Pelancaran biografi Tan Sri Ainuddin Wahid tulisan Datin Seri Fatini Yaacob baru-baru ini mengundang nostalgia bagi saya. TS Ainuddin merupakan Rektor pertama ITK dan kemudian nya Naib Censelor pertama UTM. Beliau memang seorang patriot Melayu yang amat prihatin tentang kekurangan jurutera berijazah bumiputra pada awal 70an. Beliau gigih mencari jalan dan berusaha. Hasilnya, graduan UTM memegang banyak jawatan kanan dalam bidang teknikal dalam pentadbiran kerajaan mahupun di sektor swasta pada masa ini.
Yang paling saya ingat tentang TS ni adalah sifat kebapaannya kepada mahasiswa UTM. Cakapnya amat lemah lembut sekali. Pada satu hari dia telah menahan saya di kampus, sambil berkata "Encik, boleh tolong potong rambut tak?". Dia panggil student dia, sebagai encik! Bila nampak sahaja beliau, saya dan rakan-rakan akan cari jalan lain mengelak bertembung dengan TS. Bukan apa, segan di panggil “encik” oleh Naib Censelor. Begitulah TS Ainudin Wahid.
Dia bercakap lemah lembut tapi di mana datangnya kedegilan beliau? Mungkin sebab beliau tak mahu mengalah dan sentiasa konsisten dengan prinsipnya jika ia melibatkan pendidikan anak bangsa selaras perancangan DEB pada masa itu. Memang benarlah -hanya pendidikan yang mampu membawa orang Melayu keluar dari kepompong kemiskinan di kampung.
Kali terakhir saya bertemu TS Ainuddin di kawasan perumahan Jalan Ampang beberapa tahun yang lalu. Beliau nampak uzur dan bertongkat. Bila bersalam saya cium tangan beliau. Saya jarang mahu mencium tangan pemimpin tapi TS Ainuddin terlalu banyak jasanya.....
Sezaman TS Ainudin di UTM, TS Arshad Ayub pula melakukan gerak kerja yang sama di ITM. Mana-mana pelajar Melayu yang gagal ke IPTA seperti UTM dan UPM pada masa itu akan diambil untuk diberikan peluang belajar di ITM. Masih saya ingat lagi beberapa kawan dan “senior” saya dari Sekolah Menegah Teknik, KL (TIKL) yang tidak mempunyai kelulusan MCE (sekarang ni SPM) yang memberangsangkan yang diterima belajar di ITM. Mereka ini termasuklah Datuk Seri Mohamad Zin (aka Zin Badak) dan Datuk Shamsudin (Sam), seorang usahawan Melayu terkenal di tahun 90an dulu. Pada zaman tersebut ITM di anggap sebagai IPTA kelas 3. Peluang terakhir kepada pelajar Melayu terutama dari kampung untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Tapi lihalah sekarang, ITM antara institusi pendidikan ulung yang menjadi rebutan kepada pelajar Melayu.
Ratusan malah ribuan lulusan ITM (sekarang dah jadi UiTM) merupakan antara kakitangan kanan dalam sektor swasta dan kerajaan pada masa ini. Inilah hasil perjuangan TS Arshad Ayub. TS Ainuddin sudah tiada tapi TS Arshad Ayub masih lagi sihat dan masih terus menyumbang kepada dunia pendidikan serta sektor korporat Malaysia.
Saya amat bertuah dapat bercakap dan bertukar pandangan dengan dua tokoh pendidikan anak Melayu, TS Ainuddin Wahid dan TS Arshad Ayub sedikit masa dulu. Kedua-dua beliau ini memainkan peranan cukup besar dalam meramaikan golongan profesional bumiputera dalam pasaran kerja di Malaysia. Kedua-dua beliau bukan politikus tapi gigih berjuang untuk bangsa, agama dan negara.
TS Ainuddin – harimau mati meningalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
UnclearEngineer.
No comments:
Post a Comment
Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.