najib Tun Razak. Kejayaan dan kegagalan negara semasa kepimpinan DS Najib akan di nilai oleh rakyat nanti. Adalah doa dan harapan aku bahawa visi PM dengan menghapuskan ISA ini adalah merupakan tindakan terbaik untuk negara.
Dah hapus ISA ni, bila pula keputusan nak buat pilihanraya? Bagi aku lepas ni aku nak balik tidur. Malam tadi tak lena tidur sebab isu ISA ini terus bermain dalam kepala.
Salam. Selamat Hari Malaysia. Semoga hari-hari mendatang lebih baik dari hari ini.
UnclearEngineer.
DEFENDING THE PM IS NOT JUST ABOUT DEFENDING AND MAKING EXCUSE FOR HIM BUT REMINDING, GIVING FEEDBACK AND GUIDING HIM. THAT IS MY STAND!
ReplyDelete- from the blog Another Brick in the Wall under the title “Not just defending the PM”.
That is my stand too, brother.
UnclearEngineer