Dicelah-celah sibuk keluar masuk dewan persidangan,
saya sempat bersemuka dan bercakap dengan rakan lama semasa di PUSPATI dulu.
Ramai yang telah pun bergelar “doktor” di pangkal nama masing-masing. Cuma saya
sahaja yang masih “encik”. Ada pula yang sudah bersara dari perkhidmatan
kerajaan dan dilamar oleh IPTA tempatan sebagai tenaga pengajar bergelar
professor mahupun professor madya. Lumayan sungguh pendapatan bulanan mereka. Pencen
pun masuk, gaji penuh professor pun dapat. Alhamdulillah, rezeki melimpah ruah yang
Allah berikan.
Kadang-kadang ada juga terlintas dalam hati. Kalau saya
tak berhenti perkhidmatan awam dulu mungkin saya juga sudah lama bergelar “doktor”,
Dr. Yaziz Yunus. Huhu. Tapi semuanya adalah ketentuan Allah. Kalau tidak
berhenti dari PUSPATI dulu dan menceburi sektor swasta, saya tak akan berpindah
ke Bukit Beruntung dari Bandar Baru Bangi. Tak jugalah saya bergerak aktif
dalam UMNO Hulu Selangor. Cuma yang terkilan dalam hati saya, rezeki saya masih
tidak banyak berubah akibat manipulasi seorang “rakan kongsi” yang tamak dan
kaki belit. Dia meraih keuntungan jutaan ringgit, saya ……ah, itu cerita lama.
Apa yang mahu saya kongsikan adalah beberapa
perkara yang saya dapat kutip dalam berborak semasa makan tengah hari dan sesi
minum teh. Kadang-kadang mengejutkan juga. Sebagai mana yang saya katakan di
atas, kebanyakan mereka ini adalah penerima rezeki yang melimpah ruah dari
polisi kerajaan Barisan Nasional. Bagi saya mereka adalah kelas menengah Melayu
yang berjaya pada hari ini berkat polisi kerajaan BN yang amat mengambil berat
tentang kemajuan penduduk majoriti di tanah air tercinta ini melalui dasar “diskriminasi
positif”. Tetapi ramai antara mereka yang melahirkan rasa “anti establishment”
bila berbicara tentang isu melibatkan kerajaan serta politik. Memang
mereka-mereka ini bukan jenis yang suka bercakap politik berdegar-berdegar tapi
dalam bait-bait ayat yang keluar dari mulut mereka, dapat saya rasakan tentang
kekeciwaan mereka terhadap kerajaan semasa.
Sebagai pendengar yang setia, saya cuba memahami.
Saya rasa ramai dari kita tidak menghargai peranan kerajaan BN dalam kehidupan
harian kita selama ini. Bagi kita semua ini adalah tugas hakiki kerajaan semasa
untuk memakmurkan rakyat dan negara. Tak ada apa yang perlu untuk kita mengucapkan
terima kasih. Mereka lebih melihat kepada kelemahan umpama sebagai kerajaan, BN
mestilah baik semuanya. “Kita tak menetang projek tersebut tapi kita tak
bersetuju dengan cara perkara tersebut di buat”, inilah ayat yang mereka ulang
beberapa kali. Mereka melihat kesemua yang berlaku di sekitar mereka adalah
manipulasi demi kepentingan peribadi sesetengah pemimpin UMNO/BN. Secara jujur,
mungkin ada juga kebenaran dalam kata –kata mereka tapi tak semua begitu.
Sebagai kakitangan kanan kerajaan mereka mempunyai “networking” yang luas dalam
pentadbiran kerajaan dan mereka mungkin telah di maklumkan oleh sahabat yang
mempunyai maklumat terperinci mengenai sesuatu isu yang timbul. Isu NFC
misalnya. Banyak tuduhan dan juga maklumat negatif yang mereka suarakan.
Saya tidak dapat mengagak ke manalah akan perginya
undi mereka di PRU 13 nanti. Mungkin mereka ini merupakan sebahagian dari
pengundi bersyarat yang menjadi sasaran oleh jentera pilihanraya BN untuk di
dekati. Saya berharap sebagai gulongan terpelajar, sahabat-sahabat saya ini
akan terus berfikiran secara kritikal dan memilih yang terbaik untuk Malaysia. Bagi
pemimpin UMNO pula, boleh tak di kurangkan
aktiviti penyalahgunaan kuasa melibatkan projek-projek kerajaan. Mungkin banyak
yang dikatakan tidak tepat dan lebih merupakan fitnah tapi nampaknya persepsi
negatif ini telah tersebar luas di kalangan rakyat Malaysia.
Kata DS Najib, UMNO/BN perlu berubah. Kita tidak
boleh lagi membuat keputusan seperti biasa – business as usual. Rakyat telah
banyak berubah. Hutang budi di bawa mati bukan lagi nilai murni yang dihargai
dalam masyarakat hari ini.
Apa yang harus kita sebagai pencinta UMNO/BN buat?
Terus dekati mereka-mereka ini dan cuba meyakinkan bahawa UMNO/BN tidak akan
menjanjikan syurga untuk mereka. UMNO/BN dalam banyak kekurangan dan
ketidaksempurnaan, masih cuba mencari jalan terbaik untuk semua rakyat Malaysia.
UnclearEngineer
No comments:
Post a Comment
Awas, bahasa anda. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.